17 November 2015

Lima suspek pengganas ditahan

Kuala Lumpur: Lima lelaki berusia 22 hingga 40 tahun ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas dipercayai terbabit dalam dua kumpulan pengganas iaitu Negara Islam (IS) dan Imam Mahdi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, semua individu itu ditahan di Johor dan Selangor dalam operasi khas yang dijalankan pada 9 November hingga 14 November lalu.

Katanya, dua individu termasuk seorang warga Indonesia yang ditahan di Johor bekerja di kantin Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia di Petaling Jaya dan pernah ditahan polis Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang dan mengikut Akta Imigresen.

"Dua lagi individu yang ditahan dipercayai menganggotai kumpulan Iman Mahdi dan disyaki cuba melancarkan serangan di beberapa lokasi di Lembah Klang. Polis masih memburu saki baki kumpulan ini dan mereka didapati berinteraksi menggunakan laman sosial Facebook.

"Suspek kelima berusia 40 tahun yang ditahan adalah bekas pegawai kanan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pernah ditahan pihak berkuasa Turki bersama etnik Uighur, Morrocco dan Russia sebelum diusir balik ke Malaysia 25 Oktober lalu,"katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, semua suspek ditahan mengikut Bab VIA- Kesalahan Berkaitan Keganasan Kanun Keseksaan (Akta 574) dan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747). - Hmetro

No comments:

Post a Comment