27 April 2009

Isteri bawa anak jumpa teman lelaki

SERI MANJUNG: Kepercayaan yang diberikan seorang suami kepada isterinya dikhianati selepas isteri yang dikahwini sejak empat tahun lalu ditangkap khalwat bersama seorang lelaki di sebuah hotel di Lumut, dekat sini, dalam satu serbuan oleh Pejabat Agama Islam Daerah Manjung, awal pagi semalam.

Seramai 60 anggota bahagian penguat kuasa terbabit dalam operasi pencegahan jenayah syariah yang memulakan operasi seawal jam 12 tengahari kelmarin dan berakhir pada 9 pagi semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 4 pagi itu, wanita berusia 23 tahun itu ditahan bersama teman lelakinya yang berusia 29 tahun dalam keadaan berpakaian.

Namun, lebih mengejutkan, wanita berkenaan turut membawa anak perempuannya berusia tiga tahun dan dipercayai memberi alasan kepada suaminya bahawa kedatangannya ke situ untuk mengunjungi satu karnival yang sedang berlangsung.

Ketua Penguatkuasa Agama Daerah Manjung, Hafez Rezal Abdul Manan, berkata wanita berasal dari Pulau Pinang itu dipercayai memberi alasan kepada suaminya untuk mengunjungi karnival berkenaan dengan menaiki bas untuk datang ke sini bersama anaknya.

Beliau berkata, kehadiran wanita itu untuk bertemu kekasihnya yang juga seorang anggota tentera memang mengejutkan apabila wanita berkenaan membawa anaknya untuk berjumpa teman lelakinya itu.

“Malah, ketika serbuan dilakukan, teman lelaki wanita itu bertindak berani apabila dia nekad terjun melalui tingkap dari tingkat satu hotel berkenaan berikutan takut dan terkejut dengan kedatangan anggota penguat kuasa.

“Bagaimanapun, tindakan pantas anggota penguat kuasa yang bersedia di bawah berjaya menahan lelaki berkenaan sebelum kedua-dua mereka dibawa ke pejabat agama Islam,” katanya yang ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, seramai lima pasangan berusia antara 16 hingga 45 tahun turut ditahan atas kesalahan berkhalwat di beberapa hotel berasingan di sekitar Lumut dan Sitiawan.

Semua pasangan itu akan didakwa di bawah Seksyen 59, Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992. _Metro

No comments:

Post a Comment