30 April 2009

Setiausaha DUN Perak sahkan terima usul

IPOH 29 April - Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Abdullah Antong Sabri, hari ini mengesahkan pejabat Setiausaha DUN Perak telah menerima satu usul pada minggu lepas untuk melucutkan V. Sivakumar daripada jawatan Speaker DUN Perak pada persidangan DUN 7 Mei ini.

Beliau juga mengesahkan telah menghantar melalui pos, surat kepada semua Anggota DUN (ADUN) Perak mengenai perkara itu yang turut mengepilkan bersama borang pencalonan Speaker baru.

Walaupun Abdullah berkata, perkara itu tidak sepatutnya dihebahkan sebelum persidangan DUN itu dilangsungkan, beberapa portal berita Internet hari ini melaporkan Abdullah di dalam suratnya menyatakan bahawa borang pencalonan Speaker baru itu hendaklah dikemukakan beserta borang persetujuan ahli yang dipilih kepada pihak pentadbiran DUN selewat-lewatnya esok.

"Surat itu dihantar secara pentadbiran. Ia sepatutnya adalah untuk makluman dan tindakan daripada semua ADUN yang berkenaan," kata Abdullah ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau enggan mengulas lebih lanjut mengenai perkara itu.

Sementara itu Exco kanan, Datuk Hamidah Osman ketika dihubungi mengesahkan bahawa beliau adalah penyokong usul untuk melucutkan Sivakumar yang dicadangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan dihantar ke pejabat Setiausaha DUN Perak pada Khamis lepas.

Zambry yang dihubungi pula enggan mengesahkan sama ada beliau ada mengusulkan notis untuk undi tidak percaya terhadap Sivakumar seperti yang dilaporkan media hari ini. - BERNAMA

* Masuk dewan nanti rembat Zambry keluar kerana menghina speaker

No comments:

Post a Comment