27 April 2009

Biar mereka serik

KUALA LUMPUR: Perlu sebat! Itulah jawapan umat Islam apabila ditanya mengenai cadangan menguatkuasakan hukuman sebat terhadap pesalah jenayah syariah.

Hukuman itu memang menggerunkan dan pastinya membuatkan umat Islam berfikir panjang sebelum melakukan perbuatan jenayah.

Tinjauan Harian Metro mendapati cadangan hukuman sebat mendapat sokongan dan amat dialu-alukan masyarakat sebagai cara mengurangkan peningkatan kes jenayah syariah.

Pengurus kewangan di sebuah syarikat swasta, Ali Matarsat, 53, berkata penguatkuasaan hukuman sebat wajib dilakukan sejak dulu bertujuan mengelakkan peningkatan jenayah syariah di kalangan masyarakat.

Bagaimanapun menurutnya, ada beberapa perkara perlu diperjelaskan dan diberi pemahaman kepada masyarakat umum sebelum pelaksanaannya dilakukan secara menyeluruh.


Bagi penjawat awam, Kama Azizi Kamarulzaman, 25, sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk dengan pelbagai kepercayaan dan agama dianuti, hukuman itu pastinya akan memberikan ketidakselesaan kepada orang bukan Islam.

Oleh itu, katanya, pengkhususan hukuman itu dikenakan perlu dilakukan agar penganut agama lain tidak panik serta bimbang dengan pelaksanaan hukuman.

Kerani akaun, Siti Hajar Aishah Abd Razak, 21, berkata jumlah sebatan dikenakan kepada pesalah perlu mengikut jenis kesalahan yang dilakukan.

“Kalau setakat penjara dan kemudian diikat jamin pasti kejadian sama berulang dan mereka tidak akan serik untuk mengulanginya memandangkan denda dikenakan tidak memberikan apa-apa kesan.

“Lebih teruk kesalahan dilakukan jumlah sebatan dikenakan harus banyak agar setimpal dengan jenayah terbabit agar mereka bertaubat dan tidak mengulanginya,” katanya.

Eksekutif perladangan, Saiful Azwa Md Sah, 27, berkata cadangan penguatkuasaan hukuman sebat perlu diteliti dengan serius oleh pihak berkuasa.

“Pihak berkuasa perlu tegas dan teguh dalam melaksanakannya, jika tidak masalah ini akan semakin menjadi-jadi,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, dipetik berkata hukuman bagi kesalahan jenayah syariah mungkin dirombak dan seterusnya ditingkatkan, termasuk hukuman sebat dalam usaha kerajaan membendung peningkatan kesalahan itu yang berlaku setiap tahun.

Beliau berkata, ketika ini, masyarakat Islam beranggapan hukuman yang dikenakan mahkamah syariah adalah rendah.

“Seringkali hukuman diputuskan berbentuk denda. Oleh kerana itulah menjadi faktor penyumbang kepada peningkatan statistik kesalahan jenayah syariah saban tahun kerana masyarakat menganggap undang-undang syariah remeh,” katanya selepas merasmikan Seminar Hukuman Sebat Jenayah Syariah anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. _ Metro

* Hukuman perlu disaksikan orang ramai agar memberi kesedaran kepada semua.

No comments:

Post a Comment