11 November 2015

Dua orang pengurusan tertinggi Syabas ditamatkan perkhidmatan

Kerajaan Negeri Selangor hari ini mengesahkan bahawa dua orang pengurusan tertinggi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) telah ditamatkan perkhidmatan.

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali memberitahu penamatan perkhidmatan berkenaan dilakukan selepas Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengambil alih sepenuhnya Syabas dan Puncak Niaga Holding Berhad (Puncak Niaga) pada 15 Oktober lalu.

“Dua orang pengurusan tertinggi Syabas yang ditamatkan perkhidmatan mereka dibuat berdasarkan rundingan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batang Kali – BN, Mat Nadzari Ahmad Dahlan di Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.

Tambah Adun Bukit Antarabangsa-PKR itu lagi, Kerajaan Negeri Selangor memberi jaminan warga kerja Syabas dan Puncak Niaga akan terus kekal berkhidmat di bawah pengurusan baru.

Jelasnya, kerajaan negeri juga telah dimaklumkan bahawa mereka mempunyai kemahiran-kemahiran tertentu dalam bidang yang dilakukan setelah beberapa tahun sebelum ini.

“Jadi kerajaan beri jaminan warga kerja Syabas dan Puncak Niaga akan terus kekal berkhidmat di bawah pengurusan baru tetapi ada kemungkinan fungsi kerja mereka perlu diperjelaskan supaya lebih efektif dan berkesan.

“Air Selangor juga akan keluarkan laporan tahunan bagi Syabas dan Puncak Niaga yang mana ia tidak pernah dikeluarkan sebelum ini untuk pengetahuan umum,” ujarnya. - therakyatpost.com

No comments:

Post a Comment