31 May 2013

Polis cadang zon 'tanpa motosikal' bendung jenayah

Pihak polis akan mencadangkan kepada kerajaan persekutuan supaya mewujudkan zon tanpa motosikal di bandar-bandar besar dalam usaha untuk memerangi jenayah.

Dalam temu-bual dengan Astro Awani semalam, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata ini adalah antara beberapa langkah "drastik" yang dicadangkan untuk menangani masalah tersebut.

Menurutnya, 90 peratus jenayah jalanan dilakukan oleh penjenayah
bermotosikal.

Khalid berkata, strategi itu mungkin dilihat agak drastik tetapi tambahnya, jika ia boleh dilaksanakan di bandar besar di negara lain, mengapa ia tidak boleh dilaksanakan di sini.

Langkah itu, katanya, akan menjadikan masyarakat lebih selamat, supaya orang ramai boleh meneruskan aktiviti mereka tanpa gangguan penjenayah bermotosikal.

Katanya, kawasan-kawasan terbabit akan digelar sebagai "zon selamat".

Satu lagi cadangan, tegas Khalid, ialah nombor plat dijadikan barangan kawalan, yang bukan di bawah bidangkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan.

Khalid yang baru dilantik sebagai ketua polis negara berkata, tiga bidang tumpuannya sekarang ialah: Membendung perhimpunan haram, pencegahan jenayah dan integriti pasukan polis. - Malaysiakini

Buat apalah yang patut, janji jenayah kurang, rakyat hidup aman damai. Lebih baik lagi, kecekapan polis dipertingkatkan.