KUALA LUMPUR, 31 Mei — Bekas menteri besar Selangor Dr Mohamad Khir
Toyo mendakwa dirinya menjadi mangsa “kambing hitam” dimanipulasi untuk
kepentingan politik pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Semalam Mahkamah Rayuan menolak rayuan Dr Mohamad Khir dan mengekalkan hukuman penjara 12 bulan berhubung kes rasuahnya.
“Saya sudah tidak peduli lagi jika keputusan telah dibuat untuk
memenjarakan saya sebagai ikon untuk menunjukkan kerajaan Datuk Seri
Mohd Najib Tun Razak ini telus dan mahu membanteras rasuah,” kata beliau
dalam tulisan di blognya www.drkhir.com.
“Biarlah luncai terjun dengan labu-labunya,” tambah beliau lagi.
Menurut Dr Mohamad Khir, beliau didakwa melakukan Criminal Breach
Trust (CBT) atau pecah amanah di bawah Kanun Keseksaan bukannya
kesalahan rasuah di bawah Akta Pencegahan Rasuah Malaysia.
“Sepanjang perbicaraan, keterangan pegawai PKNS jelas menunjukkan
saya menyokong puluhan surat cadangan memajukan tanah PKNS secara
usahasama. Ada sokongan saya yang diluluskan dan yang ditolak oleh
jawatan kuasa teknikal.
“Sebab tu saya dituduh melakukan Criminal Breach Trust (CBT) atau
pecah amanah di bawah Kanun Keseksaan bukannya kesalahan rasuah di bawah
Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Namun SPRM dengan bangganya
menyatakan bahawa kejayaan pendakwaan ke atas saya merupakan bukti
kerajaan serius membanteras rasuah,” katanya.
Semalam panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memutuskan hakim perbicaraan
tidak membuat apa-apa kesilapan dalam membuat keputusan berhubung kes
rasuah bekas menteri besar Selangor itu.
Tiga panel hakim yang diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin
bagaimanapun membenarkan peguam perayu Datuk Seri Mohamad Shafee
Abdullah agar menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menantikan
keputusan rayuan Mahkamah Persekutuan.
Hakim Datuk Azahar Mohamed yang membacakan penghakimannya selama
hampir dua jam berkata panel tiga hakim yang turut dianggotai Datuk
Aziah Ali telah sebulat suara berpendapat bahawa tiada sebab untuk
Mahkamah Rayuan mengganggu dapatan fakta serta penyabitan yang dibuat
oleh hakim mahkamah tinggi pada 23 Disember, 2011.
Beliau berkata setelah meneliti semua rekod rayuan, serta hujah
daripada kedua-dua pihak, panel bersetuju bahawa hakim perbicaran telah
membuat keputusan yang tepat dan tidak terkhilaf dalam menyabitkan Dr
Mohamad Khir dengan pertuduhan itu.
Dr Mohamad Khir didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada
23 Disember, 2011 kerana dikatakan membeli dua bidang tanah dan rumah
banglo di Seksyen 7, Shah Alam lebih murah dari harga sebenar di
pasaran.
Beliau didapati bersalah menggunakan pengaruhnya sebagai menteri
besar untuk membeli kediaman mewah dan tanah sehingga potongan sebanyak
RM3 juta lapan tahun lalu.
Peguamnya, Muhammad Shafee memberitahu pemberita semalam beliau akan
memfailkan satu notis rayuan di pejabat pendaftaran Mahkamah Rayuan hari
ini. - TMI
Tak nampak kaitan langsung. Rasanya dalam kes ini Khir yang 'kambing hitam' Najib.