Selepas dibebaskan Isnin lepas, bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam
Negeri (ISA) Yazid Sufaat dan pembantu kafeteria Muhammad Hilmi Hasim
sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang, kali ini atas
pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas Tanzim Al-Qaeda Malaysia.
Yazid,
49, pengusaha kafeteria di Kompleks Mahkamah Jalan Duta dan Muhammad
Hilmi, 33, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah beralamat DL
11, Taman Bukit Ampang, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya antara 1 Ogos 2012
dan 7 Februari lepas mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan (Akta 574)
yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh dikenakan denda,
jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan dicatat dan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman menetapkan 7 Jun ini untuk sebutan kes.
Sejurus
selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan, Yazid mempertikai pertuduhan
terhadapnya yang disifatkan 'pendakwaan dua kali' bagi kesalahan sama.
Timbalan
Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria membantah tindakan Yazid
namun peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili tertuduh berkata anak
guamnya mempunyai hak untuk bersuara.
Mohamad Hanafiah kemudian
memaklumkan pihaknya tidak menawarkan jaminan bagi kedua-dua tertuduh
kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin dan memohon mahkamah menetapkan
tarikh sebutan dalam tempoh dua minggu.
Amer Hamzah, yang turut
mewakili Muhammad Hilmi, pula memaklumkan terdapat pertindihan
berhubung tarikh dan tempat dalam pertuduhan terhadap kedua-dua anak
guamnya sebelum ini.
"Segala bantahan akan dikemukakan selepas kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi," katanya.
Pada
20 Mei lepas, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Yazid dan
Muhammad Hilmi serta Halimah Hussein daripada pertuduhan terlibat dalam
aktiviti menggalakkan keganasan di Syria.
Hakim Kamardin Hashim
membuat keputusan itu selepas berpuas hati terdapat merit dalam hujahan
peguam berhubung isu pertuduhan dan pemakaian Akta Kesalahan Keselamatan
(Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang digubal mengikut Perkara 149
Perlembagaan Persekutuan. - Bernama
Tekanan Amerika?