28 November 2015

Khairuddin gesa Anwar dibebaskan

Putrajaya perlu melepaskan bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tahanan penjara, kata Datuk Seri Khairuddin Abu Hasan.

Bekas naib ketua Bahagian Umno Batu Kawan itu menyifatkan, kehadiran Anwar akan menyemarakkan lagi arena politik negara kerana ketua umum PKR itu sudah pun menerima hukuman bagi kesalahannya yang lalu.

"Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah pun dihukum sebelum ini dan kini saya berpendapat beliau harus berada di luar penjara Sungai Buloh untuk menyemarakkan lagi landskap serta senario politik tanah air.

"Biar landskap politik tanah air kita bertambah warna-warni!! Apa yang harus kita gusarkan sekiranya mentadbir negara ini secara amanah," kata pengkritik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu dalam satu kenyataan hari ini.

Khairuddin berkata, amat wajar Anwar berada di luar bagi memainkan peranan sebagai ketua pembangkang yang efektif bagi "check and balance" kepada pentadbiran negara kita.

"Kini kita tidak boleh harap lagi pada pihak 'backbenchers' Barisan Nasional yang terlalu kuat mengampu secara membuta tuli dan tidak berani lagi membuat teguran-teguran membina ke atas pucuk kepimpinan tertinggi,"katanya yang terus mengatakan kaki pengampu pemimpin tidak akan menjana kepada kemajuan negara.

Beliau yang baru dibebaskan daripada tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012 berkata, teguran perlu berani dilontarkan demi kebaikan dan kepentingan parti.

Katanya, negara katanya memerlukan pembangkang yang efektif dan rasional untuk sama-sama memainkan peranan  ke arah pembangunan negara.

"Sudah tiba masanya untuk kita bersatu dan jangan buat retorik politik lagi tetapi harus ikhlas membangunkan semula negara kita yang sedang berada diambang kejatuhan khususnya daripada perspektif politik dan ekonomi,"katanya. – TMI

Azmin: Hanya satu lawan satu dalam PRU14

Timbalan Presiden PKR, Mohamad Azmin Ali menegaskan bahawa matlamat Pakatan Harapan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ialah pertandingan satu lawan satu dan pertikaian dalam gabungan itu perlu diselesaikan.

Azmin berkata demikian ketika mengulas kenyataan pemimpin PAS Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri yang menuntut PKR tidak membenarkan Parti Amanah Negara (PAN) untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

"Pilihan raya ini masih jauh. Pertindihan kerusi yang berlaku pada setiap pilihan raya kecil, pilihan raya umum dan pilihan raya negeri, merupakan satu proses biasa.

"Semua pihak perlu duduk dan berbincang. Prinsip dan perjanjian kami ialah satu lawan satu,” katanya dalam sidang media di Kongres Nasional PKR ke-11 di Shah Alam hari ini.

Khairuddin melalui akaun Facebooknya berkata, jangan biarkan PAN bertanding di kerusi PAS.

“Jika PKR yang bekerjasama dengan PAN mengiyakan PAN bertanding tiga penjuru di kawasan PAS melawan Umno, maka apa sebab PAS perlu berundur memberikan laluan PKR bertanding tanpa tiga penjuru lalu memberikan kerusi selamat kepada PKR,” kata Khairuddin yang juga ahli Parlimen Kuala Nerus. - mkini

26 November 2015

Basuh Kereta Bukan Kerja Amah

NUSAJAYA: Kerja membasuh kereta bukan bidang tugas pembantu rumah asing, namun ramai di kalangan mereka masih diarah untuk melakukannya, demikian menurut Exco Johor, R. Vidyanathan.

Beliau berkata, terma dan syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan dengan jelas menyatakan bahawa mereka hanya boleh melakukan pekerjaan dalaman dan tidak termasuk kerja membasuh kereta.

"Bagaimanapun ia agak sukar bagi pihak berkuasa yang berkaitan untuk memantau keadaan ini," Vidyanathan memberitahu Dewan Undangan Negeri.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Puan Sri Azizah Zakaria (BN-Parit Raja) mengenai jumlah pembantu rumah asing yang bekerja di Johor dan skop kerja mereka.

Beliau berkata terdapat 3,207 permit baharu dan permit kerja yang  diperbaharui dikeluarkan untuk pembantu rumah asing di Johor pada tahun 2013, 4,133 (2014) dan 3,278 sehingga Oktober tahun ini.

Vidyanathan menambah bahawa 90 peratus daripada pembantu rumah asing yang bekerja di Johor adalah warga Indonesia manakala selebihnya datang dari India, Sri Lanka, Filipina, Thailand dan Kemboja. -MStar

Bajet universiti awam berdasarkan prestasi, kata menteri

Hanya universiti awam yang mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) (PPPM-PT) 2015-2025 akan diberi peruntukan 100% oleh kerajaan mulai tahun depan, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, lapor akhbar Utusan Malaysia.

Idris berkata, beliau yakin perkara itu tidak terlalu besar dan susah untuk pihak universiti mencapai prestasi ditetapkan kerajaan.

Selaras dengan formula baharu itu, pada peringkat awal, semua 20 universiti awam akan menerima 95% daripada peruntukan pembiayaan seperti emolumen, teknologi maklumat (IT), perkhidmatan dan enrolmen pelajar.

Manakala 5% lagi diserahkan kepada pengurusan universiti untuk digunakan ke arah transformasi pendidikan tinggi.

“Asas ini dinyatakan di dalam Pelan Strategi Lautan Biru kementerian yang menjelaskan IPT tidak boleh terlalu bergantung kepada kerajaan.

"Pada masa ini, 75 hingga 90% dana di universiti adalah daripada kerajaan sedangkan di negara lain, kerajaan hanya memperuntukkan 30 hingga 50% sahaja.

“Kita sudah berbincang dengan pihak universiti terutama naib canselor dan mereka maklum. Ini tidak menjadi perkara terlalu besar. Saya yakin tidak susah untuk mereka mencapai prestasi yang ditetapkan,” katanya.

Tambahnya, kerajaan mahukan kesemua universiti awam mampu menjana pendapatan sendiri memandangkan separuh daripadanya sudah ke arah universiti penyelidikan yang berupaya menambah hasil ekonomi universiti sendiri.

“Formula baharu ini akan memberi kelebihan kepada universiti apatah lagi ia sudah dikaji ahli jawatankuasa yang terdiri daripada mereka yang berpengalaman dan mendapat pengiktirafan di peringkat dunia.

“Kita mahu penambahbaikan dalam kualiti pelajar dan kecekapan universiti. Berdasarkan Ranking U21 Sistem Pendidikan Tinggi Antarabangsa, universiti kita tangga 12 daripada 50 universiti yang mendapat peruntukan dana terbanyak tetapi dari segi prestasi kita berada di kedudukan 44. Ini yang kita mesti ubah,” katanya.

Dalam Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Oktober lalu, menyaksikan Universiti Malaya paling banyak menerima potongan dalam pembiayaan iaitu RM175 juta atau 27.3%.

Sementara Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Teknologi Mara dan Universiti Malaysia Terengganu, peruntukan masing-masing dipotong lebih 20%.

Bajet bagi 11 institut pendidikan tinggi awam lain pula dikurangkan antara 10 dan 20%, manakala 4 lagi dikurangkan sehingga 10% berbanding peruntukan sebelum ini.

Dalam pembentangan bajet itu, peruntukan bagi Kementerian Pendidikan Tinggi berkurangan daripada RM15.78 bilion pada 2015 kepada RM13.37 bilion untuk 2016. - TMI

Nurul Izzah fail saman Khalid, Ismail Sabri

KUALA LUMPUR - Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar memfailkan saman fitnah terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung dakwaan beliau seorang pengkhianat selepas bergambar dengan Puteri Sulu, Jacel Kiram.

Saman itu difailkan melalui peguamnya dari firma guaman Tetuan Daim & Gamany di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebentar tadi.

Melalui pernyataan tuntutannya, Nurul Izzah selaku plaintif mendakwa kenyataan yang dikeluarkan Khalid dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 22 November menyatakan plaintif adalah dalang di sebalik serangan dan pencerobohan oleh Tentera Sulu di Sabah pada 2013, merupakan fitnah dan berniat jahat.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu juga mendakwa kenyataan yang dikeluarkan Ismail Sabri melalui sidang media selepas satu majlis di Bera, Pahang yang menyatakan beliau seorang penderhaka kepada negara dan terlibat dalam keganasan adalah fitnah.

Sehubungan itu plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, faedah, kos, dan perintah injunksi bagi menghalang defendan mengulangi dan menerbitkan perkataan fitnah tersebut. - SH

24 November 2015

Rakyat Malaysia nikmati 9 cuti panjang pada 2016

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia akan menikmati sembilan kali cuti hujung minggu yang panjang berjumlah 30 hari pada tahun depan.

Bagaimanapun ia tidak menjejaskan bilangan hari bekerja tahun depan iaitu 251 hari.

Ia juga tidak mengambil kira bilangan cuti di peringkat negeri yang berbeza antara satu negeri dengan negeri lain.

Penduduk di Kuala Lumpur, Putrajaya, Johor, Kelantan, dan Sarawak akan mempunyai satu hujung minggu yang lebih panjang.

Sementara itu penduduk di Kedah, Sabah, Labuan dan Melaka akan menikmati dua kali hujung minggu lebih panjang.

Sehubungan itu ia dilihat bahawa rakyat Malaysia mempunyai banyak peluang untuk bercuti di hujung minggu yang panjang.

Hujung minggu yang panjang dalam tahun 2016 bermula dari Tahun Baru Cina (6-9 Februari) dan termasuk Hari Pekerja (30 April hingga 2 Mei), Hari Raya Haji (10-12 September), Hari Malaysia (16-18 September), Deepavali (29-31 Oktober) dan Krismas (24-26 Disember).

Rakyat Malaysia yang mengambil cuti pada 8 Julai akan mempunyai cuti lima hari sempena Hari Raya Aidilfitri, yang dijangka jatuh pada 6 Julai dan 7.

Apa yang ketara, bilangan hujung minggu yang panjang tahun depan adalah kurang daripada apa yang dinikmatinya pada tahun ini, yang berjumlah 11.

Pada tahun 2017, akan ada lapan hujung minggu yang panjang. - Mstar

Keluarga Kamal Hisham mohon bantuan Putrajaya, serah memorandum kepada KDN

Norlizan Jaafar menyerahkan memorandum kepada Menteri Dalam Negeri bagi meminta campur tangan Putrajaya terhadap dakwaan layanan buruk yang diterima abangnya Kamal Hisham Jaafar sejak ditahan polis 3 bulan lalu.
Keluarga kepada bekas penasihat undang-undang istana Johor hari ini menyerahkan memorandum kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi meminta campur tangan Putrajaya terhadap dakwaan layanan buruk yang diterima Kamal Hisham Jaafar sejak ditahan polis 3 bulan lalu.

Adik kepada Kamal Hisham, Norlizan Jaafar, 40, hari ini menyerahkan memorandum itu di pejabat Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya bersama anggota keluarganya, termasuk ibunya, Kalsom Idris, 70, kira-kira pada jam 3 petang.

Memorandum setebal 11 muka surat itu mendakwa, sejak ditahan, keluarga Kamal Hisham sudah menyerahkan sejumlah RM700,000 sebagai wang jaminan.

Kamal Hisham ditahan pada 2 September lalu di Singapura.

Tuduhan yang dikenakan ke atasnya adalah berhubung kes pecah amanah melibatkan syarikat Southern Ads Sdn Bhd.

Kamal didakwa dengan 2 pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Jenayah dan 4 Pertuduhan mengikut Seksyen 131 dan 132 Akta Syarikat 1965.

Kamal, seorang peguam yang memiliki firma guamannya sendiri, dikenali antara yang paling lantang mengkritik Istana Johor.

Keluarganya sebelum ini turut menyerahkan memorandum di Parlimen bagi tujuan sama.

Dalam memorandum yang diserahkan kepada wakil KDN, Nur Ilyani Qamarulzaman, hari ini, Norlizan mendakwa, abangnya diberikan layanan buruk oleh anggota polis, termasuk ditempatkan di lokap Cawangan Khas selama 17 hari tanpa berpakaian selain seluar dalam dan dinafikan hak menunaikan solat.

“Semasa dia ditahan 17 hari tidak dibenarkan sembahyang, itu selepas dia ditahan reman dan dihantar ke Penjara Ayer Molek, dia cerita sendiri kepada keluarga,” kata Norlizan.

Dia turut mendakwa, Kamal Hisham juga beberapa kali digigit lipan sehingga mengakibatkan kesan-kesan lebam di tubuhnya.

Selain itu, memorandum itu turut menyatakan, Kamal Hisham juga tidak diberikan akses kepada rawatan kesihatan, sedangkan dia disahkan menghidap penyakit jantung, darah tinggi, dan kencing manis.

Norlizan turut berkata, abangnya juga turut dibotakkan berulang-ulang kali.

“Dalam tempoh 2 bulan pertama penahannya, Kamal Hisham dibotakkan sebanyak 5 kali.”

“Kami ahli keluarga kepada Kamal Hisham dengan rendah diri dan penuh pengharapan memohon perhatian, pertimbangan, dan tindakan dari kerajaan Malaysia melalui KDN di bawah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk memandang serius layanan buruk pihak polis dan pegawai penjara terhadap Kamal Hisham sejak beliau ditahan pada 1 September sehingga kini,” kata memorandum itu. - TMI

Adik perinci penderaan terhadap Kamal Hisham

Satu memorandum yang dihantar kepada Kementerian Dalam Negeri hari ini memperincikan penderaan yang didakwa dilakukan ke atas peguam Kamal Hisham Jaafar yang ditahan reman selama hampir tiga bulan.

Adik bongsunya, Norlizan Jaafar, memberitahu Malaysiakini abangnya didera sejak dikenakan tahanan reman pada 2 September lalu kerana kes penipuan.

Kes itu mendapat tumpuan apabila Kamal Hisham menggesa Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar untuk turun takhta jika baginda mahu mengambil bahagian dalam politik.

Sepanjang tempoh tiga bulan beliau ditangkap, Kamal Hisham ditahan di lokap polis Cawangan Khas selama 17 hari.

Norlizan berkata semasa dalam tahanan awal abangnya, beliau digari pada setiap masa serta dikawal oleh lebih 10 anggota polis pada setiap masa.

"Dia tidak diberi pakaian dan hanya dibenarkan memakai seluar dalam," dakwanya.

Selain saiz lubang sebesar kotak mancis, tidak ada sumber cahaya lain dalam sel. Tiada tandas disediakan dan Kamal Hisham terpaksa memberitahu anggota polis setiap kali beliau mahu membuang air besar.

Menurut Norlizan lagi, abangnya pada awal penahannya juga dinafikan haknya untuk sembahyang. Kamal Hisham kemudiannya, diberikan selimut lusuh dan berbau busuk untuk menutup kemaluan setiap kali mahu menunaikan solat.

Semasa penahanannya di penjara reman Ayer Molek, Kamal Hisham dikurung seorang diri.

"Beliau tidak mempunyai sebarang hubungan dengan penghuni setiap hari untuk beberapa bulan," kata Norlizan. - Mkini

Muhyiddin tidak rasmi mesyuarat sayap Umno

KUALA LUMPUR - Tidak seperti kelaziman pada setiap Perhimpunan Agung Umno (PAU), Timbalan Presiden Umno kali ini tidak akan merasmikan mesyuarat perwakilan ketiga-tiga sayap parti - Wanita, Pemuda dan Puteri - yang dijadualkan berlangsung bulan depan.

Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini memutuskan bahawa ketiga-tiga mesyuarat itu akan dirasmikan oleh ketua pergerakan masing-masing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden Umno berkata, keputusan itu dibuat berikutan cadangan daripada semua sayap berkenaan.

"Perasmian berasingan. Ini diputuskan hasil cadangan sayap masing-masing, mereka bawa dalam mesyuarat. Itulah kehendak mereka, dan kita menghormatinya," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MT Umno di Bilik Jawatankuasa 2, Bangunan Sementara Parlimen di sini hari ini. - Bernama

Datuk Hamidah dipecat dari Umno

KUALA LUMPUR - Ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman diumum dipecat daripada keahlian dan jawatan dari parti Umno.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan itu dibuat sebulat suara oleh barisan ahli mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada hari ini.

"Dalam soal disiplin parti, Majlis Tertinggi sebulat suara memecat (Datuk) Hamidah Osman daripada keahlian kerana pelanggaran disiplin.

“Perkara lain ada dibincang, tetapi tidak ada ambil keputusan,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat itu selesai," kata Najib pada sidang media selepas selesai Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.

Hamidah sebelum ini lantang mengkritik pentadbiran Najib dan mendesak Perdana Menteri meletak jawatan, selain mempersoalkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

[ARTIKEL BERKAITAN: Minta Najib letak jawatan, Hamidah sedia tindakan]

Mengulas lanjut mengenai lokasi mesyuarat, Najib berkata, perkara itu disebabkan Dewan Rakyat masih bersidang.

Sementara itu, Najib berkata, barisan ahli mesyuarat turut membincangkan perjalanan Perhimpunan Agung Umno yang akan berlangsung pada 8 Disember hingga 12 Disember depan.

Menurut Najib, Persidangan Wanita Umno, Puteri Umno dan Pemuda Umno pada Perhimpunan Agung Umno nanti akan dirasmikan oleh ketua sayap masing-masing.

"Ini adalah cadangan oleh sayap masing-masing dan majlis memutuskan untuk menghormati kehendak mereka," katanya lagi. - SH

22 November 2015

Gadis Ditemui Mati Di Cheras Didera Dalam Tempoh Lama

gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Hasil bedah siasat kes gadis yang ditemui mati di sebuah pangsapuri di Cheras Utama, Cheras petang semalam mendapati mangsa telah didera dalam tempoh yang lama.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Chong Kok Sin berkata terdapat banyak kesan bengkak teruk pada muka dan seluruh badan mangsa serta luka yang disyaki kesan seterika panas di kedua-dua betisnya.

"Sementara itu, bekas teman lelaki mangsa yang ditahan semalam akan direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 27 Nov bagi membantu siasatan.

"Hasil siasatan lanjut, polis mendapati bekas teman lelaki mangsa yang tidak mempunyai pekerjaan itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Polis menemui mayat gadis berusia 19 tahun itu kira-kira pukul 5.10 petang pada Jumaat setelah menerima maklumat.

Difahamkan, mangsa sebelum ini tinggal bersama bekas teman lelakinya di rumah berkenaan namun telah keluar dari rumah tersebut pada Oktober lepas kerana berlaku perselisihan faham.

Siasatan awal mendapati mangsa kemudian pulang ke rumah lelaki itu pada Rabu lalu dalam keadaan cedera teruk.

Lelaki berkenaan ingin membawa mangsa ke hospital, tetapi mangsa enggan dan menyatakan bahawa dia telah dikejar dan dipukul oleh teman lelakinya yang baharu.

Sehubungan itu, polis sedang memburu seorang lelaki dan wanita bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan. - www.malaysiandigest.com

'Saya tidak pernah berkenalan dengan Jacel Kiram'

SAYA sedia maklum kegusaran yang timbul akibat gambar saya bersama Jacel Kiram pada 9 November 2015.

Di sini saya ingin menegaskan bahawa saya tidak sekali-kali memanggil mesyuarat atau pertemuan dan tidak pernah berkenalan dengan Jacel Kiram.

Dia merupakan salah seorang daripada 15 tetamu yang dijemput penganjur program, iaitu Council on Philippine Affairs & The Asian Institute for Democracy, pejabat Datuk Bandar Manila dan pejabat Naib Presiden Filipina.

Semua yang hadir di program tersebut telah bergambar dengan saya sebagai tanda sokongan terhadap laporan Kumpulan Kerja Mengenai Penahanan Tanpa Bicara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nation Working Group on Arbitrary Detention) yang menggesa agar Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan serta-merta.

Saya tahu dan faham ahli-ahli keluarga patriot dan perajurit yang terkorban akibat pencerobohan Lahad Datu dan rakyat Malaysia amnya cukup terasa dan marah akibat gambar saya dan Jacel Kiram, dan saya berasa amat kesal atas hakikat ini.

Simpati dan sokongan saya dari dulu hingga bila-bila adalah kepada para perajurit pahlawan negara yang terkorban serta komuniti-komuniti yang masih terkesan akibat konflik ini serta desakan puak pemisah.

Sebagai seorang Ahli Parlimen dan rakyat Malaysia yang setia kepada nusa dan bangsa, saya akan sentiasa mempertahan Sabah sebagai sebahagian daripada negara Malaysia yang tercinta.

Tidak ada apa-apa yang hendak saya sembunyikan, dan saya bersedia untuk memberi kerjasama dengan pihak berkuasa untuk menjelaskan lawatan saya yang dianjur Council on Philippine Affairs & The Asian Institute for Democracy, pejabat Datuk Bandar Manila dan pejabat Naib Presiden Filipina.

NURUL IZZAH ANWAR
Ahli Parlimen Lembah Pantai,
Naib Presiden PKR

Skandal RM1.5j: Pegawai kanan polis antara ditahan

KUALA LUMPUR – Polis memberkas enam individu termasuk pegawai kanan polis berhubung kes dakwaan salah laku melibatkan lebih RM1.5 juta peruntukan membaik pulih dan menaik taraf ibu pejabat polis di Bukit Aman.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata, pegawai rendah polis dan kontraktor yang terlibat dengan kes berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Kita menangkap individu tersebut sejak Jumaat lalu sehingga awal pagi ini, kesalahan salah laku itu telah dikesan oleh naziran Polis Diraja Malaysia (PDRM), kita turut menyita beberapa buah kenderaan mewah dan akaun bank individu berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, katanya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak tertentu dalam soal melibatkan kes jenayah.

"Kita tidak akan berkompromi dan membiarkan sesiapa juga melakukan sebarang bentuk jenayah termasuk kakitangan kita sendiri .

"Kita tidak pernah melindungi mana-mana pegawai dan kakitangan kita yang terlibat dengan apa jua jenayah atau sebarang salah laku," katanya pada sidang media selepas merasmikan program Sunathon 2015 di Masjid Bukit Aman, di sini, hari ini.

Sebelum ini, laporan sebuah akhbar Bahasa Inggeris melaporkan sumber‎ dalaman menyatakan RM1.5 juta yang diperuntukkan untuk kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman adalah perbelanjaan yang tidak wujud.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (Siasatan) Bukit Aman, Datuk Hamza Taib telah mengesahkan perkara itu.

Beberapa pembongkaran dibuat sejak beberapa bulan yang lalu selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjalankan audit dalaman di Jabatan Logistik Polis.

Kos membaik pulih pintu kalis api dan juga sistem penghawa dingin direkodkan bernilai RM500,000, namun tiada sebarang kerja-kerja dilakukan walaupun bayaran kepada kontraktor yang dilantik telah dibuat.

Pada masa sama, lebih RM1 juta didakwa digunakan untuk tender yang tidak wujud. - SH

21 November 2015

Polis tangkap suspek bunuh kerani sekolah

JOHOR BAHRU - Seorang pegawai kerajaan ditahan pihak polis, semalam bagi membantu siasatan bersabit kes pembunuhan kejam seorang kerani wanita sebuah sekolah agama di Muar berumur 29 tahun pada 16 November lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Senior Asistan Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, tangkapan dibuat pasukan JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan JSJ Muar kira-kira jam 6 petang, semalam.

Menurutnya, suspek yang berumur 30 tahun ditahan di rumahnya yang merupakan jiran terdekat kepada mangsa yang ditemui mati dijerut Isnin lalu.

"Suspek menjadi orang yang disyaki ditahan kerana gagal memberi keterangan yang memuaskan kepada pihak polis semasa siasatan dijalankan.

"Terima Kasih kepada masyarakat yang telah menyalurkan maklumat kepada pihak polis dalam membanteras kegiatan jenayah kejam Ini," katanya.

Kamarul berkata, hasil ujian saringan air kencing suspek yang telah berkahwin dan mempunyai dua cahaya mata itu  adalah positif dadah jenis amphetamine.

"Hasil semakan juga turut mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau bersabit kesalahan jenayah kekerasan dan memiliki dadah," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kerani sekolah agama dirogol sebelum dibunuh]

Media 17 November lalu melaporkan seorang wanita ditemui mati dijerut dengan pengikat langsir ketika pulang seketika untuk mengambil barang di kediamannya di Taman Setia Kasih, Muar.

Mangsa ditemui jirannya, Aminah Syukur, 34, dalam keadaan terbaring dengan leher dijerut menggunakan tali pengikat langsir di depan pintu sebuah bilik, dipercayai dirompak dan dibunuh. - SH

17 November 2015

Lima suspek pengganas ditahan

Kuala Lumpur: Lima lelaki berusia 22 hingga 40 tahun ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas dipercayai terbabit dalam dua kumpulan pengganas iaitu Negara Islam (IS) dan Imam Mahdi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, semua individu itu ditahan di Johor dan Selangor dalam operasi khas yang dijalankan pada 9 November hingga 14 November lalu.

Katanya, dua individu termasuk seorang warga Indonesia yang ditahan di Johor bekerja di kantin Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia di Petaling Jaya dan pernah ditahan polis Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang dan mengikut Akta Imigresen.

"Dua lagi individu yang ditahan dipercayai menganggotai kumpulan Iman Mahdi dan disyaki cuba melancarkan serangan di beberapa lokasi di Lembah Klang. Polis masih memburu saki baki kumpulan ini dan mereka didapati berinteraksi menggunakan laman sosial Facebook.

"Suspek kelima berusia 40 tahun yang ditahan adalah bekas pegawai kanan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pernah ditahan pihak berkuasa Turki bersama etnik Uighur, Morrocco dan Russia sebelum diusir balik ke Malaysia 25 Oktober lalu,"katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, semua suspek ditahan mengikut Bab VIA- Kesalahan Berkaitan Keganasan Kanun Keseksaan (Akta 574) dan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747). - Hmetro

Hadi dakwa Bajet 2016 mampu sejahtera rakyat, walau tak patuh syariat

PAS melihat kandungan Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Parlimen pada 23 Oktober lalu mampu mensejahterakan rakyat, namun terdapat beberapa perkara yang tidak mematuhi prinsip syariat Islam, kata presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ahli Parlimen Marang itu bagaimanapun berkata, secara keseluruhannya, beliau melihat Bajet 2016 yang bertemakan "mensejahtera kehidupan rakyat" itu lebih kepada menyusahkan rakyat dan menyenangkan kerajaan.

"Secara keseluruhannya PAS melihat kandungan Bajet 2016 ini merangkumi kesemua elemen penting bagi pembangunan negara. PAS memperakui terdapat beberapa elemen bajet yang mampu memberi kesejahteraan kepada rakyat.

"Bagaimanapun, PAS melihat terdapat ketidakpatuhan kepada prinsip syariat Islam yang agak ketara terutamanya dalam pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST )yang mengenakan cukai kepada golongan fakir dan miskin, justeru bajet ini dilihat sebagai 'bajet menyenangkan kerajaan tetapi menyusahkan rakyat'," katanya, dalam kenyataannya hari ini.

Hadi berkata, PAS juga mendapati wujud sekurang-kurangnya 2 aspek besar pengurusan ekonomi negara yang sebenarnya boleh ditangani secara lebih berkesan, iaitu aspek kejatuhan nilai ringgit, dan aspek kos sara hidup rakyat.

"Bagi tujuan mengelakkan perlanggaran prinsip-prinsip syariat Islam di dalam Bajet 2016, PAS sebagai sebuah parti Islam yang bertanggungjawab, mengusulkan cadangan-cadangan penyelesaian kepada 3 masalah utama yang dikemukakan Bajet 2016 melalui penyelesaian kepada masalah kejatuhan harga petroleum dan kesilapan kerajaan Malaysia bergantung kepada GST sebagai sumber alternatif pendapatan negara.

"Antaranya adalah pengenalan cukai atas simpanan syarikat dan korporat dan cukai perdagangan saham di Bursa Malaysia.

"Penyelesaian kepada masalah kejatuhan mata wang ringgit dan kesannya kepada perbelanjaan negara dan rakyat melalui penggantian import untuk tempoh terhad dan penelitian semula kontrak kerajaan," katanya.

Hadi berkata, penyelesaian kepada masalah kenaikan kos hidup rakyat, iaitu secara lebih khusus kemelut berkaitan pemilikan rumah yang dihadapi oleh sebahagian besar masyarakat adalah melalui pemberian elaun kos sara hidup (Cola) oleh majikan swasta dan projek “Mampu Memiliki Rumah”.

"Butiran lebih terperinci pelaksanaan cadangan ini terdapat dalam dokumen yang akan diserahkan kepada kerajaan Malaysia dan diumumkan kemudiannya kepada rakyat," kata Hadi.  - TMI

Hanya 3 ahli Parlimen PAS undi tolak Bajet 2016, dedah Mahfuz

Hanya 3 daripada 14 ahli Parlimen PAS yang mengundi menolak Bajet 2016 hari ini semasa sesi pengundian belah bahagi (blok) dijalankan, dedah Datuk Mahfuz Omar.

Ahli Parlimen Pokok Sena tersebut merupakan salah seorang daripada 3 wakil rakyat yang menolak bajet itu, 2 lagi ialah Ahmad Baihaki Atiqullah (Kubang Kerian) dan Datuk Nik Mazian Nik Mohamad (Pasir Puteh).

"Saya undi minta bajet baharu. Kalau tidak silap ada 3 orang, saya, Pasir Puteh dan Kubang Kerian.

"Saya tidak tahu yang lain undi apa, pasal mereka duduk blok lain," kata Mahfuz ketika ditemui di lobi Parlimen sebaik selesai pengundian.

Katanya, langkah menolak bajet dibuat kerana beliau tidak mahu membebankan rakyat.

"Saya undi menolak kerana saya sayangkan rakyat, saya tidak mahu bajet yang membebankan rakyat," katanya.

Semasa sesi pengundian berlangsung, 7 ahli Parlimen PAS tidak hadir.

Dewan Rakyat hari ini meluluskan bacaan kali pertama rang undang-undang Bajet 2016 selepas kerajaan memperoleh 128 undi yang menyokong, sementara 74 lain menolak.

PAS sebelum ini sudah membuat pendirian mengambil sikap berkecuali daripada keputusan Pakatan Harapan yang mahu memboikot Bajet 2016 yang dibentangkan pada 23 Oktober lalu. - TMI

Najib lepasi ujian undi bajet pertama

PARLIMEN | Pembangkang gagal untuk membuktikan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti di Dewan Rakyat semasa undi pertama mengenai Bajet 2016 dijalankan.

Bacaan pertama bajet itu diluluskan dengan 128 undi menyokong manakala 74 lagi menentang.
Najib dan timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut hadir di Dewan untuk mengundi.
Undian peringkat dasar bajet itu dibuat melalui undi blok, selepas undi suara memihak untuk meluluskan bajet ke peringkat jawatankuasa. - Mkini

11 November 2015

Dua orang pengurusan tertinggi Syabas ditamatkan perkhidmatan

Kerajaan Negeri Selangor hari ini mengesahkan bahawa dua orang pengurusan tertinggi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) telah ditamatkan perkhidmatan.

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali memberitahu penamatan perkhidmatan berkenaan dilakukan selepas Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengambil alih sepenuhnya Syabas dan Puncak Niaga Holding Berhad (Puncak Niaga) pada 15 Oktober lalu.

“Dua orang pengurusan tertinggi Syabas yang ditamatkan perkhidmatan mereka dibuat berdasarkan rundingan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batang Kali – BN, Mat Nadzari Ahmad Dahlan di Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.

Tambah Adun Bukit Antarabangsa-PKR itu lagi, Kerajaan Negeri Selangor memberi jaminan warga kerja Syabas dan Puncak Niaga akan terus kekal berkhidmat di bawah pengurusan baru.

Jelasnya, kerajaan negeri juga telah dimaklumkan bahawa mereka mempunyai kemahiran-kemahiran tertentu dalam bidang yang dilakukan setelah beberapa tahun sebelum ini.

“Jadi kerajaan beri jaminan warga kerja Syabas dan Puncak Niaga akan terus kekal berkhidmat di bawah pengurusan baru tetapi ada kemungkinan fungsi kerja mereka perlu diperjelaskan supaya lebih efektif dan berkesan.

“Air Selangor juga akan keluarkan laporan tahunan bagi Syabas dan Puncak Niaga yang mana ia tidak pernah dikeluarkan sebelum ini untuk pengetahuan umum,” ujarnya. - therakyatpost.com

09 November 2015

Universiti terpaksa cari alternatif selepas dana dipotong

Universiti tertua di negara ini, Universiti Malaya (UM) terpaksa menjana pendapatannya daripada sumber lain seperti menceburi perniagaan perladangan untuk menangani pengurangan penerimaan dana pada tahun depan.

Pihak pengurusan UM memberi jaminan yuran pengajian pelajar mereka tidak akan dinaikkan kerana mereka mempunyai pendapatan lain daripada anak syarikatnya.

UM mengadakan usahasama dengan institusi awam dan swasta termasuk Universiti Antarabangsa Wales Malaya (IUMW) dan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya (UMCCed) dan Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC).

"Yuran universiti hanya menyumbang kepada peratusan kecil terhadap perbelanjaan mengurus universiti (OPEC), tiada keuntungan besar yang boleh diperoleh daripada kenaikan yuran pelajar.

"Pihak pengurusan juga sudah mula melabur secara konservatif dalam beberapa sektor yang menguntungkan, iaitu dalam perniagaan perladangan untuk bertahan pada masa akan datang.

"Setakat ini, 30% daripada perbelanjaan mengurus UM dibiayai melalui aktiviti perniagaan," kata pentadbiran universiti tersebut dalam satu kenyataan.

Antara 20 universiti awam di Malaysia, UM akan paling teruk menanggung pengurangan dana, dengan pemotongan sebanyak 27.3% atau RM175 juta, ia dikurangkan kepada RM463 juta, selepas Bajet 2016 mengumumkan kira-kira RM13.378 bilion diperuntukkan kepada institusi pendidikan tinggi pada tahun depan.

UM berkata ia juga akan memikirkan kebarangkalian membuka program ijazah perubatan kepada pelajar asing, disebabkan permintaan yang tinggi untuk kursus berkenaan.

"Terdapat permintaan tinggi dalam pendaftaran bagi program ijazah perubatan dan pihak pengurusan ingin menawarkannya kepada pelajar asing. Langkah ini juga akan menjadi sebahagian usaha mengantarabangsakan universiti."

UM berkata mereka juga bekerja keras untuk menjana pendapatan yang lebih bagi perbelanjaan pengurusan universiti.

"UM mahu menjana 50% daripada perbelanjaan mengurus manakala baki 50% itu datang daripada peruntukan kerajaan.

"Malah sebelum pengumuman itu (Bajet 2016), kami sangat berjimat dan cekap dalam membelanjakan peruntukan disediakan kerajaan setiap tahun," katanya sambil menambah penggunaan utiliti seperti elektrik dan air dengan berhemat menjadi sebahagian amalan universiti itu.

Pengagihan bajet tidak konsisten

Sementara itu, Persatuan Kakitangan Akademik UM (PKAUM) menyatakan kebimbangannya berhubung pengagihan peruntukan kepada semua universiti awam, dengan mengatakan pemotongan itu tidak konsisten dengan prestasi dan kecemerlangan universiti.

"Tetapi kebimbangan utama kami ialah Malaysia sebagai ahli penandatangan Unesco sebenarnya terlepas pandang mengenai syor (recommendation) bagi institusi pendidikan tinggi," kata Setiausaha Agung PKAUM Aznijar Ahmad Yazid.

"Perkara 14 berkata ia kewajipan kerajaan untuk menyokong penuh operasi universiti, dengan mengurangkan pembiayaan ia akan memberi kesan kepada operasi universiti dan bertentangan dengan syor Unesco itu," katanya merujuk kepada Perkara 14 dalam Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan (Unesco) mengenai pembiayaan pendidikan institusi pengajian tinggi sebagai perkhidmatan awam.

"Apa yang rasional (di sebalik pemotongan ini)?," soalnya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata jumlah wang yang diberikan kepada universiti berkurang sejak 2010 dan banyak universiti beroperasi menggunakan cara mereka sendiri untuk menampung perbelanjaan.

"Bahagian yang akan paling terjejas adalah persekitaran pembelajaran.

"Pihak universiti perlu mengurangkan keperluan sumber manusia dan mengubah suai rancangan pembangunan untuk beroperasi. Ia memberi kesan kepada pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran, keupayaan penyelidikan dan operasi universiti," katanya sambil menambah ia akan menjadi sukar untuk menaik taraf kelas atau kakitangan kerana mereka tidak lagi boleh pergi ke kursus dan persidangan.

Aznijar juga menyifatkan kenyataan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh baru-baru ini sebagai tidak bertanggungjawab, sambil menambah ia bukan tugas universiti untuk mencari wang.

Sebelum ini, Idris berkata pengurangan itu akan menjadikan universiti awam kurang bergantung kepada kerajaan.

"Ia sangat tidak bertanggungjawab. Ia seperti ibu bapa meminta anak mencari wang mereka sendiri walhal ia tugas mereka membiayai anK.

"Itu bukan tugas utama universiti, universiti tidak menjana wang, ia memenuhi keperluan masyarakat dengan penyelidikannya, bukan untuk menjana wang," katanya.

Kesatuan itu, bagaimanapun, optimis UM mampu mengatasi halangan dan menggesa kerajaan mengkaji semula bajet.

"Kami ingin mencadangkan kepada pentadbiran negara untuk mengkaji semula pengagihan, bajet itu dan mengambil kira serta meningkatkan bukannya mengurangkan jumlah wang yang diberikan kepada universiti berdasarkan cadangan Unesco untuk institusi tinggi,” katanya.

Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UAIM) Mohd Hafizudin Mohd Yahaya berkata pemotongan itu akan secara tidak langsung memberi beban kepada universiti kerana UIAM menghadapi pemotongan sebanyak 8%, kepada RM504 juta pada tahun depan.

"Bajet 2016 juga memberi kesan kepada jumlah bantuan kewangan universiti kepada pelajar. Khabar angin mengatakan bermula tahun 2017, pelajar perubatan yang mendaftar untuk program ijazah sarjana (master) tidak akan menerima penawaran biasiswa terus daripada JPA seperti biasa, hakikatnya mereka perlu memohon menggunakan keputusan pada semester pertama.

"Perkara yang sama mungkin berlaku kepada biasiswa lain apabila universiti dibuka," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata sejak universiti diarahkan untuk tidak menaikkan yuran pengajian, yuran yang lain di universiti mungkin akan meningkat.

"Seperti bayaran untuk kolej kediaman, pengangkutan dan denda kepada pelajar yang melakukan kesalahan tatatertib," katanya.

Beliau juga mempersoalkan keutamaan kerajaan, yang dilihatnya sebagai menjejaskan kepentingan pendidikan di negara ini.

"Saya yakin jika BR1M dimansuhkan dan digantikan dengan dasar pendidikan percuma, ia akan memberi kesan positif kepada ekonomi negara serta pembangunan jangka panjang," katanya.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dalam kenyataannya mendakwa yuran IPTA dinaikkan malah ia berlaku sejak sebelum cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan April lalu.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dalam kenyataannya mendakwa yuran IPTA dinaikkan malah ia berlaku sejak sebelum cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan April lalu.

Terdahulu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dalam kenyataannya mendakwa yuran IPTA dinaikkan malah ia berlaku sejak sebelum cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan April lalu.

"Sebagai contoh, di UIAM yuran kemasukan pelajar meningkat 13% daripada RM310 (2014) kepada RM410 (2015). Yuran kolej juga meningkat sebanyak 13% daripada RM432.50 (2014) kepada RM 552.50 (2015).

"Keadaan menjadi lebih sukar buat para mahasiswa apabila kebanyakan harga barangan di dalam universiti naik selepas GST," katanya. – TMI

Tuan Ibrahim pertahan Abdul Hadi kekal presiden


SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tetap mempertahankan kedudukan Datuk Abdul Hadi Awang sebagai Presiden Pas yang dilihat masih relevan walaupun pelbagai kecaman terhadapnya.

Tuan Ibrahim berkata, Abdul Hadi juga telah menerima mandat majoriti ahli Pas melalui pemilihan dalam muktamar tahun ini.

"Dalam Pas kita melalui muktamar, kalau dilihat muktamar baru-baru ini Presiden mendapat undi yang paling tinggi, ini bermakna majoriti ahli Pas hendakkan Hadi sebagai presiden mereka.

"Jadi soal untuk saya ganti Hadi ini tidak timbul, dan bagi saya, presiden kekal relevan dan masih mampu untuk menjalankan tugas dan diterima oleh seluruh ahli Pas," katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim menyarankan agar orang luar parti untuk tidak masuk campur urusan mereka.
"Yang keluar parti tidak perlulah komen apa yang berlaku dalam Pas," katanya. - SH

02 November 2015

Gurun paling kering jadi taman bunga

COPIAPO, Chile – Menakjubkan Gurun paling kering di dunia, Gurun Atacama di Chile bertukar menjadi taman bunga berwarna-warni baru-baru ini kesan fenomena cuaca El Nino.

Fenomena cuaca itu yang bermula di tengah Lautan Pasifik menyebabkan banyak kawasan di dunia mengalami musim kering dan hujan ekstrem.

Di gurun Atacama yang terletak di utara Santiago, Chile, pelbagai spesies bunga tumbuh melata seperti hamparan permaidani dalam pemandangan yang tidak pernah dilihat sejak bebeberapa dekad lalu.

"Pada tahun ini, fenomena istimewa berlaku apabila gurun ini menerima taburan hujan paling banyak sejak 50 tahun lalu," kata seorang pakar gurun daripada Universiti Atacama, Raul Cespedes.

Menurutnya, fenomena El Nino menyebabkan taburan hujan lebat luar biasa berlaku di kawasan gurun paling kering di dunia itu. – AFP

01 November 2015

Veteran komando bantu operasi mencari guru besar hilang

KUALA KUBU BHARU 31 Okt. - Operasi mencari dan menyelamat guru besar yang hilang sejak sembilan hari lepas di Taman Seri Seruling di sini, kini turut disertai pasukan veteran komando.

Pasukan veteran komando itu diketuai Penasihat Veteran Komando Malaysia, Datuk Shamsudin Abas bagi mencari guru besar Sekolah Kebangsaan Taman Keramat Satu, Jashiah Rabu.

Pegawai Bomba Kanan 2 Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu, Bharu Razi Hasan berkata, seramai 70 orang veteran komando itu menyertai pasukan mencari dan menyelamat lain yang terdiri daripada pihak polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Renjer Hutan dan penduduk kampung.

"Pasukan mencari dan menyelamat kini seramai 167 anggota termasuk 70 anggota veteran komando itu yang akan menggunakan pengalaman mereka di hutan bagi membantu pencarian itu," katanya ketika ditemui pemberita di pusat operasi, Kampung Buluh Telur, hari ini.

Beliau berkata pasukan mencari dan menyelamat itu kini juga dibahagikan kepada tujuh kumpulan kecil.

"Tujuh kumpulan itu melakukan operasi mencari meliputi hutan Bukit Kutu, air terjun berhampiran Taman Milenium, pencarian dari rumah ke rumah penduduk kampung, kebun getah serta anak sungai berhampiran pusat operasi," kata Razi.

Jashiah, 53, kali terakhir dilihat jirannya keluar dari rumahnya pada petang Jumaat dan apabila suaminya Ruzilan Omar, 57, pulang didapati pintu rumah mereka terbuka dan guru besar itu tiada di rumah.

Difahamkan, Jashiah menghala ke kawasan hutan simpan Bukit Kutu selepas keluar daripada rumahnya di Taman Seri Seruling dengan berjalan kaki dan menumpang kereta orang lain sejauh kira-kira 10 kilometer.- BERNAMA

Sudah 3 bulan anak gadis dilarikan lelaki

Kuala Lumpur: “Saya mengesyaki anak gadis remaja saya yang hilang dari rumah sejak lebih tiga bulan lalu dilarikan lelaki tidak dikenali,” kata Minsadi Nawi, 56, berhubung kehilangan anaknya, Siti Nurdiana, 16.

Menurutnya, anak gadisnya yang masih bersekolah itu didapati hilang sejak 24 Julai lalu selepas meninggalkan rumah di Kampung Sungai Serai Tambahan, Hulu Langat, Selangor.

“Kami hanya sedar Nurdiana melarikan diri selepas tidak pulang ke rumah sehingga jam 9 malam. Kami cuba menghubunginya melalui telefon bimbit, tetapi tidak berhasil.

“Malah, kami juga bertanyakan kepada rakan-rakan sekolahnya, namun mereka memaklumkan tidak mengetahui di mana Nurdiana berada,” katanya ketika ditemui.

Minsadi turut memaklumkan anaknya itu pernah menghilangkan diri sebanyak dua kali, tetapi tidak pernah dalam tempoh masa lama.

Jelasnya, anaknya kali pertama menghilangkan diri pada Januari lalu selama empat hari kerana mengikut rakan.

“Saya mengesyaki anak saya itu lari mengikuti teman lelaki. Pelbagai usaha sudah kami lakukan untuk mencarinya kerana bimbang keselamatan diri serta pelajarannya akan terjejas.

“Namun usaha mencari Nurdiana masih menemui jalan buntu. Malah kesihatan isteri saya turut terjejas akibat risaukan nasib Nurdiana,’ katanya.

Dia merayu orang ramai yang mempunyai maklumat supaya memaklumkan ke balai polis berhampiran atau menghubungi talian 012-6703058. - Hmetro

Pelajar menang BMW 320i cabutan Sijil Simpanan Premium BSN

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar berusia 20 tahun tidak menyangka pelaburannya dalam Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN) tidak sampai setahun membawanya memenangi sebuah kereta mewah BMW 320i pada Sabtu.

Kemenangan pelajar yang berasal dari Perak, Wong Poh Mee, 20, itu selepas terpilih sebagai pemenang cabutan SSP bagi September pada bulan lalu.

Poh Mee yang merupakan pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi jurusan Sarjana Muda Sains (Matematik Kewangan) berkata, dia pada awalnya terkejut apabila dimaklumkan mengenai berita kemenangan itu.

"Saya berasa sangat terkejut seperti bermimpi pada masa sama amat bersyukur dan gembira.

"Tak sangka usaha saya menyimpan di BSN menerusi SSP selama kira-kira enam bulan memberi tuah sehingga berjaya memenangi hadiah utama bulanan," katanya ketika ditemui mStar Online pada Majlis Cabutan SSP Bulan September di Wisma BSN di sini, Sabtu.

Poh Mee berkata, orang ramai dinasihatkan untuk menyimpan dengan BSN kerana banyak faedah dan kemudahan yang disediakan.

"Dengan hanya RM10 sahaja, anda berpeluang untuk menang pelbagai hadiah menarik. SSP merupakan satu produk simpanan yang baik.

"Wang simpanan masih kekal di dalam bank dengan selamat. Saya akan terus menyimpan di BSN selepas ini," tambahnya.

Pada majlis sama, seorang pesara dari Selangor, Abdul Aziz Hussain, 80, yang merupakan antara 13 pemenang bertuah Cabutan Tempatan memenangi sebuah kereta Perodua Axia.

Hadiah disampaikan oleh Naib Presiden Kanan/Ketua Jabatan Pengurusan Transformasi, Alain Boey Cheng Chong.

Alain berkata, saluran perkhidmatan di BSN adalah menyeluruh antaranya mesin pengeluaran automatik (ATM), mesin deposit tunai (CDM), ejen bank berdaftar (EBB) dan perbankan Internet MyBSN.

"Justeru, kemudahan-kemudahan yang disediakan ini dapat memberi kesenangan kepada pelanggan yang membuat simpanan SSP.

"Ia sekali gus menjamin masa depan yang lebih baik selain tawaran hadiah yang lumayan," kata Alain.

Majlis pada Sabtu turut menyaksikan pelakon, Rozita Che Wan dan Nur Risteena membuat cabutan SSP bagi Oktober.

BSN menyediakan cabutan bulanan, tempatan dan mingguan untuk simpanan minimum RM10 manakala cabutan istimewa menawarkan hadiah berjumlah RM1 juta menerusi simpanan SSP biasa atau Edisi Khas dengan minimum RM3,000. - Mstar