KUCHING, 21 Mei — Gaji bulanan ketua menteri, timbalan ketua menteri,
menteri, pembantu menteri dan anggota dewan undangan negeri Sarawak
akan naik sebanyak kira-kira tiga kali ganda di bawah rang undang-undang
yang diluluskan hari ini oleh Dewan Undangan Negeri (DUN).
Rang Undang-undang Anggota Pentadbiran dan Anggota Dewan Undangan
Negeri (Gaji, Pencen dan Gratuiti) 2013 juga memperuntukkan kenaikan
gaji untuk Speaker DUN, timbalan speaker dan setiausaha-setiausaha
politik.
Gaji untuk Ketua Menteri akan naik daripada RM13,000 kepada RM39,000;
Timbalan Ketua Menteri, RM11,500 kepada RM35,000; menteri kanan dan
speaker DUN RM9,000 kepada RM30,000; menteri, RM9,000 kepada RM27,000;
pembantu menteri dan timbalan speaker, RM7,000 kepada RM21,000; anggota
dewan undangan negeri, RM4,500 kepada RM15,000 dan setiausaha politik,
RM3,000 kepada RM9,000.
Rang undang-undang itu juga menetapkan kenaikan gaji itu berkuat kuasa dari 1 Jan tahun lepas.
Kali terakhir pindaan gaji dibuat ialah pada 1992. Menteri Kewangan
Kedua Datuk Seri Wong Soon Koh berkata semakan gaji itu dibuat berikutan
peningkatan jangkaan daripada rakyat.
"Sarawak adalah sebesar Semenanjung dan banyak Anggota Dewan Undangan
Negeri perlu menjaga kawasan yang luas terutama mereka yang berkhidmat
di kawasan luar bandar," katanya.
Wong berkata rang undang-undang baharu itu akan berkuat kuasa minggu
depan dan kenaikan gaji itu dijangka membabitkan RM17 juta daripada dana
negeri, termasuk bayaran tunggakan dari tahun lepas. — Bernama
Satu untuk kau, satu untuk aku, satu untuk kau...