Advertisement










Nur Kasih
Radio 24
Watch 360 Tv3
Download Nasyid
MalaysiakiniTv
Filem Indonesia
Berita Kereta

9:33 PM, Saturday, November 21, 2009

Ketua kumpulan Berong mati ditembak polis

SUBANG JAYA 20 Nov. - Seorang penjenayah warga asing yang juga ketua kumpulan Berong dan diburu kerana terlibat dalam lebih 30 kes samun bersenjata di Selangor sejak dua tahun lalu, mati ditembak oleh polis di Subang Bestari di sini malam ini.

Dalam kejadian pukul 8 malam itu, kenderaan dinaiki suspek yang dikenali sebagai Herry Berong, 48, bertembung dengan kereta peronda polis sebelum berbalas tembakan berdekatan sebuah bank di Sri Damansara.

Polis pernah melumpuhkan kumpulan penjenayah warga asing itu dua tahun lalu tetapi suspek utama tersebut dapat meloloskan diri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Hasnan Hassan berkata, suspek yang menaiki kereta Proton Waja bertindak melarikan diri menghala ke arah Shah Alam setelah menyedari kehadiran polis.

Menurutnya, sebaik tiba di selekoh Subang Bestari, polis cuba menghalang kenderaan suspek bagaimanapun dia melepaskan satu das tembakan ke arah polis.

"Bagi mempertahankan diri, pihak polis melepaskan dua das tembakan dan mengenai dada suspek mati di tempat kejadian," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, Hasnan memberitahu, siasatan awal polis menemui sepucuk pistol 0.32 milimeter dan tiga bilah parang di dalam kenderaan suspek.

"Suspek dipercayai cuba melakukan jenayah dengan mencari mangsa di sekitar bank di Sri Damansara terbabit.

"Polis mengesahkan kenderaan yang dinaiki suspek merupakan kereta curi berdasarkan nombor plat palsu dan dilaporkan hilang Mei lalu di Desa Jaya," katanya.

Beliau memberitahu, modus operandi kumpulan Berong ialah menyamun mangsa yang baru keluar dari bank.

"Suspek akan melakukan jenayah secara berkumpulan dan melanggar kereta mangsa sebelum menyamun menggunakan pistol dan terdapat beberapa mangsa yang dicederakan," katanya.

Tambahnya, polis kini melancarkan operasi memburu lima atau enam orang lagi saki baki kumpulan itu. - Utusan

Penahan anggota UMNO bukti SPRM adil

JOHOR BAHRU 21 Nov — Penahanan enam anggota Pemuda Umno Bahagian Kota Tinggi semalam membuktikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam menjalankan tugas mereka, kata Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman.

Beliau berkata tindakan itu sekali gus bercanggah dengan dakwaan sesetengah pihak terutamanya parti pembangkang yang mendakwa SPRM lebih memihak kepada parti pemerintah.

"Saya percaya SPRM tidak memihak mana-mana orang, sesiapa yang didapati terlibat dengan amalan rasuah akan diambil tindakan sama ada daripada pembangkang ataupun parti kerajaan,” katanya selepas merasmikan pembukaan Hospital Pakar Regency di Seri Alam, Masai di sini hari ini.

Menjawab satu soalan, Abdul Ghani yang juga Ketua Perhubungan Umno Johor berkata Ketua Bahagian Umno Kota Tinggi Datuk Seri Syed Hamid Albar belum memaklumkan perkara itu kepada beliau.

Abdul Ghani berkata Umno Johor menyerahkan kepada SPRM untuk menyiasat kes berkenaan.

Semalam, SPRM menahan enam anggota Pemuda Umno bahagian Kota Tinggi atas dakwaan rasuah.

Mereka didakwa cuba menawarkan rasuah kepada tiga daripada 18 bekas anggota jawatankuasa bahagian itu yang meletakkan jawatan Ahad lepas berikutan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan ketua pemudanya.

Ekoran peletakan jawatan beramai-ramai itu suspek dipercayai cuba berunding dengan seorang bekas anggota jawatankuasa sayap itu bagi mengelakkan pemilihan untuk sayap itu diadakan.

Keenam-enam suspek berusia antara 30 dan 40 tahun, ditahan pada pukul 2 pagi di rumah bekas anggota jawatankuasa sayap itu selepas didakwa cuba memujuknya agar menarik semula peletakan jawatannya dengan menawarkan RM40,000.

— BERNAMA

* Tahan ikan bilis sahaja.

200 laman web pro al-Qaeda dikesan

RIYADH 20 Nov. - Bilangan laman web berbahasa Inggeris yang semakin banyak, kini berperanan menyebarkan mesej al-Qaeda kepada golongan Islam di Barat.

Mereka menterjemah laporan yang khutbah yang dahulunya tidak boleh dibaca pembaca Inggeris dan sering memaparkan ulama berkarisma seperti Anwar al-Awlaki, yang telah membalas berpuluh-puluh e-mel dengan pakar sakit jiwa tentera Amerika Syarikat (AS) yang dituduh terlibat dengan insiden tembakan di pangkalan tentera Fort Hood di Texas.

Al-Awlaki yang dilahirkan di AS telah menjadi sumber inspirasi kepada beberapa militan yang ditahan di AS dan Kanada dalam masa beberapa tahun lalu, dengan laman web berasaskan khutbahnya sering dikesan di komputer mereka.

"Isunya adalah anda tidak perlu menjadi sebahagian daripada al-Qaeda secara rasmi untuk menyebarkan pandangan bersifat kebencian dan sempit.

"Jika anda lihat kepada dokumen paling berpengaruh berhubung kes-kes keganasan di negara sendiri, ia bukanlah manual latihan tentang pembuatan bom.

"Dokumen paling berpengaruh adalah laporan yang ditulis penasihat teologi, sesetengah daripadanya bukanlah anggota rasmi al-Qaeda,'' kata Evan Kohlmann, penyiasat kanan di Yayasan Nine Eleven Finding Answers (NEFA) di New York yang menjalankan kajian terhadap militan.

Kebanyakan laman web radikal Islam bukan dikendalikan oleh al-Qaeda, namun mereka menyediakan alat berkuasa itu bagi menimbulkan perasaan simpati terhadap perjuangan jihad atau perang menentang AS, menurut pakar yang mengesan aktiviti tersebut.

Bilangan laman web berbahasa Inggeris yang menyokong al-Qaeda meningkat daripada 30 buah sejak tujuh tahun lalu kepada 200 baru-baru ini, kata Abdulmanam Almushawah, ketua program kerajaan Arab Saudi yang dinamakan Assakeena, yang berperanan menghapuskan laman web militan itu.

Sebagai perbandingan, laman web radikal berbahasa Arab jatuh kepada kira-kira 50 sahaja berbanding 1,000 tujuh tahun lalu ekoran usaha kerajaan di seluruh dunia yang menghapuskannya.

Al-Qaeda telah lama berusaha untuk menarik perhatian pengikutnya di Barat. Mesej rakaman video daripada pemimpinnya, Osama Ladendan timbalannya, Ayman al-Zawahri, biasanya disertakan dengan sari kata bahasa Inggeris. - AP

Anwar tidak mampu berdepan Nallakarupan di mahkamah

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa tidak mampu berdepan dengan bekas rakan baiknya, Datuk S. Nallakarupan di mahkamah dalam isu menerima duit RM60 juta daripada sebuah syarikat perjudian.

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd. Nor berkata, sehubungan itu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut menggunakan peguam untuk meminta bukti bagi melengah-lengahkan perjalanan kes .

Katanya, ini taktik biasa Anwar dengan memanipulasikan setiap ruang teknikal yang boleh memberi keuntungan kepadanya.

"Ini bukan untuk cari kebenaran tapi taktik nak lari daripada Nallakaruppan.

"Saya pelik kerana dia penasihat PKR yang kononnya berjuang mencari keadilan tapi dia sendiri yang cuba melengah-lengahkan keadilan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Nallakarupan membekalkan butiran terperinci berhubung dakwaan bahawa Anwar menerima wang RM60 juta daripada syarikat perjudian, Magnum Corporation Bhd. (Magnum).

Antara butiran yang perlu diserahkan dalam masa 14 hari itu ialah tarikh transaksi RM60 juta dibuat, siapa yang memberikannya dan tempat duit itu diserahkan.

Sementara itu, Ezam mendakwa tindakan Anwar menyaman Nallakrupan juga bukan untuk mencari kebenaran sebaliknya untuk mengelak daripada bersemuka secara politik.

Katanya, dakwaan Nallakarupan itu satu cabaran berbentuk politik dan Anwar juga wajar menjawabnya melalui saluran yang sama.

"Bagi kita Nallakarupan membuat satu cabaran politik, kenapa nak dialihkan kepada pertarungan undang-undang, adakah dia tidak berani bersemuka?

"Anwar tidak mahu jawab sebab dia tahu Nallakarupan akan lawan habis-habisan, dari segi politik dia tahu banyak mengenai Anwar, Azizah (Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail) dan Azmin (Naib Presiden PKR, Azmin Ali)," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, sebelum menyaman Nallakaruppan, Anwar satu ketika dahulu telah menyaman bekas Timbalan Presiden, Dr. Chandra Muzaffar kerana membuat kenyataan politik bahawa negara akan huru hara jika beliau menjadi Perdana Menteri.

Seperti kebiasaan, kata Ezam, kes itu belum ada perkembangan dan beliau percaya saman Anwar terhadap Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Luar, Datuk Anifah Aman juga akan dilengah-lengahkan.-Utusan

* Serah sahajalah butiran itu. Mengapa Ezam takut sangat?

Agihan pendapatan ASN3 5.50 sen seunit

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Permodalan Nasional Bhd. (PNB) hari ini mengumumkan agihan pendapatan Amanah Saham Nasional Imbang atau ASN3 sebanyak 5.50 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir pada 30 November 2009.

Pengerusinya, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, pengagihan itu membabitkan peruntukan pembayaran berjumlah RM6.92 juta.

Sehingga 19 November lalu, nilai aset bersih (NAB) ASN3 adalah RM1.0729 seunit.

Katanya, kadar hasil agihan yang diperoleh para pemegang unit berdasarkan kadar pengagihan pendapatan sebanyak 5.50 sen itu adalah sebanyak 5.40 peratus dan pulangan harga ASN3 bagi tempoh yang sama adalah sebanyak 16.44 peratus.

Oleh itu, berdasarkan kenaikan NAB ASN3 daripada RM0.8742 seunit kepada RM1.0729 seunit, jumlah pulangan yang dicatatkan oleh dana amanah ini adalah sebanyak 22.73 peratus.

''Dengan prestasi ini, ASN3 telah mencapai objektif pelaburan seperti yang terkandung dalam Prospektus Induk,'' kata beliau dalam sidang akhbar untuk mengumumkan prestasi ASN3 di sini hari ini.

Menurut Ahmad Sarji, sehingga 19 November lalu, ASN3 meraih pendapatan kasar sebanyak RM7.94 juta, naik 13.27 peratus berbanding RM7.01 juta yang dicatat pada tahun kewangan lalu.

Pendapatan dividen menyumbang RM2.17 juta atau 27.33 peratus manakala pendapatan daripada penjualan pelaburan adalah sebanyak RM3.9 juta atau 49.24 peratus.

Lain-lain pendapatan menyumbang sebanyak RM1.86 juta atau 23.43 peratus daripada pendapatan kasar tersebut.

Pengiraan agihan pendapatan adalah berdasarkan pegangan unit pada 30 November 2009 iaitu hari terakhir tahun kewangan ASN3. Jumlah agihan pendapatan akan dilabur semula dalam bentuk unit secara automatik berdasarkan NAB pada 30 November ini.

Bagi pemegang unit yang melanggan ASN3 melalui Skim Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pembayaran akan dikreditkan ke dalam akaun pelaburan.

Presiden dan Ketua Eksekutif, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman pula berkata, berdasarkan prestasi ASN3, PNB berkemampuan memberikan agihan pendapatan sebanyak 12.1 sen tetapi membawa 6.6 sen ke hadapan.

''Prestasi agihan pendapatan ini setanding dengan pasaran,'' katanya.

Para pemegang unit ASN3 boleh mula mengemaskini buku pelaburan ASN3 masing-masing di ibu pejabat atau pejabat-pejabat ejen Amanah Saham Nasional Bhd. mulai 1 Disember ini.

Sehingga 19 November lalu, sejumlah 125.5 juta unit ASN3 telah dilanggan melibatkan 11,000 pemegang unit.- Utusan
  ADVERTISEMENT


LUAR NEGERI