27 April 2009

Perangkap mengena

AMPANG: Penyamaran hebat dan berkesan apabila ratusan Mat Rempit sekian lama bermaharaja di Jalan Lingkaran Tengah (MRR2) setiap malam minggu, akhirnya diberkas sekumpulan polis yang menyamar pelumba dan penonton lumba haram berkenaan.

Dalam kejadian jam 2 pagi semalam, kumpulan anggota polis terbabit sudah terlebih dahulu menyusup masuk ke sekitar kawasan berhampiran stesen minyak dan laluan sepanjang ‘litar’ satu kilometer berkenaan.

Sumber polis berkata, ada antara anggota polis terbabit turut menyamar dengan berpakaian persis Mat Rempit bagi memastikan operasi bersepadu membabitkan polis trafik dan Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang, berjaya.

Menurutnya, operasi hanya bermula selepas mendapati kawasan berkenaan semakin ‘panas’ apabila kebanyakan Mat Rempit terbabit muncul sebelum berlumba di laluan MRR2 hingga membahayakan pengguna lain.

“Malah aksi merempit terbabit kian hangat apabila ramai penonton membanjiri kawasan stesen minyak sambil meletakkan kereta di kawasan berkenaan.

“Sebaik perlumbaan dimulakan, polis tiba-tiba muncul sebelum mengepung kawasan berkenaan dengan 12 kereta peronda menyekat laluan lebuh raya,” katanya.

Ketika itu, ratusan Mat Rempit berusaha melarikan diri sehingga ada cuba merempuh sekatan polis serta melanggar motosikal polis trafik.

Akibatnya ada yang terjatuh sebelum kelam-kabut melarikan diri dengan meninggalkan motosikal masing-masing.

“Lebih 100 anggota polis yang menyertai operasi besar-besaran segera memberkas Mat Rempit. Akibatnya ada yang sanggup bergelut dengan anggota polis sebelum ditahan,” katanya.

Dalam operasi kira-kira lebih tiga jam itu, ratusan Mat Rempit diberkas selepas mati akal sejurus laluan lebuh raya berkenaan dikepung polis dari semua arah.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang merancang rapi operasi berkenaan berikutan kebanyakan Mat Rempit berasal dari daerah Ampang, Pandan dan Cheras terbabit kerap kali dapat meloloskan diri sebaik menyedari kehadiran polis.

Berikutan itu, anggota polis membuat perancangan teliti dan berhati-hati memerangkap Mat Rempit terbabit yang sering memecut dalam keadaan berbahaya pada malam minggu terutama antara susur keluar Taman Kencana menuju susur Jalan Ampang, dapat diberkas.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin, ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, 127 pembonceng motosikal diperiksa sebelum 160 saman dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan.

“Kita juga menyita 32 motorsikal terbabit dalam lumba haram dan menahan tiga lelaki berusia lingkungan 20-an kerana positif dadah.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati sebuah motosikal digunakan dalam perlumbaan berkenaan dicuri. Dalam operasi sama, kita menyita enam kereta dari 15 diperiksa kerana pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya.

Menurut Amiruddin, 147 anggota IPD Ampang Jaya, IPD Gombak dan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, terbabit dalam operasi berkenaan. _ Mymetro

* Apa kata sebat seorang satu kali.

No comments:

Post a Comment