27 April 2009

Tendang motosikal penyamun

KUALA LUMPUR: Tindakan berani seorang lelaki berusia 28 tahun menendang motosikal yang ditunggangi dua penjenayah mematahkan cubaan samun di Jinjang Selatan, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, lelaki yang mahu dikenali sebagai Wong, mendakwa sedang berehat di hadapan rumahnya sebelum ternampak dua lelaki menunggang sebuah motosikal tanpa memasang lampu dalam keadaan mencurigakan di hadapan rumah jirannya.

“Kelibat mereka itu menyebabkan saya yakin mereka penjenayah. Jadi, saya perhatikan saja dari jauh.

“Sebaik jiran saya yang bekerja sebagai jurujual itu keluar rumah, saya melihat dua lelaki terbabit cuba menghampirinya.

“Saya sempat melihat pembonceng motosikal itu turun sebelum cuba pukul jiran saya dengan topi keledar.


“Bagaimanapun, jiran saya sempat melarikan diri dan meninggalkan kenderaannya. Saya terus berlari mengejar dua lelaki itu apabila jiran saya menjerit ada orang mahu menyamunnya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Wong berkata, suspek segera memecut motosikal menghala simpang keluar dari kawasan perumahan itu, tetapi dia sempat menendang motosikal berkenaan menyebabkan mereka terjatuh.

“Selepas itu saya terus melompat ke arah mereka sebelum bergelut dan dibantu beberapa pelanggan sebuah restoran yang menjamu selera berhampiran kawasan berkenaan.

“Kami menahan kedua-dua suspek selepas bergelut dan menghubungi polis,” katanya.

Empat anggota polis tiba tiba di tempat kejadian lima minit kemudian dan suspek dibawa ke Balai Polis Jinjang untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada individu berkenaan yang bertindak berani ketika berdepan situasi seumpama itu.

“Kami berbangga dengan keberaniannya itu dan yakin sekiranya semua rakyat negara ini mengamalkan sikap seperti demikian, jenayah samun akan dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya.

Zakaria berkata, kedua-dua supek berusia awal 20-an itu dipercayai sudah lama melakukan kegiatan samun di sekitar Lembah Klang berdasarkan taktik yang mereka gunakan.

“Kami masih menyiasat dan siasatan dilakukan mengikut Sekyen 374 Kanun Keseksaan,” katanya.

* Apa kata beri ganjaran RM1000 untuk seekor penjenayah yang berjaya ditangkap

No comments:

Post a Comment