KUALA LUMPUR - Seorang anak bekas timbalan menteri hari ini mengaku
tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menggunakan
dokumen palsu berhubung pelaksanaan projek pembinaan jalan di Batu
Pahat, Johor.
Mohd Nizam Lajim, 31, didakwa dengan curangnya telah menggunakan suatu
dokumen sebagai tulen iaitu sekeping lampiran bertarikh 25 Julai 2012,
yang bertajuk "Senarai Syarikat Yang Dicadangkan Untuk Melaksanakan
Projek Membina Jalan Mukim 6 Linau dan Mukim 7, Tg. Semberong, Batu
Pahat, Johor Secara Tender Terhad" yang diperakukan oleh Menteri
Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Syarikat yang disenaraikan ialah Moral Bahagia Sdn Bhd, Prestasi Reka
Sdn Bhd, Satria Mara Sdn Bhd, Sanjung Sempurna Sdn Bhd, Pertama Makmur
Sdn Bhd, Mansashi Sdn Bhd, H & A Construction Sdn Bhd, Nisa
Consolidated Sdn Bhd, Bina-Mas Construction Sdn Bhd dan Landscape Sdn
Bhd.
Anak kepada bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan
Datuk Seri Lajim Ukin itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di
Berjaya Starbucks Coffee, Lot No G40, The Mall, No 100, Jalan Putra
dekat sini pada 3.40 petang, 8 Ogos 2012.
Dia dituduh mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di
bawah Seksyen 465 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum
dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Afifah Mamat@Yusof daripada
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon jaminan RM50,000
dengan seorang penjamin atas alasan kes itu berprofil tinggi selain
memohon tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Peguam Datuk K. Kumarendran yang mewakili tertuduh memohon jaminan
dikurangkan kepada RM10,000 kerana anak guamnya itu memberi kerjasama
penuh kepada SPRM sejak kesnya disiasat pada Ogos tahun lepas.
Beliau turut memaklumkan anak guamnya itu datang secara sukarela ke mahkamah pada hari ini.
Hakim Rosbiahanin Arifin membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000
dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasport diserahkan kepada
mahkamah.
Mahkamah menetapkan 25 Jun ini untuk pengurusan kes. - Bernama
Jalan tidak siap atau bapa masuk PKR?