27 April 2009

‘Spiderman’ parah dibelasah penduduk

GOMBAK: Wang dicari, namun bala menanti apabila seorang ahli geng pecah rumah ‘Spiderman’ warga Indonesia parah dibelasah beramai-ramai sehingga lembik oleh penduduk yang geram dengan perbuatan suspek.

Sumber polis berkata, dalam kejadian awal pagi semalam, suspek cuba memecah masuk sebuah rumah penduduk berhampiran kawasan perumahan di Rawang, di sini.

Menurutnya, gelagat mangsa ketika itu cuba memanjat pintu pagar belakang rumah seorang penduduk bagaimanapun disedari jiran.

“Difahamkan penduduk berkenaan yang bekerja sebagai juru elektrik berusia 47 tahun memanggil dua lagi jiran berhampiran untuk memerangkap dan memberkas suspek.

“Bagaimanapun suspek yang menyedari tindakannya disedari penduduk segera memanjat ke atas bumbung rumah dalam usaha melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, suspek yang berjalan di atas bumbung lima rumah penghuni tiba-tiba tergelincir.

“Suspek yang hilang imbangan terjatuh sebelum ditangkap dan dibelasah orang awam yang berang berikutan kawasan terbabit kerap dimasuki pencuri.

“Suspek dipercayai dipukul bertalu-talu tanpa diberi peluang sehingga menyebabkan dia berdarah dan hampir pitam. Beberapa penduduk menghubungi polis sebelum anggota kereta peronda tiba memberkas suspek,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek sebelum ini pernah beberapa kali masuk ke negara ini menggunakan pasport sah untuk melakukan kegiatan jenayah.

“Turut ditemui pada suspek ialah telefon bimbit, wang tunai RM20 dan pasport miliknya. Berdasarkan pemeriksaan pasport, suspek kali terakhir masuk ke negara ini pada bulan lalu.

“Susulan kejadian itu, suspek dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan. Keadaannya yang parah bagaimanapun dilaporkan stabil,” katanya. _ Metro

No comments:

Post a Comment