PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memulakan
kajian semula persempadanan pilihan raya di negara ini menjelang akhir
tahun ini dan memberi jaminan kepada orang ramai akan ia akan dijalankan
dengan penuh telus.
Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata pihaknya akan
memaparkan draf persempadanan semula kepada orang ramai untuk pengundi
berdaftar, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk
mengemukakan pandangan dan bantahan mereka sebelum menyerahkan laporan
akhir kepada Dewan Rakyat untuk kelulusan.
"Perkara ini akan dijalankan dengan penuh ketelusan sebelum dibawa ke
Parlimen untuk dibahaskan, jadi tidak ada persoalan pihak kita cuba
untuk menyembunyikan apa-apa daripada orang ramai," kata Wan Ahmad
ketika dihubungi.
Beliau berkata mana-mana cadangan persempadanan semula sempadan
kawasan pilihan raya memerlukan kelulusan majoriti mudah di 222 kerusi
Dewan Rakyat.
Pembentukan mana-mana kawasan pilihan raya baru memerlukan sokongan dua pertiga.
Ditanya sama ada kawasan pilihan raya baru akan diwujudkan, beliau
berkata: "Secara logiknya, perlu ada lebih banyak kerusi kerana terdapat
begitu ramai pengundi baru sejak pilihan raya umum ke-12."
Menurut Perlembagaan Persekutuan Perkara 113 (2)(ii) persempadanan
semula kawasan pilihan raya boleh dibuat dalam tempoh tidak kurang
daripada lapan tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun daripada siapnya
kajian sebelumnya.
Wan Ahmad berkata Perlembagaan Persekutuan memberi maksimum dua tahun bagi suruhanjaya itu untuk melengkapkan kajian.
Persempadanan semula terakhir dilakukan adalah pada 2003 dan
persempadanan semula sepatutnya dibuat pada 2011 tetapi SPR telah
menangguhkannya sehingga pilihan raya umum ke-13 selesai.
Menjawab dakwaan bahawa SPR akan cuba menggerimander kawasan pilihan
raya agar ia memihak kepada Barisan Nasional, Wan Ahmad berkata: "Ramai
orang yang tidak tahu bagaimana kajian dijalankan dan hanya percaya
dengan beberapa parti politik yang menuduh kami tidak menjalankan tugas
mengikut undang-undang."
Mengenai kenapa kawasan bandar kecil mempunyai lebih ramai pengundi
daripada kerusi luar bandar yang besar, Wan Ahmad berkata ia adalah
untuk memastikan bahawa semua pengundi di kawasan separa bandar dan luar
bandar bandar mempunyai akses yang munasabah terhadap perkhidmatan oleh
wakil-wakil rakyat mereka dan majlis-majlis tempatan.
Sebagai contoh, Wan Ahmad berkata kawasan Parlimen Puchong mempunyai
107,010 pengundi tetapi penduduk dapat menikmati akses yang baik kepada
perkhidmatan dan wakil rakyat boleh bergerak di seluruh kawasan pilihan
raya dalam tempoh beberapa jam dengan kenderaan.
Kawasan pilihan raya di Parlimen Silam di Sabah, dari sisi lain pula
hanya mempunyai 51,662 pengundi tetapi kawasannya adalah jauh dan besar
seperti Negeri Sembilan dan Melaka yang digabungkan, katanya.
"Bagi memastikan kewajaran pengundi yang sama, kita perlu untuk
memperluaskan sempadan Silam lebih jauh dan ini tidak adil kepada
pengundi kerana ia akan membuatkan lebih sukar bagi mereka untuk
mendapatkan perkhidmatan daripada wakil-wakil rakyat dan majlis
tempatan," kata Wan Ahmad.
Mengenai kenapa Putrajaya hanya mempunyai 15,791 pengundi dan
dianggap sebagai kawasan Parlimen tunggal manakala kawasan sekitarnya
mempunyai lebih pengundi, Wan Ahmad berkata: "Ini adalah kerana kawasan
Putrajaya telah ditubuhkan bukan oleh perangkaan sempadan semula tetapi
oleh Akta Parlimen berikutan penubuhan pusat pentadbiran.
"Oleh itu, adalah tidak mungkin untuk menggabungkan Putrajaya dengan mana-mana kawasan Parlimen jiran."
Sementara itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata,
ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak akan menyokong perangkaan semula
sempadan pilihan raya walaupun majoriti dua pertiga tidak diperlukan
untuk menjalankannya (melainkan jika ia melibatkan penciptaan kawasan
baru).
Beliau mendakwa SPR telah hilang kredibiliti dan bersubahat dalam
penipuan pilihan raya, dan oleh itu, Pakatan Rakyat tidak mengiktiraf
legitimasinya. - Mstar
Rakyat desak media yang adil.