28 December 2015

Asri: Jika akal tak bijak, apa perlu jadi pak menteri

Saranan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan agar rakyat melakukan dua kerja bagi menampung kos sara hidup terus dikritik pelbagai pihak.

Tidak terkeculi, kenyataan tersebut turut mendapat kritikan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam status di laman Facebooknya hari ini.

Meskipun tidak menyebut nama menteri berkenaan secara langsung, Asri dipercayai merujuk kenyataan Ahmad semalam yang meminta supaya rakyat Malaysia melakukan dua pekerjaan sehari.

Menurut Asri seseorang menteri seharusnya bijak dan waras bagi melayakkannya diberikan pelbagai kelebihan termasuk gaji dan keistimewaan lain.

Selain itu katanya, seseorang menteri juga sepatutnya mencari penyelesaian untuk meringankan beban rakyat dan bukan menambahkan lagi beban mereka.

“Menteri itu sepatutnya mencari penyelesaian untuk rakyat, bukan membuat cadangan yang membebankan lagi rakyat.

“Menteri itu hendaklah seorang yang sangat waras, bijak lagi tangkas menyelesaikan permasalahan rakyat dan negara.

“Jika akal yang bijak dan tangkas tidak diperlukan untuk menjadi seorang 'pak menteri', maka apakah kelebihan jawatan itu sehingga diberikan gaji dan pelbagai peruntukan yang istimewa untuknya?," soal Asri dengan sinis di laman Facebook.

Sebuah portal semalam melaporkan saranan Ahmad supaya rakyat melakukan dua kerja bagi menampung kos hidup di negara lain.

Meskipun dikritik keras kerana cadangan tersebut, Ahmad Maslan sekali lagi tampil mempertahankan kenyataan itu dan mengatakan beliau sendiri melakukan tiga pekerjaan dalam kerajaan dan partinya Umno.

“Saya ada 3 kerja: anggota parlimen, timbalan menteri, ketua penerangan Umno. Ramai dah di Malaysia yang buat #2Kerja," katanya.

“Berusaha gigih cari rezeki yang halal,” kata Ahmad Maslan. - Mkini

24 December 2015

PAS boleh bincang dengan Pakatan Harapan pembahagian kerusi Sarawak, lapor akhbar

Pakatan Harapan sentiasa membuka pintu bagi PAS untuk membincangkan pembahagian kerusi pilihan raya negeri (PRN) Sarawak yang dijangka diadakan April depan, kata Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Salahuddin Ayub.

Beliau dilaporkan Sinar Harian berkata, PAS juga berhak meletakkan calonnya di mana-mana kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, memandangkan parti itu bukan lagi termasuk dalam gabungan parti pembangkang yang mahu berdepan dengan Barisan Nasional (BN).

“Dahulu ketika dalam Pakatan Rakyat (PR), semua keputusan dibuat secara bersama. Tetapi apabila PAS bukan lagi sebahagian Pakatan Harapan, mereka (PAS) berhak bertanding di mana sahaja yang mereka kehendaki.

“Namun begitu, kita (Pakatan Harapan) sentiasa buka pintu buat PAS mengadakan sebarang perbincangan mengenai pembahagian kerusi di PRN Sarawak nanti,” beliau dipetik berkata.
Salahuddin berkata demikian mengulas kenyataan Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee yang parti itu akan bertanding di lebih 10 DUN negeri itu pada PRN ke-11 akan datang.

“Kita (Pakatan Harapan) tidak pernah halang mereka (PAS) kalau mereka hendak bertanding, walaupun Pakatan Harapan sendiri meletakkan matlamat untuk pertembungan satu lawan satu supaya rakyat nampak dengan lebih jelas gabungan ini,” katanya.

Akhbar itu juga melaporkan PKR turut menyatakan perkara sama, iaitu mengadakan perbincangan dengan PAS dalam isu pembahagian kerusi, bagi mengelakkan terjadi pertembungan 3 penjuru.

Namun, naib presidennya Rafizi Ramli berkata, sebarang keputusan akan mengambil kira pandangan parti komponen lain dalam Pakatan Harapan.

“PAS perlu akui mereka tidak mudah untuk menang di Sarawak dan sebab itulah, jalan terbaik adalah mengadakan perbincangan terlebih dahulu.

“Jika PAS bertanding bersendirian dan berlaku pertembungan 3 penjuru, ia sudah semestinya akan mengurangkan lagi peluang Pakatan Harapan menang,” katanya.

Rafizi berkata, perkara itu juga pasti akan memberi kesan kepada tahaluf siyasi PAS dan PKR sudah semestinya akan dipersoal sekiranya ia tetap berhasrat bertanding di kawasan DUN yang mempunyai calon Pakatan Harapan selepas ini.

Sementara itu, Berita Harian melaporkan Pengarah Operasi PAS Pusat Dr Mohd Zuhdi Marzuki mendakwa PKR cuba mengkhianati parti Islam itu kerana ia enggan menjalinkan kerjasama dalam PRN Sarawak.

Sekali gus ia mula memperlihatkan keretakan hubungan antara dua parti berkenaan, kata akhbar itu.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang membayangkan untuk tidak bekerjasama dengan PAS dalam PRN itu.

Dr Wan Azizah dilaporkan memberi alasan PAS tidak mempunyai pengaruh kuat kerana tidak memiliki sebarang kerusi di negeri itu.

Menurut Zuhdi, kenyataan ketua pembangkang itu menunjukkan ada tanda-tanda PKR akan mengkhianati PAS pada masa hadapan.

“Pusat Penyelidikan PAS mengalu-alukan keputusan itu (PKR) kerana PAS kini lebih bebas untuk bertanding mana-mana kerusi yang difikirkan perlu, termasuk kemungkinan bertembung dengan PKR.

“Sekiranya dalam PRN Sarawak yang lalu PAS hanya bertanding di 5 kerusi DUN, dengan keputusan Dr Wan Azizah, PAS lebih bebas menentukan kerusi yang mahu ditandingi kerana tidak lagi terikat dengan PKR,” katanya. – TMI

Iskandar: Pemimpin tiada hak maafkan Umno

Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abd Samad sekali lagi membangkitkan persoalan tentang kesalahan-kesalahan yang pernah dilakukan Umno sebelum ini.
Persoalan itu timbul ekoran cakap-cakap yang mengatakan parti Islam itu akan menjalin kerjasama dengan Umno.
Iskandar berkata, kesalahan yang pernah dilakukan Umno sebelum ini tidak boleh dimaafkan oleh mana-mana pimpinan.
Katanya, kesalahan tersebut hanya boleh dimaafkan oleh pihak yang didakwanya pernah ditindas oleh parti pemerintah itu.
"Siapa yang boleh memaafkan kesalahan Umno? Sudah tentu bukan keputusan mana-mana pimpinan. Tetapi mangsa-mangsa kezaliman dan penindasan Umno itu sendiri.
"Mungkin juga keluarga-keluarga mereka jika mereka tiada lagi di dunia ini. Siapakah mereka? Ramai sekali," kata Iskandar dalam satu kenyataan.
ADUN Chempaka itu turut menyebut beberapa mangsa yang didakwa ditindas oleh Umno antaranya bekas tahanan ISA, mangsa peristiwa Memali, seluruh rakyat Kelantan dan Terengganu yang tidak mendapat royalti petroleum serta penjawat awam yang dipindahkan kerana menyokong pembangkang.
"Senarainya terlalu panjang untuk dinyatakan di sini. Tanya mereka terlebih dahulu sebelum mahu memaafkan kesalahan-kesalahan Umno," kata Iskandar tanpa menyebut nama mana-mana pihak.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti itu sedia memaafkan dan melupakan kesalahan Umno memandangkan ia sebahagian daripada ciri-ciri perjuangan mereka.
Malah, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki pula berkata, PAS wajar membuka lembaran baru bersama Umno bagi mewujudkan kerjasama berkaitan perkara ketakwaan dan kebaikan serta tidak perlu mengungkit segala dosa dan kesalahan lampau yang dilakukan Umno. - Mkini

Pas: Amanah hanya akan dengar cakap DAP

SHAH ALAM – Agak sukar bagi Parti Amanah Negara (Amanah) adalah untuk menyertai kerjasama Pas dan Umno kerana  Amanah parti yang terikat dengan DAP dan hanya akan mendengar pandangan daripada DAP.

Timbalan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sekiranya Pas dan Amanah perlu bekerjasama, pihaknya akan meneliti tujuan kerjasama tersebut terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

“Amanah ini terikat dengan DAP. Mereka hanya akan dengar cakap DAP sahaja. Jika DAP mahu mereka senyap, mereka akan senyap. Kalau DAP mahu mereka buat bising, jadi bisinglah mereka.

“(Kalau) Nak kerjasama, kita akan teliti terlebih dahulu bentuk kerjasama itu. Kalau ia dibuat demi kebaikan dan kepentingan rakyat, Pas tak ada masalah,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pas, Umno perlu bersama demi orang Melayu]

Sebelum ini, penganalisis politik, Prof Madya Dr Fuad Othman berpendapat, kerjasama antara Pas dan Umno bukan sahaja dihulurkan kepada Pas, malah sepatutnya turut disuakan kepada Amanah dan juga PKR.

Ia perlu dilakukan demi kepentingan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Mengulas lanjut, kata Muhammad Khalil, sebagai parti politik, Pas bersikap terbuka untuk menerima sesiapa sahaja atau mana-mana parti untuk bekerjasama demi kepentingan rakyat.

“Kami sentiasa menerima apa sahaja cadangan yang dibuat demi kepentingan negara, rakyat dan agama.

“Oleh kerana itu, bila adanya pelawaan daripada Umno untuk bekerjasama dengan Pas, kami mengambil sikap positif dan kami melihat apakah bentuk kerjasama tersebut. Kalau bentuk kerjasama itu dibuat demi membantu Kelantan dan agama, kita bersedia,” katanya. - SHarian

23 December 2015

Hat-hati dengan cubaan pecahbelahkan Pas

KUALA LUMPUR, 23 Disember:

Ahli Pas digesa berhati-hati terhadap usaha cubaan memecahbelahkan parti Islam itu.

Naib Presidennya, Datuk Iskandar A Samad, berkata perkembangan baru dalam senario politik negara membentuk perpecahan dalam parti.

Beliau berkata, Presiden Pas hanya menghadiri Multaqa Alcazar, tetapi ada pihak yang menjadikannya seolah-olah mereka sudah pun berada `sekapal’ dengan Umno.

“Mereka menjadikannya dilihat seolah-olah kami sudah bersama Umno dan kami mahu menubuhkan kerajaan perpaduan bersama mereka.

“Pemimpin Umno menjadikannya kelihatan seperti mereka sudah cuba mencadangkan kepada Pas,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, media yang menjadi musuh Pas selama ini menjadikannya sebagai isu utama mereka.


“Mereka membuatkannya kelihatan seperti kedua-dua parti ketika ini sedang membuat pelbagai rancangan.

“Mereka mendakwa ada dua kumpuan, satu yang mengokong kerjasama dengan Umno dan satu lagi yang menentang.

“Ini yang diperkatakan supaya ahli Pas bergaduh sesama sendiri.”

Sehubungan itu, beliau menggesa ahli Pas supaya berhati-hati dengan taktik berkenaan.

“Hati-hati dengan tindakan politik oleh Umno kerana mungkin ada motif tersembunyi di sebaliknya.”  TRPost

Hakim tambah hukuman penjara sebab malas

KUALA LUMPUR - Sikap malas pasangan suami isteri dengan meneruskan gaya hidup menyamun sebanyak dua kali menyebabkan Hakim Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara tambahan 10 tahun ke atas mereka, hari ini.

Nasaruddin Naser, 35, dan Fatin Nadia Abdullah, 20, kini sedang menjalani hukuman penjara tiga tahun setelah dijatuhi hukuman atas kesalahan menyamun dalam kes pertama mereka dahulu.

Nasaruddin dipenjarakan di Penjara Kajang pada 27 November, manakala Fatin Nadia ditempatkan di Penjara Sungai Buloh pada 12 Disember lepas.

Bagi kes kedua mereka, Hakim Amernudin Ahmad, sebelum menjatuhkan hukuman penjara tambahan 10 tahun itu, berkata: "Kamu boleh merempat di  negara kamu sendiri, sebab apa? Sebab kamu malas."

Amernudin berkata perbuatan samun itu tidak sepatutnya dilakukan oleh kedua-dua tertuduh walau dalam apa jua keadaan sekalipun.

Pasangan suami isteri itu yang tidak bekerja didakwa telah melakukan rompakan terhadap seorang juruwang warganegara Nepal, Subas Waiba dengan
mengambil wang sebanyak RM132.70 dan pelbagai jenis kotak rokok di 7 Eleven, Jalan 5/38D Taman Sri Sinar, Segambut, pada pukul 11.50 malam, 28 April lepas.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Mahkamah turut mengenakan hukuman tiga kali sebatan terhadap Nasaruddin dan memerintahkan kedua-duanya menjalani hukuman penjara serentak dengan hukuman terdahulu.

Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian Nasaruddin telah mengacukan pisau terhadap mangsa dan mengarahkan mangsa memberikan semua wang di dalam peti tunai, manakala isterinya pula mengambil kotak rokok yang berada di belakang peti tunai sebelum mereka melarikan diri.

Ketika rayuan bagi mengurangkan hukuman, kedua-dua tertuduh, yang mempunyai seorang anak memohon hukuman berjalan serentak memandangkan mereka sedang menjalani hukuman penjara bagi kesalahan sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ezrene Zakariah manakala pasangan itu tidak diwakili peguam. - Bernama

Zuhdi: Tidak perlu ungkit dosa lampau Umno

PAS wajar membuka lembaran baru bersama Umno bagi mewujudkan kerjasama berkaitan perkara ketakwaan dan kebaikan, kata Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki.
Kerjasama itu, katanya bukan bermaksud parti Islam itu bergabung dengan Umno, sebaliknya untuk menegakkan dan mempertahankan Islam demi kebaikan rakyat dan negara.
Jelasnya, dalam perkara yang mengancam Islam dan merugikan rakyat serta negara, menjadi kewajipan PAS mencegah perkara itu termasuk membetulkan Umno sebagai parti pemerintah.
“Sekiranya generasi pemimpin dan ahli Umno hari ini mahu merapatkan hubungan persaudaraan Islam, maka adakah perlu diungkit segala dosa dan kesalahan lampau yang bukan dilakukan mereka,” katanya seperti dilapor akhbar Berita Harian hari ini.
Zuhdi berkata demikian mengulas kesediaan PAS memaafkan dan melupakan kesalahan Umno yang lalu.
Sebelum ini Setiausaha agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan dilapor berkata parti Islam itu bersedia memaafkan dan melupakan kesalahan Umno kerana ia adalah sebahagian daripada ciri-ciri perjuangan mereka.
Malah, anggota Parlimen Kota Bharu itu berkata tindakan memaafkan dan melupakan kesalahan adalah perkara yang sentiasa diamalkan parti Islam itu.
Sementara itu, Zuhdi mengakui bahawa hubungan Umno dan PAS satu ketika dahulu meruncing sehingga berlaku beberapa peristiwa yang tidak diingini.
Namun katanya, ada kalangan pemimpin itu telah lama meninggal dunia dan sekiranya masih hidup, mereka bukan lagi pemimpin yang menggerakkan Umno.
“Kita serah lah kepada Allah untuk mengadili seadilnya pemimpin dahulu pada hari akhirat kelak," katanya. - Mkini

22 December 2015

Idris: Teringin pada Umno, keluar dari PAS

Di tengah-tengah isu keakraban Umno-PAS, Naib Presiden PAS Idris Ahmad menegaskan bahawa pandangan peribadi tidak boleh dipakai dalam isu itu.
“Jika ada individu yang hendak bergabung dan teringin dengan Umno, maka individu itu sahaja yang pergi,” katanya.
Beliau menegaskan PAS pernah kehilangan pemimpin-pemimpin kanannya sebelum ini, termasuk dua presiden – Ahmad Fuad dan Datuk Asri Muda (gambar) – tetapi PAS tidak lemah.
“PAS tetap hebat, kerana dasar, bukan kerana individu. Siapa pun boleh pergi, Insya-Allah PAS berdiri gagah,” katanya.
Beliau sebelum itu mengulas spekulasi parti itu mahu bergabung dengan Umno, dengan menegaskan mereka mempunyai organisasi pelbagai peringkat.
“Heboh di peringkat media sosial dan media perdana, PAS hendak bergabung dengan Umno.
“Ingin saya tegaskan bahawa PAS ada organisasi daripada peringkat Majlis Syura Ulama, AJK (anggota jawatankuas) PAS Pusat, dan muktamar (tahunan),” katanya.
Acara 'proksi kerajaan'
Beliau berkata demikian ketika menyentuh majlis anjuran alumni Universiti Al-Azhar yang menyaksikan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak berkongsi pentas .
Selain warna baju mereka yang sedondon mencuri perhatian, ramai dilihat cuba membaca bahasa tubuh dan kemesraan kedua-dua pemimpin itu di pentas.
Hadi menyampaikan ucap utama dalam acara itu manakala Najib pula merasmikannya.
Dalam kenyataannya, Idris berkata sejak acara yang menurutnya disediakan “proksi kerajaan” itu, terbukti PAS tidak akan mengikut agenda orang lain tetapi hanya apa yang diajar oleh agama.
Sementara itu, Idris juga menyeru anggota dan penyokongnya supaya menjadikan media rasmi parti – Harakah dan Harakahdaily – sebagai rujukan untuk sebarang keputusan parti.
Selain itu, anggota PAS juga diseru hadir ke acara dan dialog bersama pemimpin dan mendapatkan maklumat terus keputusan parti dan bukan pandangan peribadi.
“Jangan jadikan media perdana, media sosial, hatta media alternatif, mereka ada agenda yang tersendiri untuk memadam cahaya perjuangan PAS,” dakwanya. - Mkini

21 December 2015

Banyak pihak mahu PAS, UMNO bekerjasama - Ahmad Yakob

RANTAU PANJANG: Persidangan Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 dilihat memberi peluang kepada PAS dan UMNO untuk bermuhasabah sebelum sebarang kerjasama dijalinkan.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob, berkata semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) juga mahu melihat kedua-dua parti orang Melayu itu menjalin kerjasama. Katanya, tempoh bermuhasabah juga akan memberi ruang masing-masing mengenal pasti penghalang utama kepada kerjasama itu.

"Kalau benar kedua-dua parti ini mahu bekerjasama, saya berpandangan persidangan itu adalah peringkat muhasabah yang paling baik," katanya pada sidang media selepas merasmikan Bazar Siti Fatimah Rantau Panjang. - BHarian

Pertikai anjing, pengurus pentas Awani parah ditikam

Mohd Hawari Zakaria diserang tujuh lelaki di kediamannya di kondominium PV2 Platinum Hill Jumaat lepas. - See more at: http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/pertikai-anjing-pengurus-pentas-awani-parah-ditikam#sthash.2Zyvg43Z.dpuf
KUALA LUMPUR, 21 Dis — Pengurus pentas Astro Awani berada dalam keadaan kritikal selepas ditikam, dipercayai berselisih faham mengenai anjing yang dimiliki penghuni pangsapuri sama di Setapak.

Mangsa, Mohd Hawari Zakaria diserang tujuh lelaki di kediamannya di kondominium PV2 Platinum Hill 11.30 pagi Jumaat lepas, lapor akhbar Malay Mail hari ini.

Polis menahan dua lelaki pada Sabtu dan memburu lima suspek lain terlibat dalam insiden itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata dua suspek itu diberkas di Setapak pada jam dua petang.

“Dua lelaki itu merupakan penganggur ditahan reman sehingga Rabu bagi membantu siasatan sementara kami memburu suspek lain yang terlibat dalam serangan,” katanya.

Zainuddin berkata kes itu diklasifikasikan mendatangkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata dan memiliki senjata tajam.

Mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil namun masih berada dalam pengawasan unit rawatan rapi di Hospital Kuala Lumpur. - themalaymailonline.com

20 December 2015

Anak Mangsa Lemas Menangis Minta Tolong – Saksi

KUALA BERANG – “Saya lihat kanak-kanak itu duduk seorang diri atas pasir di tempat kejadian sebelum dia beritahu ibu dan bapa serta tiga kakaknya lemas dalam air,” kata Razak Ahmad, 40; seorang peniaga.
Beliau yang secara kebetulan baharu tiba di Air Terjun Belukar Bukit, di sini, menemui budak tersebut sejurus selepas kejadian lima sekeluarga dari Selangor mati lemas.
Razak yang berniaga air minuman dan pisang goreng di situ, berkata ketika dia tiba sahaja di gerainya, beberapa pengunjung datang memberitahu mengenai kejadian tersebut.
“Saya kemudian terus bergegas ke lokasi kejadian itu serta menemui kanak-kanak tersebut berseorangan. Saya tanya di mana ibu dan bapanya lalu dia memaklumkan ada dalam air.
“Saya hubungi beberapa penduduk kampung untuk bantu mencari lima beranak itu. Usaha menaikkan mangsa sedikit sukar kerana arus berpusar selain air agak dalam mencecah tujuh meter berbanding kebiasaan,” katanya.
Seorang lagi yang terbabit dalam operasi itu, Mohd. Zainuddin Othman berkata, dia sudah beberapa kali terbabit dalam operasi menyelamat mangsa lemas di kawasan itu, tetapi mengakui kejadian itu adalah yang paling sedih.

Lima Sekeluarga Mati Lemas Di Hulu Terengganu

Sudah lebih 20 mangsa lemas di kawasan ini yang saya pernah bantu cari, tetapi kejadian ini yang paling menyedihkan.
“Sedih lihat kanak-kanak itu menangis sambil minta tolong cari ayah, mak dan kakaknya dalam air ketika saya tiba di tempat kejadian,” katanya yang dikenali dengan kepakarannya mencari mangsa lemas di kawasan rekreasi itu.
Katanya, mangsa yang lemas di kawasan berkenaan tidak akan hanyut lebih jauh kerana pusaran arus di dasar akan menghanyutkan mangsa ke kawasan berbatu berhampiran air terjun.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi Sabtu, sepasang suami isteri, Mohd. Halim Samian, 44; dan Nurul Adilah @ Salaiwati Awang, 39; lemas selepas mandi di Air Terjun Belukar Bukit, di sini.
Turut maut ialah tiga anak mereka, Nurul Arifah, 16; Nurul Hidayah Aina, 11; dan Nurul Izzah, 10. Bagaimanapun, anak lelaki pasangan itu, Mohd Hasif, 8, terselamat kerana berada di daratan.
Sementara itu, seorang penduduk yang sebelum ini ditugaskan menjaga kawasan berkenaan, Mohd. Yusof Mohamad, 61; berkata, dia bertugas di kawasan berkenaan sejak 2000 hingga 2014 lalu.
Sepanjang tempoh itu sudah beratus-ratus pengunjung lemas di kawasan rekreasi berkenaan.
“Boleh dikatakan setiap tahun ada kes lemas berlaku di kawasan ini dan kejadian terakhir membabitkan remaja lelaki berusia 13 tahun pada Hari Raya Aidiladha lalu,” katanya. – BHarian Online

PERKASA sindir Umno sibuk dengan Krismas

Datuk Ibrahim Ali hari ini menyindir Umno susulan ketiadaan wakil parti Melayu itu di persidangan agung tahunan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA).
Sebaliknya presiden pertubuhan itu memuji PAS kerana menghantar wakil ke persidangan hari ini dengan diwakili, Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan dan Pengarah Pilihan Raya Datuk Mustafa Ali.
Ibrahim berkata ketiadaan wakil Umno di persidangan pertubuhan itu kali ini mungkin terlalu sibuk membuat persiapan bagi menyambut Hari Natal, Jumaat depan.
"Kita telah menghantar surat jemputan kepada Umno dan kemudian hantar jemputan melalui tangan kepada setiausaha agung dan ketua penerangan Umno kerana bimbang apabila wakil PAS datang mereka cakap mereka tidak dijemput.
"Mungkin Umno sibuk nak sambut Krismas," katanya semasa ucapan aluan di Persidangan Agung Tahunan Ke-6 PERKASA pagi ini.
Katanya, beliau telah menghantar jemputan kepada semua parti politik untuk hadir kecuali DAP, namun yang hadir ialah parti myPPP, PAS dan Parti Ikatan Rakyat Malaysia (IKATAN).
"Kita jemput semua parti-parti politik untuk hadir (persidangan Agung Tahunan PERKASA), kecuali DAP," katanya. - Mkini

Pas sedia maafkan kesalahan Umno

KUALA LUMPUR - Pas sedia untuk melupakan dan memaafkan kesalahan yang pernah dilakukan Umno terhadap parti itu 

sebelum ini, kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, itu antara ciri-ciri yang ada dalam perjuangan Pas.

"Ini bukan perkara baru ramai pemimpin lain masuk dalam Pas mereka ada kedudukan baik, mereka diterima dengan hati 

terbuka itu di kalangan ahli (Pas).

"Sekarang ini antara parti (Pas-Umno) kita akan laksana perkara sama (memaafkan dan melupakan)," katanya kepada 

pemberita ketika ditemui di Persidangan Agung Perkasa ke-6, hari ini.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu memberitahu yang Pas dalam proses memberi penjelasan menyeluruh kepada ahlinya 

mengenai kerjasama itu.

Kehadiran Takiyuddin dan Pengarah Pilihanraya Pas, Datuk Mustafa Ali di Persidangan Agung Perkasa menarik 

perhatian ramai dan  menguatkan lagi dakwaan bahawa Pas akan bekerjasama dengan Umno.

Takiyuddin berkata, kehadiran mereka adalah atas jemputan Perkasa.

Ketika ditanya adakah ahli menerima untuk bekerjasama dengan Umno, beliau berkata, setiap keputusan yang dibuat 

Pas adalah secara kolektif bukan hanya atas kepentingan peribadi.

"Boleh lihat benda baru ada suasana faham masing-masing, pokoknya dalam Pas apa yang dibawa oleh presiden bersikap 

kolektif atas nama parti itu keputusan kolektif," katanya. - SH

Penyamun ganas maut ditembak

KOTA BHARU – Seorang penjenayah hanya sempat menunjukkan lagaknya selama 10 minit sebelum dia maut ditembak kerana bertindak agresif menyerang anggota polis dalam kejadian samun sebuah kedai serbaneka di Jalan Kutan, Wakaf Bharu, Tumpat semalam.
Dalam kejadian pada pukul 2.50 pagi, suspek yang berusia 34 tahun bersenjatakan sebilah pisau masuk ke premis tersebut yang mempunyai dua pekerja.
Kedua-dua pekerja yang ketakutan kemudian melarikan diri ke bahagian stor kedai terbabit bagi menyelamatkan diri sebelum suspek menggeledah bahagian kaunter premis itu untuk mendapatkan wang.
Salah seorang pekerja lelaki berusia 20-an telah bertindak menghubungi pihak polis bagi memaklumkan kejadian tersebut. - Kosmo

Kakitangan stesen televisyen swasta parah ditikam

KUALA LUMPUR – Seorang kakitangan sebuah stesen televisyen swasta parah selepas ditikam oleh seorang lelaki berketurunan India dalam satu kejadian di Kondominium PV20, Jalan Usahawan, Setapak di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, mangsa, Ahmad Hawari Zakaria, 33, (gambar), ditikam pada bahagian perut dan kini berada dalam keadaan kritikal.
Mangsa bertugas sebagai pengurus pentas.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, mangsa ditikam secara tiba-tiba selepas berlaku pergaduhan antara suspek dan mangsa di rumahnya.
“Suspek dan teman wa­nitanya bersama kira-kira tujuh orang lagi rakannya datang ke kondominium berkenaan dan memukul mangsa selepas berlaku pertelingkahan sesama mereka.
“Semasa pergaduhan berlaku, salah seorang daripada mereka mengeluarkan sebilah pisau lalu menikam senjata tersebut pada badan mangsa sebelum melarikan diri,” kata­nya dalam satu kenyataan di sini semalam. - Kosmo

19 December 2015

Tragedi air terjun: Imam surau Puncak Alam antara 5 lemas

HULU TERENGGANU - Hasrat enam sekeluarga menghabiskan cuti persekolahan dengan berkunjung ke Air Terjun Belukar Bukit, di sini, pagi tadi bertukar tragedi  apabila lima daripada mereka ditemui lemas.

Dalam kejadian kira-kira 10.45 pagi itu, mangsa ialah seorang imam yang bertugas di Puncak Alam, Selangor, Mohd Halim Samian,44; isterinya Nurul Adilah@Salaiwati Awang,39, serta tiga anaknya Nurul Arifah,16; Nurul Hidayah Aina,11 serta Nurul Izah,10.

Manakala individu yang selamat  ialah Mohd Hasif, 9, dan difahamkan mereka sekeluarga yang tinggal di Puncak Alam, Selangor tiba di lokasi pelancongan berkenaan kira-kira jam 10.30 pagi sempena pulang ke kampung Nurul Hidayah Aina di Kampung Bukit Tunggal, Kuala Nerus.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Mohd Zuraidi Yusof berkata pihaknya menerima panggilan  jam 11.35 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian dengan kekuatan 11anggota menaiki sebuah jentera serta sebuah pajero.

"Sewaktu pihak bomba tiba di lokasi kejadian, tiga mangsa iaitu Mohd Halim, Nurul Izah serta Nurul Hidayah telah pun ditemui oleh orang awam tidak jauh antara satu sama. Mangsa pertama dijumpai ialah Mohd Halim jam 12.17 tengahari sebelum disusuli mangsa seterusnya lima minit kemudian iaitu Nurul Izah dan Nurul Hidayah.

"Operasi mencari dan menyelamat terus dilakukan pihak bomba bersama orang awam sekali gus berjaya menemui Nurul Adilah@Salaiwati jam 12.33 tengah hari. Mangsa terakhir dijumpai ialah Nurul Arifah jam 12.37 tengahari. Kesemua mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis.

"Sewaktu kejadian tiada pengunjung lain di lokasi tersebut, bagaimanapun kita tidak menolak kemungkinan kejadian berpunca apabila salah seorang mereka di bawa arus sebelum ahli keluarga yang lain cuba membantu.

"Memandangkan terdapat pusaran air di kawasan berkenaan, kita percaya kesemua mereka telah dibawa pusaran itu hingga kesemuanya lemas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di pekarangan Bilik Forensik Hulu Terengganu, di sini, hari ini. - SH

17 December 2015

Unit Amal PAS dihalau keluar pusat pemindahan, silaturahim Umno ‘omong kosong’

Usaha membantu mangsa banjir di Meru, Klang tergendala semalam apabila Umno Bahagian Kapar, Selangor didakwa menghalau Unit Amal PAS yang membantu mangsa banjir ditempatkan di sebuah sekolah di sana.
Usaha membantu mangsa banjir di Meru, Klang tergendala semalam apabila Umno Bahagian Kapar, Selangor didakwa menghalau Unit Amal PAS yang membantu mangsa banjir ditempatkan di sebuah sekolah di sana.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru Dr Rani Othman meminta unit itu agar meninggalkan kawasan itu kerana jika mereka tidak berpindah, pusat pemindahan mangsa banjir itu akan ditutup.

Katanya, arahan supaya unit itu keluar dibuat Ketua Umno Bahagian Kapar Datuk Faizal Abdullah kepadanya kira-kira jam 2 petang semalam dengan alasan ia arahan "pihak atasan".

"Mula-mula datuk pegawai daerah, yang dipertua Majlis Perbandaran Klang, pegawai bomba dan exco terkejut dan tidak bersetuju dengan keputusan saya supaya kita berkemas petang semalam atas desakan Umno itu.

"Ada yang hampir menangis dengan keputusan saya itu. Namun selepas itu, masing-masing nampak impak keputusan itu, atau 'the big picture' yang cuba saya ketengahkan," kata Dr Rani.

Pusat pemindahan mangsa banjir itu dibuka di sebuah sekolah yang ditadbir kerajaan persekutuan manakala Unit Amal ialah badan sukarela bawah PAS.

Sejak banjir melanda Selangor kelmarin, unit itu dengan kerjasama Dr Rani menjadi badan pertama yang menyediakan kemudahan untuk membantu mangsa banjir.

Sebanyak 52 keluarga mangsa dari Persiaran Hamzah Alang, Taman Sri Puteri, Taman Saujana, Taman Meru Utama, Taman Berkat dan Taman Bayu dipindahkan ke sekolah berkenaan.

Unit tersebut menyediakan khemah di dalam dewan sekolah itu bagi membolehkan mangsa banjir tinggal di situ dengan selesa dan menyediakan makanan untuk mereka 3 kali sehari.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang melawat mangsa banjir itu semalam dikatakan melahirkan perasaan bangga dengan kemudahan disediakan untuk mangsa, menyatakan ia setaraf dengan apa dibuat di negara maju.

Ketua Kampung Meru Thaifor Noor berkata insiden diarahkan keluar itu berlaku ketika mereka menunggu ketibaan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kasim yang sepatutnya tiba ke pusat perpindahan itu jam 1 tengah hari semalam.

"Namun menteri tidak tiba sehingga jam 2 petang. Selepas itulah kami diberitahu mereka marah kerana kami seolah-olah menjaga pusat pemindahan itu," katanya kepada The Malaysian Insider.

Sementara itu, Pengarah Unit Amal Nazree Mohd Aris yang kesal dengan kejadian itu berkata, kejadian itu membuktikan cakap-cakap Umno akan bekerjasama dengan PAS hanya omong kosong.

"Tindakan ini juga menjawab persoalan tentang PAS akan bergabung dengan Umno," kata Nazree dalam satu kenyataan, mengulas kejadian itu dan mengaitkannya dengan ucapan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak pada Perhimpunan Agung Umno minggu lepas.

"Kalau benar hendak bergabung, mana mungkin kami dari Unit Amal Malaysia dihalau seperti anjing kurap.

"Saya harap pihak yang menyalak PAS dan Umno akan bergabung akan dapat menilai sendiri bukti jelas dan nyata ini," kata Nazree.

Beliau kesal dengan tindakan Umno Kapar yang didakwanya mempergunakan kuasa mereka di peringkat persekutuan untuk mengusir anggota Unit Amal yang berhari-hari membantu mangsa banjir di sekolah di Meru itu.

"Kerana mahu mengejar nama dan 'political mileage', apa saja halal bagi Umno. Tidak adakah perasaan malu menumpang populariti atas usaha orang lain?

"Namun ini tidak menjadi suatu yang luar biasa kerana kebobrokan Umno sudah lama kita ketahui," katanya. – TMI

08 December 2015

Lobi disimbah cat, Hospital Damai lapor polis

SHAH ALAM - Pintu masuk Damai Services Hopital (Melawati) Sdn Bhd disimbah cat putih oleh dua lelaki yang menunggang motosikal dalam kejadian awal pagi tadi.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengurus Kewangan dan Sumber Manusia hospital terbabit, Regina Sundram kepada Sinar Harian.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, dua lelaki yang menunggang motosikal dipercayai melemparkan dua bungkus cat putih di dua pintu masuk lobi dan pintu kecemasan bangunan tersebut.

Menurut Regina, kejadian itu berlaku dengan pantas, tidak sampai seminit sebelum mereka melarikan diri.

“Melalui CCTV (kamera litar tertutup) hospital, tidak nampak dengan jelas nombor plat motosikal terbabit,” katanya.

Susulan kejadian itu, satu laporan polis di buat di Balai Polis Melawati oleh pengawal keselamatan hospital.

Kejadian itu dipercayai mempunyai kaitan dengan diskriminasi yang didakwa berlaku terhadap jururawat, Naziah Sauni Mamar yang diberhentikan oleh pihak hospital kerana memakai baju lenggan panjang dan tudung. - SH

Bukan isu disiplin, Naziah dedah p'bualan WhatsApp

KUALA LUMPUR -  Bekas jururawat, Naziah Sauni Samat menafikan pemecatannya dari Damai Services Hospital (Melawati) Sdn Bhd berpunca daripada masalah disiplin seperti mana dakwaan pihak hospital.

Beliau sebaliknya mendakwa pihak hospital cuba memutar belit fakta dan situasi sebenar.

Naziah bertegas bahawa pemecatannya adalah kerana keengganannya memakai uniform berlengan pendek serta berstoking tangan bagi menutup auratnya.

Bertempat di Pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Naziah bersama Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM, Muhammad Yusuf Azmi sekali lagi tampil menjelaskan isu sebenar sekali gus menafikan setiap dakwaan bekas majikannya.

Pada pertemuan itu, Naziah  turut  mendedahkan beberapa rakaman perbualan dan mesej di aplikasi WhatsApp antara beliau dan pihak pengurusan hospital, dipercayai berkaitan tindakannya memakai uniform lengan panjang dan tudung.

“Jika pemecatan saya kerana masalah disiplin, sehingga hari ini (semalam), saya tidak menerima apa-apa notis bertulis atau surat tunjuk sebab mahupun dipanggil pihak pengurusan hospital menyatakan masalah disiplin seperti yang didakwa.

“Malah dakwaan pihak hospital mengatakan saya dipecat kerana gagal hadir bertugas selama dua hari berturut-turut tanpa kebenaran, juga tidak benar,” katanya dalam temubual khas bersama Sinar Harian, semalam.

Menurut Naziah, beliau sebaliknya digantung tugas bermula 24 hingga 29 November lalu sehingga beliau bersetuju untuk mematuhi kod pemakaian.

“Mengapa isu ini timbul selepas dua bulan saya bertugas di hospital? Sedangkan pada awalnya pengurusan tertinggi membenarkan saya memakai uniform berlengan panjang. Dalam kontrak tawaran bekerja, juga tidak dinyatakan mengenai kod pemakaian.

“Selepas saya menyerahkan notis menyatakan akan mematuhi kod pemakaian ditetapkan (memakai uniform berlengan pendek), hospital tanpa prejudis kepada hak saya untuk memakai stoking tangan, saya digantung dan tidak dibenarkan bertugas,” katanya.

Naziah akui, penggantungannya juga tanpa disusuli sebarang surat rasmi, sebaliknya arahan tersebut hanya melalui perbualan telefon dan mesej pada aplikasi WhatsApp antara beliau dan pengurus pentadbiran hospital berkenaan.

Naziah bagaimanapun hadir bertugas pada 30 November lalu, namun dengan memakai pakaian uniform berlengan pendek dan berstoking tangan untuk menutup aurat.

“Tetapi, jadual tugas saya tetap ditulis sebagai ‘digantung kerja’ oleh pihak hospital tanpa penjelasan kukuh sehingga saya diberhentikan,” katanya.

Susulan tindakan yang dikenakan ke atasnya, Naziah akan memfailkan aduan ke Jabatan Tenaga Kerja hari ini bagi mendapatkan pembelaan sewajarnya sebelum merujuk kepada peguam untuk tindakan lanjut.

Mengulas mengenai saman yang bakal dikenakan ke atas beliau dan PPIM, Naziah bersedia bertemu di mahkamah.

Dalam pada itu, Muhammad Yusuf berkata, pihaknya juga bersedia menghadapi saman itu.

“Buat masa ini,  kami belum menerima surat saman berkenaan. Jika ada, barulah kes ini akan dirujuk kepada peguam kami untuk tindakan lanjut. Kita ada bukti, tunggu hendak naik mahkamah saja,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan pihak hospital yang mengatakan diugut PPIM akan menjadikan kes itu sebagai isu perkauman serta PPIM menceroboh kawasan hospital, Muhammad Yusuf menafikannya.

“Kami datang secara baik untuk membuat temu janji, bertemu dan berbincang. Kami tidak menceroboh.

“Saya percaya banyak lagi kes seperti ini berlaku di mana-mana organisasi, namun mungkin pekerja takut ke depan kerana khuatir dibuang kerja,” katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, pihak hospital akan mengambil tindakan saman terhadap Naziah dan pihak PPIM. - SH

07 December 2015

(LIVE) Siaran Langsung Ucapan Muhyiddin Pra PAU 2015

Saksikan siaran secara langsung ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin dari Kelab Sultan Sulaiman, Kg. Baru, KL 8.30 malam ini.
 


Forum Malam Ini Penentu Nasib Muhyiddin

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin seolah-olah 'mencari masalah' dengan keputusannya untuk menyatakan ketidakpuasan hatinya dalam satu forum yang akan diadakan malam Isnin.

Ada yang berpendapat beliau juga berdepan risiko dipecat kerana mengadakan perhimpunan di Kampung Baru untuk bercakap mengenai isu yang menjadi punca perpecahan antara beliau dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Beliau menghampiri tebing cenuram dengan melakukan perkara ini ketika kemuncak Perhimpunan Agung Umno," kata Ketua Umno Bahagian Kapar, Datuk Faizal Abdullah.

Forum yang akan diadakan di Kelab Sultan Sulaiman itu turut menyaksikan kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan Naib Presiden Umno, Datuk Shafie Apdal yang menjadi tajuk utama berita baru-baru ini apabila terjatuh ke dalam laut di Semporna, Sabah.

Ia adalah kali pertama ketiga-tiga pemimpin itu muncul bersama-sama dalam satu ceramah.

Masa amat penting dalam politik dan ini adalah satu percubaan yang terakhir untuk memalukan Najib sebelum Perhimpunan Agung Umno dan juga menghantar mesej kepada perwakilan Umno.

Muhyiddin kecewa kerana tidak dibenarkan untuk menyampaikan ucapan perasmian tiga sayap parti seperti kebiasaannya.

Timbalan Presiden kebiasaannya akan menyampaikan ucapan dasar pada perasmian tiga sayap parti dan juga ucapan penggulungan di akhir perhimpunan.

Perhimpunan Kampung Baru itu juga merupakan kali pertama Muhyiddin akan membangkitkan isu beliau dengan Najib di khalayak umum.

Jika Muhyiddin tidak berhati-hati, beliau akan dikenakan tindakan disiplin.

Kedengaran cakap-cakap dari Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz yang menyatakan bahawa Muhyiddin sepatutnya meletak jawatan sebagai Timbalan Presiden jika beliau tidak berpuas hati dengan kepimpinan Najib.

Namun, segelintir pihak mengatakan bahawa forum malam ini memberi bayangan bahawa beliau akan mencabar Najib bagi jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti yang akan datang.

Jika itu berlaku, beliau tidak akan bertindak keterlaluan kerana mahu mempertahankan jawatan No.2 dalam parti itu. - Mstar

Gempa Kuat 7.2 Magnitud Gegar Tajikistan

LONDON: Gempa kuat 7.2 magnitud melanda Tajikistan sebentar tadi, demikian lapor Agensi Kajian Geologikal Amerika Syarikat (USGS).

Gegaran berpusat di 109 kilometer di barat bandar Murghob di kedalaman 28 kilometer.

Gempa dilaporkan menggegarkan bangunan sehingga ke ibu negara India, New Delhi dan di Pakistan.

Sementara itu, jurucakap Jawatankuasa Kecemasan Tajikistan berkata, setakat ini belum ada maklumat mengenai mereka yang cedera atau kerosakan yang berlaku.

Sementara itu, agensi berita Russia, RIA memetik sumber tentera melaporkan, gempa berkenaan tidak menjejaskan pangkalan tentera Russia di Tajikistan.- Agensi

'Kau bukan orang Islam, bro!'

LONDON - BRITAIN . "You ain't no Muslim, bruv! (Kau bukan orang Islam, bro!)," kata seorang saksi kepada penyerang dalam satu kejadian serangan di sebuah stesen tren, Sabtu lepas.

Kata-kata saksi tersebut berjaya dirakam oleh perakam amatur yang turut berjaya merakam penyerang, Muhaydin Mire, 29 ditahan polis selepas menikam dua orang awam.

Menurut laporan CNN, serangan tanpa motif tersebut menyebabkan seorang mangsa cedera parah dan seorang cedera ringan akibat ditikam.

Pengerusi polis cawangan anti-pengganas, Komander Richard Walton menyifatkan kejadian tersebut sebagai serangan pengganas.

"Berdasarkan maklumat diperolehi dari saksi dan siasatan awal, kami mengklasifikasikan kejadian Sabtu lepas sebagai serangan pengganas," kata Richard kepada CNN.

Kata Richard, sebuah rumah juga diserbu petang semalam dalam usaha mencari bahan bukti yang mampu membantu siasatan kejadian serangan tersebut. - SH


06 December 2015

Nurul Izzah Dilarang Masuk Sarawak

KUCHING: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar yang dijadualkan mengumumkan calon pilihan raya negeri Sarawak pada Ahad malam, dilarang memasuki negeri itu.

Insiden berlaku sebaik sahaja beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada pukul 4 petang selepas pegawai imigresen negeri memberitahu beliau mengenai larangan tersebut.

"Setibanya saya di Kuching, saya disambut pegawai-pegawai imigresen yang memberi notis penolakan masuk saya ke Sarawak. Satu pencabulan kuasa!," kata Ahli Parlimen Lembah Pantai di twitter.

Nurul Izzah berkunjung ke Sarawak bersama seorang pembantu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR, Dr Xavier Jayakumar menerusi penerbangan AK5210.

Dr Xavier mendakwa pegawai imigresen memberitahu sekatan itu daripada Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.

"Mereka (pegawai) memberitahu arahan itu datang daripada pejabat Ketua Menteri. Beliau akan menaiki penerbangan pulang pada pukul 7.10 malam," kata Dr Xavier.

"Ketua Menteri sepatutnya berani mengadakan pilihan raya yang terbuka dan adil. Jangan sekat ahli parlimen."

Beliau berkata, Sarawak mungkin mempunyai bilangan wakil rakyat yang dilarang masuk berbanding mana-mana negeri di negara ini.

Naib Pengerusi PKR Sarawak, See Chee How berkata, Adenan mengambil jalan keluar dengan "cara yang sama dilakukan oleh pentadbiran lama"

"Walaupun saya bersetuju negeri mempunyai autonomi imigresen, tetapi ia tidak sepatutnya dilaksanakan sewenang-wenangnya. Jangan salah guna dengan menyekat pemimpin politik," katanya. - Mstar

Amanah parti dalam beg poli, segar tapi berkembang dalam bekas saja

Pas Kelantan mengibaratkan Parti Amanah Negara (Amanah) seperti parti dalam `beg poli’ yang bercambah selepas diberikan baja dan sentiasa dijirus.

Bagaimanapun, Amanah dianggap tidak akan ke mana-mana kerana hanya berada di dalam ‘bekasnya’ sahaja walaupun segar.

Timbalan Mursyidul Am Pas yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob secara berseloroh mengatakan Amanah adalah sebuah parti yang baru bercambah dan Pas akan melihat setakat mana kekuatannya.

“Pas adalah sebuah parti yang sudah lama…sudah rasai pelbagai cabaran dan gelombang besar.

“Amanah ini saya lihat seperti benih yang baru bercambah…banyak diberikan baja, jirus air dengan banyak supaya nampak segar tetapi hanya di dalam ‘polybag’ sahaja,” katanya.

Difahamkan, Amanah yang ditubuhkan oleh bekas ahli dan pemimpin Pas termasuk bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang kini Presiden Amanah dikatakan sedang giat mengumpul keahlian dan Kelantan adalah antara negeri yang mempunyai keahlian tertinggi.

Konflik antara Pas dan Amanah semakin meruncing apabila Amanah yang sebelum ini menyatakan tidak akan menganggu Kelantan membuat pusingan `U’ apabila Mat Sabu secara tiba-tiba memberitahu Amanah mungkin akan mengambil alih pemerintahan di Kelantan dan menggantikan Pas.

Ketegangan semakin kuat apabila penubuhan Pakatan Harapan dengan peranan Amanah dilihat sebagai penganti Pas dalam pakatan pembangkang itu tidak berfungsi seperti mana kerjasama pakatan sebelum ini iaitu Pakatan Rakyat.

Pada masa sama, Pas juga dikatakan melihat seolah-olah Amanah hanyalah `anak didik’ kepada musuh ketatnya iaitu DAP.

Ingin menambah sesuatu pada laporan ini? Sila maklumkan melalui komen di bawah. - TRPost

PAP Malaysia sasar bertanding semua kerusi Parlimen dalam PRU

Zulkifli Mohd Noor (kanan) berkata partinya bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak jika mereka dipilih duduk didalam kerusi minoriti. Foto TRP/ Fernando Fong
Presiden Parti Alternatif Malaysia (PAP Malaysia) dan bekas Naib Pengerusi DAP, Zulkifli Mohd Noor berkata, parti itu akan bertanding di semua kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Beliau berkata, perkara ini tidak mustahil dengan adanya sokongan daripada rakyat, sepertimana PAP telah berjanji untuk menjadikan rakyat sebagai bos.

“Kami bergerak sendiri, rakyat adalah sekutu kami, rakyat adalah bos, rakyat adalah ‘tuhan’.

“Selama 13 bulan dan 15 hari, saya telah mencari ke seluruh negara untuk orang ramai menyertai parti itu dan berjuang dalam pilihan raya, dan kami berada di sini untuk menawarkan platform bagi golongan muda berusia antara 18 dan 35.

“Kami mahu menawan Putrajaya, kami akan bertanding di semua 222 kerusi parlimen dan lebih 500 kerusi Dewan Undangan Negeri, kami bukan kuasa ketiga, kami akan menjadi kuasa utama,” katanya pada sidang media selepas pelancaran rasmi PAP hari ini.

Beliau berkata, bahawa percalonan PAP akan menjadi seperti ‘rojak’ dengan campuran dari golongan muda dan golongan profesional.

“Kami menawarkan rojak untuk anda semua, anda mungkin tidak suka dengan namanya tetapi anda akan suka rojak itu,” katanya.

Beliau mengulangi bahawa PAP tidak akan membentuk kerjasama dengan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan, tetapi pada masa yang sama juga tidak akan menentang mereka.

Tambah Zulkifli, partinya bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak jika mereka dipilih duduk didalam kerusi minoriti.

“Kami akan bergerak sendiri, rakyat akan menjadi sekutu kami.

“Kami tiada isu dengan Barisan atau Pakatan, tetapi kami akan bersuara menentang kedua-dua pihak jika mereka melakukan sesuatu yang salah,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau juga membidas bekas partinya, yang menyifatkan kaum Cina di dalam DAP sebagai rakyat Malaysia yang paling teruk.

“DAP telah meracuni fikiran kaum Cina di Malaysia untuk membenci negara dan perlembagaan, serta mengkritik apa sahaja kebaikan yang kerajaan sedang cuba lakukan.

“Kami akan membawa agenda Bumiputera dan kami akan mendapat sokongan daripada orang Cina juga,” katanya.

Ingin menambah sesuatu pada laporan ini? Sila maklumkan melalui komen di bawah. - TRPost

Husam 'tembak' Nik Abduh: Tak sekolahkah?

Selepas mengadakan pertemuan dengan Dewan Harian PAS Pusat dan menyatakan untuk 'meletak senjata' buat seketika Datuk Husam Musa tetap garang dalam ceramahnya malam tadi.

Mendakwa mahu "membayar hutang" yang belum sempat dilunaskan sebelum ini, Adun Salor itu menghalakan kritikannya kepada beberapa pemimpin kanan Kelantan.

Mereka ialah Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Exco Pembangunan Islam, Datuk Nassuruddin Daud.

Dalam 'buah kilas' yang disampaikan ketika ceramah di Kota Bharu itu Husam membidas Nassuruddin yang meletakkan hukum haram atas perbuatannya membuka rahsia kerajaan negeri.

Namun Husam berkata, teguran bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap bekas Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali jauh lebih keras.

"Tok guru tegur dan marah apabila Mustafa keluarkan kenyataan misi 16 September tidak akan berjaya. Beliau buat teguran terbuka ketika berceramah di Taman Melewar pada 2008 atau 2009.

"Ramai orang terkejut, kenapa tok guru marah sangat kepada Mustafa?

"Dia juga marah kepada (Datuk) Nasaruddin Mat Isa (bekas Timbalan Presiden PAS). Tok guru kata kalau nak berbaik dengan Umno, masuk Umno teruslah jangan heret PAS," kata Husam di depan lebih 500 hadirin di majlis pelancaran buku Peringatan Orang Terpedaya terjemahan Ustaz Rahimi Rashid.

Mula buat perangai


Adun Salor itu menyifatkan, qias digunakan oleh Nassuruddin seperti iblis yang ingkar perintah Allah apabila disuruh tunduk kepada nabi Adam.

"Qias ustaz (Nassuruddin) antara bongkar rahsia Rasullulah dan saya tegur kerajaan negeri tidak sama. Tak boleh buat qias seperti itu. Setakat saya belajar dengan gemuloh ayoh ambo (arwah ayah saya) dulu, itu orang yang guna qias iblis, iaitu apabila Allah suruh malaikat tunduk kepada adam, iblis kata tak nak.

"Alasan iblis, sebab Adam diperbuat daripada tanah, manakala iblis rasa lebih mulia dia dibuat daripada api. Padahal itu perintah Allah," jelas Husam.

Terdahulu, Nassurrudin yang juga Adun Meranti mengeluarkan kenyataan ketika sambutan 60 tahun PAS dengan menyifatkan Husam mula "membuat perangai" selepas ketiadaan Nik Aziz.

Sementara itu, Husam turut membidas kenyataan Ahmad yang disifatkan 'takbur' dengan kekuatan PAS Kelantan berbanding Parti Amanah Negara (AMANAH) yang baru ditubuhkan.

"Kita di Kelantan dulu berjaya kerana kita ada sifat tawaduk walaupun pada waktu PAS di negeri lain berasa sangat kuat. Sekarang pun saya dengar ucapan pemimpin PAS kebelakangan ini tak lari daripada 'kuat' semata-mata.

"PAS kuat, PAS parti yang paling lama, tertua. Orang lain tak kuat, PAS berpengalaman, parti oren parti poly bag, tak kuat... Saya nak ingatkan diri saya dan kawan-kawan - kalau kita nak menang lagi pilihan raya, kita kena ingat apa yang Tok Guru Nik Aziz kata, PAS ini kuat tapi tak cukup kuat," kata bekas exco kanan Kelantan itu.

Tambahnya, Kelantan berjaya menguasai Kelantan selepas berpakat dengan parti Semangat 46 sekali gus memenangi pilihan raya umum 1990.

"Jadi kerana itu kita menang di Kelantan, tetapi di Kedah dan Terengganu kerana terlalu kuatlah sampai kita kena reject, tak boleh menang.

"Ini berkaitan dengan sifat dalaman manusia, kita tawaduk atau kita takbur," katanya.

Selain itu, Husam turut mengkritik Nik Abduh (gambar) dengan menyifatkan MP Pasir Mas itu seperti orang tidak bersekolah.

"Nik Abdul ketika berceramah di Terengganu, dia tanya orang mana elok menipu atau kena tipu? Kenapa tanya macam itu, mu (Nik Abduh) tak sekolahkah?

"Memperbodohkan orang atau diperbodohkan, menipu orang lain atau ditipu orang kedua-duanya salah. Tapi dia tanya orang mana elok menipu atau kena tipu," ujarnya ketika menyentuh isu pelaksaan hukum hudud di Kelantan yang didakwa PAS telah ditipu oleh BN. - Mkini

02 December 2015

Pengetua dan anaknya didakwa jenayah seks ke atas pelajar sekolah tahfiz

Muhammad Adib Sufyan Azman, 19, menghadapi enam pertuduhan jenayah seksual terhadap pelajar sekolah tahfiz. - Foto MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Ampang: Seorang pengetua sekolah tahfiz dan anaknya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, bagi menghadapi enam tuduhan melakukan jenayah seksual terhadap pelajar berusia antara 10 dan 15 tahun.

Azman Hassan, 55, dan anaknya, Muhammad Adib Sufyan Azman, 19, bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Firdaus Sadina Ali.

Azman dan Muhammad Adib yang juga warden di sekolah sama, didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap lima pelajar lelaki berusia 14 tahun di Ukay Perdana di sini, antara Januari 2014 hingga Oktober 2015.

Bagi perbuatan itu, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Muhammad Adib juga turut didakwa merangsang pelajar lelaki berusia 10 tahun dan melakukan seks luar tabii terhadap seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di tempat dan tarikh yang sama.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, manakala bagi pertuduhan melakukan seks luar tabii, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C kanun sama, membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan. - HMetro

Muhyiddin akan sertai protes 'wira' tuntut Najib berundur

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka menyertai penyokong sembilan pemimpin cawangan yang dihadapkan ke lembaga disiplin parti petang ini.

Ketua Wanita Umno Gopeng Datuk Hamidah Osman yang dipecat minggu lalu dikatakan sedang menghimpunkan ahli-ahli parti untuk berkumpul di ibu pejabat Umno di PWTC untuk menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap presiden Datuk Seri Najib Razak.

"Jom kita berkumpul hari ini pada 12.30 tengah hari untuk mempertahankan nasib sembilan pemimpin cawangan yang akan di bawa ke lembaga disiplin.

"Jangan hanya ulas di WhatsApp dan Facebook. Mari kita bersama-sama dengan wira yang sanggup korbankan jawatan mereka dan keahlian (parti) agar yang lain berani bersama," kata mesej Whatsapp yang diedarkan.

Satu lagi mesej Whatsapp yang disebarkan adalah bahawa Muhyiddin juga akan menghadiri perhimpunan itu.

Sembilan mereka itu adalah antara 13 pemimpin cawangan Telok Kemang Umno yang menggesa peletakan jawatan Najib pada bulan Oktober lalu. - Mkini

28 November 2015

Khairuddin gesa Anwar dibebaskan

Putrajaya perlu melepaskan bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tahanan penjara, kata Datuk Seri Khairuddin Abu Hasan.

Bekas naib ketua Bahagian Umno Batu Kawan itu menyifatkan, kehadiran Anwar akan menyemarakkan lagi arena politik negara kerana ketua umum PKR itu sudah pun menerima hukuman bagi kesalahannya yang lalu.

"Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah pun dihukum sebelum ini dan kini saya berpendapat beliau harus berada di luar penjara Sungai Buloh untuk menyemarakkan lagi landskap serta senario politik tanah air.

"Biar landskap politik tanah air kita bertambah warna-warni!! Apa yang harus kita gusarkan sekiranya mentadbir negara ini secara amanah," kata pengkritik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu dalam satu kenyataan hari ini.

Khairuddin berkata, amat wajar Anwar berada di luar bagi memainkan peranan sebagai ketua pembangkang yang efektif bagi "check and balance" kepada pentadbiran negara kita.

"Kini kita tidak boleh harap lagi pada pihak 'backbenchers' Barisan Nasional yang terlalu kuat mengampu secara membuta tuli dan tidak berani lagi membuat teguran-teguran membina ke atas pucuk kepimpinan tertinggi,"katanya yang terus mengatakan kaki pengampu pemimpin tidak akan menjana kepada kemajuan negara.

Beliau yang baru dibebaskan daripada tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012 berkata, teguran perlu berani dilontarkan demi kebaikan dan kepentingan parti.

Katanya, negara katanya memerlukan pembangkang yang efektif dan rasional untuk sama-sama memainkan peranan  ke arah pembangunan negara.

"Sudah tiba masanya untuk kita bersatu dan jangan buat retorik politik lagi tetapi harus ikhlas membangunkan semula negara kita yang sedang berada diambang kejatuhan khususnya daripada perspektif politik dan ekonomi,"katanya. – TMI

Azmin: Hanya satu lawan satu dalam PRU14

Timbalan Presiden PKR, Mohamad Azmin Ali menegaskan bahawa matlamat Pakatan Harapan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ialah pertandingan satu lawan satu dan pertikaian dalam gabungan itu perlu diselesaikan.

Azmin berkata demikian ketika mengulas kenyataan pemimpin PAS Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri yang menuntut PKR tidak membenarkan Parti Amanah Negara (PAN) untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

"Pilihan raya ini masih jauh. Pertindihan kerusi yang berlaku pada setiap pilihan raya kecil, pilihan raya umum dan pilihan raya negeri, merupakan satu proses biasa.

"Semua pihak perlu duduk dan berbincang. Prinsip dan perjanjian kami ialah satu lawan satu,” katanya dalam sidang media di Kongres Nasional PKR ke-11 di Shah Alam hari ini.

Khairuddin melalui akaun Facebooknya berkata, jangan biarkan PAN bertanding di kerusi PAS.

“Jika PKR yang bekerjasama dengan PAN mengiyakan PAN bertanding tiga penjuru di kawasan PAS melawan Umno, maka apa sebab PAS perlu berundur memberikan laluan PKR bertanding tanpa tiga penjuru lalu memberikan kerusi selamat kepada PKR,” kata Khairuddin yang juga ahli Parlimen Kuala Nerus. - mkini

26 November 2015

Basuh Kereta Bukan Kerja Amah

NUSAJAYA: Kerja membasuh kereta bukan bidang tugas pembantu rumah asing, namun ramai di kalangan mereka masih diarah untuk melakukannya, demikian menurut Exco Johor, R. Vidyanathan.

Beliau berkata, terma dan syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan dengan jelas menyatakan bahawa mereka hanya boleh melakukan pekerjaan dalaman dan tidak termasuk kerja membasuh kereta.

"Bagaimanapun ia agak sukar bagi pihak berkuasa yang berkaitan untuk memantau keadaan ini," Vidyanathan memberitahu Dewan Undangan Negeri.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Puan Sri Azizah Zakaria (BN-Parit Raja) mengenai jumlah pembantu rumah asing yang bekerja di Johor dan skop kerja mereka.

Beliau berkata terdapat 3,207 permit baharu dan permit kerja yang  diperbaharui dikeluarkan untuk pembantu rumah asing di Johor pada tahun 2013, 4,133 (2014) dan 3,278 sehingga Oktober tahun ini.

Vidyanathan menambah bahawa 90 peratus daripada pembantu rumah asing yang bekerja di Johor adalah warga Indonesia manakala selebihnya datang dari India, Sri Lanka, Filipina, Thailand dan Kemboja. -MStar

Bajet universiti awam berdasarkan prestasi, kata menteri

Hanya universiti awam yang mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) (PPPM-PT) 2015-2025 akan diberi peruntukan 100% oleh kerajaan mulai tahun depan, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, lapor akhbar Utusan Malaysia.

Idris berkata, beliau yakin perkara itu tidak terlalu besar dan susah untuk pihak universiti mencapai prestasi ditetapkan kerajaan.

Selaras dengan formula baharu itu, pada peringkat awal, semua 20 universiti awam akan menerima 95% daripada peruntukan pembiayaan seperti emolumen, teknologi maklumat (IT), perkhidmatan dan enrolmen pelajar.

Manakala 5% lagi diserahkan kepada pengurusan universiti untuk digunakan ke arah transformasi pendidikan tinggi.

“Asas ini dinyatakan di dalam Pelan Strategi Lautan Biru kementerian yang menjelaskan IPT tidak boleh terlalu bergantung kepada kerajaan.

"Pada masa ini, 75 hingga 90% dana di universiti adalah daripada kerajaan sedangkan di negara lain, kerajaan hanya memperuntukkan 30 hingga 50% sahaja.

“Kita sudah berbincang dengan pihak universiti terutama naib canselor dan mereka maklum. Ini tidak menjadi perkara terlalu besar. Saya yakin tidak susah untuk mereka mencapai prestasi yang ditetapkan,” katanya.

Tambahnya, kerajaan mahukan kesemua universiti awam mampu menjana pendapatan sendiri memandangkan separuh daripadanya sudah ke arah universiti penyelidikan yang berupaya menambah hasil ekonomi universiti sendiri.

“Formula baharu ini akan memberi kelebihan kepada universiti apatah lagi ia sudah dikaji ahli jawatankuasa yang terdiri daripada mereka yang berpengalaman dan mendapat pengiktirafan di peringkat dunia.

“Kita mahu penambahbaikan dalam kualiti pelajar dan kecekapan universiti. Berdasarkan Ranking U21 Sistem Pendidikan Tinggi Antarabangsa, universiti kita tangga 12 daripada 50 universiti yang mendapat peruntukan dana terbanyak tetapi dari segi prestasi kita berada di kedudukan 44. Ini yang kita mesti ubah,” katanya.

Dalam Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Oktober lalu, menyaksikan Universiti Malaya paling banyak menerima potongan dalam pembiayaan iaitu RM175 juta atau 27.3%.

Sementara Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Teknologi Mara dan Universiti Malaysia Terengganu, peruntukan masing-masing dipotong lebih 20%.

Bajet bagi 11 institut pendidikan tinggi awam lain pula dikurangkan antara 10 dan 20%, manakala 4 lagi dikurangkan sehingga 10% berbanding peruntukan sebelum ini.

Dalam pembentangan bajet itu, peruntukan bagi Kementerian Pendidikan Tinggi berkurangan daripada RM15.78 bilion pada 2015 kepada RM13.37 bilion untuk 2016. - TMI

Nurul Izzah fail saman Khalid, Ismail Sabri

KUALA LUMPUR - Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar memfailkan saman fitnah terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung dakwaan beliau seorang pengkhianat selepas bergambar dengan Puteri Sulu, Jacel Kiram.

Saman itu difailkan melalui peguamnya dari firma guaman Tetuan Daim & Gamany di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebentar tadi.

Melalui pernyataan tuntutannya, Nurul Izzah selaku plaintif mendakwa kenyataan yang dikeluarkan Khalid dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 22 November menyatakan plaintif adalah dalang di sebalik serangan dan pencerobohan oleh Tentera Sulu di Sabah pada 2013, merupakan fitnah dan berniat jahat.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu juga mendakwa kenyataan yang dikeluarkan Ismail Sabri melalui sidang media selepas satu majlis di Bera, Pahang yang menyatakan beliau seorang penderhaka kepada negara dan terlibat dalam keganasan adalah fitnah.

Sehubungan itu plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, faedah, kos, dan perintah injunksi bagi menghalang defendan mengulangi dan menerbitkan perkataan fitnah tersebut. - SH

24 November 2015

Rakyat Malaysia nikmati 9 cuti panjang pada 2016

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia akan menikmati sembilan kali cuti hujung minggu yang panjang berjumlah 30 hari pada tahun depan.

Bagaimanapun ia tidak menjejaskan bilangan hari bekerja tahun depan iaitu 251 hari.

Ia juga tidak mengambil kira bilangan cuti di peringkat negeri yang berbeza antara satu negeri dengan negeri lain.

Penduduk di Kuala Lumpur, Putrajaya, Johor, Kelantan, dan Sarawak akan mempunyai satu hujung minggu yang lebih panjang.

Sementara itu penduduk di Kedah, Sabah, Labuan dan Melaka akan menikmati dua kali hujung minggu lebih panjang.

Sehubungan itu ia dilihat bahawa rakyat Malaysia mempunyai banyak peluang untuk bercuti di hujung minggu yang panjang.

Hujung minggu yang panjang dalam tahun 2016 bermula dari Tahun Baru Cina (6-9 Februari) dan termasuk Hari Pekerja (30 April hingga 2 Mei), Hari Raya Haji (10-12 September), Hari Malaysia (16-18 September), Deepavali (29-31 Oktober) dan Krismas (24-26 Disember).

Rakyat Malaysia yang mengambil cuti pada 8 Julai akan mempunyai cuti lima hari sempena Hari Raya Aidilfitri, yang dijangka jatuh pada 6 Julai dan 7.

Apa yang ketara, bilangan hujung minggu yang panjang tahun depan adalah kurang daripada apa yang dinikmatinya pada tahun ini, yang berjumlah 11.

Pada tahun 2017, akan ada lapan hujung minggu yang panjang. - Mstar

Keluarga Kamal Hisham mohon bantuan Putrajaya, serah memorandum kepada KDN

Norlizan Jaafar menyerahkan memorandum kepada Menteri Dalam Negeri bagi meminta campur tangan Putrajaya terhadap dakwaan layanan buruk yang diterima abangnya Kamal Hisham Jaafar sejak ditahan polis 3 bulan lalu.
Keluarga kepada bekas penasihat undang-undang istana Johor hari ini menyerahkan memorandum kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi meminta campur tangan Putrajaya terhadap dakwaan layanan buruk yang diterima Kamal Hisham Jaafar sejak ditahan polis 3 bulan lalu.

Adik kepada Kamal Hisham, Norlizan Jaafar, 40, hari ini menyerahkan memorandum itu di pejabat Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya bersama anggota keluarganya, termasuk ibunya, Kalsom Idris, 70, kira-kira pada jam 3 petang.

Memorandum setebal 11 muka surat itu mendakwa, sejak ditahan, keluarga Kamal Hisham sudah menyerahkan sejumlah RM700,000 sebagai wang jaminan.

Kamal Hisham ditahan pada 2 September lalu di Singapura.

Tuduhan yang dikenakan ke atasnya adalah berhubung kes pecah amanah melibatkan syarikat Southern Ads Sdn Bhd.

Kamal didakwa dengan 2 pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Jenayah dan 4 Pertuduhan mengikut Seksyen 131 dan 132 Akta Syarikat 1965.

Kamal, seorang peguam yang memiliki firma guamannya sendiri, dikenali antara yang paling lantang mengkritik Istana Johor.

Keluarganya sebelum ini turut menyerahkan memorandum di Parlimen bagi tujuan sama.

Dalam memorandum yang diserahkan kepada wakil KDN, Nur Ilyani Qamarulzaman, hari ini, Norlizan mendakwa, abangnya diberikan layanan buruk oleh anggota polis, termasuk ditempatkan di lokap Cawangan Khas selama 17 hari tanpa berpakaian selain seluar dalam dan dinafikan hak menunaikan solat.

“Semasa dia ditahan 17 hari tidak dibenarkan sembahyang, itu selepas dia ditahan reman dan dihantar ke Penjara Ayer Molek, dia cerita sendiri kepada keluarga,” kata Norlizan.

Dia turut mendakwa, Kamal Hisham juga beberapa kali digigit lipan sehingga mengakibatkan kesan-kesan lebam di tubuhnya.

Selain itu, memorandum itu turut menyatakan, Kamal Hisham juga tidak diberikan akses kepada rawatan kesihatan, sedangkan dia disahkan menghidap penyakit jantung, darah tinggi, dan kencing manis.

Norlizan turut berkata, abangnya juga turut dibotakkan berulang-ulang kali.

“Dalam tempoh 2 bulan pertama penahannya, Kamal Hisham dibotakkan sebanyak 5 kali.”

“Kami ahli keluarga kepada Kamal Hisham dengan rendah diri dan penuh pengharapan memohon perhatian, pertimbangan, dan tindakan dari kerajaan Malaysia melalui KDN di bawah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk memandang serius layanan buruk pihak polis dan pegawai penjara terhadap Kamal Hisham sejak beliau ditahan pada 1 September sehingga kini,” kata memorandum itu. - TMI