Pengarah Tabung Haji Pulau Pinang Rozimin Ahamed Kamil dan seorang staf
wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah di Balik Pulau
hari ini atas tuduhan berkhalwat.
Rozimin, 46, dan Nor
Hamiza Ahmad, 35, dituduh melakukan kesalahan itu di bilik bernombor
328C di sebuah hotel di Kompleks Tabung Haji di Bayan Lepas pada
kira-kira jam 6.10 petang 20 Mei lepas.
Rozimin dituduh
mengikut Seksyen 27 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang
1996 manakala Nor Hamiza mengikut Seksyen 27 (b) enakmen sama yang
memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara maksimum
dua tahun atau kedua-duanya.
Hakim Syarie Mohamed Zaidi
Abdullah membenarkan kedua-duanya, masing-masing diikat jamin RM1,500
dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Jun untuk sebutan semula kes.
Kedua-dua
mereka diwakili peguam Wan Faridulhadi Mohd Yusoff manakala pendakwaan
dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Mohd Zulkhairi Aziz. - Bernama