27 April 2009

Joli sakan wang tebusan RM1j

KUALA LUMPUR: Kumpulan penjenayah yang disyaki menculik seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun pada 10 April lalu, tidak menunggu lama untuk berjoli sakan dengan wang tebusan RM1 juta yang dibayar keluarga mangsa.

Mereka dikatakan turut membuat perancangan masa depan apabila membeli sebuah rumah mewah dan menjelaskan hutang along menggunakan wang itu.

Mereka juga dipercayai sudah menempah kereta mewah, namun hajat itu tidak tercapai apabila 16 daripada mereka ditangkap dan hasil soal siasat, polis berjaya menemui semula baki wang tebusan berjumlah RM300,000.

Siasatan polis turut membawa kepada satu lagi serbuan di sebuah premis di Bandar Sunway, di sini, kelmarin yang berjaya menahan seorang lagi suspek wanita berusia 20-an untuk membantu penyiasatan kes terbabit.

Suspek ke-17 yang ditahan berhubung kes itu sebelum ini dikatakan pernah bekerja dengan bapa mangsa sebagai pembantu kedai. Dia juga dipercayai digunakan kumpulan penjenayah itu untuk mendapatkan butiran latar belakang keluarga mangsa.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mortadza Nazarene, berkata wanita berkenaan yang dipercayai teman wanita seorang daripada suspek, ditahan pada jam 5 petang.

“Wanita terbabit kini direman sehingga Khamis untuk membantu siasatan berhubung kes culik terbabit,” katanya ketika dihubungi.

Polis sebelum ini menahan 16 individu terdiri sekumpulan suri rumah termasuk seorang warga emas berusia 70 tahun yang dikenal pasti menjadi antara dalang utama kes penculikan kanak-kanak terbabit.

Mereka dikatakan menuntut wang tebusan berjumlah RM1 juta sebagai syarat membebaskan kanak-kanak berkenaan yang diculik di perkarangan rumahnya di Damansara, Petaling Jaya, pada 10 April lalu.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa dan ibunya dalam perjalanan ke sekolah berhampiran kediaman mereka sebelum empat lelaki tiba-tiba menyerang mereka dan melarikan kanak-kanak itu.

Susulan laporan polis dibuat keluarga mangsa, polis Bukit Aman mengadakan operasi besar-besaran mengesan kumpulan penjenayah itu. _ Metro

No comments:

Post a Comment