19 December 2015

Tragedi air terjun: Imam surau Puncak Alam antara 5 lemas

HULU TERENGGANU - Hasrat enam sekeluarga menghabiskan cuti persekolahan dengan berkunjung ke Air Terjun Belukar Bukit, di sini, pagi tadi bertukar tragedi  apabila lima daripada mereka ditemui lemas.

Dalam kejadian kira-kira 10.45 pagi itu, mangsa ialah seorang imam yang bertugas di Puncak Alam, Selangor, Mohd Halim Samian,44; isterinya Nurul Adilah@Salaiwati Awang,39, serta tiga anaknya Nurul Arifah,16; Nurul Hidayah Aina,11 serta Nurul Izah,10.

Manakala individu yang selamat  ialah Mohd Hasif, 9, dan difahamkan mereka sekeluarga yang tinggal di Puncak Alam, Selangor tiba di lokasi pelancongan berkenaan kira-kira jam 10.30 pagi sempena pulang ke kampung Nurul Hidayah Aina di Kampung Bukit Tunggal, Kuala Nerus.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Mohd Zuraidi Yusof berkata pihaknya menerima panggilan  jam 11.35 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian dengan kekuatan 11anggota menaiki sebuah jentera serta sebuah pajero.

"Sewaktu pihak bomba tiba di lokasi kejadian, tiga mangsa iaitu Mohd Halim, Nurul Izah serta Nurul Hidayah telah pun ditemui oleh orang awam tidak jauh antara satu sama. Mangsa pertama dijumpai ialah Mohd Halim jam 12.17 tengahari sebelum disusuli mangsa seterusnya lima minit kemudian iaitu Nurul Izah dan Nurul Hidayah.

"Operasi mencari dan menyelamat terus dilakukan pihak bomba bersama orang awam sekali gus berjaya menemui Nurul Adilah@Salaiwati jam 12.33 tengah hari. Mangsa terakhir dijumpai ialah Nurul Arifah jam 12.37 tengahari. Kesemua mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis.

"Sewaktu kejadian tiada pengunjung lain di lokasi tersebut, bagaimanapun kita tidak menolak kemungkinan kejadian berpunca apabila salah seorang mereka di bawa arus sebelum ahli keluarga yang lain cuba membantu.

"Memandangkan terdapat pusaran air di kawasan berkenaan, kita percaya kesemua mereka telah dibawa pusaran itu hingga kesemuanya lemas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di pekarangan Bilik Forensik Hulu Terengganu, di sini, hari ini. - SH

No comments:

Post a Comment