26 November 2015

Bajet universiti awam berdasarkan prestasi, kata menteri

Hanya universiti awam yang mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) (PPPM-PT) 2015-2025 akan diberi peruntukan 100% oleh kerajaan mulai tahun depan, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, lapor akhbar Utusan Malaysia.

Idris berkata, beliau yakin perkara itu tidak terlalu besar dan susah untuk pihak universiti mencapai prestasi ditetapkan kerajaan.

Selaras dengan formula baharu itu, pada peringkat awal, semua 20 universiti awam akan menerima 95% daripada peruntukan pembiayaan seperti emolumen, teknologi maklumat (IT), perkhidmatan dan enrolmen pelajar.

Manakala 5% lagi diserahkan kepada pengurusan universiti untuk digunakan ke arah transformasi pendidikan tinggi.

“Asas ini dinyatakan di dalam Pelan Strategi Lautan Biru kementerian yang menjelaskan IPT tidak boleh terlalu bergantung kepada kerajaan.

"Pada masa ini, 75 hingga 90% dana di universiti adalah daripada kerajaan sedangkan di negara lain, kerajaan hanya memperuntukkan 30 hingga 50% sahaja.

“Kita sudah berbincang dengan pihak universiti terutama naib canselor dan mereka maklum. Ini tidak menjadi perkara terlalu besar. Saya yakin tidak susah untuk mereka mencapai prestasi yang ditetapkan,” katanya.

Tambahnya, kerajaan mahukan kesemua universiti awam mampu menjana pendapatan sendiri memandangkan separuh daripadanya sudah ke arah universiti penyelidikan yang berupaya menambah hasil ekonomi universiti sendiri.

“Formula baharu ini akan memberi kelebihan kepada universiti apatah lagi ia sudah dikaji ahli jawatankuasa yang terdiri daripada mereka yang berpengalaman dan mendapat pengiktirafan di peringkat dunia.

“Kita mahu penambahbaikan dalam kualiti pelajar dan kecekapan universiti. Berdasarkan Ranking U21 Sistem Pendidikan Tinggi Antarabangsa, universiti kita tangga 12 daripada 50 universiti yang mendapat peruntukan dana terbanyak tetapi dari segi prestasi kita berada di kedudukan 44. Ini yang kita mesti ubah,” katanya.

Dalam Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Oktober lalu, menyaksikan Universiti Malaya paling banyak menerima potongan dalam pembiayaan iaitu RM175 juta atau 27.3%.

Sementara Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Teknologi Mara dan Universiti Malaysia Terengganu, peruntukan masing-masing dipotong lebih 20%.

Bajet bagi 11 institut pendidikan tinggi awam lain pula dikurangkan antara 10 dan 20%, manakala 4 lagi dikurangkan sehingga 10% berbanding peruntukan sebelum ini.

Dalam pembentangan bajet itu, peruntukan bagi Kementerian Pendidikan Tinggi berkurangan daripada RM15.78 bilion pada 2015 kepada RM13.37 bilion untuk 2016. - TMI

No comments:

Post a Comment