PETALING JAYA - Hajat seorang penyamun melarikan sebuah kereta Perodua
Myvi berakhir selepas suspek mati ditembak pemiliknya yang merupakan
seorang anggota polis berpangkat koperal.
Dalam kejadian sebelum jam 4 pagi tadi di hadapan Bank CIMB Damansara
Utama itu, suspek yang bersenjatakan pisau pemotong daging meminta
anggota polis itu menyerahkan telefon bimbit, wang tunai dan kunci
kereta.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed
berkata, suspek yang memakai topi keledar terlebih dahulu meletakkan
parang dileher anggota polis berkenaan yang ketika itu mahu
mendepositkan wang ke dalam mesin.
Menurut beliau, bimbang dicederakan mangsa yang ketika itu berpakaian
biasa menyerahkan barangan berharga seperti yang diminta oleh suspek.
“Anggota polis terbabit cuba menghalang suspek melarikan keretanya
dengan memperkenal diri sebagai anggota polis, namun suspek meluru mahu
menyerangnya dengan pisau menyebabkan mangsa melepaskan beberapa das
tembakan yang mengenai tepat pada bahagian badan dan kepalanya,”
katanya.
Menurutnya siasatan lanjut mendapat lelaki berusia 43 tahun itu
mempunyai rekod pernah ditahan polis beberapa kali kerana terkibat dalam
kes pecah rumah, dadah dan curi kereta.
Jelas Arjunaidi, manakala mangsa berusia 34 tahun yang bertugas di
Balai Polis Kampung Baru Subang itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat dibawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cuba melakukan samun.
Mayat kemudiannya dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat. - SH