29 April 2009

Kes MB ke Mahkamah Tinggi

PUTRAJAYA 28 April - Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa pertikaian mengenai siapa Menteri Besar Perak yang sah, mesti didengar dan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi.

Panel lima hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff memutuskan demikian setelah mendapati wujud pertikaian fakta dalam permohonan yang dikemukakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (gambar).

Penghakiman sebulat suara itu turut diputuskan oleh Hakim Besar Malaya, Datuk Arifin Zakaria dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, Datuk Wira Mohd. Ghazali Mohd. Yusoff dan Datuk James Foong.

Mahkamah dengan itu menolak permohonan Zambry agar ia menggunakan Perkara 63 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak bagi memutus dan mentafsir tiga isu perlembagaan dalam Perkara 16(2) dan 16(6) undang-undang tersebut.

Tiga isu itu melibatkan tafsiran terhadap bidang kuasa Sultan Perak ketika melantik Menteri Besar dan sama ada pelantikan itu selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Dengan keputusan itu, bermakna permohonan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin untuk memeriksa balas Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid berhubung percanggahan fakta dalam afidavitnya akan didengar di Mahkamah Tinggi pada Isnin ini.

Pada 5 dan 6 Mei ini pula, Mahkamah Tinggi dijadualkan mendengar permohonan semakan kehakiman oleh Mohammad Nizar untuk mencabar pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar.

Dalam semakan kehakiman itu, Mohammad Nizar mendakwa dirinya masih Menteri Besar Perak yang sah berdasarkan kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak kerana beliau yang bertindak menasihati Sultan untuk membubarkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Selain itu, menurut Mohammad Nizar, beliau tidak pernah meletak jawatan mahupun terdapat sebarang undi tidak percaya dibuat terhadapnya supaya melepaskan jawatan.

Sementara itu, Mohammad Nizar dalam reaksi segera kepada pemberita di luar mahkamah menyatakan, keputusan itu memberi petanda bahawa masih terdapat ruang untuk meleraikan kebuntuan krisis kepimpinan politik di Perak.

Ekoran keputusan mahkamah itu, beliau menyatakan, sidang DUN yang dijadualkan pada 7 Mei ini elok ditangguhkan bagi membolehkan beberapa isu berbangkit diselesaikan terlebih dahulu.

Keputusan itu merupakan penghakiman kedua yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan apabila pada 23 Mac lalu ia memutuskan, isu berkaitan Perlembagaan Negeri Perak harus diputuskan di Mahkamah Tinggi dahulu dan hanya boleh dibawa ke mahkamah tertinggi negara melalui proses rayuan.

Panel itu berpendapat Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa memindahkan empat isu perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan mengikut Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman (COJA).

Ketika itu, isu perlembagaan tersebut melibatkan saman oleh tiga Ahli DUN Bebas terhadap Speaker DUN, V. Sivakumar yang memohon deklarasi bagi membatalkan keputusannya mengosongkan ketiga-tiga kerusi DUN terbabit.

Mereka ialah ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi; ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu dan ADUN Jelapang, Hee Yit Foong.

Terdahulu, peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Mohammad Nizar berhujah, Perkara 63 yang digunakan oleh Zambry untuk merujuk isu perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan, bukan merupakan peruntukan undang-undang yang sah.

Sementara itu, Datuk Cecil Abraham yang mewakili Zambry pula berhujah, wujud bukti kukuh berdasarkan dua surat Mohammad Nizar kepada Sultan Perak bertarikh 4 dan 5 Februari lalu yang menyangkal dakwaan bekas Menteri Besar Perak itu mengenai kewujudan pertikaian fakta seperti yang didakwanya. _ Utusan

No comments:

Post a Comment