Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy mengecam
tindakan yang dianggap ringan terhadap anggota polis yang sedang
disiasat berhubung kematian N Dharmendran dalam tahanan, dengan berkata
langkah itu hanya akan menjejaskan kepercayaan rakyat kepada pasukan
tersebut.
Sambil menegaskan bahawa kes pembunuhan merupakan suatu
kesalahan
tidak boleh dijamin, Waythamoorthy (kiri) berkata, empat anggota polis
berkenaan sepatutnya telah digantung tugas dan ditahan reman sehingga
siasatan selesai, dan bukan hanya ditugaskan melakukan kerja pejabat.
Beliau
berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini atas
sifatnya sebagai Pengerusi Persatuan Hindraf Malaysia (Hindraf).
"Undang-undang
adalah sama bagi anggota polis serta orang awam. Oleh itu apa-apa
tindakan yang kurang, hanya akan terus mengecewakan orang ramai kerana
amalan dwi-standard terhadap anggota polis dengan kekebalan secara
terang-terangan diberikan kepada mereka.
"Tindakan yang tidak
berkesan seperti ini oleh pegawai atasan mereka dalam pasukan polis
hanya akan terus merendahkan keyakinan orang ramai terhadap pasukan
polis dan integriti mereka dalam menjalankan tanggungjawab mereka untuk
kepentingan awam," kata kenyataan itu.
Waythamoorthy juga
mempersoalkan bagaimana polis hendak mengharapkan untuk memulihkan
keyakinan orang ramai terhadap "profesionalisme, kecekapan dan
keberkesanan" mereka dalam mengurangkan jenayah, jika mereka tidak dapat
mengambil tindakan tegas terhadap anggota polis yang disyaki.
Tambahnya, tindakan seumpama itu mencerminkan kurangnya rasa
hormat pihak polis terhadap "hak asasi dan nilai kehidupan manusia", seperti yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan.
Tindakan
memastikan tiada lagi kematian dalam tahanan di kalangan kaum India,
adalah antara tuntutan Hindraf apabila menandatangani perjanjian
bersejarah dengan BN yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Abdul Razak pada bulan April, satu langkah yang menyebabkannya menjadi
sasaran kritikan. - Malaysiakini