Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, rakyat Sarawak
telah menolak dakwaan pemantau rasuah antarabangsa, Global Witness,
terhadapnya melalui proses demokrasi dalam pilihan raya umum baru-baru
ini.
Menurut laporan akhbar Sin Chew Daily, Taib memberitahu sidang
Dewan
Undangan Negeri sewaktu ucapan penggulungannya semalam bahawa BN
Sarawak - yang diketuainya - memenangi 25 daripada 31 kerusi parlimen
untuk memperolehi lebih daripada majoriti dua pertiga.
Bukan itu
sahaja, katanya, tiga calon pembangkang yang telah menuduh BN dalam isu
tanah adat dan membawa pertikaian itu ke mahkamah, telah kalah dalam
pilihan raya Parlimen di Limbang, Lubok Antu dan Sri Aman.
Akhbar
itu memetik Taib sebagai berkata ia bermakna rakyat Sarawak telah
menolak sepenuhnya dakwaan palsu oleh Global Witness, dan mereka telah
bosan dengan campurtangan luar dalam kemerdekaan dan kebebasan rakyat
Sarawak.
Pada bulan Mac, Global Witness mendedahkan video
mengenai dakwaan rasuah dalam industri balak Sarawak dengan mengupah
pelakon berlagak sebagai pelabur balak asing.
Menurut agensi
berita nasional Bernama, Taib dalam ucapannya juga telah memberi ADUN
DAP Kota Sentosa Chong Chieng Jen tempoh tiga bulan untuk memohon maaf
kerana didakwa mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya.
Taib -
yang juga menteri kewangan Sarawak serta perancangan sumber dan alam
sekitar - berkata beliau akan mempertimbangkan memfailkan prosiding
mahkamah melainkan jika Chong menarik balik tuduhan itu dan memohon
dalam tempoh tiga bulan akan datang. - Malaysiakini
Masanya akan tiba.