24 November 2015

Keluarga Kamal Hisham mohon bantuan Putrajaya, serah memorandum kepada KDN

Norlizan Jaafar menyerahkan memorandum kepada Menteri Dalam Negeri bagi meminta campur tangan Putrajaya terhadap dakwaan layanan buruk yang diterima abangnya Kamal Hisham Jaafar sejak ditahan polis 3 bulan lalu.
Keluarga kepada bekas penasihat undang-undang istana Johor hari ini menyerahkan memorandum kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi meminta campur tangan Putrajaya terhadap dakwaan layanan buruk yang diterima Kamal Hisham Jaafar sejak ditahan polis 3 bulan lalu.

Adik kepada Kamal Hisham, Norlizan Jaafar, 40, hari ini menyerahkan memorandum itu di pejabat Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya bersama anggota keluarganya, termasuk ibunya, Kalsom Idris, 70, kira-kira pada jam 3 petang.

Memorandum setebal 11 muka surat itu mendakwa, sejak ditahan, keluarga Kamal Hisham sudah menyerahkan sejumlah RM700,000 sebagai wang jaminan.

Kamal Hisham ditahan pada 2 September lalu di Singapura.

Tuduhan yang dikenakan ke atasnya adalah berhubung kes pecah amanah melibatkan syarikat Southern Ads Sdn Bhd.

Kamal didakwa dengan 2 pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Jenayah dan 4 Pertuduhan mengikut Seksyen 131 dan 132 Akta Syarikat 1965.

Kamal, seorang peguam yang memiliki firma guamannya sendiri, dikenali antara yang paling lantang mengkritik Istana Johor.

Keluarganya sebelum ini turut menyerahkan memorandum di Parlimen bagi tujuan sama.

Dalam memorandum yang diserahkan kepada wakil KDN, Nur Ilyani Qamarulzaman, hari ini, Norlizan mendakwa, abangnya diberikan layanan buruk oleh anggota polis, termasuk ditempatkan di lokap Cawangan Khas selama 17 hari tanpa berpakaian selain seluar dalam dan dinafikan hak menunaikan solat.

“Semasa dia ditahan 17 hari tidak dibenarkan sembahyang, itu selepas dia ditahan reman dan dihantar ke Penjara Ayer Molek, dia cerita sendiri kepada keluarga,” kata Norlizan.

Dia turut mendakwa, Kamal Hisham juga beberapa kali digigit lipan sehingga mengakibatkan kesan-kesan lebam di tubuhnya.

Selain itu, memorandum itu turut menyatakan, Kamal Hisham juga tidak diberikan akses kepada rawatan kesihatan, sedangkan dia disahkan menghidap penyakit jantung, darah tinggi, dan kencing manis.

Norlizan turut berkata, abangnya juga turut dibotakkan berulang-ulang kali.

“Dalam tempoh 2 bulan pertama penahannya, Kamal Hisham dibotakkan sebanyak 5 kali.”

“Kami ahli keluarga kepada Kamal Hisham dengan rendah diri dan penuh pengharapan memohon perhatian, pertimbangan, dan tindakan dari kerajaan Malaysia melalui KDN di bawah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk memandang serius layanan buruk pihak polis dan pegawai penjara terhadap Kamal Hisham sejak beliau ditahan pada 1 September sehingga kini,” kata memorandum itu. - TMI

No comments:

Post a Comment