Setakat ini harga kereta diketahui tinggi. Harga terendah Honda City,
umpamanya adalah RM83,219.50, Toyota Vios model 1300cc berharga
RM72,417.50.
Bagi kereta buatan Malaysia seperti Proton dan Perodua pula, harga yang
ditawarkan adalah RM24,924.30 bagi model Perodua Viva 660cc.
Untuk Proton pula, harga terendah yang ditawarkan adalah model Saga FLX 1300cc iaitu RM35,333.65.
Harga ditawarkan ini sukar untuk dimiliki oleh keluarga berpendapatan
rendah, terutama yang kos saraan hidup yang tinggi seperti mempunyai
pendapatan kurang dari pada RM1500 sebulan.
Golongan muda juga antara yang terbeban akibat harga kenderaan yang
tinggi kerana belum ada pendapatan stabil dan hutang Perbadanan Tabung
Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN).
Sebelum PRU13, BN dan PR berjanji hendak turunkan harga kereta. Namun mekanisme yang mana antara BN dan PR yang lebih efektif?
SUSULAN manifesto BN dan PR yang menjanjikan penurunan harga kereta, pelbagai spekulasi dibuat selepas berakhirnya PRU13.
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, usaha menurunkan harga
kereta bukan sesuatu yang susah kerana kerajaan hanya perlu menghapuskan
cukai eksais.
Katanya, langkah yang dibuat kerajaan sekarang menekan pembuat dan penjual kereta.
PR, katanya, menawarkan cara sesuai, iaitu dengan menghapuskan cukai eksais.
Sebagai contoh, bagi kereta Perodua Myvi, cukai kereta yang dikenakan
adalah 85 peratus iaitu 75 peratus cukai eksais dan 10 peratus cukai
jualan.
Ini bermaksud, jumlah cukai yang dikutip kerajaan bagi sebuah kereta
Perodua Myvi adalah RM21,140 dari harga yang dikenakan kepada pengguna,
iaitu RM46,000.
Tanpa cukai eksais, ia akan kurangkan harga kereta kerana cukai yang dikenakan adalah hampir sama dengan harga kereta.
Sementara Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri
Mustapa Mohamed pula berkata, kerajaan akan mengurangkan harga kereta
secara berperingkat-peringkat sehingga 2017.
Sejak Oktober tahun lalu, harga 10 model kereta popular di negara ini telah menurun 7.3 peratus purata.
Beliau berkata, pengurangan harga itu adalah hasil proses pasaran yang
mana terdapat peningkatan kecekapan dan persaingan di kalangan pemain
industri automotif.
Menurutnya, usaha pengurangan harga kereta haruslah dilaksanakan secara
berhemah dan tersusun supaya tidak menjejaskan pertumbuhan industri dan
peluang pekerjaan.
Kerajaan juga berbincang dengan syarikat-syarikat pembuat kereta dan
satu Rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas atau FTA bakal dilaksanakan
serta faedah-faedah akan diperkenal kepada pengguna.
Soalannya, bilakah proses penurunan ini akan bermula?
Apakah pada Jun atau Julai depan atau pada Januari 2014?
Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema)
menggesa kerajaan umumkan mekanisme penurunan harga kereta dalam masa
terdekat.
Presidennya, Datuk Zainuddin Abdul Rahman berkata, struktur cadangan masih samar-samar.
Menurutnya, kelewatan pihak berwajib mengumumkan mekanisme menurunkan
harga kereta telah memberi impak kepada pasaran automotif yang kini
mengalami penyusutan disebabkan pembeli tunggu dan lihat.
Namun, sekiranya dinilai secara rasional, pelaksanaan penurunan harga
kereta ini, dapat dilaksanakan, ianya mampu untuk mengurangkan beban
kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana, terutama di kawasan
bandar. - SH
Keselamatan rakyat patut menjadi agenda paling utama. Mengapa sampai hati biar rakyat naik motosikal yang menyumbang utama kematian (ngeri).