24 December 2015

PAS boleh bincang dengan Pakatan Harapan pembahagian kerusi Sarawak, lapor akhbar

Pakatan Harapan sentiasa membuka pintu bagi PAS untuk membincangkan pembahagian kerusi pilihan raya negeri (PRN) Sarawak yang dijangka diadakan April depan, kata Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Salahuddin Ayub.

Beliau dilaporkan Sinar Harian berkata, PAS juga berhak meletakkan calonnya di mana-mana kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, memandangkan parti itu bukan lagi termasuk dalam gabungan parti pembangkang yang mahu berdepan dengan Barisan Nasional (BN).

“Dahulu ketika dalam Pakatan Rakyat (PR), semua keputusan dibuat secara bersama. Tetapi apabila PAS bukan lagi sebahagian Pakatan Harapan, mereka (PAS) berhak bertanding di mana sahaja yang mereka kehendaki.

“Namun begitu, kita (Pakatan Harapan) sentiasa buka pintu buat PAS mengadakan sebarang perbincangan mengenai pembahagian kerusi di PRN Sarawak nanti,” beliau dipetik berkata.
Salahuddin berkata demikian mengulas kenyataan Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee yang parti itu akan bertanding di lebih 10 DUN negeri itu pada PRN ke-11 akan datang.

“Kita (Pakatan Harapan) tidak pernah halang mereka (PAS) kalau mereka hendak bertanding, walaupun Pakatan Harapan sendiri meletakkan matlamat untuk pertembungan satu lawan satu supaya rakyat nampak dengan lebih jelas gabungan ini,” katanya.

Akhbar itu juga melaporkan PKR turut menyatakan perkara sama, iaitu mengadakan perbincangan dengan PAS dalam isu pembahagian kerusi, bagi mengelakkan terjadi pertembungan 3 penjuru.

Namun, naib presidennya Rafizi Ramli berkata, sebarang keputusan akan mengambil kira pandangan parti komponen lain dalam Pakatan Harapan.

“PAS perlu akui mereka tidak mudah untuk menang di Sarawak dan sebab itulah, jalan terbaik adalah mengadakan perbincangan terlebih dahulu.

“Jika PAS bertanding bersendirian dan berlaku pertembungan 3 penjuru, ia sudah semestinya akan mengurangkan lagi peluang Pakatan Harapan menang,” katanya.

Rafizi berkata, perkara itu juga pasti akan memberi kesan kepada tahaluf siyasi PAS dan PKR sudah semestinya akan dipersoal sekiranya ia tetap berhasrat bertanding di kawasan DUN yang mempunyai calon Pakatan Harapan selepas ini.

Sementara itu, Berita Harian melaporkan Pengarah Operasi PAS Pusat Dr Mohd Zuhdi Marzuki mendakwa PKR cuba mengkhianati parti Islam itu kerana ia enggan menjalinkan kerjasama dalam PRN Sarawak.

Sekali gus ia mula memperlihatkan keretakan hubungan antara dua parti berkenaan, kata akhbar itu.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang membayangkan untuk tidak bekerjasama dengan PAS dalam PRN itu.

Dr Wan Azizah dilaporkan memberi alasan PAS tidak mempunyai pengaruh kuat kerana tidak memiliki sebarang kerusi di negeri itu.

Menurut Zuhdi, kenyataan ketua pembangkang itu menunjukkan ada tanda-tanda PKR akan mengkhianati PAS pada masa hadapan.

“Pusat Penyelidikan PAS mengalu-alukan keputusan itu (PKR) kerana PAS kini lebih bebas untuk bertanding mana-mana kerusi yang difikirkan perlu, termasuk kemungkinan bertembung dengan PKR.

“Sekiranya dalam PRN Sarawak yang lalu PAS hanya bertanding di 5 kerusi DUN, dengan keputusan Dr Wan Azizah, PAS lebih bebas menentukan kerusi yang mahu ditandingi kerana tidak lagi terikat dengan PKR,” katanya. – TMI

1 comment:

  1. Perangai mcm Yahudi nama pun dah bunyi semcm, PRU 13 yg berlaku 3 penjuru apahal benggongggg.. vaviiiiii.. org lain semua pengkhianat fufimak punya org.

    ReplyDelete