31 May 2013

Imigresen Sabah: Kami ikut arahan kerajaan negeri halang Nurul Izzah

KUALA LUMPUR, 31 Mei — Jabatan Imigresen Sabah mengatakan mereka hanya mengikut arahan kerajaan negeri untuk menghalang Nurul Izzah Anwar (gambar) daripada memasuki Sabah.

“Arahan itu diterima dari semasa ke semasa,” kata Noor Alam Khan Abdul Wahid dipetik dari The Star Online mengulas tentang halangan terhadap naib presiden PKR itu ke Sabah semalam.

Seorang pegawai di jabatan ketua menteri berkata, tiada kenyataan rasmi berhubung perkara itu dikeluarkan setakat ini. - TMI

Tidak masuk akal sama sekali. Pendatang asing ramai boleh keluar masuk Sabah. Seorang ahli parlimen Malaysia pula kamu halang.

Pemuda PAS, DAP kecam Nurul dihalang masuk Sabah

Pemuda PAS Pusat mengecam tindakan kerajaan Sabah menafikan hak ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar memasuki negeri itu, sedangkan pengganas Sulu berjaya menjejak ke Lahad Datu selama beberapa minggu sehingga mengorbankan anggota keselamatan.

Khir Toyo dakwa dijadikan ‘kambing hitam’ dalam perang anti-rasuah Najib

KUALA LUMPUR, 31 Mei — Bekas menteri besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo mendakwa dirinya menjadi mangsa “kambing hitam” dimanipulasi untuk kepentingan politik pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Semalam Mahkamah Rayuan menolak rayuan Dr Mohamad Khir dan mengekalkan hukuman penjara 12 bulan berhubung kes rasuahnya.
“Saya sudah tidak peduli lagi jika keputusan telah dibuat untuk memenjarakan saya sebagai ikon untuk menunjukkan kerajaan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ini telus dan mahu membanteras rasuah,” kata beliau dalam tulisan di blognya www.drkhir.com.

“Biarlah luncai terjun dengan labu-labunya,” tambah beliau lagi.
Menurut Dr Mohamad Khir, beliau didakwa melakukan Criminal Breach Trust (CBT) atau pecah amanah di bawah Kanun Keseksaan bukannya kesalahan rasuah di bawah Akta Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Sepanjang perbicaraan, keterangan pegawai PKNS jelas menunjukkan saya menyokong puluhan surat cadangan memajukan tanah PKNS secara usahasama. Ada sokongan saya yang diluluskan dan yang ditolak oleh jawatan kuasa teknikal.

Polis cadang zon 'tanpa motosikal' bendung jenayah

Pihak polis akan mencadangkan kepada kerajaan persekutuan supaya mewujudkan zon tanpa motosikal di bandar-bandar besar dalam usaha untuk memerangi jenayah.

Dalam temu-bual dengan Astro Awani semalam, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata ini adalah antara beberapa langkah "drastik" yang dicadangkan untuk menangani masalah tersebut.

Menurutnya, 90 peratus jenayah jalanan dilakukan oleh penjenayah
bermotosikal.

Khalid berkata, strategi itu mungkin dilihat agak drastik tetapi tambahnya, jika ia boleh dilaksanakan di bandar besar di negara lain, mengapa ia tidak boleh dilaksanakan di sini.

Mekanisme turun harga kereta

Setakat ini harga kereta diketahui tinggi. Harga terendah Honda City, umpamanya adalah RM83,219.50, Toyota Vios model 1300cc berharga RM72,417.50.

Bagi kereta buatan Malaysia seperti Proton dan Perodua pula, harga yang ditawarkan adalah RM24,924.30 bagi model Perodua Viva 660cc.

Untuk Proton pula, harga terendah yang ditawarkan adalah model Saga FLX 1300cc iaitu RM35,333.65.

Harga ditawarkan ini sukar untuk dimiliki oleh keluarga berpendapatan rendah, terutama yang kos saraan hidup yang tinggi seperti mempunyai pendapatan kurang dari pada RM1500 sebulan.

Golongan muda juga antara yang terbeban akibat harga kenderaan yang tinggi kerana belum ada pendapatan stabil dan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN).

30 May 2013

Mahkamah rayuan kekal hukuman bersalah Khir Toyo

Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan bersalah terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo bagi tuduhan rasuah yang berkaitan dengan pembelian dua lot tanah berharga dan sebuah rumah di Shah Alam, semasa menjadi penjawat awam.

Nurul Izzah tidak dibenar masuk Sabah

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar telah tidak dibenarkan oleh pihak imigresen Sabah memasuki negeri ini.

Waytha mahu anggota polis terbabit digantung tugas

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy mengecam tindakan yang dianggap ringan terhadap anggota polis yang sedang disiasat berhubung kematian N Dharmendran dalam tahanan, dengan berkata langkah itu hanya akan menjejaskan kepercayaan rakyat kepada pasukan tersebut.

Taib: Rakyat Sarawak tolak dakwaan Global Witness

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, rakyat Sarawak telah menolak dakwaan pemantau rasuah antarabangsa, Global Witness, terhadapnya melalui proses demokrasi dalam pilihan raya umum baru-baru ini.

Raja Azmi Disamun

KUALA LUMPUR: Pengarah dan penerbit Raja Azmi Raja Sulaiman disamun oleh dua lelaki yang menunggang motosikal berhampiran Hotel Istana di Jalan Nagasari di sini pada Selasa lalu.

Menurut laporan Kosmo!, kejadian pada pukul 12.30 tengah malam itu berlaku ketika Raja Azmi, 54, sedang berjalan seorang diri menuju ke arah keretanya yang diletakkan di luar bangunan hotel berkenaan.
"Pada jarak 20 meter dari kereta tiba-tiba muncul sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki menghampiri saya.

"Salah seorang suspek kemudian menolak saya menyebabkan saya terjatuh ke dinding di kaki lima hotel dengan beg tangan di bahu kiri manakala tangan kanan memegang telefon pintar Samsung Galaxy II," katanya.

Tambah Raja Azmi yang turut ditampar sebelum disamun itu, sebelum kejadian, dia baru pulang daripada menghadiri satu majlis kahwin yang diadakan di hotel tersebut.

Kemudian, suspek yang memakai topi keledar kemudian cuba menarik beg tangannya namun dia meronta-ronta sambil menjerit meminta tolong bagi menarik perhatian orang ramai yang berada di kawasan berhampiran. - Mstar




Menentang kerajaan dianggap penderhaka

SHAH ALAM – Mana-mana pihak yang cuba menentang kerajaan yang sah boleh dianggap sebagai penderhaka kepada negara.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, mereka yang tidak berpuas hati sepatutnya guna saluran betul iaitu mahkamah dan bukan melakukan demonstrasi di jalan raya.

“Sebarang usaha untuk menentang kerajaan yang sah, itu namanya penderhaka. Menentang secara aman pun dianggap sebagai penderhakaan kepada negara.

“Apatah lagi, jika ada yang mahu melakukannya dengan keganasan. Kalau tidak puas hati, failkan petisyen ke mahkamah. Mengapa mahu tunjuk perasaan?” katanya semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas usaha sekumpulan NGO pro-pembangkang yang mahu mengadakan protes jalanan besar-besaran sekiranya pegawai kanan SPR tidak meletak jawatan.

29 May 2013

Caj tempat letak kereta MBSA dinaikkan 60sen sejam

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menaikkan kadar bayaran tempat letak kereta di kawasan pentadbirannya dari 40 sen sejam kepada 60 sen sejam.

Datuk Bandar Shah Alam Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata kenaikan itu wajar dilakukan memandangkan kadar 40 sen sejam telah diperkenalkan sejak 1998 dan kadar baharu itu akan berkuat kuasa dalam tempoh terdekat.

"Kadar caj yang dikenakan pada masa ini sudah tidak sesuai dengan keadaan semasa dan status Shah Alam sebagai bandar raya," katanya ketika mempengerusikan mesyuarat bulanan MBSA di sini hari ini.

Beliau berkata MBSA juga akan mengadakan program kutipan kompaun tempat letak kereta yang menawarkan potongan 80 peratus, bermula 10 Julai hingga 7 Ogos depan, iaitu sepanjang bulan Ramadan.

Katanya, tunggakan kompaun letak kereta kini berjumlah RM9 juta dengan tiga kawasan mencatat jumlah tertinggi iaitu Seksyen 9, Seksyen 13 dan Seksyen 25.- Bernama

Bukan masalah jumlah tetapi kerumitan yang rakyat hadapi seharian. Ini bukanlah yang dilaungkan berjiwa rakyat. Caj tempat letak kereta wajar dihapuskan. Gunakanlah wang banyak yang kononnya kerajaan PR Selangor perolehi semasa mentadbir negeri.

Blackout 505 tampil tiga tuntutan

PETALING JAYA - Perhimpunan Blackout 505 akan meneruskan gerakan mereka sehingga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersetuju untuk melaksanakan tiga tuntutan reformasi awal yang dikemukakan.

Pengarah program Blackout 505, Datuk Johari Abdul berkata, kehadiran rakyat di perhimpunan itu adalah lambang baru kesedaran politik rakyat yang mewakili suara 51peratus rakyat yang menyokong PR.

"Kita menuntut tiga perkara asas reformasi pilihan raya, pertama seluruh anggota SPR sekarang meletak jawatan kerana gagal memastikan PRU13 berjalan dengan telus, cekap, tanpa keraguan dan memenuhi janji mereka kepada rakyat seperti tuntutan Bersih.

28 May 2013

Tamrin, Haris ditahan semula

Aktivis PAS Datuk Tamrin Abdul Ghafar dan pemimpin NGO Asalkan Bukan Umno Haris Ibrahim ditahan semula hari ini, empat hari selepas dibebaskan.

"Ya... Polis berada di rumah saya di Ampang sekarang," kata Tamrin yang menambah pasukan polis itu tiba pada kira-kira jam 7.15 petang.

"Mereka ada waran tangkap berhubung isu sama dan membawa saya ke ibu pejabat polis Dang Wangi," katanya lagi kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Peguam Gobind Singh Deo juga mengesahkan bahawa Haris ditahan semula pada jam 7 petang ini dan turut dibawa ke ibu pejabat polis Dang Wangi.

"Kami boleh sahkan bahawa mereka berdua (Haris dan Tamrin) ditahan semula mengikut Akta Hasutan," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

KWSP Kekal Polisi Benar Keluar Simpanan Persaraan Pada Usia 55 Tahun

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengekalkan polisi membenarkan ahlinya mengeluarkan keseluruhan simpanan persaraan mereka pada usia 55 tahun walaupun umur persaraan penjawat awam dinaikkan kepada 60 tahun.

Bagaimanapun, KWSP menggalakkan pencarum mengamalkan pengeluaran caruman secara fleksibel berbanding sekali gus, yang boleh mengundang pembaziran.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata langkah pengeluaran secara fleksibel itu diperkenal bagi membantu anggota KWSP mengurus perbelanjaan mereka selepas bersara.

"Sebelum ini, kebanyakan ahli mengeluarkan wang secara sekali gus. Seperti yang anda sedia maklum, adalah sukar untuk mengurus dan menyimpan wang berkenaan dalam tempoh tiga hingga lima tahun selepas bersara," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

'Himpunan bukan untuk tumbangkan kerajaan'

Siri-siri himpunan rakyat selepas pilihan raya umum berlangsung bukan satu usaha untuk menumbangkan kerajaan, kata jurucakap NGO Lawyers for Liberty, Michelle Yesudas.

Sebaliknya, tegas Yesudas, ia adalah satu wadah rakyat untuk menyampaikan suara mereka secara kolektif kepada kerajaan selepas menyedari terdapat jurang komunikasi di antara rakyat dan pihak berkuasa.

"Himpunan-himpunan ini memberi kesedaran bahawa kita sebenarnya boleh bersama merapatkan jurang sesama kita.

"Ia bukan bertujuan menumbangkan kerajaan. Ia adalah cara kita menyusun diri kita sendiri," kata Yesudas dalam sidang media pertubuhan masyarakat sivil di Kuala Lumpur pagi tadi.

'Pengurangan harga kereta berperingkat hingga 2017'

Kadar pengurangan harga kereta akan dibuat secara berperingkat-peringkat sehingga 2017, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Katanya, bersandarkan manifesto kerajaan yang telah dibuat pada pilihan raya umum lalu, kerajaan telah berjanji akan mengurangkan harga kereta antara 20 hingga 30 peratus dalam tempoh lima tahun.

"Malah, sejak Oktober tahun lepas, harga 10 model kereta popular di negara ini telah menurun secara purata 7.3 peratus," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian dan agensi-agensi di bawahnya di Kuala Lumpur hari ini.

Perhimpunan bulanan ini merupakan perhimpunan pertama diadakan bersama pucuk pimpinan baharu selepas pelantikan Kabinet 2013.

Beliau berkata pengurangan harga itu adalah hasil proses pasaran yang mana terdapat peningkatan kecekapan dan persaingan di kalangan pemain industri automotif.

Penguatkuasa takut ancaman pendatang asing Sabah

Seorang pegawai penguatkuasa dari Majlis Daerah Kunak berkata pasukannya amat gerun untuk memasuki sesetengah kawasan kampung setinggan, termasuk yang dibina di atas air, kerana sering menerima ancaman ke atas keselamatan diri mereka.

Kementerian Rancang Hapus Jaminan Jawatan Guru Pelatih

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan merancang untuk memansuhkan jaminan jawatan, yang selama ini diberi secara automatik kepada guru pelatih dari institut pendidikan guru (IPG) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata langkah itu yang mungkin dilaksana secara berperingkat, bertujuan memastikan hanya pelatih berkualiti ditawar jawatan sebagai guru di sekolah.
"Amalan pada masa ini, guru pelatih IPG dan IPTA dijamin sebagai guru tanpa mengambil kira prestasi mereka tetapi kali ini kita nak guru jadi profesion yang mulia.

"Jadi kita perlu pilih yang terbaik, mempunyai keperibadian mulia, baru boleh melahirkan masyarakat hebat pada masa depan," katanya kepada pemberita selepas majlis Konvokesyen Institut Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran kali ketiga, di sini, Isnin.

Polis tumpang geng samun kereta, tahan tujuh lelaki

SHAH ALAM, 27 Mei — Polis Selangor berjaya menumpaskan satu kumpulan penjenayah menggunakan taktik langgar dan samun kenderaan mangsa dengan menahan tujuh lelaki dalam dua serbuan berasingan di sekitar kawasan Petaling Jaya pada Rabu dan Khamis lepas.

Kesemua suspek, yang berusia dalam lingkungan 20 dan 38 tahun, diberkas di Desa Mentari dan Ara Damansara oleh sebuah pasukan khas polis berikutan kejadian samun trak pikap Toyota Hilux dilaporkan di kawasan Damansara pada 6.30 pagi, Rabu lepas.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata dalam insiden samun itu, empat suspek yang menaiki sebuah kereta Proton Waja berwarna hitam telah bertindak melanggar belakang trak pikap itu yang dipandu seorang lelaki.

“Ketika mangsa keluar dari keretanya untuk melihat kerosakan kesan dari perlanggaran tadi, kumpulan suspek ini telah mengancam mangsa dengan membaling tin minuman kepada mangsa sebelum melarikan kereta miliknya (mangsa),” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Anak Lajim Ukin didakwa guna dokumen palsu

KUALA LUMPUR - Seorang anak bekas timbalan menteri hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung pelaksanaan projek pembinaan jalan di Batu Pahat, Johor.
  
Mohd Nizam Lajim, 31, didakwa dengan curangnya telah menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu sekeping lampiran bertarikh 25 Julai 2012, yang bertajuk "Senarai Syarikat Yang Dicadangkan Untuk Melaksanakan Projek Membina Jalan Mukim 6 Linau dan Mukim 7, Tg. Semberong, Batu Pahat, Johor Secara Tender Terhad" yang diperakukan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
  
Syarikat yang disenaraikan ialah Moral Bahagia Sdn Bhd, Prestasi Reka Sdn Bhd, Satria Mara Sdn Bhd, Sanjung Sempurna Sdn Bhd, Pertama Makmur Sdn Bhd, Mansashi Sdn Bhd, H & A Construction Sdn Bhd, Nisa Consolidated Sdn Bhd, Bina-Mas Construction Sdn Bhd dan Landscape Sdn Bhd.
  

Yazid Sufaat, pembantu didakwa anggotai Al-Qaeda

Selepas dibebaskan Isnin lepas, bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Yazid Sufaat dan pembantu kafeteria Muhammad Hilmi Hasim sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang, kali ini atas pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas Tanzim Al-Qaeda Malaysia.

Yazid, 49, pengusaha kafeteria di Kompleks Mahkamah Jalan Duta dan Muhammad Hilmi, 33, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah beralamat DL 11, Taman Bukit Ampang, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya antara 1 Ogos 2012 dan 7 Februari lepas mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan dicatat dan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman menetapkan 7 Jun ini untuk sebutan kes.

27 May 2013

Misteri kehilangan terungkai

SHAH ALAM - Misteri kehilangan dua sahabat sejak sebulan lalu terungkai selepas penyebaran beberapa keping gambar di percayai mayat kedua-dua mangsa, di sebuah laman sosial Facebook didaftarkan atas nama Ridan Pendewa Titisannnya Sakera.

Yazid ditahan semula, isteri tak tahu sebabnya

Yazid Sufaat sekali lagi ditahan polis, hanya tujuh hari selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan beliau mengetepikan tuduhan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, isterinya Chomel Mohamad berkata dia tidak mengetahui mengapa Yazid ditahan.

"Polis datang ke rumah pada jam 8 pagi hari ini dan mengambilnya. Mereka kata mereka membawanya ke Bukit Aman. Saya tidak ada di rumah sewaktu tangkapan dibuat tapi empat anak saya menyaksikannya.

"Ini mengarut kerana dia baru sahaja dibebaskan... Saya letih (dengan perkara ini)," katanya yang mengusahakan satu kedai makan di kompleks mahkamah Kuala Lumpur. - mkini

Hebat sungguh risikan pihak keselamatan Malaysia. Sehingga menjangkau ke Syria. Pembunuhan saban hari dalam negeri yang perlu difokuskan.

Najib: Mana mat Bangla yang jadi pengundi?

BN tidak pernah mencuri kemenangan daripada pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 baru-baru ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Lelaki Ditemui Mati Dalam Tahanan Polis

GEORGE TOWN: Seorang lelaki dalam tahanan polis ditemui mati dalam lokap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini Ahad.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP Nasir Mohd Salleh berkata, R. Jamesh Ramesh, 40, ditemui mati oleh anggota polis pada sebelah pagi.

"Pada pukul 10.30 pagi tadi anggota polis memanggil suspek untuk dibawa ke mahkamah bagi tujuan reman. Pada masa itu didapati mangsa sudah tidak sedarkan diri.

"Polis memanggil pihak ambulans Hospital Pulau Pinang dan pegawai perubatan telah mengesahkan kematian suspek," katanya pada sidang akhbar di sini.

Beliau berkata, suspek yang dipercayai penagih dadah tegar itu ditahan polis dari cawangan narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada Sabtu di hadapan Balai Raya, Jalan Patani di sini selepas ujian air kencing mendapatinya positif dadah jenis morfin.

UAI selamat nikah kali ketiga

SHAH ALAM -  Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus atau lebih dikenali sebagai UAI hari ini selamat melangsungkan perkahwinannya buat kali ketiga.

Menurut sumber yang enggan dikenali berkata, mengakui bahawa penyebaran mengenai berita perkahwinan UIA seperti di laman-laman sosial Facebook (FB) dan blog itu adalah benar.

“Ikut apa yang tersebar itu memang benarlah..,” jawabnya ringkas ketika dihubungi Sinar Harian Online, sebentar tadi.

Ustaz Idrus, dilahirkan di Ladang, Kuala Terengganu, pada 1964, popular dalam kalangan semua peringkat usia. Belia juga digelar 'Ustaz Youtube' kerana banyak program ceramah dan soal jawab dengan beliau dimuat naik ke laman tersebut.

Beliau bukan sahaja berjaya menarik generasi muda, malah turut menarik orang ramai untuk datang mendengar ceramah yang sering beliau adakan di seluruh negara.

26 May 2013

SPR Janji Ketelusan Penuh Kaji Persempadanan Semula Kawasan Pilihan Raya

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memulakan kajian semula persempadanan pilihan raya di negara ini menjelang akhir tahun ini dan memberi jaminan kepada orang ramai akan ia akan dijalankan dengan penuh telus.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata pihaknya akan memaparkan draf persempadanan semula kepada orang ramai untuk pengundi berdaftar, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk mengemukakan pandangan dan bantahan mereka sebelum menyerahkan laporan akhir kepada Dewan Rakyat untuk kelulusan.

"Perkara ini akan dijalankan dengan penuh ketelusan sebelum dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan, jadi tidak ada persoalan pihak kita cuba untuk menyembunyikan apa-apa daripada orang ramai," kata Wan Ahmad ketika dihubungi.

Bakal pengantin maut kemalangan

SUNGAI PETANI - Hasrat seorang jurulatih silat yang ingin melangsungkan perkahwinan pada 6 Jun depan, tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di simpang tiga berdekatan Masjid Sultan Abdul Halim, Taman Ria Jaya, di sini, kira-kira jam 11.40 malam kelmarin.

Mangsa, Nurul Aini Norman, 27, yang bekerja di sebuah kedai bunga dan cenderahati dalam perjalanan pulang ke rumahnya di taman itu selepas selesai mengajar silat.

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian, mangsa yang datang dari Flat Paya Nahu ingin membelok ke kanan apabila sampai di simpang berkenaan, bagaimanapun motosikal mangsa bertembung dengan sebuah kereta yang datang dari arah depan.

'Lampu padam bukan lakonan'

Noor Hanim (kanan) menunjukkan logo SPR pada 
kotak kiraan undi dalam gambar yang tersebar di internet.
PUCHONG – Adun Seri Serdang, Noor Hanim Ismail menyangkal kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mendakwa kejadian lampu padam di pusat pengiraan undi sebagaimana disebarkan menerusi internet adalah fitnah dan lakonan.

Noor Hanim berkata, gambar itu sebaliknya dirakam seorang petugasnya di bilik pengiraan undi Saluran 3  Sekolah Kebangsaan Serdang pada jam 7.32 malam 5 Mei lalu.

Beliau menafikan ia dirakam sebelum PRU13 seperti didakwa Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Menurutnya, hasil siasatan, pihaknya mendapati pengurusan SPR dilihat sekadar ingin menutup kelemahan sistem pilihan raya sedia ada.

Noor Hanim berkata, beliau hairan bagaimana Wan Ahmad sendiri seolah-olah tidak tahu pakaian rasmi petugas SPR yang memakai baju T kelabu pada hari berkenaan.


Suspek didakwa hina Sultan T'ganu di facebook ditahan

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah berjaya mengesan suspek yang didakwa menghina Sultan Terengganu di laman Facebook.

Dengan kerjasama Polis, suspek berkenaan telah ditahan untuk disoalsiasat.

Jika didapati bersalah, dia boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau satu tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

"SKMM memandang serius terhadap penyalahgunaan media sosial untuk memuatnaik kandungan yang berunsur menghina terutamanya institusi Diraja Malaysia.

"Undang-undang negara berkuatkuasa tidak kira di mana-mana, baik di luar mahupun di dalam talian. Jenayah tetap jenayah, walaupun di dalam media sosial," kata Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi dalam satu kenyataan.

25 May 2013

Saiful, Nik Suryani sah suami isteri

KUALA TERENGGANU - Inilah jodoh saya, demikian ungkapan bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan kepada media sebaik selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, personaliti TV3, Nik Suryani Megat Deraman.

Mohd Saiful, 28, sah menjadi suami kepada Nik Suryani dengan sekali lafaz di Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam (TTI) di sini, tepat jam 3.30 petang tadi dan dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Megat Deraman Megat Stan.

Pihak perempuan menerima sembilan dulang hantaran berbalas 11 daripada pihak lelaki dan mas kahwin bernilai RM41,101.

Majlis pernikahan itu disaksikan kira-kira 100 orang terdiri dari ahli keluarga terdekat dan rakan mempelai.

BN sebagai parti tunggal, Umno sudah sampai di jalan mati, kata Nik Aziz

SHAH ALAM, 25 Mei — Tindakan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin menyambut baik cadangan untuk menjadikan Barisan Nasional (BN) sebagai parti tunggal menunjukkan Umno sudah sampai di jalan mati, kata Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. 

Menurut Mursyidul Am PAS itu lagi, keputusan Pilihan Raya 2013 menunjukkan walaupun Umno menang besar, parti itu hanya disokong oleh orang-orang Melayu di luar bandar.

“Ini menandakan bahawa Umno sendiri mula sedar perjuangan berasaskan bangsa sudah tidak relevan lagi di Malaysia,” kata Nik Aziz dalam satu kenyataan hari ini.
“Sekalipun Umno menang di kebanyakan kerusi yang ditandingi, tetapi kemerosotan BN di Parlimen membuktikan bahawa Umno hanya disokong oleh orang-orang Melayu yang berada di luar bandar.

Maut ditembak depan masjid

PASIR PUTIH: Memilukan apabila seorang peraih ikan yang baru selesai solat Isyak berjemaah mati ditembak sebaik keluar dari pintu pagar masjid dalam kejadian di Masjid Nurul Anuar (MNA) di Kampung Pachakan, Dalam Rhu, Semerak, dekat sini, malam tadi.

Pasangan Malaysia Sertai Senarai Kelab Jutawan di Australia

MELBOURNE: Satu pasangan Malaysia di Australia telah menggandakan kekayaan mereka dan kini layak dipanggil 'billionaire'.

24 May 2013

Mahkamah tolak permohonan reman, Tian Chua, Tamrin dan Haris dibebaskan

Gerakan 'Bebaskan Tian Chua, Haris Ibrahim dan Tamrin Ghafar' menunjuk perasaan di luar balai polis di Jinjang, Mei 25 2013. - Gambar oleh Saw Siow Feng
KUALA LUMPUR, 24 Mei — Polis hari ini melepaskan tiga individu yang ditahan untuk siasatan dibawah Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan selepas majistret menolak permohonan untuk melanjutkan reman.

Pakatan Rakyat (PR) semalam menyifatkan penangkapan tersebut sebagai sebahagian tindakan keras polis ke atas pemimpin pembangkang.

Semalam, Ahli Parlimen (MP) Batu PKR Chua Tian Chang, ahli PAS Tamrin Ghafar dan aktivis Haris Ibrahim ditahan kerana menghasut dan di bawa ke balai polis Jinjang untuk disoal siasat dan penahanan, difahamkan penahanan tersebut dilakukan dibawah seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan dan seksyen 124 Kanun Keseksaan.

Namun peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Haris semalam berkata tidak dimaklumkan tentang “kenyataan menghasut” yang dikatakan dibuat oleh anak guamnya ataupun kedua-dua mereka yang ditahan.
Ketiga-tiga dipercayai ditahan kerana pengelibatan dalam sebuah forum pada 13 Mei terhadap keputusan pilihan raya umum lalu.

FBI tembak mati suspek bom Boston

ORLANDO - Seorang suspek serangan bom di kejohanan maraton Boston, Amerika Syarikat pertengahan April lalu, dilaporkan terbunuh selepas ditembak pegawai Biro Siasatan Persekutuan (FBI) ketika disoal siasat, kelmarin.

Tersalah langkah, penyamun maut ditembak koperal

PETALING JAYA - Hajat seorang penyamun melarikan sebuah kereta Perodua Myvi berakhir selepas suspek mati ditembak pemiliknya yang merupakan seorang anggota polis berpangkat koperal.

Dalam kejadian sebelum jam 4 pagi tadi di hadapan Bank CIMB Damansara Utama itu, suspek yang bersenjatakan pisau pemotong daging meminta anggota polis itu menyerahkan telefon bimbit, wang tunai dan kunci kereta.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, suspek yang memakai topi keledar terlebih dahulu meletakkan parang dileher anggota polis berkenaan yang ketika itu mahu mendepositkan wang ke dalam mesin.

Menurut beliau, bimbang dicederakan mangsa yang ketika itu berpakaian biasa menyerahkan barangan berharga seperti yang diminta oleh suspek.

SPR: Tindakan pemuda cuba undi dua kali makan diri...

Datuk Wan Ahmad Wan Omar
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata tindakan seorang pemuda dari Kuantan yang cuba memperlekeh sistem pilihan raya dengan keluar mengundi dua kali, memakan diri apabila lelaki itu boleh dikenakan hukuman di bawah Akta Pilihan Raya.
  
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata pemuda itu jelas melanggar dua kesalahan iaitu cubaan mengundi dua kali dan membawa keluar kertas undi yang boleh membawa hukuman penjara, denda dan hilang hak mengundi selama lima tahun, jika disabit kesalahan.
  
"Saya cukup kasihan dengan budak itu, dia rasa perbuatan dia begitu berani dan seronok sedangkan dia tidak sedar dia diperalatkan oleh orang politik.
  
"Kalaupun dia menyesal sudah tidak berguna, dia tidak boleh nafikan lagi kerana pengakuannya telah tercatit di bawah aduan polis...inilah akibatnya apabila hendak cuba menipu sistem pilihan raya," katanya.
  

Kereta dicuri berjaya ditemui

BALING - Seorang lelaki berusia lingkungan usia 40 tahun berjaya ditahan polis dipercayai terlibat dalam kes kecurian kereta di Tasik Gelugor, Pulau Pinang.

23 May 2013

KDN rampas tabloid Suara Keadilan, Harakah, The Rocket

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 2,540 akhbar tabloid pembangkang dalam operasi di seluruh negara semalam kerana melanggar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (Pindaan) 2012.
  
KDN dalam kenyataan hari ini berkata sebanyak 1,408 tabloid Suara Keadilan, 1,062 tabloid Harakah dan 70 tabloid The Rocket dirampas.
  
Rampasan itu dibuat setelah KDN mendapati pihak tabloid berkenaan gagal mematuhi syarat-syarat ditetapkan di bawah akta itu iaitu kesalahan untuk mencetak, mengimport, menerbit akhbar tanpa permit dan tidak mematuhi syarat-syarat permit iaitu untuk edaran ahli sahaja seperti yang ditetapkan KDN.
  
"Operasi penguatkuasaan ini dijalankan di premis-premis yang menjual tabloid di seluruh negara pada 22 Mei dengan mengambil kira tindakan pemantauan dan teguran yang telah dilakukan oleh KDN sebelum ini," kata kenyataan itu.
  
Kenyataan itu berkata operasi akan dilakukan secara berterusan bertujuan menguatkuasakan undang-undang di bawah akta berkenaan bagi memastikan semua pihak tidak melanggar akta itu.  - Bernama

'Patologis sahkan Dharmendran meninggal akibat pukulan'

Perunding patologi daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam mengesahkan bahawa tahanan polis N Dharmendran meninggal dunia akibat "kegagalan fungsi kecederaan tisu lembut akibat pukulan ke badan".

Perkara itu dinyatakan oleh Dr Siew Sheue Feng kepada keluarga Dharmendran, peguam N Surendran dan Latheefa Koya serta pegawai penyiasat polis di bilik mayat HKL malam tadi.

Menurut Surendran, ahli patologi itu juga menjumpai luka yang masih baru yang didakwanya membuktikan Dharmendran dipukul dan didera dengan teruk sehingga mati ketika dalam tahanan.

Surendran juga berkata, berdasarkan kesan di badan, doktor itu juga mendapati terdapat penggunaan rotan di bahagian belakang si mati.

Laporan penuh akan diselesaikan dalam tempoh beberapa hari, katanya yang juga naib presiden PKR dan anggota Parlimen Padang Serai. - Malaysiakini

Pengarah Tabung Haji mengaku tidak bersalah tuduhan khalwat

Pengarah Tabung Haji Pulau Pinang Rozimin Ahamed  Kamil dan seorang staf wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah di Balik Pulau hari ini atas tuduhan berkhalwat.
  
Rozimin, 46, dan Nor Hamiza Ahmad, 35, dituduh melakukan kesalahan itu di bilik bernombor 328C di sebuah hotel di Kompleks Tabung Haji di Bayan Lepas pada kira-kira jam 6.10 petang 20 Mei lepas.
  
Rozimin dituduh mengikut Seksyen 27 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 manakala Nor Hamiza mengikut Seksyen 27 (b) enakmen sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.
  
Hakim Syarie Mohamed Zaidi Abdullah membenarkan kedua-duanya, masing-masing diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Jun untuk sebutan semula kes.
  
Kedua-dua mereka diwakili peguam Wan Faridulhadi Mohd Yusoff manakala pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Mohd Zulkhairi Aziz. - Bernama

Pathmanabhan dan 3 pekerja dihukum mati

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini mendapati bekas peguam N Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya bersalah membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain tiga tahun lepas, dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati.
   
Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan sedemikian selepas berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
   
Pathmanabhan serta tiga pekerja ladang iaitu T. Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Kathavarayan didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32,
dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
   

22 May 2013

'Tak suka sistem p'raya, duduk dalam hutan'

Timbalan Pengerusi Perhubungan BN Selangor Datuk Seri Noh Omar menyokong kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung gesaan berpindah ke negara lain jika tidak puas hati dengan sistem pilihan raya sedia ada.

Noh (kiri) yang menyifatkan pembangkang sebagai melampaui batas turut berkata, individu yang tidak suka dengan sistem pilihan raya negara ini sewajarnya "duduk di dalam hutan".

"Pembangkang nampaknya sudah melampaui batas dan tak hormati perlembagaan dan tatasusila. Saya secara peribadi menyokong penuh kenyataan Datuk Zahid.

"Hanya orang duduk dalam hutan.... Tak mahu ikut undang-undang, duduk dalam hutan," katanya kepada pemberita selepas majlis serah tugas kepada menteri pertanian dan asas tani yang baru Datuk Seri Ismail Sabri.

Bukan sekarang pun kita sedang duduk dalam hutan (undang-undang rimba - yang kuat secara terang-terang salah guna kuasa).

Penggabungan selesai sebulan

PUTRAJAYA 21 Mei - Proses penyeragaman struktur Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang digabungkan di bawah satu kementerian dan akan dikenali sebagai Kementerian Pendidikan dijangka selesai dalam tempoh sebulan lagi. 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, proses tersebut bertujuan meningkatkan lagi kualiti pengajaran dan pembelajaran dalam sistem pendidikan di negara ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, cadangan menamakan kementerian yang menggabungkan dua entiti itu sebagai Kementerian Pendidikan akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tempoh terdekat ini.

21 May 2013

Menteri, ADUN Sarawak dapat kenaikan gaji

KUCHING, 21 Mei — Gaji bulanan ketua menteri, timbalan ketua menteri, menteri, pembantu menteri dan anggota dewan undangan negeri Sarawak akan naik sebanyak kira-kira tiga kali ganda di bawah rang undang-undang yang diluluskan hari ini oleh Dewan Undangan Negeri (DUN).

PKR dakwa pegawai SPR buka beg kertas undi

Seorang pemimpin cabang Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendakwa pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya membuka beg mengandungi kertas undi yang disimpan di pejabat jajahan di Ketereh, Kelantan dalam kejadian pada 7 Mei tanpa kebenaran dari Mahkamah Tinggi.

Ketua AMK Ketereh Mohd Sukirman Mustafa memberitahu Malaysiakini, beberapa orang anggota parti dan orang awam membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada 16 Mei.

Menurut Sukirman, pegawai SPR hadir bersama anggota polis dan mendakwa memperolehi arahan dari pegawai atasan untuk berbuat demikian, walau peraturan pilihan raya menetapkan bahawa beg kertas undi hanya boleh dibukan dengan perintah Mahkamah Tinggi.

Jangan main api dengan saya, Zahid memberi amaran kepada portal berita

PUTRAJAYA, 20 Mei — Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberi amaran kepada portal berita Malaysiakini supaya lebih bertanggungjawab dalam menyiarkan berita.

Beliau berkata portal berita itu perlu berpegang kepada etika kewartawanan tanpa memutarbelitkan berita atau kenyataan asal menjadi kontroversi.

“Anda (wartawan Malaysiakini) selalu putar belitkan kenyataan, selalu sangat. Perkara yang tak ada anda buat ada, anda tulis elok-elok.

“Saya pantau setiap perkataan, ayat, perenggan, setiap berita di Malaysiakini. Anda jangan main api dengan saya. Anda selalu putar belit.

Tiga bebas tuduhan galak keganasan di Syria

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini melepas serta membebaskan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Yazid Sufaat dan dua individu lain daripada pertuduhan terlibat dalam aktiviti menggalakkan keganasan di Syria.
  
Hakim Kamardin Hashim membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan
Yazid, Halimah Hussein dan Muhammad Hilmi Hasim untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapi mereka.
  
"Mahkamah dengan jelas dan nyata menggunakan budi bicara sedia ada untuk
membenarkan notis usul ketiga-tiga pemohon dibatalkan, atau diketepikan, atau digantung selama-lamanya, dan memerintahkan mereka dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan," katanya.
  
Dalam penghakimannya, Kamardin berkata mahkamah berpuas hati terdapat merit
dalam hujahan peguam berhubung isu pertuduhan dan pemakaian Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang digubal mengikut Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.