24 May 2013

Kereta dicuri berjaya ditemui

BALING - Seorang lelaki berusia lingkungan usia 40 tahun berjaya ditahan polis dipercayai terlibat dalam kes kecurian kereta di Tasik Gelugor, Pulau Pinang.


Lelaki terbabit dikesan oleh ahli Persatuan Prihatin dan Keselamatan Sukarela (PPKS) Baling ketika berdekatan sebuah bangunan bank di sini.

Jurucakap PPKS Baling, berkata, pihaknya mendapat maklumat berhubung lelaki terbabit yang ketika kejadian sedang mencuri besi di sebuah premis perniagaan di hadapan Jabatan Kerja Raya (JKR) Baling.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, polis mengesahkan nombor pendaftaran kereta yang dipandu lelaki terbabit merupakan kereta yang dicuri di Tasik Gelugor.

Sehubungan itu, gerakan mengesan suspek dilancarkan oleh PPKS seterusnya berjaya mengesan lelaki terbabit pada kira-kira jam 7.30 petang.

Kira-kira 50 anggota PPKS memantau ketat kedudukan lelaki berkenaan seterusnya memaklumkan kepada polis untuk tindakan seterusnya.

“Kita hanya mampu memantau kedudukan suspek, sebarang tindakan hanya boleh dilakukan oleh polis. PPKS hanya bertujuan membantu dan sama sekali tidak pernah membelakangkan undang-undang,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pihaknya juga sering memaklumkan kepada setiap ahli agar tidak mengambil tindakan melulu melainkan dengan arahan pihak polis.

Difahamkan, hasil pemeriksaan mendapati terdapat banyak barangan di dalam kereta suspek dipercayai barangan curi, manakala suspek telah dihantar ke Ibu Pejabat Polis Baling untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan mengesahkan kejadian tersebut.

PPKS merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertujuan membantu masyarakat tanpa melihat sebarang perbezaan agama, bangsa mahupun budaya.

Setakat ini, terdapat lebih dari 100 anggota PPKS terdiri daripada orang awam di sekitar daerah ini.

Setiap ahlinya terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kesemua mereka mempunyai kesedaran tinggi dalam keselamatan masyarakat di sini. - SH

Modul yang bagus dan boleh diperluas. Boleh dibubar jika polis mencapai kecekapan yang sewajarnya.