Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini mendapati bekas peguam N
Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya bersalah membunuh jutawan
kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain tiga tahun
lepas, dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati.
Hakim Datuk
Akhtar Tahir memutuskan sedemikian selepas berpuas hati bahawa pihak
pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Pathmanabhan
serta tiga pekerja ladang iaitu T. Thilaiyalagan, R. Matan dan R.
Kathavarayan didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham
Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32,
dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
Pathmanabhan,
43, Thilaiyalagan, 21, Matan, 22, dan Kathavarayan, 33, didakwa
melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat
di Banting antara pukul 8.30 malam dan 9.45
malam pada 30 Ogos 2010.
Mereka
didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen
34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit
kesalahan.
Barisan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa
Raya Ishak Mohd Yusoff, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd Ghani
sementara Pathmanabhan diwakili peguam Manjeet Singh Dhillon dan Pushpa
Ratnam,
Thilaiyalagan diwakili Gurbachan Singh, Matan diwakili
peguam Amer Hamzah Arshad manakala Kathavarayan diwakili peguam
Hasshahari Johari Mawi.
Dalam penghakimannya, Hakim Akhtar merumuskan soal tanah adalah motif utama pembunuhan Sosilawati.
Katanya
beliau pernah menyebut pada peringkat kes pendakwaan bahawa mungkin
motif dan alasan untuk membunuh Sosilawati ialah ketidakupayaan tertuduh
pertama Pathmanabhan untuk menjelaskan pembayaran cek yang dikeluarkan
kepada Sosilawati.
Bagaimanapun, selepas mengambil kira
keterangan Pathmanabhan, beliau mendapati terdapat alasan lain yang
lebih menyakinkan yang secara tidak sengaja diberitahu oleh Pathmanabhan
sendiri dalam
keterangannya iaitu soal tanah, katanya.
Akhtar
berkata Pathmanabhan memberikan keterangan mengenai dua urusan tanah
yang beliau terlibat dan telah mewakili kedua-dua belah pihak untuk
urusan sama serta amat berminat dalam transaksi itu dan
tindakan berkenaan bukan sahaja tidak beretika tetapi juga menjejaskan kedudukannya untuk berlaku adil.
Beliau
berkata Pathmanabhan telah mewakili Sosilawati dan juga bekas anggota
Dewan Undangan Negeri Sementa Datuk Abdul Rahman Palil dalam urusan
sama, dan dengan berbuat demikian, telah terperangkap
dalam keadaan 'ditelan mati emak, diluah mati bapa".
"Di
satu pihak ialah Sosilawati, seorang usahawan terkenal, dan di satu
lagi pihak ialah Rahman Palil, perkataan yang digunakan tertuduh
pertama, seorang ahli politik berkuasa. Malah, tertuduh pertama dalam
keterangannya menyatakan dia keberatan untuk mengaturkan pertemuan
melibatkan kedua-duanya apabila diminta mengaturkan pertemuan itu.
"Apabila
terdesak, sepertimana yang berlaku ke atas tertuduh pertama dalam kes
ini, dia mengambil jalan mudah dengan menghapuskan seorang daripada
mereka dan, malangnya yang menjadi mangsa ialah
Sosilawati. Tiga
orang yang menemani Sosilawati secara kebetulan berada di tempat dan
masa yang salah," katanya dalam penghakiman bertulisnya setebal 15 muka
surat.
Mengikhtisarkan semula keterangan dalam kes
pendakwaan, Akhtar berkata destinasi Sosilawati pada tengah hari 30
Ogos, 2010, sepertimana diberitahu oleh anggota keluarganya, ialah untuk
bertemu
Pathmanabhan bagi tujuan mempercepatkan tarikh pembayaran
dua cek dikeluarkan firma peguam itu, dan pihak pendakwaan pada ketika
itu, menerusi rekod telekomunikasi, menggariskan carta perjalanan
Sosilawati
dan rakan-rakannya ke Banting, dan lokasi terakhir perjalanan itu,
mengikut rekod itu, sebuah ladang yang kemudian dibuktikan milik
Pathmanabhan.
Katanya pihak pendakwaan selanjutnya
membuktikan Sosilawati dan rakan-rakannya itu malahan berada di ladang
itu menerusi keterangan seorang pembantu rumah yang bekerja di ladang
itu, Siti Hamidah
Karnax, (saksi pihak pendakwaan) yang ada melihat seorang wanita dan tiga lelaki masuk ke ladang itu.
Akhtar
berkata keterangan selanjutnya daripada anggota keluarga menunjukkan
Sosilawati dan tiga individu itu gagal pulang dari Banting dan juga
tidak menjawab panggilan telefon.
Beliau berkata adalah di
luar kelaziman bagi Sosilawati dan rakan-rakannya untuk tidak
memaklumkan kepada anggota keluarga mengenai di mana mereka berada, dan
anggota keluarga mereka bimbang dengan apa yang mungkin terjadi kepada
mereka dan keadaan itu mendorong mereka membuat laporan polis.
Katanya
bertindak atas laporan itu dan semasa menjalankan siasatan lanjut,
polis merumuskan sebagai ada kaitan dengan ladang milik Pathmanabhan dan
menahan lima orang termasuk tertuduh kedua
Thilaiyalagan, dan tertuduh keempat Kathavarayan, pada 9 September 2010.
Beliau
berkata siasatan awal di ladang itu tidak mendedahkan apa-apa yang
mencurigakan, tetapi akhirnya mendapat petunjuk pada 12 September 2010,
dan berdasarkan maklumat diberikan tiga orang yang ditahan itu termasuk
Thilaiyalagan dan Kathavarayan, polis pergi ke ladang itu semula.
Pada
kunjungan itu, berdasarkan maklumat diberikan, khususnya oleh
Thilaiyalagan dan Kathavarayan, Akhtar berkata polis menemui kesan bakar
di belakang ladang itu, dan apabila menggali kawasan terbakar itu,
polis menemui beberapa tulang dan beberapa daripada tulang itu
kemudiannya disahkan oleh pakar sebagai tulang manusia yang telah
rentung, menunjukkan mereka telah dibakar pada darjah suhu amat
tinggi.
Katanya siasatan lanjut di ladang itu menemui
satu kawasan dengan mempunyai kesan darah dan kayu pemukul kriket dengan
kesan darah dan analisis ke atas darah itu oleh ahli kimia menunjukkan
darah itu ada yang sepadan dengan Sosilawati dan rakan-rakannya.
Akhtar
berkata inferens yang dapat dirumuskan daripada fakta itu ialah sesuatu
tidak diingini telah berlaku ke atas Sosilawati dan tiga individu itu
di ladang dan fakta ini diperkukuhkan oleh keterangan Siti Hamidah yang
dia terdengar jeritan wanita pada 30 Ogos, 2010, di ladang itu serta
melihat api menjulang setinggi pokok kelapa sawit berdekatan.
Beliau
berkata tertuduh kedua dan keempat telah memberikan maklumat yang
membawa polis ke beberapa tempat di Banting serta satu kawasan di Subang
Jaya apabila mereka menemui kereta yang dinaiki Sosilawati dan tiga
individu itu ke Banting untuk berjumpa Pathmanabhan, telefon bimbit dan
jam tangan dikenal pasti oleh anggota keluarga, sebagai milik Sosilawati
dan tiga individu itu, penemuan batang kayu dan atap zink yang
terbakar, sesetengahnya ada kesan darah.
"Darah yang ditemui
pada kepingan atap zink sepadan (dengan) seorang anggota kumpulan
Sosilawati. Kehadiran batang-batang kayu di ladang itu juga diberitahu
oleh Siti Hamidah apabila dia ternampak pekerja ladang itu, termasuk
tertuduh ketiga Matan, memunggah kayu itu sehari sebelumnya," katanya.
Mengenai
andaian peguambela bahawa beliau mungkin terpengaruh untuk memanggil
keempat-empat tertuduh membela diri kerana tumpuan media terhadap kes
itu, Akhtar berkata seorang hakim itu, dalam membuat keputusan kes,
berdepan lebih banyak bahaya daripada pengaruh kepetahan peguambela atau
kearifan pihak pendakwaan dan kedua-dua pihak bijak mengalih tumpuan
mahkamah kepada faktor-faktor yang memihak kepada mereka tetapi pandai
meminggirkan faktor-faktor yang mungkin boleh menjejaskan kes atau teori
mereka.
"Pada fikiran saya, seorang hakim juga perlu
berhati-hati dengan kebijaksanaan peguam bela dan pihak pendakwaan
sepertimana juga beliau perlu berhati-hati dengan media. Fokus hakim
perlu sentiasa kepada seluruh keterangan yang ikemukakan dalam kes dan
bukan perkara lain. Saya perlu juga menambah (bahawa) hakim tidak harus
dipengaruhi emosi atau kecemerlangan peribadi dalam membuat keputusan
sesuatu kes dan saya memutuskan kes ini dengan amat berhati-hati,"
katanya.
Dalam menilai keterangan pihak pembelaan, Hakim berkata
Pathmanabhan menafikan ada berjumpa Sosilawati pada malam atau petang 30
Ogos, 2010, di ladang itu atau di mana-mana tempat lain dan dengan itu
dia tiada kaitan dengan apa yang berlaku ke atas mereka, dan keterangan
itu disokong oleh keterangan Thilaiyalagan dan Matan yang juga
menyatakan tiada perkara tidak diingini berlaku pada malam 30 Ogos,
2010, atau hari berikutnya.
Akhtar berkata bagi beliau,
penafian Pathmanabhan pernah berjumpa Sosilawati pada 30 Ogos 2010,
tidak selari dengan keterangan anak perempuan Sosilawati yang wanita itu
telah menyatakan secara spesifik yang dirinya mahu pergi ke Banting
untuk berjumpa Pathmanabhan berhubung pembayaran dua cek itu.
Beliau
berkata pengeluaran dua cek itu tidak dinafikan oleh Pathmanabhan dan
pengemukaan dua cek itu di mahkamah menyokong kewujudannya.
Lagi
pun, beliau berkata anak perempuan Sosilawati tidak mempunyai sebarang
permusuhan dengan Pathmanabhan atau tertuduh lain untuk berbohong
berhubung perkara itu, dan satu lagi fakta yang tidak dapat
dipertikaikan ialah Sosilawati pergi ke Banting dengan pemandunya.
"Begitu
juga, anggota keluarga yang lainnya juga tidak mempunyai apa-apa untuk
disembunyikan dalam memberikan keterangan bahawa suami masing-masing
telah mengikut Sosilawati demi tugas mereka. Turut tidak dapat
dipertikaikan ialah bahawa peguam dan pegawai bank sering bertindak
sebagai penasihat Sosilawati. Bagi mereka mengikut Sosilawati ke Banting
bukan sesuatu yang tidak boleh dipercayai, malah telah dibuktikan
menerusi beberapa perbualan telefon mereka dengan anggota keluarga
mereka sepanjang perjalanan itu. - Malaysiakini