30 April 2009

1Malaysia Gah Di Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April (Bernama) -- Konsep 1Malaysia yang diilhamkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak kini gah diperkatakan di negara lain.

Perdana Menteri berkata bahawa dalam lawatan dua harinya ke Brunei berakhir hari ini, ramai pemimpin di sini bertanyakan kepada beliau mengenai konsep itu yang merupakan bahagian penting kepada slogan "1Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan".

Berucap semasa bersarapan dengan masyarakat Malaysia di sini hari ini, Najib berkata beliau bangga kerana pemimpin-pemimpin Brunei mengikuti dengan penuh minat perkembangan di Malaysia.

"Malah saya rasa terharu apabila mereka sebut tentang beberapa perkembangan di negara kita, termasuk juga cogan kata saya pun mereka dah hafal. Mereka kata cogan kata itu amat tepat dan mencerminkan langkah ke hadapan bagi Malaysia untuk kita mengukuhkan lagi hubungan etnik.

"Kalau kita dapat tunjukkan kekuatan dalaman kita, maka potensi Malaysia sebagai sebuah negara, amat besar," katanya.

Dalam ucapannya, Najib berkata beliau akan melaksanakan tugasnya dengan sebaik mungkin dan akan menjadi seorang pemimpin yang berjiwa rakyat. Beliau juga berkata bahawa pertemuan empat matanya dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah malam tadi yang dijadual selama 30 minit, telah berlanjutan sehingga lebih satu jam dan berlangsung dalam suasana yang amat mesra.

"Hasrat saya adalah untuk meneruskan apa juga yang diusahakan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi dan mencari jalan bagaimana kita (Malaysia dan Brunei) boleh memajukan lagi hubungan melalui tumpuan terhadap kerjasama khusus," katanya.

Najib juga berkata adalah penting bagi negara-negara Asean untuk mengekalkan hubungan yang baik kerana itulah satu-satunya cara untuk membuktikan bahawa rantau ini berada dalam keadaan aman dan makmur.

"Kita juga berharap agar rakyat Malaysia dan Brunei dapat menterjemah isyarat daripada hubungan baik antara kerajaan kedua-dua negara untuk menjalankan apa juga usaha secara bersama," katanya.

Perdana Menteri juga meminta rakyat Malaysia di Brunei supaya menjaga baik nama negara.

"Lakukan yang terbaik, laksanakan tugas dengan cemerlang, InsyaAllah orang di sini akan menghargai peranan anda," kata Najib.

Yang turut hadir Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Timbalan Menteri Luar A. Kohilan Pillay.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor kemudian berlepas ke Kuching bagi memberi penghormatan terakhir kepada allahyarham Puan Sri Laila Taib, isteri Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang kembali ke Rahmatullah semalam, akibat kanser.

-- BERNAMA

* Hanya satu slogan yang konsepnya copy paste dari Pakatan Rakyat

No comments:

Post a Comment