30 April 2009

Anwar dakwa konsep 1Malaysia "sekadar kosmetik"

PETALING JAYA: Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi tulisan terbaru blognya menyifatkan konsep 1Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Najib Tun Razak sebagai "sekadar kosmetik" semata-mata.

"Setelah didapati dukungan Cina dan India terhadap Umno-BN merosot parah, maka dikumandangkan semula slogan satu Malaysia," kata beliau.

Malah, Anwar juga mendakwa konsep 1Malaysia juga mirip Malaysian Malaysia yang dituntut oleh DAP sekian lama tetapi diserang oleh Umno sebagai perkauman Cina.

"Akhirnya pimpinan Umno sekonyong-konyong melutut kapada tuntutan perkauman," katanya.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu seterusnya menulis bahawa jika ditinjau secara mendalam, apa yang diamalkan adalah sekadar kosmetik yang menggantikan bedak sejuk dan celak.

Selain itu, Anwar juga menyentuh dasar pembaharuan Najib, antaranya liberalisasi yang diumumkan minggu lalu dan baru-baru ini.

"Kelonggaran dan liberalisasi adalah untuk menawan hati pengusaha kaya Cina asalkan tidak menjejaskan kepentingan projek, kontrak dan habuan kroni mereka," katanya lagi.

Selain itu, beliau menambah, ia berbeza dengan gagasan Pakatan merangka Agenda Ekonomi Malaysia yang menjurus kapada kepentingan rakyat terbanyak, termasuk kaum majoriti Melayu-Bumiputera terpinggir dan miskin atau Cina dan India.

"Dan isu lebih mendesak dari sudut prosedur tender, ketelusan, mengelak amalan boros, rasuah dan pembaziran tidak ditangani," katanya lagi.

Sambil mempersoalkan pengamalan konsep 1Malaysia, kata Anwar, mesej perkauman dan asabiyah sempit terus disampaikan dalam kursus-kursus anjuran Biro Tatanegara.

"Di media umum dibicara perpaduan satu Malaysia. Tetapi dalam kursus diracuni fahaman Melayu terjerat akibat gelojoh Cina dan muslihat serta khianat Anwar Ibrahim dan Tuan Guru Nik Aziz (Menteri Besar Kelantan). Bukankah munafik namanya?" katanya lagi. _ Mstar

Pilihanraya kecil di Selangor?

ADUN Kota Alam Shah, M Manoharan yang sedang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dipercayai sedang menimbang untuk mengosongkan kerusi tersebut, demikian Malaysiakini difahamkan.

Satu sumber yang rapat dengan peguam tersebut berkata, beliau semakin kecewa kerana tidak dapat memberi khidmat kepada para pengundinya di DUN tersebut.

"Beliau juga menyedari bebanan yang ditanggung oleh isterinya yang terpaksa menjadi wakilnya semasa ketiadaannya sekarang," tambah sumber itu.

"Isterinya, S Pushpaneela (kanan), terpaksa membahagikan masanya antara menjaga empat anak-anak mereka, menjaga firma guamannya dan kawasan pilihanrayanya," kata sumber itu lagi.

Manoharan ditahan di bawah ISA pada 13 Disember 2007 bersama empat lagi pemimpin Hindraf.

Beliau merupakan penasihat undang-undang Hindraf, yang telah diharamkan oleh kerajaan.

Manoharan bertanding atas tiket DAP di DUN tersebut dalam pilihanraya umum tahun lalu, dan berjaya menewaskan calon BN dari Gerakan, Ching Su Chen dengan majoriti 7,184 undi. _ Malaysiakini

* Letak jawatan, BN diyakini tidak berani bertanding

Guru didakwa simpan disket foto bogel Linda Rafar

Seorang guru sekolah rendah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini atas tuduhan memiliki gambar bogel pelakon terkenal Linda Rafar, kira-kira lima tahun lepas.

Foo Tip Hin, 56, didakwa memiliki dua disket bertajuk 'BW 1' dan
'Skandal Melayu LR' yang mengandungi gambar berunsur lucah pelakon itu di rumah No 16, Lorong Selamat 31, Jalan Telok Sisek, dekat Kuantan pada 5 petang, 26 Nov 2006.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 5 (1) Akta Penapisan Filem 2002 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5 (2) akta yang sama yang membawa denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut Bernama, selepas pertuduhan dibacakan oleh juru bahasa mahkamah, Foo mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Pegawai Pendakwa Cif Insp Mohamed Zakaria memohon mahkamah mengenakan ikat jamin berjumlah RM4,000 tetapi Foo, yang tidak diwakili peguam, merayu supaya jumlah itu dikurangkan atas alasan tidak mempunyai niat untuk melarikan diri dan perlu menanggung ibunya.

Majistret Nordiana Abd Aziz kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM3,500 dengan dua penjamin dan menetapkan 14 Mei ini untuk sebutan semula kes. _ Malaysiakini

* Yang berbogel bagaimana?

ADUN Pakatan Rakyat Akan Hadiri Sidang DUN 7 Mei - Nizar

IPOH, 30 April (Bernama) -- Pakatan Rakyat Khamis membuat keputusan bahawa semua wakil rakyat mereka akan menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada 7 Mei ini, kata bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammadd Nizar Jamaluddin.

Beliau berkata keputusan itu adalah muktamad walaupun sebelum ini ada kenyataan mengatakan Pakatan Rakyat akan memboikot sidang DUN tersebut.

"Soal memboikot kini tidak timbul dan kita akan memberi kerjasama sepenuhnya semasa persidangan berkenaan.

"Saya berharap persidangan itu mengikut segala peraturan sebagaimana yang diagendakan dan kita akan mengikut apa-apa ketetapan yang akan dibuat oleh Speaker," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Anggota DUN (ADUN) Pakatan Rakyat di sini hari ini.

Beliau juga berharap semua pegawai yang ditugaskan pada sidang DUN itu akan mengikut perintah daripada Speaker dan menegaskan semua ADUN Pakatan Rakyat juga akan patuh dan akur apa saja arahan Speaker.

Sementara itu Speaker, V.Sivakumar ketika ditanya mengenai usul pelucutan jawatan beliau mengakui memang ada usul yang telah diterima berkaitan perkara itu tetapi menegaskan pihaknya belum membuat apa-apa keputusan lagi.

Beliau berkata sebelum persidangan pada 7 Mei ini berlangsung, banyak isu akan dibangkitkan beliau melalui perbincangan dengan pihak polis, Setiausaha Kerajaan Negeri dan pihak yang terlibat dalam persidangan tersebut.

-- BERNAMA

* Adakan siaran secara langsung

1Malaysia Gah Di Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April (Bernama) -- Konsep 1Malaysia yang diilhamkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak kini gah diperkatakan di negara lain.

Perdana Menteri berkata bahawa dalam lawatan dua harinya ke Brunei berakhir hari ini, ramai pemimpin di sini bertanyakan kepada beliau mengenai konsep itu yang merupakan bahagian penting kepada slogan "1Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan".

Berucap semasa bersarapan dengan masyarakat Malaysia di sini hari ini, Najib berkata beliau bangga kerana pemimpin-pemimpin Brunei mengikuti dengan penuh minat perkembangan di Malaysia.

"Malah saya rasa terharu apabila mereka sebut tentang beberapa perkembangan di negara kita, termasuk juga cogan kata saya pun mereka dah hafal. Mereka kata cogan kata itu amat tepat dan mencerminkan langkah ke hadapan bagi Malaysia untuk kita mengukuhkan lagi hubungan etnik.

"Kalau kita dapat tunjukkan kekuatan dalaman kita, maka potensi Malaysia sebagai sebuah negara, amat besar," katanya.

Dalam ucapannya, Najib berkata beliau akan melaksanakan tugasnya dengan sebaik mungkin dan akan menjadi seorang pemimpin yang berjiwa rakyat. Beliau juga berkata bahawa pertemuan empat matanya dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah malam tadi yang dijadual selama 30 minit, telah berlanjutan sehingga lebih satu jam dan berlangsung dalam suasana yang amat mesra.

"Hasrat saya adalah untuk meneruskan apa juga yang diusahakan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi dan mencari jalan bagaimana kita (Malaysia dan Brunei) boleh memajukan lagi hubungan melalui tumpuan terhadap kerjasama khusus," katanya.

Najib juga berkata adalah penting bagi negara-negara Asean untuk mengekalkan hubungan yang baik kerana itulah satu-satunya cara untuk membuktikan bahawa rantau ini berada dalam keadaan aman dan makmur.

"Kita juga berharap agar rakyat Malaysia dan Brunei dapat menterjemah isyarat daripada hubungan baik antara kerajaan kedua-dua negara untuk menjalankan apa juga usaha secara bersama," katanya.

Perdana Menteri juga meminta rakyat Malaysia di Brunei supaya menjaga baik nama negara.

"Lakukan yang terbaik, laksanakan tugas dengan cemerlang, InsyaAllah orang di sini akan menghargai peranan anda," kata Najib.

Yang turut hadir Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Timbalan Menteri Luar A. Kohilan Pillay.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor kemudian berlepas ke Kuching bagi memberi penghormatan terakhir kepada allahyarham Puan Sri Laila Taib, isteri Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang kembali ke Rahmatullah semalam, akibat kanser.

-- BERNAMA

* Hanya satu slogan yang konsepnya copy paste dari Pakatan Rakyat

Pembangkang tiada asas pertikai sidang DUN

PENGKALAN HULU 30 April - Pakatan pembangkang tidak mempunyai asas untuk mempertikaikan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan diadakan pada 7 Mei ini kerana ia telah mendapat perkenan Sultan Perak.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali berkata, tindakan mempertikaikan keputusan Sultan yang bersetuju dengan tarikh tersebut jelas menunjukkan mereka sengaja mahu mengelirukan rakyat. - Utusan

* Hari ini BN Perak hina dan belakangkan rakyat Perak...

Chin Peng gagal dalam usaha terakhir memasuki Malaysia

PUTRAJAYA 30 April — Bekas pemimpin komunis Chin Peng hari ini gagal dalam usaha terakhir untuk menetap di Malaysia selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan dua mahkamah rendah yang memaksanya menunjukkan dokumen pengenalan sebelum dibenarkan memasuki negara ini.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk S. Augustine Paul yang bersidang bersama Hakim Datuk Hashim Yusof dan Datuk Wira Ghazali Mohd Yusof membuat keputusan itu selepas menolak usul Chin Peng memohon kebenaran untuk rayuan.

Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan pada 20 Jun 2008 yang memutuskan bahawa dia perlu mengemukakan sijil kelahiran atau kewarganegaraan bagi membuktikan dia adalah rakyat Malaysia sebelum meneruskan tindakan undang-undang terhadap kerajaan Malaysia.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Malik Ishak dalam keputusannya berkata, dokumen itu penting untuk menentukan status Chin Peng memandangkan Jabatan Pendaftaran Negara tidak dapat menemui sebarang rekod kelahiran Chin Peng. - Bernama

* Semua tahu Chin Peng rakyat sini

Alim kucing

BACHOK: Seorang lelaki warga emas bergelar ustaz berusia 60-an ditahan polis kerana dipercayai memiliki dadah dan cakera padat video (VCD) lucah di rumahnya di Kampung Beris Kubor Besar, dekat sini, baru-baru ini.

Lelaki berkenaan diberkas ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas menunaikan solat Maghrib dan menyampaikan ceramah agama di sebuah surau di kampung berkenaan, kira-kira jam 9 malam.

Sebaik ditahan, suspek membawa sepasukan polis ke rumahnya dan hasil pemeriksaan, pihak berkuasa menemui beberapa bungkusan mengandungi dadah.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Yahya Salleh, berkata ketika pemeriksaan di rumah lelaki berkenaan, anggotanya menemui puluhan VCD lucah yang disusun rapi dalam bilik tidur selain beberapa bungkusan dadah di beberapa tempat.

Beliau berkata, lelaki terbabit mulanya enggan mengaku menyimpan VCD lucah, namun selepas polis memaklumkan mahu menunjukkan VCD lucah di tempat dia menyampaikan kuliah sekiranya dijumpai, ustaz terbabit membuat pengakuan memiliki bahan terlarang itu.

Selain itu, polis terpaksa memaklumkan akan memanggil wartawan bagi melaporkan penahanannya jika suspek terus berkeras tidak mahu bekerjasama menunjukkan tempat dadah itu disembunyikan.

“Dia dikesan menjadikan periuk nasi di bahagian dapur untuk menyimpan dadah berkenaan bagi mengaburi pihak berkuasa sebelum dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

“Dadah itu sukar ditemui jika polis tidak diberitahu tempatnya disembunyikan,” katanya.

Beliau berkata, polis yakin ustaz terbabit sudah lama menjalankan kegiatan itu, tetapi statusnya sebagai guru agama membuatkan orang ramai tidak mengetahui kegiatannya.

Ustaz terbabit kini direman di Penjara Pengkalan Chepa.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1959 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara dan dikenakan sebatan.

Polis masih menunggu laporan daripada Jabatan Kimia berhubung kes itu sebelum suspek didakwa di mahkamah dalam tempoh terdekat. _ Mymetro

* No komen :)

Isu k'jaan perpaduan: Nik Aziz tegur anaknya...

Nik Abduh - anak kepada Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat - telah ditegur oleh bapanya selepas menulis dalam blognya, menghentam pembantu bapanya dalam isu kerajaan perpaduan yang dicadangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Nik Abdul Aziz telah menghubungi anaknya itu dari Mekah, meminta beliau supaya "memadamkan kekeliruan" dan "jangan membiarkan kekeruhan bertapak lama" berhubung isu itu.

Perkara itu dijelaskan oleh Nik Abduh sendiri catatan blognya semalam. Nik Aziz sedang mengerjakan umrah di Tanah Suci.

"Saya pastinya tersentak (selepas mendapat panggilan itu). Saya tahu saja apa isinya perbualan nanti. Alhamdulillah, ia mengesankan, walaupun perbualan (itu) hanyalah sekitar dua, tiga minit. Saya gembira dihubungi kerana saya dapat menjelaskan beberapa perkara yang saya fikir perlu.

"Ayahanda menegur dan meminta saya tulis lagi agar kekeliruan dipadamkan. Jangan tinggalkan kekeruhan bertapak lama," coretnya dalam blognya semalam.

"Saya kata ya, saya akan tulis dan segera tulis sebagaimana ayahanda mahu," tulisnya.

Dalam blognya sebelum ini, Nik Abduh menghentam pembantu bapanya yang didakwanya bertanggungjawab menyebabkan Nik Aziz pada mulanya menolak cadangan kerajaan perpaduan yang dicadangkan Abdul Hadi.

'Tanya Nik Aziz sendiri'

Sebagai reaksi daripada kenyataan itu, seorang naib presiden PAS, Ahmad Awang dilaporkan berkata, dakwaan Nik Abduh boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan pemimpin dan ahli PAS mengenai siapakah yang dimaksudkannya.

Ahmad juga terkejut dengan tulisan Nik Abduh yang dianggap kasar apabila menyifatkan usaha pembantu Nik Aziz tersebut sebagai satu usaha yang 'sesat'.

Mengenai perkara itu, Nik Abduh yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat bagaimanapun masih enggan mendedahkan siapakah pembantu yang dimaksudkannya itu.

"Adapun maksud saya, (mereka) adalah para pembantu yang membantu dalam isu politik. Mereka ramai, mungkin berpuluh-puluh (orang)," coretnya yang juga timbalan ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Berhubung isu kerajaan perpaduan bersama BN, bagi mendapatkan tafsiran yang terbaik, Nik Abduh menyarankan media massa dan pembaca blognya supaya bertanyakan hal itu sendiri kepada Nik Aziz.

"Anda dan surat khabar hanya mentafsirnya. Jika anda mahu tafsiran terbaik, tanya dia (Nik Aziz) sendiri. Saya tidak memerlukan jawapan itu," katanya. _ Kosmo

* Sudahlah, blog budak-budak tu...

Korban pertama selesema babi di Amerika Syarikat


WASHINGTON, - Seorang bayi berumur 23 bulan di Texas menjadi mangsa pertama virus selesema babi H1N1 di Amerika Syarikat (AS), kata pegawai Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) semalam.

Kematian itu adalah pertama membabitkan mangsa di luar Mexico yang setakat ini mencatatkan kematian 159 orang.

Sebanyak 91 kes selesema babi dikesan di 10 buah negeri di AS setakat ini.

Sejumlah 65 pesakit kes yang disahkan positif kini sedang dirawat di lima buah hospital di California dan Texas.

"Kami mengesahkan kematian pertama akibat virus H1N1 membabitkan seorang bayi berumur 23 bulan," kata Pemangku Ketua CDC, Dr. Richard Besser.

Bayi itu dipercayai dibawa keluarganya melawat Bandar Raya Mexico sebelum memasuki Brownsville, Texas sebelum jatuh sakit dan kemudian dimasukkan ke Hospital Houston, kata jurucakap Perkhidmatan Kesihatan dan Kemanusiaan Houston, Kathy Barton.

Pegawai-pegawai kesihatan masih belum mendedahkan maklumat terperinci berhubung bayi lelaki itu tetapi dia dipercayai antara enam kes positif virus selesema babi di Texas.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Barack Obama menyatakan kerajaan bersedia untuk melakukan langkah untuk menyekat penularan virus itu serta memohon peruntukan kecemasan berjumlah AS$1.5 bilion (RM5.38 bilion) untuk memastikan bekalan vaksin mencukupi.

"Kerajaan akan melancarkan langkah menyeluruh jika keadaan bertambah serius manakala ibu bapa juga perlu memikirkan langkah kecemasan seperti menutup persekolahan buat sementara waktu," katanya.

Menurut CDC, kanak-kanak berumur bawah lima tahun lebih terdedah kepada selesema dan komplikasi berkaitan.

Lebih 20,000 kanak-kanak terpaksa dirawat di hospital setiap tahun kerana menghidap penyakit itu.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan CDC masih menilai tahap keseriusan selesema babi yang kini sudah merebak ke benua Eropah.

Di Britain, Perdana Menteri Gordon Brown mengumumkan tiga lagi rakyat negara itu disahkan positif menghidap penyakit selesema babi.

Di Austria, kementerian kesihatan negara itu mengesahkan kes H1N1 pertama setelah laporan makmal mendapati seorang wanita berumur 28 tahun diuji positif tetapi mangsa kini semakin pulih.

Selesema babi yang mula dikesan di Mexico minggu lalu menyebabkan lebih 1,500 menunjukkan simptom manakala 49 disahkan positif menghidap selesema babi.

Sepanyol semalam mengesahkan kes pertama mangsa selesema babi yang tidak pernah pergi ke Mexico.

Setakat ini negara itu sudah mengesahkan 10 kes selesema babi.

Pihak berkuasa keselamatan turut melakukan siasatan berhubung dua rakyatnya yang mempunyai gejala selesema babi. - Agensi

* Rakyat US lebih 300 juta orang

Isteri KM S'wak meninggal dunia


Isteri Ketua Menteri Sarawak, Puan Sri Laila Taib meninggal dunia pada kira-kira jam 3.45 petang ini akibat penyakit barah jantung.

Allahyarhamah yang berasal dari Australia berusia 68 tahun.

Difahamkan, Allahyarhaman meninggal dunia di kediaman rasmi Ketua Menteri di Demak Laut, Kuching.

Tan Sri Abdul Mahmud Taib berada di Petrajaya bersama dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sewaktu Allahyarhmah menghembus nafas terakhir.

Muhyiddin yang sedang melakukan lawatan rasmi dua hari ke Sarawak merupakan antara yang awal memberi penghormatan terakhir terhadap Allahyarhaman.

Muhyiddin turut diiringi isterinya Puan Sri Norainee Abdul Rahman. .

Laila, 68, meninggalkan suami, empat orang anak, termasuk Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman, dan 15 cucu.

Laila, kelahiran Poland, dan Taib, berkahwin di Adelaide, Australia pada 13 Januari 1959 ketika Taib sedang mengikuti pengajian untuk ijazah undang-undang.

Laila tiba di Sarawak pada 1962. Nama remajanya ialah Lejla Chaleck.

Setiausaha akhbar Taib, Amin Sahmat mengesahkan berita tersebut dan berkata upacara pengkebumian akan diadakan di perkuburan Islam Demak pagi esok. _ Malaysiakini

Pemuda UMNO buat laporan terhadap artikel laman blog

KEMAMAN 29 April - Pemuda UMNO Bahagian Kemaman membuat laporan polis berhubung satu artikel dalam sebuah laman blog yang memburukkan kepimpinan parti.

Laporan itu dibuat oleh Ketua Penerangannya, Halim Sulong di Balai Polis Kemaman pada pukul 10.30 pagi.

Halim berkata, Pemuda UMNO Kemaman meminta pihak berkuasa membuat penyiasatan terperinci berhubung artikel tersebut yang turut menghina Istana Terengganu.

''Mereka yang bertanggungjawab perlu dikenakan hukuman setimpal kerana artikel itu berbau hasutan,''' ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Supritendan Abdullah Sani Salat ketika ditemui mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana kes itu kini dalam siasatan polis. _ Utusan

* Barangkali hidung tu tidak pernah dicuci, itulah sebab bau yang macam-macam :)

Setiausaha DUN Perak sahkan terima usul

IPOH 29 April - Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Abdullah Antong Sabri, hari ini mengesahkan pejabat Setiausaha DUN Perak telah menerima satu usul pada minggu lepas untuk melucutkan V. Sivakumar daripada jawatan Speaker DUN Perak pada persidangan DUN 7 Mei ini.

Beliau juga mengesahkan telah menghantar melalui pos, surat kepada semua Anggota DUN (ADUN) Perak mengenai perkara itu yang turut mengepilkan bersama borang pencalonan Speaker baru.

Walaupun Abdullah berkata, perkara itu tidak sepatutnya dihebahkan sebelum persidangan DUN itu dilangsungkan, beberapa portal berita Internet hari ini melaporkan Abdullah di dalam suratnya menyatakan bahawa borang pencalonan Speaker baru itu hendaklah dikemukakan beserta borang persetujuan ahli yang dipilih kepada pihak pentadbiran DUN selewat-lewatnya esok.

"Surat itu dihantar secara pentadbiran. Ia sepatutnya adalah untuk makluman dan tindakan daripada semua ADUN yang berkenaan," kata Abdullah ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau enggan mengulas lebih lanjut mengenai perkara itu.

Sementara itu Exco kanan, Datuk Hamidah Osman ketika dihubungi mengesahkan bahawa beliau adalah penyokong usul untuk melucutkan Sivakumar yang dicadangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan dihantar ke pejabat Setiausaha DUN Perak pada Khamis lepas.

Zambry yang dihubungi pula enggan mengesahkan sama ada beliau ada mengusulkan notis untuk undi tidak percaya terhadap Sivakumar seperti yang dilaporkan media hari ini. - BERNAMA

* Masuk dewan nanti rembat Zambry keluar kerana menghina speaker

Sidang DUN Perak diteruskan

IPOH 29 April - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menegaskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tetap akan bersidang pada 7 Mei ini walaupun kedudukan beliau belum diputuskan oleh mahkamah.

Menurutnya, selagi mahkamah belum membuat keputusan berkenaan pelantikannya, beliau masih Menteri Besar yang sah dan begitu juga dengan barisan Exco kerajaan negeri.

Katanya, Speaker DUN Perak, V. Sivakumar juga mesti mengiktiraf dan menghormati pelantikan beliau dan enam Exco kerajaan negeri sehingga mahkamah memutuskan sebaliknya.

''DUN Perak perlu bersidang walaupun kes semakan kehakiman yang difailkan oleh Datuk Seri Mohammad Ir. Nizar Jamaluddin terhadap saya belum diputuskan.

''Kedudukan saya sebagai Menteri Besar adalah jelas. Ini kerana Mohammad Nizar yang mencabar kedudukan saya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Menurut Zambry, soal pelantikan Menteri Besar adalah di bawah bidang kuasa Sultan Perak dan Mohammad Nizar sedar tentang perkara itu.

''Sebab itu semasa mengisi borang pencalonan untuk bertanding di Parlimen Bukit Gantang, Mohammad Nizar tidak meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar tetapi sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut membidas tindakan Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming yang mengeluarkan kenyataan mendakwa seolah-olah beliau sudah mengetahui keputusan yang akan dibuat oleh mahkamah kerana mengadakan sidang DUN pada 7 Mei ini.

Katanya, kenyataan Kor Ming itu adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan berunsur hasutan kerana mempersoalkan sistem kehakiman negara.

''Saya tidak pernah mengganggu mahkamah dalam membuat sebarang keputusan dan saya tidak pernah mempersoalkan kebebasan sistem kehakiman negara walaupun ada kalanya tidak menyebelahi saya," tegas beliau.

Zambry turut mengecam tindakan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang menghina keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung penggantungan beliau dan enam Exco kerajaan negeri baru-baru ini.

Katanya, Koo Ham semasa berucap pada satu ceramah Pas di Lumut pada 17 April lalu telah mendakwa Mahkamah Persekutuan membuat keputusan tidak mengikut undang-undang dan telah menukar undang-undang hanya kerana kes kerajaan negeri Perak.

''Kenyataan yang dibuat oleh Koo Ham bukan sahaja menghina keputusan Mahkamah Persekutuan, malah satu tindakan menghasut rakyat Perak supaya tidak menghormati undang-undang dan sistem kehakiman negara," katanya. _Utusan

* Seret lagi Zambry ke mahkamah. Halang MB haram ini mengadakan sidang DUN sehingga keputusan mahkamah tinggi selesai.

Usul lucut jawatan Sivakumar sebagai Speaker

Pejabat Setiausaha Dewan Negeri Perak telah menerima satu usul untuk melucutkan V Sivakumar dari jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Usul tersebut dicadangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan disokong oleh ADUN Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman.

Menurut Setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong Sabri, usul tersebut telah diberi notis untuk dibawa di dalam mesyuarat pertama, penggal kedua, DUN Perak ke-12 pada 7 Mei depan.

"Sekiranya usul ini diluluskan di dalam mesyuarata tersebut, maka urusan mesyuarat berikutnya ialah pemilihan Speaker DUN yang baru akan dibuat," katanya dalam surat yang dihantar kepada ADUN Perak.

ADUN Tebing Tinggi, Ong Boon Piow dari DAP, mengesahkan telah menerima surat tersebut jam 2 petang ini. Ia dihantar melalui khidmat hantaran laju.

Sehubungan itu, Abdullah meminta ADUN-ADUN mngemukakan cadangan nama Speaker yang baru.

Borang pencalonan Speaker baru itu turut dikepilkan bersama surat tersebut.

Menurut Abdullah, borang pencalonan itu hendaklah dikemukakan beserta borang persetujuan ahli yang dipilih kepada pihak pentadbiran (DUN) selewat-lewatnya esok, 30 April.

Sementara itu, Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming, ketika dihubungi Malaysiakini berkata, ia adalah insiden pertama dalam sejarah Malaysia untuk melucutkan seorang Speaker

Beliau yang juga ADUN Sungai Remis dan ahli Parlimen Taiping merasa terkejut dan menyifatkannya sebagai satu tindakan yang luar biasa.

Sehubungan itu, Nga mengecam BN kerana menggunakan Abdullah yang telah dipecat oleh Speaker sebelum ini, utnuk mengeluarkan surat tersebut.

Katanya, semua itu menunjukkan bahawa BN telah bertindak sewenang-sewenangnya.

Katanya, menurut peraturan tetap DUN Perak, Speaker (Sivakumar) mempunyak hak untuk menerima atau menolak sebarang usul, termasuk usul untuk memecatnya.

Nga menyamakannya dengan tindakan Speaker DUN Melaka menolak usul tidak percaya yang dibentangkan oleh wakil DAP terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam minggu lalu.

Beliau mendakwa tindakan Zambry itu menghina mahkamah, kerana prosiding kes sama ada beliau merupakan menteri besar Perak yang sah. masih belum selesai. _ Malaysiakini

* Zambry main-mainkan undang-undang negeri Perak

Pemuda Pas PP tetap mahu letak calon di Penanti

PULAU PINANG 29 April — Pemuda PAS Pulau Pinang tetap mahu meletakkan calon mereka pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti 31 Mei ini.

Ketuanya Mohd Hafiz Mohd Nordin berkata satu perbincangan dengan presiden parti berhubung hal itu akan diadakan dalam tempoh terdekat ini.

“Ini adalah permintaan akar umbi yang mahukan PAS mengambil balik kawasan itu, Pemuda sendiri telah mempunyai calon yang sesuai,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Semalam, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang , Mansor Othman, 56, dipilih sebagai calon parti itu untuk bertanding pada pilihan raya kecil DUN Penanti.

Kerusi itu kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM1) Mohammad Fairus Khairuddin.

Mohd Hafiz berkata setakat ini belum ada sebarang perbincangan yang dibuat antara PAS dengan Penasihat PKR itu berhubung calon Pemuda PAS yang turut akan bertanding di DUN Penanti.

DUN Penanti mempunyai 15,384 pemilih berdaftar - 72.68 peratus daripadanya pengundi Melayu, 24.22 peratus Cina, 2.39 peratus India dan 0.71 peratus lain-lain bangsa.

— BERNAMA

* Cuba belajar bekerjasama

29 April 2009

Tidak perlu khuatir, DEB akan terus diberi tumpuan

KUALA LUMPUR 29 April — Bumiputera tidak perlu khuatir memandangkan kerajaan akan terus memberi tumpuan terhadap Dasar Ekonomi Baru (DEB) walaupun liberalisasi 27 subsektor diperkenalkan baru-baru ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir hari ini.

“Kita tidak perlu khuatir bahawa dasar kita seperti DEB, akan sedikit demi sedikit dilonggarkan,” katanya kepada media selepas merasmikan Forum & Ekspo Minyak, Gas & Petrokimia 2009, di sini.

Katanya dasar DEB walaupun pengkhususan kepada kaum Bumiputera, namun manfaatnya turut dirasai semua pihak.

“Hakikatnya, DEB akan terus diberi tumpuan, dan pada masa yang sama dengan terbukanya pasaran kita, saya yakin kita akan melihat banyak peluang baru, bukan saja dari segi pekerjaan apabila FDI (pelaburan langsung asing) masuk, malah peningkatan keupayaan kita bersaing dengan syarikat asing dan mengeskport produk dan perkhidmatan kita,” katanya.

Mukhriz berkata pasaran negara sememangnya sudah terbuka dan kebanyakan peniaga tempatan sudah bersedia untuk bersaing dengan pelabur luar.

“Pasaran kita memang sudah terbuka, cuma polisi belum diseragamkan dan itulah yang dibuat kerajaan untuk menyeragamkan semula dasar yang telah diamalkan,” kata Mukhriz. — Bernama

* Lain buat lain cakap...

PKR letak calon tiga kali pernah kalah pilihanraya di Penanti…


Menepati semua ramalan,PKR menamakan Dr Mansor Othman sebagai calonnya untuk pilihanraya kecil Penanti yang dijadual diadakan pada 31 Mei nanti.

Sendiri mengata orang sendiri buat itulah senda gurau politik yang terbit dari pemilihan bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia yang berusia 58 tahun ini yang bakal diangkat jadi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang jika PKR menang pilihanraya kecil itu.

Ini kerana pembangkang sering menjadikan bahan jenaka tentang pemilihan beberapa orang pemimpin UMNO yang tewas dalam pilihanraya dan pemilihan parti masuk ke dalam kabinet dan Majlis Tertinggi UMNO baru-baru ini.

Dr Mansor bukan sekali tetapi tiga kali pernah tewas dalam pilihanraya iaitu pada tahun 1999 kawasan Parlimen Balik Pulau,2004 kerusi Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya dan 2008 kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Betong.

Timbalan Pengerusi Pengerusi PKR Pulau Pinang ini diketahui umum sudah set untuk mengantikan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Fairus Khairuddin yang ‘ kena main’ oleh orang dalam PKR sendiri hingga terpaksa letak jawatan.

Pengumuman Dr Mansor sebagai calon PKR dibuat oleh Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di Yayasan Aman di Penanti Selasa malam.

Dr Mansor pernah menjadi Setiausaha Politik Anwar semasa beliau Timbalan Perdana Menteri dulu.

Ada juga yang bertanya tidakkah ini satu bentuk neopotism yakni nak letak kawan-kawan juga pada jawatan penting sekalipun sudah tiga kali ditolak oleh rakyat ?

Namun ada juga yang berkata Anwar yang petah bicara dan berceramah itu pasti ada jawapan pada segalanya bila bab terkena batang hidung sendiri.

Persoalannya sekarang apakah Barisan Nasional nak menari atau tidak ikut rentak dan irama PKR di Penanti.

Memandangkan isu Fairus nak kena dakwa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia gara-gara aduan dibuat oleh orang PKR sendiri mengenai penyelewengan kuari terhadapnya sudah tidak ada kes makanya secara rasmi sebab musabab pilihanraya kecil ini diadakan hanyalah kerana bekas ADUN Penanti itu ‘hendak melanjutkan pelajaran’.

Dalam pada itu menurut sumber-sumber PKR para pemimpin atasan parti itu tidak ‘ mengalir air mata’ atau gundah gulana dengan kejatuhan Fairus itu.

Kebanyakan mereka dikatakan dapat baca riak pimpinan atasan yang nak ketepikan Fairus untuk digantikan dengan Dr Mansor.

Fairus yang sebelum ini bikin gempak dalam satu interbiu denghan sebuah akhbar berbahasa Cina kononnya nak dedah skandal dalam PKR dan kerajaan negeri... akhirnya lembik dan tampil tunjuk muka di majlis pengumuman calon di Yayasan Aman.

Setelah Datin Seri Wan Dr Azizah main suka-suka letak jawatan di Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding dan kemudiannya V Arumugam,wakil rakyat PKR di Bukit Selambau yang sehingga hari ini tidak diketahui sebab letak jawatan kini terdapat dua set pemilikan dalam BN samaada nak terus menari atau tidak ikut rentak PKR.

Di satu pihak merasa BN wajib bertanding khususnya untuk jaga maruah UMNO manakala di satu pihak lain mereka ianya hanya membazir waktu dan wang ringgit untuk melayan karenah PKR yang tidak sudah-sudah itu.

Datuk Seri Najib Tun Razak sudahpun melontarkan cadangan tentang kemungkinan BN tidak meletak calon.

Sebabnya ada jelas melihat pada karenah PKR sendiri hingga pilihanraya kecil ini perlu diadakan.

Pada ketika ramai sedang bertaruh samaada ya atau tidak…ada kalangan pemerhati politik yang kuat merasa BN tidak akan letak calon dalam pilihanraya kecil ini.

Mereka berpendapat indikasi ini dapat dirumuskan dari keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO Jumaat lalu yang menyerahkan kepada Biro Politik UMNO untuk membuat penentuan.

Biro berkenaan dianggotai oleh pimpinan paling kanan dalam parti.

Bagi mereka keputusan Majlis Tertinggi itu adalah penanda parti itu akan ambil satu pendirian serius dalam hal ini setelah mengambil kira segala implikasi.

Sebagai rekod belum pernah dalam sejarah UMNO ia tidak menyertai mana-mana pilihanraya kecil.

“Pilihanraya kecil adalah satu mainan biasa dalam bidang politik…tapi bila Biro Politik sendiri nak buat penentuan saya kira pastinya keputusan itu adalah sesuatu yang luar kebiasaan,”kata seorang pemerhati.

Apapun yang pasti PKR tidak akan akan menang free pilihanraya kecil ini.

Bekas Ketua Wanita Parti Keadilan ( sebelum jadi PKR) Aminah Abdullah sudah istihar nak masuk sebagai calon bebas ‘demi untuk tegakan keadilan’. _ Agendadaily

* Jangan banyak cakap. Berani, sila letak calon.

6 jam berenang tarik jasad ibu

KOTA TINGGI: Hanya kasih sayang sejati mampu memberi kekuatan kepada seorang remaja Pakistan berusia 14 tahun untuk berenang selama 12 jam, termasuk enam jam menarik jasad ibunya, selepas bot yang mereka naiki karam di perairan Teluk Ramunia, Pengerang dekat sini, semalam.

Walaupun menyedari ibunya, Zainab Oirkeel, sudah tidak bernafas lagi, Muhammad Aqeel Qirkeel Hussin, 14, menggunakan kain Pashminanya untuk mengikat jasad pada rantai leher yang berlambangkan Yasin.

Dia menggunakan seluruh kudrat menarik mayat ibunya daratan dengan berpandukan titik cahaya dalam kegelapan malam.

Menceritakan pengalaman menyayat hati itu, Muhammad Aqeel, satu-satunya mangsa bot karam yang diselamatkan setakat ini, berkata ujian dihadapinya bagaikan tidak putus-putus apabila dia turut diserang ketam.

“Saya berulang kali menepis dan membuang ketam itu supaya tidak terus naik ke badan saya dan ibu,” katanya dalam bahasa Urdu yang diterjemahkan jurubahasa Muhamad Junus Lalahan.
Muhammad Aqeel yang melelas pada lehernya akibat geseran rantai dan kain Pashmina ibunya, ditemui wakil media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi, malam tadi. Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Muhammad Shamsuddin.

Remaja itu berkata, dia bersama enam keluarga datang ke Malaysia untuk melancong dan menginap di sebuah hotel di Kuala Lumpur kira-kira seminggu lalu.

Kemudian, katanya, keluarganya ke Johor Bahru sebelum menaiki teksi ke chalet di Pengerang Ahad lalu.

“Kira-kira jam 7 malam kelmarin, kami sekeluarga menaiki bot bersama dua orang lain yang tidak dikenali tanpa memakai jaket keselamatan.

“Selepas setengah jam, tiba-tiba bahagian depan bot menjunam dan terus tenggelam,” katanya.

Dia berenang mencari keluarga di kawasan itu kira-kira jam 12 tengah malam sebelum menemui ibunya yang terapung.

“Saya tidak sangka akan selamat hingga sebuah kapal besar lalu berhampiran saya pagi tadi (semalam) dan memberi pertolongan,” katanya.

Sementara itu, Suruhanjaya Tinggi Pakistan di Kuala Lumpur mengesahkan enam rakyat negara itu yang ditemui mati lemas di perairan Teluk Ramunia, Pegerang dekat Kota Tinggi, semalam berasal dari Quetta.

Mangsa yang terkorban dalam kejadian itu adalah satu keluarga dan mereka dikenali sebagai Zainab, Zulkqarnain, Sidiqqa, Hameed, Qasim Ali dan Jumah Khan.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Tinggi itu yang difakskan ke pejabat Harian Metro di sini, malam tadi, semua mangsa tiba di Kuala Lumpur pada 18 April lalu di atas tujuan lawatan sosial. _ Mymetro

Bapa temui guru besar, PIBG

ALOR STAR: “Buat sementara waktu ini saya tak mahu komen lagi sama ada mahu mengambil tindakan undang-undang atau tidak terhadap pihak sekolah dan segalanya bergantung pada keadaan.

“Esok (hari ini) saya akan berjumpa dengan guru besar dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah anak saya untuk berbincang mengenai masalah ini,” kata Mohd Zaini Mohd Yunus, 34, bapa kepada Harris Sufian, 7, yang terjatuh ke dalam tangki kumbahan di sekolahnya di Bandar Darulaman, Jitra, Ahad lalu.

Mohd Zaini berkata, anaknya, Harris Sufian, 7, kini berada dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Kedah Medical Centre (KMC) tetapi masih mengalami cirit-birit dipercayai tindak balas akibat tertelan air kumbahan itu.

“Doktor sudah mengambil sampel najis anak saya dan laporan berikutan cirit-birit yang dialaminya itu akan diketahui dalam tempoh antara dua hingga tiga hari lagi,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Kedah, Shahidan Abdul Rahman ketika dihubungi, berkata beliau sudah menghantar pegawai melihat lokasi kejadian dan mengarahkan kawasan itu dipagar dan lubang tangki kumbahan itu ditutup bagi mengelak kejadian berulang.

Katanya, pihaknya akan berbincang dengan ibu bapa Harris Sufian bersama PIBG hari ini bagi menyelesaikan masalah itu.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengapa lubang tangki itu tidak ditutup sebelum ini dan hanya berbuat demikian selepas kejadian itu berlaku, kelmarin. _ Mymetro

DUN Penanti: Umno putuskan esok


PETALING JAYA: Keputusan sama ada Umno akan meletakkan calonnya bertanding pada pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti bulan depan dijangka diputuskan esok.

Biro Politik Umno bermesyuarat petang esok.

Mesyuarat tersebut dijadual dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak di Putrajaya pukul 5 petang.

Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Rashid Shirlin ketika dihubungi mStar Online mengesahkan mengenai perkara tersebut.

"Ya, esok Biro Politik akan bermesyuarat bagi menentukan sama ada BN (Barisan Nasional) yang diwakili Umno akan bertanding atau tidak dalam pilihan raya kecil Penanti," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon bagi kerusi DUN Penanti ialah 23 Mei ini dan jika ada pertandingan, hari pengundian akan diadakan pada 31 Mei.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti 16 April lalu.

Maklumat yang diperoleh daripada lawan web Umno juga memberitahu mesyuarat berkenaan akan turut dihadiri oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib-naib Presiden iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Selain itu mesyuarat tersebut juga bakal dihadiri oleh ketua pergerakan sayap-sayap parti, Setiausaha Agung, Bendahari Agung, Ketua Penerangan dan Setiausa Kerja serta Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri-negeri.

Antara perkara lain yang dijangka akan turut dibincangkan ialah mengenai situasi politik semasa.

Kelmarin, Muhyiddin berkata, keputusan sama ada BN akan bertanding pada pilihan raya kecil Penanti akan ditentukan oleh Najib.

Muhyiddin berkata, Najib akan mengadakan perbincangan dengan Biro Politik parti yang dipengerusikannya dalam tempoh terdekat ini sebelum mengambil keputusan tentang perkara itu.

"Sebagai Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden Umno, Perdana Menteri akan berbincang dengan Biro Politik dalam tempoh terdekat ini dan akan membuat keputusan yang sewajarnya," katanya.

Semalam, PKR mengumumkan nama bakal calonnya, Mansor Othman iaitu Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan PKR Pulau Pinang.

Selain Mansor, kerusi itu dijangka akan turut ditanding bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah. _ Mstar


* Calon mestilah yang tidak malu untuk kalah

Sultan S'gor jalani pembedahan jantung di Amerika

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berangkat ke Amerika Syarikat pagi ini bagi menjalani rawatan jantung di sebuah pusat perubatan terkemuka di negara itu.

Menurut Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Ramli Mahmud, baginda akan menjalani pembedahan injap jantung pada 2 Mei ini di Pusat Perubatan Universiti Stanford, San Francisco.

Ramli memberitahu demikian dalam sidang media di pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) di Shah Alam pagi ini.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani Lela Bakti turut hadir dalam sidang media itu.

Menurut Ramli lagi, baginda akan menjalani pembedahan selama kira-kira enam jam.

Selepas pembedahan tersebut, katanya, baginda akan menerima rawatan susulan di hospital yang sama selama tiga minggu.

Ramli berkata, Sultan Selangor berlepas ke Amerika Syarikat dari Singapura kerana tiada penerbangan langsung dari Malaysia ke California.

Baginda diiringi adindanya, Tengku Ahmad Shah, doktor pakar daripada Malaysia, ahli Dewan Diraja Selangor dan dua sahabat baginda.

Sepanjang tempoh rawatan baginda, kata Ramli, masjid dan surau di negeri itu diminta mengadakan bacaan Yasin dan doa selamat serta menunaikan solat hajat selepas solat Jumaat. _ Malaysiakini

Selesema babi merebak ke 16 negara

Wabak selesema babi semakin merebak dan kes disahkan atau disyaki dilapor di 16 buah negara termasuk di Eropah dan Asia.

Kematian meningkat kepada 152 semalam berbanding 149 orang kelmarin.

Satu kes disyaki di Thailand, dua lagi di Singapura.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meningkatkan aras amaran dari tahap tiga kepada empat. - Utusan

* “Demi yang diriku berada ditanganya,sesungguhnya Ibn Maryam hampir akan turun di tengah-tengah kamu sebagai pemimpin yang adil,maka ia akan menghancurkan salib,membunuh babi,menolak upeti,melimpahkan harta sehingga tidak seorangpun yang mahu menerima pemberian dan sehingga satu kali sujud lebih baik dari dunia dan segala isinya” (HR. Bukhari,Muslim,Ahmad,Nasa’I,Ibn Majah dari Abi Hurairah)

Kes MB ke Mahkamah Tinggi

PUTRAJAYA 28 April - Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa pertikaian mengenai siapa Menteri Besar Perak yang sah, mesti didengar dan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi.

Panel lima hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff memutuskan demikian setelah mendapati wujud pertikaian fakta dalam permohonan yang dikemukakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (gambar).

Penghakiman sebulat suara itu turut diputuskan oleh Hakim Besar Malaya, Datuk Arifin Zakaria dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, Datuk Wira Mohd. Ghazali Mohd. Yusoff dan Datuk James Foong.

Mahkamah dengan itu menolak permohonan Zambry agar ia menggunakan Perkara 63 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak bagi memutus dan mentafsir tiga isu perlembagaan dalam Perkara 16(2) dan 16(6) undang-undang tersebut.

Tiga isu itu melibatkan tafsiran terhadap bidang kuasa Sultan Perak ketika melantik Menteri Besar dan sama ada pelantikan itu selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Dengan keputusan itu, bermakna permohonan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin untuk memeriksa balas Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid berhubung percanggahan fakta dalam afidavitnya akan didengar di Mahkamah Tinggi pada Isnin ini.

Pada 5 dan 6 Mei ini pula, Mahkamah Tinggi dijadualkan mendengar permohonan semakan kehakiman oleh Mohammad Nizar untuk mencabar pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar.

Dalam semakan kehakiman itu, Mohammad Nizar mendakwa dirinya masih Menteri Besar Perak yang sah berdasarkan kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak kerana beliau yang bertindak menasihati Sultan untuk membubarkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Selain itu, menurut Mohammad Nizar, beliau tidak pernah meletak jawatan mahupun terdapat sebarang undi tidak percaya dibuat terhadapnya supaya melepaskan jawatan.

Sementara itu, Mohammad Nizar dalam reaksi segera kepada pemberita di luar mahkamah menyatakan, keputusan itu memberi petanda bahawa masih terdapat ruang untuk meleraikan kebuntuan krisis kepimpinan politik di Perak.

Ekoran keputusan mahkamah itu, beliau menyatakan, sidang DUN yang dijadualkan pada 7 Mei ini elok ditangguhkan bagi membolehkan beberapa isu berbangkit diselesaikan terlebih dahulu.

Keputusan itu merupakan penghakiman kedua yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan apabila pada 23 Mac lalu ia memutuskan, isu berkaitan Perlembagaan Negeri Perak harus diputuskan di Mahkamah Tinggi dahulu dan hanya boleh dibawa ke mahkamah tertinggi negara melalui proses rayuan.

Panel itu berpendapat Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa memindahkan empat isu perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan mengikut Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman (COJA).

Ketika itu, isu perlembagaan tersebut melibatkan saman oleh tiga Ahli DUN Bebas terhadap Speaker DUN, V. Sivakumar yang memohon deklarasi bagi membatalkan keputusannya mengosongkan ketiga-tiga kerusi DUN terbabit.

Mereka ialah ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi; ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu dan ADUN Jelapang, Hee Yit Foong.

Terdahulu, peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Mohammad Nizar berhujah, Perkara 63 yang digunakan oleh Zambry untuk merujuk isu perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan, bukan merupakan peruntukan undang-undang yang sah.

Sementara itu, Datuk Cecil Abraham yang mewakili Zambry pula berhujah, wujud bukti kukuh berdasarkan dua surat Mohammad Nizar kepada Sultan Perak bertarikh 4 dan 5 Februari lalu yang menyangkal dakwaan bekas Menteri Besar Perak itu mengenai kewujudan pertikaian fakta seperti yang didakwanya. _ Utusan

Nizar - UMNO Tidak Berhak Melangkaui Keputusan Mahkamah Adakan Sidang DUN

UMNO perlu bersikap rasional dan menangguhkan sidang dewan undangan negeri Perak pada 7 Mei depan sehingga isu dua menteri besar Perak diselesaikan. Datuk Seri Nizar Jamaluddin berkata UMNO tidak perlu terlalu ghairah mengadakan sidang DUN itu apabila banyak persoalan mengenai perlembagaan negara dan negeri masih belum diputuskan.

Beliau berkata demikian setelah Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Zambry Abd Kadir dari UMNO untuk mendapatkan perisytiharan bahawa beliau adalah MB yang sah.

Panel lima hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff sebulat suara memutuskan bahawa pertikaian antara Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin mengenai siapa menteri besar yang sah akan didengar dan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi.

Di luar mahkamah, Mohd Nizar berkata kepada pemberita bahawa keputusan hari ini adalah petanda yang krisis politik Perak akan dapat mencapai penyelesaian muktamad.

"Saya harap persidangan Dewan Undangan Negeri 7 Mei ini ditangguhkan sehingga pertikaian ini diselesaikan di Mahkamah Tinggi. Tidak perlulah kita tergesa-gesa (untuk membuat persidangan itu) kerana terdapat banyak fakta-fakta yang dipertikaikan di sini," katanya.

Selain cuba memintas Mahkamah Tinggi, Zambry telah menggerakkan usaha untuk memanggil sidang Dewan Undangan Negeri pada 7 Mei. www.greenboc.blogspot.com

Sah! Mansor calon PKR pilihan raya kecil DUN Penanti


PETALING JAYA: Sah! Sebagaimana diramalkan sebelum ini bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mansor Othman akan diturunkan sebagai calon bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti mewakili Pakatan Rakyat.

Mansor merupakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang.

Ia diumumkan oleh Anwar yang juga Penasihat PKR di Yayasan Aman, Penanti dalam bahagian Permatang Pauh kira-kira pukul 10 malam tadi.

Menurut Anwar, Mansor akan dicalonkan untuk mengisi kekosongan kerusi Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang jika menang pilihan raya kecil ini.

Pengumuman mengenainya dibuat Anwar di hadapan kira-kira 1,000 penyokong.

Anwar berkata, pemilihan beliau sebagai calon adalah tepat berdasarkan latar belakang pendidikan yang tinggi, kekananannya dalam parti, seorang pemimpin yang matang dan kemampuannya menerajui perjuangan parti di negeri ini.

Mansor, 56, merupakan bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) dengan memiliki tiga ijazah sarjana.

Bekas Prof Madya di Pusat Penyelidikan Dasar Universiti Sains Malaysia (USM) itu memegang Sarjana Sains Kemasyarakatan dari USM serta Sarjana Sastera dan Sarjana Falsafah (M.Phil) dari University of Yale.

Anwar berkata, lewat petang semalam beliau telah mengadakan pertemuan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang turut dihadiri Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

"Mereka telah dimaklumkan mengenai cadangan calon Keadilan dan memberi perakuan untuk sama-sama membantu kempen PRK DUN Penanti kelak," kata dalam blog beliau.

Beliau merupakan antara pesaing utama untuk menjadi calon PKR pada pilihan raya kecil berkenaan.

Difahamkan, Mansor menjadi pilihan utama memandangkan beliau tidak dicalonkan mewakili PKR sebagai senator oleh Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang semalam.

Mansor pernah bertanding di peringkat DUN ketika pilihan raya umum Mac 2008.

Pilihan raya kecil Penanti adalah pilihan raya kecil keenam yang diadakan selepas pilihan raya umum pada 8 Mac tahun lepas.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Mei sebagai hari penamaan calon dan 31 Mei sebagai tarikh mengundi bagi pilihan raya kecil Penanti.

Kerusi Penanti kosong apabila Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang I Mohammad Fairus Khairuddin melepaskan jawatannya.

Pada Mac 2008, Fairus menewaskan calon BN. _ Mstar

28 April 2009

Pakatan: Larang pondok panas tidak munasabah

Pakatan Rakyat menyifatkan keputusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) melarang parti-parti yang bertanding mendirikan pondok panas dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti 31 Mei ini sebagai "tidak munasabah".

"Keputusan tersebut amat memeranjatkan kami. Dalam perbincangan (kami dengan SPR), mereka seolah-olah menerima dan kami optimistik tidak ada masalah," kata Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali.

Mustafa berkata perbincangan mereka dengan SPR berlangsung Khamis minggu lalu. Ia turut dihadiri Naib Presiden PKR, Sivarasa Rasiah; dua ahli jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mariah Mahmud dan Dr Dzulkifli Ahmad serta bendahari DAP, Fong Kui Lun.

Semalam Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, suruhanjaya itu melarang penggunaan pondok panas dan perayu undi dalam pilihanraya kecil kali ini.

Abdul Aziz berkata, ia bertujuan memastikan hari mengundi berjalan dengan "aman, tenang dan tanpa kesesakan lalulintas," selain "menyejukkan suasana" selepas berkempen.

Sementara itu, Sivarasa pula berkata, Pakatan Rakyat menolak keputusan SPR itu kerana ia melanggar Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.

"Kita telah teliti dari sudut undang-undang. Kita menolak pendirian SPR ini kerana pendirian tidak munasabah.

Tolak alasan SPR

"(Keputusan itu) tidak ikut undang-undang pilihanraya itu sendiri dan bercanggah dengan tafsiran mereka (SPR)," kata Sivarasa.

Beliau kemudiannya membacakan sepucuk surat dari SPR pada 2004 yang ditandatangani Datuk Wan Ahmad Wan Omar selaku setiausaha SPR ketika itu.

Dalam surat tersebut, Wan Ahmad membenarkan penubuhan pondok panas di luar kawasan sempadan 50 meter dari tempat mengundi.

Sivarasa yang juga ahli parlimen Subang berkata, pondok panas dibenarkan mengikut seksyen 24b (2) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.

Sementara itu, Mustafa berkata, Pakatan akan menemui SPR untuk berbincang mengenainya Khamis atau selewat-lewatnya minggu depan.

Dalam sidang media yang sama, Dr Mariah menolak alasan yang diberi oleh SPR untuk tidak membenarkan pondok panas didirikan.

"Sebenarnya, sudah cukup untuk tempatkan anggota polis di tempat mengundi (pada hari mengundi).

Tidak cetus pergaduhan

"Sebelum ini, tidak tercetus pergaduhan antara penyokong parti. Bersemangat lebih, biasalah," katanya.

Tambahnya, pondok panas merupakan satu tradisi sejak pilihanraya pertama negara pada 1959.

"Asalkan ia di luar jarak 50 meter dari kawasan tempat mengundi," kata Dr Mariah yang juga ahli Parlimen Kota Raja.

Menjawab soalan pemberita mengenai sejauhmana pentingnya pondok panas tersebut, Mustafa berkata:

"Ia penting. Pengundi boleh ulang semak sama ada nama pengundi ada ataupun tidak.

"Kalau tak ada (nama pengundi) kita boleh membuat semakan lagi dengan SPR," katanya. _ Malaysiakini

Tengku Temenggung K'tan hantar 'utusan damai' ke Jakarta

Tengku Temenggung Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Tuanku Ismail Petra telah menghantar "utusan" untuk menemui ibu mertuanya, Daisy Fajarina, di Jakarta bagi mendamaikan hubungan antara kedua belah pihak, kata teman rapat pasangan tersebut, Mohd Soberi Shafii.

Mohd Soberi - yang mengaku kerap bersama pasangan tersebut sejak pertemuan pertama Manoharan Odelia Pinot dengan Tengku Muhammad Fakhry tiga tahun lalu - berkata utusan tersebut berlepas ke Jakarta semalam.

"Beliau pergi jam 2 (petang semalam). Saya rasa ibu Manohara (Daisy) tidak mahu berjumpa. Tetapi kita hantarlah," katanya yang kerap menggunakan slanga Indonesia dalam perbualannya.

Mohd Soberi bersetuju menemui Malaysiakini, sebuah agensi berita Indonesia - Antara - dan sebuah stesyen TV republik itu - TVOne - untuk menceritakan versi beliau mengenai isu sensasi itu. Pertemuan hampir sejam itu berlangsung di sebuah hotel terkemuka di ibunegara petang semalam.

Menurut Mohd Soberi, utusan itu juga diminta terus menjaga kebajikan ibu bekas model terkenal itu dan kakak beliau, Dewi Asih Pinot.

"Istana tidak mahu campur," kata Mohd Sobri bahawa utusan tersebut bukan wakil rasmi Istana Kelantan.

Sehubungan itu, kata Mohd Soberi (foto), penyelesaian konflik pasangan tersebut kini "terpulang" kepada sikap ibu Manohara.

Tarik balik larangan

"(Perkara itu) terpulang kepada Daisy. Kalau (beliau kekal) agresif, masih berdendam, bagaimana (hendak selesai)?" kata Mohd Soberi Shafii.

Daisy sebelum ini mendakwa anaknya itu diculik dan didera kerabat diraja Kelantan itu, yang juga suaminya, dan juga mendakwa pernah didera, termasuk dilukakan di bahagian dada.

Isu itu mendapat perhatian besar, khususnya media Indonesia apabila Daisy tampil membuat kenyataan akhbar, mendesak campurtangan pemerintah republik itu.

Daisy juga berkata, beliau tidak dibenarkan masuk ke Malaysia, yang didakwanya atas arahan Istana Kelantan. Bagaimanapun, pihak imigresen menarik balik larangan tersebut Isnin lalu, atas Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Mohd Sobri juga berkata tidak perlu Duta Besar Indonesia di Malaysia, Dai Bachtiar membuat kunjungan ke Istana Kelantan berhubung perkara itu.

"Itu sudah jadi (hal) kerajaan. Kerajaan hendak masuk istana, kena sebaik-baiknya. Untuk apa (ke istana)? Kalau Pak Bachtiar pergi, tetapi ibu Daisy (foto) terus menghuru-harakan keadaan bagaimana?" soalnya.

Mengenai dakwaaan Daisy bahawa Tengku Temenggung Kelantan itu 'menculik' Manohara selepas selesai mengerjakan umrah, Mohd Soberi menjelaskan, ia berpunca daripada salah faham semata-mata.

"Pemandu di Jeddah tidak tahu. Dia bawa Daisy ke tempat jet (akan berlepas) juga. Itu yang jadi kelam-kabut sikit. Jet bila tutup pintu, tidak boleh buka dah.

Pulang dari Umrah

"Jadi, tertinggalah beliau (Daisy). Itu saja, itu yang beliau kata culik itu," katanya sambil menambah, Daisy sepatutnya pulang menaiki penerbangan lain.

Mohd Sobri berkata, beliau juga berada di situ dan menaiki jet yang sama dengan Tengku Temenggung dan isterinya pulang ke tanahair.

Menurutnya, turut bersama mereka ialah seorang pengawal peribadi suami isteri itu.

"Ejen perlancongan lupa cakap pada pemandu kereta. Sepatutnya (selepas) turun dari hotel, kita ke jet, beliau (Daisy) ke (penerbangan) komersial.

"Ibunya tak tahu. Bila ibu tengok anak naik jet, ibu menangis. Tetapi dalam kapal terbang, Manohara telefon beritahu (ibunya) mahu balik Kelantan dan ibu (pulang) ke jakarta," katanya.

Mohd Soberi mendakwa 'ketengangan' antara kedua pihak itu bermula apabila Daisy didakwa menuntut kerabat diraja itu melangsaikan hutangnya.

"Beliau (Daisy) minta supaya Tengku TT (Tengku Temenggung) bayar hutang. Sedangkan TT telah beri RM300,000," kata Mohd Sobri yang mendakwa hutang Daisy berjumlah RM600,000.

"Satu malam beliau bertempik di rumah Tengku TT, tempik macam orang gila. Kenapa tak bagi wang? Anak sudah dikahwini. (Tengku) TT kata hendak bayar, (dan minta) acknowledgement RM300,000 yang telah dibayar sebelum ini," kata Mohd Sobri.

'Berjanji di depan Kaabah'

Selepas itu, katanya, Daisy menerangkan kepada Tengku Temenggung mengenai perbelanjaannya dari wang tersebut.

"Di situ (Daisy) mula marah, kaburkan (bawa pergi) anaknya ke Jakarta," tambah Mohd Soberi.

Diminta menjelaskan keadaan semasa Manohara, beliau berkata, kedua pasangan itu sudah "berjanji dan berbai'ah" sebagai suami isteri daripada dunia sampai akhirat di depan Kaabah.

"Saya tanya Mano, masih mahu (bersama Tengku Temenggung)? (Katanya) Kalau tak mahu, saya sudah minta minta cerai. (Tengku) TT adalah lelaki pertama dan terakhir saya. Itulah ucapan Manohara setiap kali saya tanya, berpuluh kali," kata Mohd Soberi.

Beliau juga menjelaskan, Daisy dilarang masuk ke negara ini sebelum ini bagi mengelakkan beliau membuat 'kecoh' di Kelantan, tambahan lagi ketika itu menjelang hari keputeraan Sultan Kelantan Mac tahun lalu.

"Di sana beliau beritahu ejen perlancongan mahu ke Kelantan, suruh Manohara minta cerai. Mahu bawa balik Manohara. Kalau tak, beliau kecohkan hari keputeraan (Sultan). Ibu Daisy ini agresif, beliau tak takut sesiapa," katanya.

Mohd Sobri berkata, pertemuan ibunya dengan gadis berumur 17 tahun itu tidak sesuai diadakan pada masa ini.

"Kalau kita pertemukan (mereka) saat ini, saat beliau marah dan berdendam, beliau nanti menghasut anaknya, (dengan berkata) kamu sayang akukah? Kamu mahu lihat aku matikah? Jadi Manohara tidak boleh stand itu," katanya.

Sementara itu, usaha Malaysiakini beberapa kali untuk menghubungi Daisy bagi mendapatkan penjelasannya berhubung dakwaan Mohd Soberi, setakat ini belum berhasil. _ Malaysiakini

Cadangan kerajaan perpaduan: Nik Aziz setuju dengan syarat

KOTA BHARU 27 April – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersedia untuk menerima kerajaan perpaduan yang dicadangkan oleh Presiden parti itu dengan syarat Barisan Nasional (BN) memberikan jawatan-jawatan penting seperti Menteri Kewangan dan Menteri Pelajaran.

Menteri Besar Kelantan itu dipetik sebagai berkata dalam blog anaknya, Nik Abduh: ‘‘Ya, jika BN mahu kita bersama, mereka mestilah bersedia memberikan kita jawatan-jawatan yang penting yang kita akan laksanakan program Islam di dalamnya.

‘‘Berikan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pelajaran misalnya. Kita nak jadi Perdana Menteri, mesti mereka tidak terima. Jadi, kita minta apa yang penting untuk kepentingan rakyat dan negara. Kita boleh bersama.’’

Nik Abduh menjelaskan jawapan tersebut diungkapkan oleh bapanya ketika beliau membangkitkan soal penerimaan kerajaan BN dan pakatan pembangkang yang disifatkan kedua-duanya bukan daripada jenis negara Islam - ketika mereka berdua sedang berbual.

Bagaimanapun, Nik Abduh ketika dihubungi Utusan Malaysia untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tulisannya itu memberitahu, beliau akan hanya menjelaskan semuanya dalam blog tersebut pada masa akan datang.

Dalam blognya itu, beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas Kelantan menyifatkan, pembantu-pembantu ayahnya memberikan gambaran salah tentang situasi yang berlaku demi meraih keuntungan politik sehingga menunjukkan seolah-olah budaya kotor mula menular dalam Pas.

“Justeru, fahami ini bahawa Unity Government yang ditolak ayahanda adalah jenis kerajaan yang difahamkan kepadanya oleh pembantu-pembantu ayahanda yang ‘berpakaian’ serba tahu. Mereka seronok untuk melaga-lagakan di antara ayahanda saya dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Mereka menyangka, mereka telah melakukan kebaikan, sedangkan telah sesat segala usaha mereka di sisi Tuhan. Semoga Allah membalas mereka dengan kejahatan yang mereka lakukan!” katanya.

Katanya lagi, ia terbukti apabila bapanya berhenti daripada mengeluarkan kenyataan berhubung isu muzakarah dan kerajaan perpaduan selepas mengadakan pertemuan dengan Abdul Hadi dan 10 ulama Pas.

Menurutnya, sesetengah pembantu bapanya berasa iri dan hasad selepas penghormatan itu gagal menempatkan diri mereka.

‘‘Bagaimana mereka akan memperolehnya, sedang mereka hanya belajar agama sekadar ‘mi celup’, lalu mendakwa mereka pun ulama juga dengan istilah-istilah agama yang dihafal, bukan difaqihi?

“Modus operandinya sama. Selepas pertemuan ayahanda dengan ulama Pas di JKR 10 beberapa bulan lepas, ayahanda menerima muzakarah atau muqabalah selepas bermatian menolaknya.

“Saya diberitahu daripada sumber yang diyakini, sesetengah pembantu ayahanda ini menyumpah seranah kerana kegagalan mereka mengekalkan ayahanda dalam suasana ‘keruh’ dan ‘panas’ dengan Abdul Hadi.

‘‘Mereka gagal selepas mereka yakin berjaya. Allah menggagalkan usaha jahat mereka,” jelasnya.

Katanya lagi, ia juga merupakan salah satu usaha para pembantu terbabit untuk mendapatkan restu bagi calon mereka untuk menghadapi pemilihan parti Jun nanti.

“Menghampiri proses pemilihan menjelang Muktamar Pas nanti, anda sedang menyaksikan usaha daripada pelbagai sudut dan penjuru, jauh dan dekat oleh sesetengah yang mungkin saja saya sifatkan sebagai sekumpulan ‘pejuang nafsu’ yang tersusun untuk memisahkan di antara ulama yang disayangi rakyat.

“Ayahanda digunakan. Inilah calon restuan Tuan Guru Nik Abdul Aziz! Inilah calon restuan Kelantan! Bukankah sebelum ayahanda berangkat ke Mekah, beliau secara jelas mengumumkan untuk tidak berpihak dan menyatakan keengganannya bersuara, bimbang ia mengganggu emosi ahli-ahli Pas di dalam kebebasan memilih,” katanya. _ Utusan

Shafie tidak berhasrat jadi MB Kedah...

Datuk Seri Shafie Mohd Apdal berkata, pelantikannya sebagai pengerusi badan perhubungan Umno Kedah tidak mendapat bantahan mana-mana pihak di negeri tersebut.

"Malah saya tiada agenda untuk bertanding atau berhasrat menjadi Menteri Besar Kedah, cuma satu sahaja iaitu mengembalikan kuasa pemerintahan kepada BN," katanya.

Beliau juga menganggap pelantikannya itu "hanyalah sebagai satu lagi tambahan untuk memperkuat dan mengukuhkan lagi Umno Kedah, dan bukan bermakna negeri ini tiada calon berkaliber untuk dilantik memegang jawatan itu".

Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, memberitahu pemberita demikian selepas jamuan makan malam bersama Umno bahagian Langkawi di Langkawi malam tadi, lapor Bernama

Beliau juga ditanya mengenai ketidakhadiran semua ketua bahagian di majli situ malam tadi, iaitu pertemuan pertama selepas pelantikannya menerajuk Umno Kedah.

Dalam jawapannya, Shafie berkata ia kerana majlis berkenaan diatur dalam masa singkat oleh Umno Langkawi.

Katanya, mesyuarat dengan semua ketua bahagian akan diadakan tidak lama lagi.

Strategi tawan Kedah

Mengenai barisan jawatankuasa baru Umno Kedah, Shafie berkata, beliau akan berbincang dengan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak terlebih dahulu sebelum mengumumkannya.

Beliau juga akan memanggil semua anggota komponen BN untuk bermesyuarat dan menyusun semula gerak kerja yang perlu dilaksanakan bagi menambat semula hati pengundi dewasa dan muda.

"Saya memerlukan kerjasama semua pihak bagi menjayakan agenda ini kerana tidak berupaya melaksanakannya berseorangan.

"Kedah memiliki asas yang cukup kuat dan tiada masalah besar mengukuhkan semula kedudukannya agar mendapat tempat di hati rakyat," katanya.

Shafie juga menggariskan dua faktor sekiranya parti itu mahu menawan semula Kedah daripada pembangkang pada pilihanraya umum akan datang.

Katanya, ahli Umno perlu bersatu mengukuhkan perpaduan dan pemimpin hendaklah bekerja kuat untuk berkhidmat pada masyarakat dan mengutamakan rakyat.

"Rakyat akan melihat kepada dua faktor ini kerana ia adalah kunci untuk memulihkan kepercayaan mereka yang akan menilai sebelum memilih Umno semula dan BN amnya.

"Saya percaya dan yakin jika ini menjadi pegangan Umno, tiada sebab mengapa ia tidak boleh mengambil alih semula tampuk pemerintahan," katanya. _ Malaysiakini

* Berhasrat menjadi PM...

27 April 2009

980 juta unit ASW habis dilanggan dalam tempoh 3 jam 50 minit

JOHOR BAHRU 27 April – Sebanyak 980 juta unit Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) atau 49 peratus daripada dua bilion unit yang diperuntukkan telah habis dilanggan dalam tempoh tiga jam 50 minit.

Presiden dan Ketua Eksekutif Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, 49 peratus unit yang habis dilanggan itu adalah bagi bukan bumiputera, manakala unit untuk bumiputera masih lagi dijual. - Utusan

PKR pilih Mansor ganti Fairus

PKR akhirnya menemui calon timbalan satu ketua menteri Pulau Pinang bagi menggantikan Mohammad Fairus Khairuddin yang meletakkan jawatan tersebut awal bulan ini.

Timbalan ketua perhubungan PKR negeri Dr Mansor Othman - seperti diura-urakan sebelumnya - disebut-sebut terpilih mewakili parti itu dalam pilihanraya kecil Penanti bulan depan.

Nama tokoh kanan PKR itu akan diumumkan oleh penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu program di Yayasan Aman di kawasan Permatang Pauh, malam esok.

Pilihanraya kecil kerusi DUN itu dijadual diadakan antara 23 hingga 31 Mei ini susulan kekosongan yang ditinggalkan oleh Mohammad Fairus.

Selain timbalan Lim Guan Eng, beliau juga meletakkan jawatan exco pada 8 April lalu dan kemudian melepaskan jawatan ADUN pada 16 April lepas.

Kekosongan jawatan kedua penting itu pernah menimbulkan salah faham terbuka antara ketua menteri dan Anwar kira-kira dua minggu lepas berhubung kelewatan mencari pengganti Mohammad Fairus. _ Malaysiakini

Dakwaan Nik Abduh timbulkan kekeliruan...

Seorang naib presiden terkejut dengan dakwaan bahawa pembantu-pembantu Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat berusaha untuk melaga-lagakan menteri besar Kelantan itu dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu kerajaan perpaduan.

Dakwaan tersebut dibuat oleh anak Nik Aziz sendiri - Nik Abduh yang juga timbalan ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan - dalam blognya Jumaat lalu.

Naib presiden tersebut, Ahmad Awang berkata, dakwaan tersebut boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan pemimpin dan ahli PAS mengenai siapakah yang dimaksudkannya.

Ahmad juga terkejut dengan tulisan Nik Abduh yang dianggap kasar apabila menyifatkan usaha pembantu Nik Aziz tersebut sebagai satu usaha yang 'sesat'.

"Saya sendiri terperanjat, Nik Abduh cakap macam itu.

"Satu perkataan... 'sesat'. Terperanjat juga dia (Nik Abduh) tulis begitu," kata Ahmad ketika dihubungi Malaysiakini.

Dalam blognya itu, Nik Abduh yang juga ahli jawatankuasa Dewan Pemuda PAS pusat, menghentam pembantu-pembantu bapanya yang didakwanya bertanggungjawab menyebabkan Nik Aziz pada mulanya menolak cadangan kerajaan perpaduan itu yang dibuat oleh Abdul Hadi.

Timbul kekeliruan

Nik Abduh menulis: "Kerajaan perpaduan yang ditolak ayahanda adalah jenis kerajaan yang difahamkan kepadanya oleh pembantu-pembantu ayahanda yang berpakaian serba tahu. Mereka seronok untuk melaga-lagakan antara TGNA (Tuan Guru Nik Aziz) dan TGHH (Tuan Guru Haji Hadi). Mereka menyangka mereka telah melakukan kebaikan, sedang telah sesatlah segala usaha mereka di sisi tuhan. Semoga Allah membalasi mereka dengan kejahatan yang mereka lakukan!".

Mengenai pembantu-pembantu Nik Aziz itu yang dirujuk oleh penulis, Ahmad berkata: "(Oleh kerana) pembantu-pembantu itu disebut secara umum, tidak secara khusus, ia boleh menimbulkan kekeliruan.

"Tetapi sekadar tafsiran, (mereka boleh jadi) orang-orang yang bersama Tok Guru (Nik Aziz) di Kelantan... orang di sekeliling Tok Guru dalam kerajaan (negeri)... exco dan pimpinan parti," katanya.

Sebaliknya, kata Ahmad, beliau tidak nampak adanya elemen untuk melaga-lagakan Nik Aziz dengan Abdul Hadi tetapi mengakui pada umumnya mereka ada perbezaan pendapat tetapi tidak sampai ke peringkat berlaku 'pergeseran'.

Maka, katanya, terdapatlah pemimpin PAS yang bersetuju dengan pandangan menteri besar Kelantan itu dan ada pula yang bersetuju dengan pendapat ahli Parlimen Marang itu.

"Bukan disengajakan jadi begitu," kata Ahmad sambil menambah bahawa beliau difahamkan terdapat pertemuan antara Nik Aziz dan Abdul Hadi berhubung isu kerajaan perpaduan di Kelantan.

Cadangan ditangguhkan

Perbezaan pandangan itu antaranya mungkin disebabkan oleh kepimpinan parti yang lambat menjelaskan isu kerajaan perpaduan kepada Nik Aziz, tambahnya

Menurut Ahmad lagi, pertemuan tersebut berlangsung kira-kira sebulan yang lalu - sebelum hari penamaan calon bagi pilihanraya kecil parlimen Bukit Gantang, DUN Bukit Selambau dan Batang Ai.

Selepas pertemuan tersebut, tambahnya, Nik Aziz sudah memahami cadangan yang diusulkan oleh Abdul Hadi itu.

"Tak timbul masalah salah faham tentang kerajaan perpaduan," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan Nik Abduh itu, Ahmad berkata: "Hanya Nik Abduh sahaja yang boleh memberi penjelasan mengenai perkara tersebut".

Sabtu lalu, Abdul Hadi dilaporkan berkata, PAS menangguhkan cadangan untuk menubuhkan kerajaan perpaduan kerana ingin menilai terlebih dahulu pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. _ Malaysiakini

* Pandangan berbeza itu khilaf bukan sesat

Saravanan publisitikan doktor culas dikesali

KUALA LUMPUR 27 April — CUEPACS hari ini menyatakan rasa “kesal mendalam” terhadap cara Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan menangani kes dua orang doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang didapati “culas" bertugas.

Saravanan sepatutnya lebih berhati-hati dan diplomasi, daripada hanya menghebohkannya di akhbar, kata setiausaha agung CUEPACS, Ahmad Shah Md. Zin.

“Memang sebagai seorang ahli politik, beliau meraih beberapa poin, tapi siapa yang teraniaya?” tanya Ahmad Shah.

Beliau mengulas kejadian semalam di unit kecemasan hospital itu, di mana Saravanan “mengesan” seorang doktor sedang membaca surat khabar dan seorang lagi membuat kerja sendiri ketika ramai pesakit menunggu di luar.

Beliau berkata, walaupun CUEPACS tidak akan membiarkan kakitangan awam yang tidak menjalankan kerja dengan baik, tetapi dalam kes ini, adalah amat tidak adil bagi Saravanan menghebohkan kejadian itu yang mungkin merupakan hanya satu kes terpencil.

Ahmad Shah berkata, sebagai tanda beradab, Saravanan boleh membawa perkara itu kepada Pengarah hospital dan Menteri Kesihatan daripada menghebohkannya kepada media dan seluruh dunia. - Bernama

* Selagi tidak dipolitikkan, selagi itu tidak berubah. Isu Kugen, doktor pertama kata punca kematian paru-paru berair. Setelah dipolitikkan, doktor lain mengesahkan mati akibat di pukul polis.

13 tahun dah ketagih arak

KUALA LUMPUR: Tanpa segan silu, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun memberitahu “bapa saya tak marah pun” apabila disoal sejurus dia didapati leka meneguk arak murah di tepi longkang sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu kota di sini, awal pagi semalam.

Dia yang mengaku berasal dari Flet Sri Sabah di sini mendakwa mula ketagih arak murah selepas kerap kali diberikan rakannya.

Remaja yang masih bersekolah itu dikatakan bercakap merapu ketika ditahan polis dalam operasi bersepadu dilancarkan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Dalam operasi itu, polis menyerbu lorong gelap di Jalan Bukit Bintang dan Jalan Changkat Tamby yang dijadikan markas kegiatan tidak bermoral oleh remaja skinhead itu sejak sekian lama tanpa menghiraukan bau busuk longkang serta persekitaran kotor.

Ketika serbuan kawasan terbabit dikatakan dipenuhi dengan botol serta tin arak yang bersepah di atas jalan, dipercayai dibuang remaja berkenaan.

Dalam serbuan di Jalan Bukit Bintang dan Jalan Changkat Thamby, seramai 23 remaja iaitu 15 lelaki dan lapan gadis belasan tahun, ditahan selepas berada di bawah pengaruh arak.

Remaja perempuan terbabit juga didapati berpakaian menjolok mata.

Ketika serbuan kebanyakan mereka gagal meloloskan diri kerana sedang khayal, namun segelintir remaja cuba melarikan diri dalam keadaan terhoyong-hayang, tetapi dapat dipintas dan diberkas anggota polis.

Apabila ditanya, ada di kalangan remaja terbabit mengaku datang dari luar Lembah Klang termasuk dari Pahang. _ Mymetro

Kesihatan M. Rajoli Makin Pulih


Sudah lama kita tidak dengar cerita tentang M. Rajoli. Beliau yang menghidap penyakit kanser di kelenjar otak (lymphoma) sejak setahun lalu telah mendapat rawatan dan kini tidak mampu berjalan.

Dan pada Khamis (16 April) lalu, seramai 20 orang rakan artis mengadakan kunjungan di kediaman M. Rajoli di Menara Rajawali, AU2 Keramat, Kuala Lumpur.

Rombongan artis yang diketuai Timbalan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) itu yang juga Penerbit Eksekutif Excellent Pictures, Ahmad Idham Ahmad Nazri itu ialah Pengarah Urusan Global Network Entertainment, Den Wahab, Rebecca Nur Islam, Anne Abdullah, Kasmadiana dan Sharifah Shahira selain seniman veteran iaitu Anjang Aki (Baharuddin Haji Omar) dan Pak Aziz (Datuk Aziz Sattar).

Tidak ketinggalan pelakon Aida Aris, Imuda, Sulaiman Yassin, Lan Zailan dan Noniswara, selain wakil Juara Raja Lawak Astro (Musim Kedua), Nabil yang baru saja dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008.

Kesempatan itu turut digunakan oleh artis terbabit untuk menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian, selain bantuan kewangan bagi membantu membiayai kos perubatan M Rajoli, termasuk program fisioterapi di sebuah klinik di Taman Melawati, Hulu Klang.

Malah, Den turut bermurah hati menaja khidmat tukang urut berpengalaman, Wak Hassan yang didatangkan khas dari Pulau Jawa, Indonesia untuk memberikan rawatan kepada pelakon itu yang terkenal dengan watak warak yang sering dilakonkannya.

Berbanding keadaannya sebelum ini, M. Rajoli atau nama sebenarnya, Mohd Rajoli Mohd Zain semakin menunjukkan perkembangan positif, termasuk kemampuan bercakap walaupun tidak jelas, selain ceria dan berat badan bertambah.

Kak Mah yang juga merupakan isteri pertama M. Rajoli berkata, suaminya menunjukkan perkembangan positif sejak kebelakangan ini, sekali gus memberikan harapan kepadanya, begitu juga anak-anak untuk melihatnya kembali pulih seperti dulu, seterusnya beraksi di kaca TV dan layar perak.

Berikut semasa ditemubual oleh wartawan Melodi. _ www.ohartis.com

Pisang anggap kes Sufiah selesai

KUALA LUMPUR: “Sudah-sudahlah...kes mengenai Sufiah (Sufiah Yusuf, 24) kita anggap selesai,” kata Pengerusi Kumpulan Penyokong dan Pengasuh Profesional Islam (Pisang), Hamidi Abdul Rahman.

Hamidi yang dihubungi di England, semalam menyatakan wanita genius matematik itu kini diletakkan di bawah perlindungan khas Persatuan Masyarakat Melayu United Kingdom.

Bagaimanapun ketika diminta mengulas lanjut mengenai bentuk perlindungan yang diberikan kepada wanita yang mengejutkan banyak pihak tahun lalu kerana terbabit dalam kancah pelacuran itu, Hamidi berkata pihaknya menganggap kes Sufiah sudah selesai.

“Dia masih perlukan perlindungan dan bimbingan, itu saja yang boleh saya katakan,” katanya yang juga Presiden Persatuan Masyarakat Melayu United Kingdom.

Pihak Pisang dilaporkan menawarkan merawat Sufiah menerusi kaedah rawatan Islam sebelum wanita itu menyetujuinya dan Sufiah yang semakin pulih kini dikatakan aktif menjalankan kerja amal dengan membantu kanak-kanak malang di London. Mymetro

Perangkap mengena

AMPANG: Penyamaran hebat dan berkesan apabila ratusan Mat Rempit sekian lama bermaharaja di Jalan Lingkaran Tengah (MRR2) setiap malam minggu, akhirnya diberkas sekumpulan polis yang menyamar pelumba dan penonton lumba haram berkenaan.

Dalam kejadian jam 2 pagi semalam, kumpulan anggota polis terbabit sudah terlebih dahulu menyusup masuk ke sekitar kawasan berhampiran stesen minyak dan laluan sepanjang ‘litar’ satu kilometer berkenaan.

Sumber polis berkata, ada antara anggota polis terbabit turut menyamar dengan berpakaian persis Mat Rempit bagi memastikan operasi bersepadu membabitkan polis trafik dan Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang, berjaya.

Menurutnya, operasi hanya bermula selepas mendapati kawasan berkenaan semakin ‘panas’ apabila kebanyakan Mat Rempit terbabit muncul sebelum berlumba di laluan MRR2 hingga membahayakan pengguna lain.

“Malah aksi merempit terbabit kian hangat apabila ramai penonton membanjiri kawasan stesen minyak sambil meletakkan kereta di kawasan berkenaan.

“Sebaik perlumbaan dimulakan, polis tiba-tiba muncul sebelum mengepung kawasan berkenaan dengan 12 kereta peronda menyekat laluan lebuh raya,” katanya.

Ketika itu, ratusan Mat Rempit berusaha melarikan diri sehingga ada cuba merempuh sekatan polis serta melanggar motosikal polis trafik.

Akibatnya ada yang terjatuh sebelum kelam-kabut melarikan diri dengan meninggalkan motosikal masing-masing.

“Lebih 100 anggota polis yang menyertai operasi besar-besaran segera memberkas Mat Rempit. Akibatnya ada yang sanggup bergelut dengan anggota polis sebelum ditahan,” katanya.

Dalam operasi kira-kira lebih tiga jam itu, ratusan Mat Rempit diberkas selepas mati akal sejurus laluan lebuh raya berkenaan dikepung polis dari semua arah.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang merancang rapi operasi berkenaan berikutan kebanyakan Mat Rempit berasal dari daerah Ampang, Pandan dan Cheras terbabit kerap kali dapat meloloskan diri sebaik menyedari kehadiran polis.

Berikutan itu, anggota polis membuat perancangan teliti dan berhati-hati memerangkap Mat Rempit terbabit yang sering memecut dalam keadaan berbahaya pada malam minggu terutama antara susur keluar Taman Kencana menuju susur Jalan Ampang, dapat diberkas.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin, ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, 127 pembonceng motosikal diperiksa sebelum 160 saman dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan.

“Kita juga menyita 32 motorsikal terbabit dalam lumba haram dan menahan tiga lelaki berusia lingkungan 20-an kerana positif dadah.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati sebuah motosikal digunakan dalam perlumbaan berkenaan dicuri. Dalam operasi sama, kita menyita enam kereta dari 15 diperiksa kerana pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya.

Menurut Amiruddin, 147 anggota IPD Ampang Jaya, IPD Gombak dan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, terbabit dalam operasi berkenaan. _ Mymetro

* Apa kata sebat seorang satu kali.

‘Spiderman’ parah dibelasah penduduk

GOMBAK: Wang dicari, namun bala menanti apabila seorang ahli geng pecah rumah ‘Spiderman’ warga Indonesia parah dibelasah beramai-ramai sehingga lembik oleh penduduk yang geram dengan perbuatan suspek.

Sumber polis berkata, dalam kejadian awal pagi semalam, suspek cuba memecah masuk sebuah rumah penduduk berhampiran kawasan perumahan di Rawang, di sini.

Menurutnya, gelagat mangsa ketika itu cuba memanjat pintu pagar belakang rumah seorang penduduk bagaimanapun disedari jiran.

“Difahamkan penduduk berkenaan yang bekerja sebagai juru elektrik berusia 47 tahun memanggil dua lagi jiran berhampiran untuk memerangkap dan memberkas suspek.

“Bagaimanapun suspek yang menyedari tindakannya disedari penduduk segera memanjat ke atas bumbung rumah dalam usaha melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, suspek yang berjalan di atas bumbung lima rumah penghuni tiba-tiba tergelincir.

“Suspek yang hilang imbangan terjatuh sebelum ditangkap dan dibelasah orang awam yang berang berikutan kawasan terbabit kerap dimasuki pencuri.

“Suspek dipercayai dipukul bertalu-talu tanpa diberi peluang sehingga menyebabkan dia berdarah dan hampir pitam. Beberapa penduduk menghubungi polis sebelum anggota kereta peronda tiba memberkas suspek,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek sebelum ini pernah beberapa kali masuk ke negara ini menggunakan pasport sah untuk melakukan kegiatan jenayah.

“Turut ditemui pada suspek ialah telefon bimbit, wang tunai RM20 dan pasport miliknya. Berdasarkan pemeriksaan pasport, suspek kali terakhir masuk ke negara ini pada bulan lalu.

“Susulan kejadian itu, suspek dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan. Keadaannya yang parah bagaimanapun dilaporkan stabil,” katanya. _ Metro

Joli sakan wang tebusan RM1j

KUALA LUMPUR: Kumpulan penjenayah yang disyaki menculik seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun pada 10 April lalu, tidak menunggu lama untuk berjoli sakan dengan wang tebusan RM1 juta yang dibayar keluarga mangsa.

Mereka dikatakan turut membuat perancangan masa depan apabila membeli sebuah rumah mewah dan menjelaskan hutang along menggunakan wang itu.

Mereka juga dipercayai sudah menempah kereta mewah, namun hajat itu tidak tercapai apabila 16 daripada mereka ditangkap dan hasil soal siasat, polis berjaya menemui semula baki wang tebusan berjumlah RM300,000.

Siasatan polis turut membawa kepada satu lagi serbuan di sebuah premis di Bandar Sunway, di sini, kelmarin yang berjaya menahan seorang lagi suspek wanita berusia 20-an untuk membantu penyiasatan kes terbabit.

Suspek ke-17 yang ditahan berhubung kes itu sebelum ini dikatakan pernah bekerja dengan bapa mangsa sebagai pembantu kedai. Dia juga dipercayai digunakan kumpulan penjenayah itu untuk mendapatkan butiran latar belakang keluarga mangsa.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mortadza Nazarene, berkata wanita berkenaan yang dipercayai teman wanita seorang daripada suspek, ditahan pada jam 5 petang.

“Wanita terbabit kini direman sehingga Khamis untuk membantu siasatan berhubung kes culik terbabit,” katanya ketika dihubungi.

Polis sebelum ini menahan 16 individu terdiri sekumpulan suri rumah termasuk seorang warga emas berusia 70 tahun yang dikenal pasti menjadi antara dalang utama kes penculikan kanak-kanak terbabit.

Mereka dikatakan menuntut wang tebusan berjumlah RM1 juta sebagai syarat membebaskan kanak-kanak berkenaan yang diculik di perkarangan rumahnya di Damansara, Petaling Jaya, pada 10 April lalu.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa dan ibunya dalam perjalanan ke sekolah berhampiran kediaman mereka sebelum empat lelaki tiba-tiba menyerang mereka dan melarikan kanak-kanak itu.

Susulan laporan polis dibuat keluarga mangsa, polis Bukit Aman mengadakan operasi besar-besaran mengesan kumpulan penjenayah itu. _ Metro

Isteri bawa anak jumpa teman lelaki

SERI MANJUNG: Kepercayaan yang diberikan seorang suami kepada isterinya dikhianati selepas isteri yang dikahwini sejak empat tahun lalu ditangkap khalwat bersama seorang lelaki di sebuah hotel di Lumut, dekat sini, dalam satu serbuan oleh Pejabat Agama Islam Daerah Manjung, awal pagi semalam.

Seramai 60 anggota bahagian penguat kuasa terbabit dalam operasi pencegahan jenayah syariah yang memulakan operasi seawal jam 12 tengahari kelmarin dan berakhir pada 9 pagi semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 4 pagi itu, wanita berusia 23 tahun itu ditahan bersama teman lelakinya yang berusia 29 tahun dalam keadaan berpakaian.

Namun, lebih mengejutkan, wanita berkenaan turut membawa anak perempuannya berusia tiga tahun dan dipercayai memberi alasan kepada suaminya bahawa kedatangannya ke situ untuk mengunjungi satu karnival yang sedang berlangsung.

Ketua Penguatkuasa Agama Daerah Manjung, Hafez Rezal Abdul Manan, berkata wanita berasal dari Pulau Pinang itu dipercayai memberi alasan kepada suaminya untuk mengunjungi karnival berkenaan dengan menaiki bas untuk datang ke sini bersama anaknya.

Beliau berkata, kehadiran wanita itu untuk bertemu kekasihnya yang juga seorang anggota tentera memang mengejutkan apabila wanita berkenaan membawa anaknya untuk berjumpa teman lelakinya itu.

“Malah, ketika serbuan dilakukan, teman lelaki wanita itu bertindak berani apabila dia nekad terjun melalui tingkap dari tingkat satu hotel berkenaan berikutan takut dan terkejut dengan kedatangan anggota penguat kuasa.

“Bagaimanapun, tindakan pantas anggota penguat kuasa yang bersedia di bawah berjaya menahan lelaki berkenaan sebelum kedua-dua mereka dibawa ke pejabat agama Islam,” katanya yang ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, seramai lima pasangan berusia antara 16 hingga 45 tahun turut ditahan atas kesalahan berkhalwat di beberapa hotel berasingan di sekitar Lumut dan Sitiawan.

Semua pasangan itu akan didakwa di bawah Seksyen 59, Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992. _Metro

Biar mereka serik

KUALA LUMPUR: Perlu sebat! Itulah jawapan umat Islam apabila ditanya mengenai cadangan menguatkuasakan hukuman sebat terhadap pesalah jenayah syariah.

Hukuman itu memang menggerunkan dan pastinya membuatkan umat Islam berfikir panjang sebelum melakukan perbuatan jenayah.

Tinjauan Harian Metro mendapati cadangan hukuman sebat mendapat sokongan dan amat dialu-alukan masyarakat sebagai cara mengurangkan peningkatan kes jenayah syariah.

Pengurus kewangan di sebuah syarikat swasta, Ali Matarsat, 53, berkata penguatkuasaan hukuman sebat wajib dilakukan sejak dulu bertujuan mengelakkan peningkatan jenayah syariah di kalangan masyarakat.

Bagaimanapun menurutnya, ada beberapa perkara perlu diperjelaskan dan diberi pemahaman kepada masyarakat umum sebelum pelaksanaannya dilakukan secara menyeluruh.


Bagi penjawat awam, Kama Azizi Kamarulzaman, 25, sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk dengan pelbagai kepercayaan dan agama dianuti, hukuman itu pastinya akan memberikan ketidakselesaan kepada orang bukan Islam.

Oleh itu, katanya, pengkhususan hukuman itu dikenakan perlu dilakukan agar penganut agama lain tidak panik serta bimbang dengan pelaksanaan hukuman.

Kerani akaun, Siti Hajar Aishah Abd Razak, 21, berkata jumlah sebatan dikenakan kepada pesalah perlu mengikut jenis kesalahan yang dilakukan.

“Kalau setakat penjara dan kemudian diikat jamin pasti kejadian sama berulang dan mereka tidak akan serik untuk mengulanginya memandangkan denda dikenakan tidak memberikan apa-apa kesan.

“Lebih teruk kesalahan dilakukan jumlah sebatan dikenakan harus banyak agar setimpal dengan jenayah terbabit agar mereka bertaubat dan tidak mengulanginya,” katanya.

Eksekutif perladangan, Saiful Azwa Md Sah, 27, berkata cadangan penguatkuasaan hukuman sebat perlu diteliti dengan serius oleh pihak berkuasa.

“Pihak berkuasa perlu tegas dan teguh dalam melaksanakannya, jika tidak masalah ini akan semakin menjadi-jadi,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, dipetik berkata hukuman bagi kesalahan jenayah syariah mungkin dirombak dan seterusnya ditingkatkan, termasuk hukuman sebat dalam usaha kerajaan membendung peningkatan kesalahan itu yang berlaku setiap tahun.

Beliau berkata, ketika ini, masyarakat Islam beranggapan hukuman yang dikenakan mahkamah syariah adalah rendah.

“Seringkali hukuman diputuskan berbentuk denda. Oleh kerana itulah menjadi faktor penyumbang kepada peningkatan statistik kesalahan jenayah syariah saban tahun kerana masyarakat menganggap undang-undang syariah remeh,” katanya selepas merasmikan Seminar Hukuman Sebat Jenayah Syariah anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. _ Metro

* Hukuman perlu disaksikan orang ramai agar memberi kesedaran kepada semua.

Tendang motosikal penyamun

KUALA LUMPUR: Tindakan berani seorang lelaki berusia 28 tahun menendang motosikal yang ditunggangi dua penjenayah mematahkan cubaan samun di Jinjang Selatan, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, lelaki yang mahu dikenali sebagai Wong, mendakwa sedang berehat di hadapan rumahnya sebelum ternampak dua lelaki menunggang sebuah motosikal tanpa memasang lampu dalam keadaan mencurigakan di hadapan rumah jirannya.

“Kelibat mereka itu menyebabkan saya yakin mereka penjenayah. Jadi, saya perhatikan saja dari jauh.

“Sebaik jiran saya yang bekerja sebagai jurujual itu keluar rumah, saya melihat dua lelaki terbabit cuba menghampirinya.

“Saya sempat melihat pembonceng motosikal itu turun sebelum cuba pukul jiran saya dengan topi keledar.


“Bagaimanapun, jiran saya sempat melarikan diri dan meninggalkan kenderaannya. Saya terus berlari mengejar dua lelaki itu apabila jiran saya menjerit ada orang mahu menyamunnya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Wong berkata, suspek segera memecut motosikal menghala simpang keluar dari kawasan perumahan itu, tetapi dia sempat menendang motosikal berkenaan menyebabkan mereka terjatuh.

“Selepas itu saya terus melompat ke arah mereka sebelum bergelut dan dibantu beberapa pelanggan sebuah restoran yang menjamu selera berhampiran kawasan berkenaan.

“Kami menahan kedua-dua suspek selepas bergelut dan menghubungi polis,” katanya.

Empat anggota polis tiba tiba di tempat kejadian lima minit kemudian dan suspek dibawa ke Balai Polis Jinjang untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada individu berkenaan yang bertindak berani ketika berdepan situasi seumpama itu.

“Kami berbangga dengan keberaniannya itu dan yakin sekiranya semua rakyat negara ini mengamalkan sikap seperti demikian, jenayah samun akan dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya.

Zakaria berkata, kedua-dua supek berusia awal 20-an itu dipercayai sudah lama melakukan kegiatan samun di sekitar Lembah Klang berdasarkan taktik yang mereka gunakan.

“Kami masih menyiasat dan siasatan dilakukan mengikut Sekyen 374 Kanun Keseksaan,” katanya.

* Apa kata beri ganjaran RM1000 untuk seekor penjenayah yang berjaya ditangkap