30 April 2009

Pemuda Pas PP tetap mahu letak calon di Penanti

PULAU PINANG 29 April — Pemuda PAS Pulau Pinang tetap mahu meletakkan calon mereka pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti 31 Mei ini.

Ketuanya Mohd Hafiz Mohd Nordin berkata satu perbincangan dengan presiden parti berhubung hal itu akan diadakan dalam tempoh terdekat ini.

“Ini adalah permintaan akar umbi yang mahukan PAS mengambil balik kawasan itu, Pemuda sendiri telah mempunyai calon yang sesuai,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Semalam, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang , Mansor Othman, 56, dipilih sebagai calon parti itu untuk bertanding pada pilihan raya kecil DUN Penanti.

Kerusi itu kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM1) Mohammad Fairus Khairuddin.

Mohd Hafiz berkata setakat ini belum ada sebarang perbincangan yang dibuat antara PAS dengan Penasihat PKR itu berhubung calon Pemuda PAS yang turut akan bertanding di DUN Penanti.

DUN Penanti mempunyai 15,384 pemilih berdaftar - 72.68 peratus daripadanya pengundi Melayu, 24.22 peratus Cina, 2.39 peratus India dan 0.71 peratus lain-lain bangsa.

— BERNAMA

* Cuba belajar bekerjasama

1 comment:

  1. Kalau Pemuda PAS Pulau Pinang merasakan parti mereka sudah boleh berdiri sendiri tanpa perlu disokong oleh parti komponen yang lain, teruskan permintaan akar umbi yang mahukan PAS mengambil balik kawasan itu.

    PKR nak timbulkan isu apa dan PAS pula nak kempen dengan isu apa...?Bila dah jadi cacamarba, eloklah pengundi di Penanti pilih Barisan Nasional demi "satu Malaysia".

    ReplyDelete