Kadar pengurangan harga kereta akan dibuat secara berperingkat-peringkat
sehingga 2017, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk
Seri Mustapa Mohamed.
Katanya, bersandarkan manifesto kerajaan
yang telah dibuat pada pilihan raya umum lalu, kerajaan telah berjanji
akan mengurangkan harga kereta antara 20 hingga 30 peratus dalam tempoh
lima tahun.
"Malah,
sejak Oktober tahun lepas, harga 10 model kereta popular di negara ini
telah menurun secara purata 7.3 peratus," katanya kepada pemberita
selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian dan agensi-agensi di
bawahnya di Kuala Lumpur hari ini.
Perhimpunan bulanan ini merupakan perhimpunan pertama diadakan bersama pucuk pimpinan baharu selepas pelantikan Kabinet 2013.
Beliau
berkata pengurangan harga itu adalah hasil proses pasaran yang mana
terdapat peningkatan kecekapan dan persaingan di kalangan pemain
industri automotif.
Menurutnya, usaha pengurangan harga kereta
haruslah dilaksanakan secara berhemah dan tersusun supaya ia tidak
menjejaskan pertumbuhan industri dan peluang pekerjaan yang sedia ada
bagi sektor industri terbabit dan berkaitan.
"Oleh itu, kami
juga telah melakukan perbincangan dengan syarikat-syarikat pembuat
kereta dan mereka juga sedar tentang Rundingan Perjanjian Perdagangan
Bebas atau FTA yang bakal dilaksanakan serta faedah-faedah yang akan
diperkenal kepada pengguna," katanya.
Mustapa berkata pemain
industri kini perlu bersedia meningkatkan daya saing dan pengeluaran
mereka, sesuai dengan iklim persaingan yang semakin hebat di Malaysia
dan luar negara.
Beliau turut menjelaskan bahawa selain usaha
menurunkan harga kereta di pasaran tempatan, kerajaan juga melihat
keseimbangan lain seperti mengurangkan kesesakan lalu lintas dengan
inisiatif pembinaan pengangkutan awam yang lebih cekap. - Bernama
Penting kroni atau rakyat.