22 November 2015

Skandal RM1.5j: Pegawai kanan polis antara ditahan

KUALA LUMPUR – Polis memberkas enam individu termasuk pegawai kanan polis berhubung kes dakwaan salah laku melibatkan lebih RM1.5 juta peruntukan membaik pulih dan menaik taraf ibu pejabat polis di Bukit Aman.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata, pegawai rendah polis dan kontraktor yang terlibat dengan kes berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Kita menangkap individu tersebut sejak Jumaat lalu sehingga awal pagi ini, kesalahan salah laku itu telah dikesan oleh naziran Polis Diraja Malaysia (PDRM), kita turut menyita beberapa buah kenderaan mewah dan akaun bank individu berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, katanya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak tertentu dalam soal melibatkan kes jenayah.

"Kita tidak akan berkompromi dan membiarkan sesiapa juga melakukan sebarang bentuk jenayah termasuk kakitangan kita sendiri .

"Kita tidak pernah melindungi mana-mana pegawai dan kakitangan kita yang terlibat dengan apa jua jenayah atau sebarang salah laku," katanya pada sidang media selepas merasmikan program Sunathon 2015 di Masjid Bukit Aman, di sini, hari ini.

Sebelum ini, laporan sebuah akhbar Bahasa Inggeris melaporkan sumber‎ dalaman menyatakan RM1.5 juta yang diperuntukkan untuk kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman adalah perbelanjaan yang tidak wujud.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (Siasatan) Bukit Aman, Datuk Hamza Taib telah mengesahkan perkara itu.

Beberapa pembongkaran dibuat sejak beberapa bulan yang lalu selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjalankan audit dalaman di Jabatan Logistik Polis.

Kos membaik pulih pintu kalis api dan juga sistem penghawa dingin direkodkan bernilai RM500,000, namun tiada sebarang kerja-kerja dilakukan walaupun bayaran kepada kontraktor yang dilantik telah dibuat.

Pada masa sama, lebih RM1 juta didakwa digunakan untuk tender yang tidak wujud. - SH

No comments:

Post a Comment