Siri-siri himpunan rakyat selepas pilihan raya umum berlangsung bukan
satu usaha untuk menumbangkan kerajaan, kata jurucakap NGO Lawyers for
Liberty, Michelle Yesudas.
Sebaliknya, tegas Yesudas, ia adalah
satu wadah rakyat untuk menyampaikan suara mereka secara kolektif kepada
kerajaan selepas menyedari terdapat jurang komunikasi di antara rakyat
dan pihak berkuasa.
"Himpunan-himpunan ini memberi kesedaran bahawa kita sebenarnya boleh bersama merapatkan jurang sesama kita.
"Ia
bukan bertujuan menumbangkan kerajaan. Ia adalah cara kita menyusun
diri kita sendiri," kata Yesudas dalam sidang media pertubuhan
masyarakat sivil di Kuala Lumpur pagi tadi.
Beliau mengulas
mengenai himpunan Blackout 505 dan juga himpunan nyalaan lilin yang
diadakan bagi membantah siri penangkapan dan pendakwaan terhadap aktivis
dan pemimpin politik Pakatan Rakyat baru-baru ini.
Semalam enam
pemimpin Pakatan didakwa di mahkamah mengikut Akta Perhimpunan Aman
2012 berhubung dakwaan penglibatan mereka dalam perhimpunan 'Blackout
505' kerana didakwa gagal memaklumkan polis dalam tempoh 10 hari sebelum
menganjurkan perhimpunan itu.
Bercakap
dalam sidang media sama, Pengarah NGO Tenaganita, Irene Fernandez
mempersoalkan pendakwaan ke atas individu yangmenganjurkan himpunan itu.
Menurutnya,
pendakwaan tersebut mencabul hak asasi manusia berkaitan kebebasan
menyuarakan pendapat dan ia sepatutnya bersifat substantif dan bukan
berdasarkan perkara teknikal seperti tempoh masa penyerahan notis
himpunan.
"Kenapa guna Akta Perhimpunan Aman terhadap perkara yang sangat bersifat teknikal?
"Dalam perkara berkaitan hak asasi manusia, kita perlu meneliti perkara yang bersifat substantif.
"Gugurkan semua dakwaan itu kerana ia mencabul hak yang asasi dan sah menurut Perlembagaan," kata Fernandez. - Malaysiakini
Akses media tiada, apa lagi caranya.