22 May 2013

Penggabungan selesai sebulan

PUTRAJAYA 21 Mei - Proses penyeragaman struktur Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang digabungkan di bawah satu kementerian dan akan dikenali sebagai Kementerian Pendidikan dijangka selesai dalam tempoh sebulan lagi. 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, proses tersebut bertujuan meningkatkan lagi kualiti pengajaran dan pembelajaran dalam sistem pendidikan di negara ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, cadangan menamakan kementerian yang menggabungkan dua entiti itu sebagai Kementerian Pendidikan akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tempoh terdekat ini.


"Proses pencantuman kedua-dua kementerian ini bukan sesuatu yang sukar kerana Kementerian Pelajaran menumpukan kepada sekolah rendah dan menengah yang telah dilakukan sekian lama, manakala KPT pula berurusan dengan pendidikan tinggi yang sehingga kini telah dilaksanakan dengan baik dan cemerlang oleh kepimpinan terdahulu.

"Saya juga telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Setiausaha Negara (Datuk Seri Dr Ali Hamsa), Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) (Datuk Mohamad Zabidi Zainal) dan kepimpinan tertinggi kedua-dua kementerian," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan barisan pegawai dan kepimpinan tertinggi KPT di sini hari ini.

Mengenai penstrukturan jawatan ketua setiausaha dan ketua pengarah kedua-dua kementerian terbabit, Muhyiddin berakta, KPPA mempunyai beberapa cadangan yang akan dikemukakan minggu depan.
"Selepas itu, saya akan bincang dengan Perdana Menteri untuk kelulusan sebelum dilaksanakan," katanya.
Muhyiddin berkata, beliau berharap penggabungan kedua-dua kementerian itu akan melicinkan usaha meningkatkan tahap pendidikan negara di masa depan.

Beliau menambah, harapan itu sejajar dengan langkah kedua-dua kementerian terlibat melancarkan pelan strategik masing-masing iaitu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) dan Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Nasional.

"Kedua-dua pelan itu boleh terus kita laksanakan dalam beberapa tahap akan datang dan jika memerlukan penyelerasan, kita akan lakukan selagi tidak menjejaskan matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia hab pendidikan yang setanding dengan negara maju," katanya.

Beliau berkata, penggabungan kedua-dua kementerian dengan sumber yang lebih luas dari segi kepakaran dan kemahiran itu boleh dimanfaatkan bersama sambil memberi contoh, kepakaran tenaga pensyarah digunakan untuk membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di peringkat sekolah. - Utusan

Tindakan penggabungan adalah baik.