31 January 2009

Dua exco Perak jumpa Najib di Pekan?

Sejak beberapa hari lalu, dua exco kerajaan Perak daripada PKR mencetuskan pelbagai spekulasi akan menyertai BN susulan tindakan wakil rakyat Bota, Datuk Nasharuddin Hashim meninggalkan Umno hujung minggu lepas.

Petang ini, desas-desus mula bertiup kencang kedua-duanya Jamaluddin Mat Radzi (foto, kiri) dan Osman Jailu berada di Pekan, Pahang dalam usaha berunding dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak di kediamannya.

Malaysiakini difahamkan PKR sedang memantau dengan dekat perkembangan di Pekan setelah kedua-duanya gagal dihubungi oleh pemimpin negeri, parti dan keluarga mereka sendiri.

Sementara itu PKR Perak mendakwa Mohd Najib sedang berunding dengan mereka agar menyertai BN, termasuk untuk menggugurkan kes rasuah terhadap mereka yang ditahan Ogos tahun lalu.

"Kami percaya kehilangan mereka ada hubungan rapat dengan
pertuduhan kes rasuah yang sedang mereka hadapi dan perbicaraan kes tersebut akan bermula pada 10 Februari," kata pengerusi perhubungannya Osman Abdul Rahman.

"Kami percaya ada usaha-usaha oleh BN untuk memujuk kedua-dua exco ini bagi menyertai BN dan sebagai imbuhan terdesak Najib, termasuk menggugurkan kes rasuah mereka." - Malaysiakini

Zahid: PKR hanya berangan tarik 2 lagi ADUN BN

TAIPING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya memasang angan-angan jika mengharapkan ada lagi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Perak yang akan menyertai parti itu mengikut jejak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penghijrahan sekumpulan anggota Umno di kawasan Bota untuk menyertai parti pembangkang itu juga hanya sesuatu yang bersifat sementara.

"Mereka (PKR) bercakap kedudukan semakin kukuh dan ada yang akan lompat lagi.. itu semua kenyataan politik tetapi tidak melihat kepada hakikat dan realiti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Mesra Rakyat anjuran Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Perak di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak berkata demikian semasa diminta mengulas pembubaran lapan cawangan Umno di Bahagian Parit ekoran penyertaan mereka ke dalam PKR.

Penyerahan borang keanggotaan menyertai PKR dilakukan oleh anggota-anggota dari lapan cawangan itu di Bota semalam pada program ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Nasarudin.

Ahmad Zahid berkata, kumpulan yang meninggalkan Umno itu adalah penyokong Nasarudin yang hanya mengikut tindakan beliau menyertai PKR.

"Ini semua bersifat sementara... penduduk di Bota dan Parit (kawasan Parlimen) sudah rasa dipimpin oleh pembangkang sebelum ini (pilihan raya umum 1999) dan tentunya mereka tidak mahu membayar harga yang mahal sekali lagi," katanya.

Sementara itu, bercakap pada satu majlis lain di Bagan Datoh sebelum itu, Ahmad Zahid berkata pelantikan beliau sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno negeri adalah amanah yang amat berat bagi membantu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi Perhubungan Umno negeri memantapkan kedudukan Umno dalam menghadapi cabaran semasa.

"Ini merupakan satu tanggungjawab yang memerlukan sokongan semua pihak. Umno Perak akan menyusun strategi bagi merampas semula kerajaan negeri pada pilihan raya akan datang," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, tindakan melompat parti bukan satu perkara baru dan ia dialami semua parti politik.

"Kita jaga parti masingmasing yang ada kelemahan dan kekurangan. PAS pun bukannya 100 peratus baik, ada juga masalah dalaman jadi tak perlu hendak memperlekeh kedudukan parti lain," katanya mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendakwa Umno sekarang sebagai pokok yang hampir mati.

"Ramai juga ahli dari parti pembangkang terutama Pas menyertai Umno yang mengamalkan dasar pintu terbuka yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik," katanya.BERNAMA

Hampir sah..dua EXCO Perak keluar PKR

Maklumat dari Kulup Sakah.

Dua EXCO ini ditahan oleh oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia) dan military police. Sekarang berada di Pekan Pahang bersama Najib Tun Razak.

Kemaskini 19.34:

Maklumat yang diterima, kedua-dua EXCO ini sedang berada dirumah Najib Razak dan akan membuat pengumuman bila-bila masa.

Dalam masa yang sama, keadaan diBota agak runcing…Rumah YB Nasaruddin sedang dikawal oleh AMK Perak berikutan cubaan untuk menculik YB Nasrudin.

YB Nasrudin ditawarkan jawatan MB sekiranya beliau bersedia kembali semula kedalam Umno.

Mesyuarat MPT PKR baru saja habis dan hampir dipastikan bahawa dua EXCO PKR Perak, Jamaludin Radzi dan Kapt. (B) Osmain Jailu akan membuat pengumuman kelura PKR dan menyertai UMNO.

Mesyuarat MPT PKR tadi gagal menghubungi kedua-dua EXCO ini secara peribadi, tapi menerusi orang perantaraan, dua EXCO ini sudah bersedia untuk bertukar parti.

Apa kesudahannya?…Apakah mungkin berlaku pilihanraya kecil? Atau Umno kembali merampas Perak?

Tunggu malam ini.

www.perakexpress.com

Kehilangan 2 Adun KeADIlan Perak Membimbangkan

Kehilangan dua Adun KeADILan yang juga exco kerajaan Perak sejak empat hari lalu membimbangkan bukan saja oleh parti tetapi juga oleh ahli keluarga mereka. Demikian kata Ketua Perhubungan KeADILan Perak Osman Abdul Rahman.

Kedua-dua exco tersebut ialah Jamaluddin Md Radzi dan Osman Jalu. Menurut Osman, bagaimana pun pihaknya menjangka kehilangan itu ada kaitan dengan cubaan Barisan Nasional memujuk mereka dengan imbuhan termasuk tawaran wang ringgit.

“Kami percaya ada usaha-usaha oleh Barisan Nasional untuk memujuk kedua-dua exco ini bagi menyertai BN dan sebagai imbuhan terdesak Najib Tun Razak termasuk menggugurkan kes rasuah mereka berdua,” kata Osman dalam sebuah kenyataan akhbar.

Kedua mereka ditangkap dalam satu serbuan meragukan menjelang Pilihanraya Umum Mac tahun lepas. Kes mereka akan dibicarakan bermula 10 Februari depan.

“Dari awal lagi kami amat yakin pertuduhan dalam kes tersebut adalah satu pertuduhan palsu yang direkacipta oleh Umno dan BN sebagai satu ugutan politik,” tambah Osman.

“Namun kami berharap kedua-dua pemimpin ini berada dalam keadaan selamat dan berpegang teguh kepada prinsip perjuangan parti selama ini dan tidak terperangkap dengan mujslihat Umno/BN yang kononnya inginkan penyertaan mereka untuk membela nasib Melayu,” tambah beliau.
- Suara Keadilan

Gerakan anti-PPSMI julung kali ke jalan - Malaysiakini



Kempen mansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dilancarkan petang ini di perkarangan kompleks membeli-belah Sogo di ibu kota.

Bagaimanapun, hasrat penganjurnya Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) untuk mengumpulkan 500 pencinta bahasa gagal, tetapi kelibat beberapa tokoh terkenal bahasa dan sastera dalam program itu menyelamatkan keadaan.

Program itu hanya dikerumuni kira-kira seratus orang yang lalu-lalang bagi membeli-belah di kompleks popular di Jalan Tuanku Abdul Rahman itu.

Perhimpunan membantah dasar itu julung-julung kali diadakan ala demonstrasi jalanan itu bermula dalam keadaan hujan renyai-renyai yang turun sejak jam 1 tengah hari lagi.

Bagaimanapun ia berakhir tanpa sebarang masalah dengan polis, walaupun permohonan permit berhimpun tidak dibuat.

Malaysiakini difahamkan penganjur hanya memaklumkan secara bertulis kepada polis berhubung program berkenaan.

Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said yang sebelum ini berteka-teki tentang kehadiran beliau akhirnya muncul buat pertama kali dalam program sebegitu.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan sebarang kenyataan kepada media, sebaliknya hanya bergambar bersama dan memegang sepanduk kecil bertulis "Jangan bunuh bahasa ibunda".

Beberapa tokoh utama bahasa seperti penyair Dinsman, bekas profesor bahasa Dr Abdullah Hassan dan Dr Shahrir Md Zain serta penulis Ainon Mohd turut serta seperti dijadualkan.

Penyair popular Pyanhabib, ahli jawantkuasa Persatuan Penulis Nasional (Pena) Ibrahim Ghaffar dan aktivis teater Khalid Salleh turut hadir.

Pemimpin politik yang kelihatan termasuklah ketua penerangan PKR Tian Chua, ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Md Akin dan ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad.

Majlis bermula kira-kira 2.45 petang, kira-kira 15 minit lebih awal daripada yang dijadualkan.

Pengerusi jawatankuasa induk GMP Datuk Dr Hassan Ahmad memberikan ucapan ringkas kira-kira lima limit sebelum melancarkan kempen berkenaan.

Tindakan itu menyebabkan sebahagian daripada kira-kira 30 yang hadir terlepas sidang akhbar yang diadakan sejurus selepas pelancaran itu.

Program yang kelihatan tidak tersusun itu menyebabkan orang ramai yang hadir terpinga-pinga dan tidak terarah, termasuk wartawan yang berkeliaran mendapat komen daripada beberapa tokoh yang hadir.

Dalam masa yang sama, kita-kira 30 polis berpakaian seragam cuba menyuraikan keadaan.

Kumpulan tokoh bahasa dan sastera itu kemudiannya hanya duduk di sebuah restoran di hadapan kompleks berkenaan.

Orang ramai dan wartawan mula bersurai kira-kira 4.30 petang. - Malaysiakini

Kenderaan Berat Dilarang Di Jalan Raya Esok, Ahad

KUANTAN, 30 Jan (Bernama) -- Semua kenderaan berat dilarang menggunakan jalan raya di seluruh negara kecuali Sabah dan Sarawak selama dua hari bermula Sabtu dan Ahad ini.

Pengarah Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Salim Parlan berkata larangan itu dikuatkuasa untuk memberi kemudahan kepada orang ramai yang akan menggunakan jalan raya untuk pulang ke destinasi masing-masing selepas sambutan Tahun Baru Cina.

"Kita harap mendapat kerjasama yang baik daripada pengusaha-pengusaha kenderaan berat. Perkara ini kita telah maklumkan kepada pengusaha kenderaan tersebut yang mana keingkaran mematuhi larangan tersebut akan membolehkan pihak JPJ menyita kenderaan mereka serta merta," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan Ops Sikap ke-19 peringkat negeri Pahang di KM26 Jalan Kuantan-Gambang, di sini, Jumaat.

Mengenai ops sikap ke-19 itu setakat ini, beliau berkata JPJ telah melakukan pemeriksaan terhadap 11,039 buah bas di 29 terminal bas di seluruh negara yang tertumpu kepada pemeriksaan lesen, cukai jalan, dan pemeriksaan Puspakom.

Salim berkata dalam pemeriksaan itu pihaknya telah berjaya mengesan 528 kesalahan dan mengeluarkan 443 saman membabitkan bas selain menyita empat buah bas atas kesalahan tiada permit dan pelanggaran permit yang dikeluarkan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan.

"Objektif pemeriksaan itu dilihat tercapai dengan tiada sebarang kemalangan maut yang melibatkan kenderaan bas sepanjang operasi itu setakat ini," katanya.

Dalam pada itu juga katanya, pihaknya telah berjaya mengesan 6,069 kesalahan gagal memakai tali pinggang belakang sejak peraturan itu dikuatkuasakan 1 Jan lepas.

-- BERNAMA

Anak saudara Presiden PAS maut dilanggar kereta milik KPN

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Hrkh) - Anak saudara Presiden PAS, Abdul Qahar Mansor maut dalam satu kemalangan jalan raya di Kuala Terengganu kira-kira jam 10 pagi semalam.

Beliau dilanggar oleh sebuah kereta Honda CRV nombor plat WNN 6517 yang didaftarkan atas nama Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Qahar yang berusia 23 tahun maut selepas dilanggar Honda CRV dipandu seorang anggota polis yang dikenali sebagai Lans Koperal Mohd Farez di Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

Menurut peguam keluarga mangsa, Fariz Mustafa, kemalangan tersebut terjadi ketika mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Rusila menuju ke Kuala Terengganu.

Ketika sampai di sekitar Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai, motorsikal yang ditunggangi beliau dilanggar kereta yang dipandu Mohd Farez yang baru sahaja selesai membeli keropok di sebuah kedai berhampiran yang ingin membuat pusingan U di jalan tersebut.

"Kereta tersebut berada di sebelah kiri jalan terus membuat pusingan U tanpa memberikan signal malah secara tiba-tiba menukar line, menyebabkan motorsikal yang ditunggangi arwah gagal mengawal keadaan sehingga menyebabkan beliau maut di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Harakah.

Tambahnya, saksi di tempat kejadian memaklumkan Mohd Farez meninggalkan kereta tersebut di lokasi kemalangan tanpa kunci kenderaan tersebut yang menyebabkan pihak polis trafik sukar mengalihkannya.

"Malah, menurut anggota polis di beliau(Mohd Farez) kini telah pulang ke Kuala Lumpur manakala kereta tersebut ditinggalkan.

"Akibat kemalangan tersebut, kereta tersebut mengalami kesan kemek di pintu sebelah kanan," ujarnya.

Walau bagaimanapun, Fariz memberitahu Harakah bahwa pihaknya akan membuat dakwaan terhadap kes tersebut di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan iaitu kesalahan kecuaian memandu sehingga menyebabkan kematian.

Jelasnya, pemandu terbabit sepatutnya direman untuk siasatan kerana kemalangan tersebut melibatkan kematian.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Mohd Hisham Awang berkata pihaknya kesal dengan sikap yang ditunjukkan oleh Lans Koperal Mohd Farez yang begitu ego ketika diminta memberi kerjasama kepada penduduk setempat sebaik sahaja kejadian tersebut berlaku.

"Kita kesal dengan sikap ego polis tersebut, yang seolah-olah berbangga dengan mengaku merupakan pegawai polis daripada Balai Polis Bukit Aman," katanya.

Setakat ini ujarnya, pihak polis masih belum memberikan apa-apa respon mengenai kejadian tersebut.

Abdul Qahar katanya maut akibat kecederaan parah di bahagian kepala selepas jenazahnya dituntut oleh keluarga mangsa dari Hospital Sultanah Zahirah, Kuala Terengganu sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Rusila pada hari yang sama.

Pelan AirAsia bina LCCT ditolak

KUALA LUMPUR: Cadangan AirAsia Bhd. untuk membina sebuah lapangan terbang berharga RM1.6 bilion di Labu, Negeri Sembilan ditolak oleh kerajaan, tetapi syarikat penerbangan tambang murah itu dikatakan memperoleh beberapa konsesi.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan diberi tanggungjawab membina sebuah terminal syarikat penerbangan kos rendah (LCCT) baru, berdekatan terminal sekarang, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, kata satu sumber yang mempunyai maklumat mengenai hasil mesyuarat itu semalam.

Keputusan untuk membatalkan projek itu disampaikan kepada AirAsia pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan dihadiri para pegawai Kementerian Kewangan, MAHb, dan AirAsia.

Sumber itu menyatakan AirAsia berjaya mendapat jaminan mengenai caj dan cukai lapangan terbang yang lebih rendah, yang ia akan berunding dengan MAHB, dan juga akan dibenarkan memberi input mengenai spesifikasi bagi LCCT baru itu.

Katanya, syarikat penerbangan tambang murah itu diberikan masa untuk mengemukakan senarai keperluannya mengenai LCCT baru itu.

Caj itu boleh diturunkan sehingga separuh, kata sumber itu.

AirAsia sentiasa mengadu tentang caj di LCCT sekarang kerana ia berpendapat bahawa dengan penyediaan kurang kemudahan, caj dan cukai lapangan terbang itu sepatutnya lebih rendah daripada yang dikenakan di KLIA.

Pada mesyuarat itu, AirAsia diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Tony Fernandes.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu, Tony berkata, AirAsia menganggap hasil mesyuarat itu sebagai amat positif dan kini ia menunggu butiran lengkapnya.

Katanya, AirAsia komited bagi menyediakan tetamunya perkhidmatan berkelas dunia, lima bintang, melalui sebuah LCCT dibina bertujuan khas.

Menurutnya, AirAsia turut komited menjadikan Kuala Lumpur sebuah hab serantau bagi syarikat penerbangan tambang murah dan menyumbang dengan besar kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Di segi kewangan, ini merupakan berita baik bagi Airasia, katanya.

AirAsia yang kini telah mempunyai gearan yang tinggi, tidak perlu lagi mendapatkan pembiayaan untuk membina LCCT baru itu, katanya. BERNAMA

Suspek kes bunuh dihantar ke Johor

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Polis telah menyerahkan suspek kes bunuh yang ditahan semasa menyertai perarakan pengkebumian A. Kugan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) semalam, kepada polis Johor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II Ku Chin Wah berkata, suspek dikehendaki untuk membantu siasatan satu kes bunuh di negeri berkenaan.

Ditanya sekiranya suspek mempunyai hubungan dengan Kugan yang merupakan suspek kes curi kereta mewah, beliau berkata, polis masih menyiasat.

"Buat masa ini polis tidak dapat mengesahkan sekiranya suspek mempunyai kaitan (Kugan). Siasatan akan dilakukan oleh polis Johor," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengesahkan penahanan enam lelaki termasuk seorang suspek yang dikehendaki kerana terlibat dalam kes bunuh semasa perarakan pengkebumian Kugan di PPUM.

Difahamkan, suspek terlibat dalam satu kes bunuh di Johor selain beberapa kes samun kereta.

Kugan yang merupakan suspek kumpulan samun dan curi kereta mewah direman pada 15 Januari lalu bagi membantu siasatan.

Dia bagaimanapun disahkan mati empat hari kemudian. - Utusan

Laporan polis terhadap Khalid

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Ahli Parlimen Kapar hari ini membuat laporan polis terhadap Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berhubung kenyataannya bahawa dua timbalan menteri dan ahli keluarga A. Kugan menceroboh bilik mayat di Hospital Serdang pada 20 Januari lalu.

S. Manikavasagam yang hadir di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Brickfields di sini dengan ditemani peguam keluarga Kugan, N. Surendran membuat laporan tersebut pada pukul 2.20 petang ini.

Manikavasagam ketika ditemui berkata, kenyataan Khalid itu adalah tidak benar kerana kedua-dua Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk K. Devamany dan Senator T. Murugiah serta ahli keluarga Kugan memasuki bilik mayat tersebut dengan kebenaran.

Katanya, bersama laporan itu, pihaknya turut mengemukakan satu salinan rakaman cakera video digital (DVD) ketika kumpulan tersebut memasuki bilik mayat pada hari kejadian.

"Murugiah dan Devamany pula sampai di tempat kejadian beberapa jam selepas itu. Semua kebenaran ada dalam rakaman ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kugan yang merupakan suspek kumpulan samun dan curi kereta mewah direman pada 15 Januari lalu bagi membantu siasatan.

Dia bagaimanapun disahkan mati empat hari kemudian.

Pada 20 Januari lalu, keluarga Kugan yang tidak berpuas hati telah menyerbu bilik mayat Hospital Serdang termasuk Murugiah dan Devamany.

Sehubungan itu, polis telah mengambil keterangan daripada sekumpulan orang awam terbabit termasuk dua timbalan menteri kerana bertindak menceroboh bilik mayat hospital berkenaan. - Utusan

30 January 2009

Tidak selamat, segera pulang ke tanah air


KUALA LUMPUR - Angkasawan pertama Malaysia, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha bersama pasukannya terpaksa bergegas pulang ke Malaysia ekoran ancaman tentera Israel yang dikatakan mahu memusnahkan terowong yang menghubungkan Palestin ke Mesir.

Meskipun tiada pengesahan rasmi mengenainya, beliau bersama dua lagi doktor pakar, Dr. Jamnul Azhar Mulkan dan Dr. Mahyudin Ismail yang mewakili Dewan Pemuda Masjid Malaysia terpaksa akur atas dasar keselamatan.

"Setelah saya berada lebih kurang lima hari di Gaza, saya terpaksa mengambil keputusan yang menyedihkan itu kerana mendapat perkhabaran Israel akan mula menyerang kawasan sempadan.

"Israel dikatakan berhasrat mengebom beratus-ratus terowong yang menjadi penghubung utama antara Palestine dan Mesir," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Beliau dan pasukannya tiba di Malaysia kelmarin.

Sheikh Muszaphar bersama pasukannya itu pergi ke Gaza pada 21 Januari lalu dalam misi memberi bantuan perubatan kepada mangsa Palestin di sana.

Menurutnya, walaupun diminta segera berundur, beliau enggan pulang terus ke Malaysia sebaliknya mengambil keputusan pergi ke Kaherah, Mesir untuk memberi motivasi kepada hampir 6,000 pelajar Malaysia yang turut menerima tempias keganasan rejim Zionis. - Kosmo

* Hero pun cabut

SPRM tetap pantau rasuah dalam Umno - Malaysiakini

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini perhebatkan gerakan menghapuskan rasuah, termasuk memantau politik wang dalam Umno menjelang pemilihan parti, Mac ini.

Pengarah Bahagian Risikannya Datuk Mohd Jamidan Abdullah berkata semua aspek yang boleh dikaitkan dengan rasuah akan tetap menjadi perhatian suruhanjaya itu, lapor Bernama.

"Kami mempunyai banyak ejen yang sentiasa memberi maklumat," katanya selepas majlis penyerahan tugas Pengarah SPRM Perlis oleh Pemangku Penolong Kanan Pesuruhjaya II P Ganeson kepada Pemangku Penolong Pesuruhjaya Yusof Shamsudin hari ini.

Diminta mengulas kemungkinan wujud politik wang menjelang pemilihan Umno itu, Mohd Jamidan berkata SPRM akan memastikan pihak yang terbabit dengan kegiatan rasuah disiasat seterusnya didakwa.

Tambahnya, setiap risikan sering membawa kejayaan besar dalam menangani kes penyelewengan dan rasuah yang merugikan negara.

"Kami telah mencapai banyak kejayaan besar tetapi perkara itu tidak dilaporkan dengan meluas," katanya.

Beliau menyebut kejayaan badan itu menumpaskan sindiket penyeludupan mercun bernilai lebih RM1 juta dan isu penyelewengan minyak bernilai jutaan ringgit setiap bulan oleh sebuah agensi kerajaan.

Menurut agensi berita itu lagi, Mohd Jamidan berkata kerajaan telah mewujudkan 105 perjawatan baru untuk ditempatkan di bahagian risikan dan ia akan membantu memperkuatkan kegiatan perisikan suruhanjaya itu.

Sepanjang tahun lepas, 256 maklumat berkaitan rasuah dan penyelewengan telah diterima termasuk berkaitan politik wang dan 138 fail siasatan telah dibuka.

Enam orang dihadapkan ke mahkamah yang terdiri daripada tiga penjawat awam dan tiga orang awam.

Angka itu meningkat berbanding 2007 apabila hanya 181 maklumat yang diterima dan 89 fail siasatan dibuka dengan hanya seorang sahaja yang didakwa di mahkamah.

Sepanjang Januari ini, SPRM telah mendakwa dua penjawat awam di mahkamah, katanya. - Malaysiakini

Teka-teki lompat parti di Negeri Sembilan - Malaysiakini

Jika benar akan berlaku usaha melompat parti dalam masa terdekat di Negeri Sembilan, hanya tiga wakil rakyat Umno yang berpotensi menyertai Pakatan Rakyat, dakwa ketua bahagian Seremban.

Datuk Ishak Ismail berkata calon-calon itu kemungkinannya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serting, Shamsul Kahar Md Deli, Datuk Aziz Shamsuddin (Palong) dan Mustafa Salim (Lenggeng).

Dua daripada mereka, Aziz dan Mustafa, bagaimanapun menafikan mereka akan menyertai pembangkang.

Dihubungi hari ini, Ishak berkata desas-desus itu disampaikan orang kepadanya.

"Tetapi daripada bacaan saya, Aziz yang paling berpotensi akan menyertai PKR," katanya.

Aziz, ketika dihubungi petang ini berkata, beliau tidak ingin campur urusan PKR.

"Soal PKR ini saya cukup menyampah, saya tidak mahu," katanya.

Mustafa pula berkata, "walau apa terjadi" beliau tidak akan meninggalkan Umno.

"Saya menolak sekeras-kerasnya spekulasi saya akan menyertai PKR," katanya kepada Malaysiakini.

Manakala Shamsul Kahar yang juga exco pelajaran dan pendidikan tinggi kerajaan negeri tidak dapat dihubungi untuk mengesahkan spekulasi tersebut.

Ketua Wanita Umno bahagian Jempol, Noraini Idris berkata, orang mengaitkan nama Shamsul Kahar dan Aziz kerana kedua-dua mereka kalah dalam pertandingan bahagian baru-baru ini.

"Orang sengaja nak buruk-burukkan nama mereka. Saya tidak dengar khabar mereka nak masuk parti lain," katanya.

Ishak juga berkata, ketiga-tiga mereka dianggap mempunyai masalah kerana tewas dalam pertandingan peringkat bahagian masing-masing.

Aziz kalah di Jempol kepada penyandang jawatan ketua bahagian Datuk Lilah Yassin.

Shamsul Kahar pula tewas jawatan timbalan ketua bahagian itu kepada Mohd Salim Shariff, manakala Mustaffa sedang menghadapi tindakan undang-undang.

Ketika dihubungi, ketua Puteri Umno Seremban, Wan Salawati Abdullah berkata, beliau mendengar berita PKR memujuk bekas ketua-ketua cawangan Umno untuk memujuk wakil rakyat mereka supaya menyertai parti pembangkang tersebut..

"Ini berlaku di kawasan Seremban dan luar Seremban tetapi saya tidak tahu sama ada benar atau tidak.

"Saya baru dengar dari kawan-kawan di sini," katanya.

Bekas setiausaha Umno bahagian Seremban, Datuk Md Yusop Hermain Shah pula berkata, cakap Ishak tidak boleh dipercayai dengan mendakwa pemimpin itu "mahu memecahbelahkan Umno negeri".

Difahamkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri satu program PKR di Tampin, bulan depan.

Seorang pemimpin PKR negeri Badrul Hisham Shahrin berkata, Anwar akan mengumumkan tiga atau empat wakil rakyat Umno yang akan menyertai parti itu "dalam masa terdekat".

Beliau bagaimanapun tidak menamakan wakil-wakil rakyat terbabit.

Sebuah akhbar berbahasa Cina hari ini melaporkan beberapa Adun BN akan meninggalkan parti itu dan menyertai Pakatan - keputusan yang boleh menggugat kestabilan kerajaan BN itu.

Pada pilihanraya umum lalu, BN negeri memperoleh majoriti mudah dengan meraih 21 kerusi Dewan Undangan Negeri, manakala 15 lagi kerusi dimenangi pembangkang yang terdiri daripada DAP, PKR dan PAS (lihat jadual).

Desas-desus isu lompat parti - antara kedua-dua hala BN dan Pakatan Rakyat - muncul kembali susulan penyertaan Adun Bota, Perak Datuk Nasharuddin Hashim bersama PKR hujung minggu lalu.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan menafikan desas-desus beberapa Adunnya akan menyertai pembangkang. - Malaysiakini

PM Turki tinggalkan sidang Davos kerana Gaza



DAVOS 30 Jan. - Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan bertindak meninggalkan sidang Forum Ekonomi Dunia (WEF) di sini semalam selepas terlibat dengan pertikaman lidah dengan Presiden Israel, Shimon Peres berhubung konflik di Genting Gaza.

Recep berikrar tidak akan kembali semula menyertai forum itu, yang dihadiri oleh elit politik dan perniagaan dunia.

Dalam detik-detik paling dramatik yang jarang dilihat berlaku pada forum Davos, Recep berjalan keluar meninggalkan dewan di hadapan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon dan anggota panel lain dengan mendakwa, beliau telah dipaksa memendekkan kenyataannya mengenai perang itu.

“Saya tidak fikir saya akan kembali ke Davos selepas ini kerana anda tidak membenarkan saya bercakap,” kata Perdana Menteri itu sebelum beredar, meskipun beliau malam tadi menyatakan kesediaan untuk menimbangkan semula keputusannya itu.

Recep mengkritik hadirin yang terdiri daripada tokoh korporat dan politik antarabangsa kerana memberi tepukan selepas Peres dengan penuh emosi mempertahankan serangan Israel ke atas Gaza, sehingga menyebabkan lebih 1,300 rakyat Palestin terkorban.

Beliau yang mengetuai segelintir negara Islam yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel menyifatkan apa yang dilakukan oleh Israel di Gaza sebagai tindakan “tidak bertamadun.”

“Saya berasa sangat sedih kerana hadirin bertepuk tangan selepas tuan (Peres) berucap kerana ramai penduduk (Palestin) telah terbunuh,” katanya kepada Peres sebelum dicelah oleh pengerusi sesi iaitu wartawan Washington Post, David Ignatius.

“Kita tidak boleh memulakan perbahasan semula kerana kita kesuntukan masa,” kata Ignatius kepada Perdana Menteri Turki itu.

Peres sebelum itu mendakwa Israel terpaksa melancarkan serangan ke atas Hamas kerana ribuan roket dan mortar telah dilancarkan ke wilayah Israel.

Sambil meninggi suara dan menuding jari ke arah Recep, beliau berkata, Turki sudah tentu bertindak sama jika roket dilancarkan ke Istanbul.

Ki-moon, Recep, Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Mussa dan Peres duduk dalam satu barisan untuk menyertai perbahasan itu dan kesemua mereka membuat kenyataan panjang lebar mengulas mengenai konflik tersebut. - AFP

Jika demo gagal, undi protes PPSMI, kata A Samad Said - Malaysiakini


Jika demonstrasi besar membantah dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris Mac ini masih gagal menarik perhatian kerajaan, pilihanraya umum akan datang boleh dijadikan penentuan akhirnya, kata seorang tokoh sasterawan.

"Jika masih gagal, ia perlu diterjemahkan dalam pilihanraya, sebagai kuasa yang terakhir.

"Gunalah undi secara bijaksana," kata Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan lanjut yang perlu diambil sekiranya perhimpunan raksasa 100,000 rakyat – ala Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) – anjuran Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) masih tidak dihiraukan kerajaan.

GMP yang dipengerusikan bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merancang mengadakan perhimpunan itu pada 7 Mac bagi menyerahkan memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-pertuan Agong bagi memohon campur tangan baginda berhubung isu itu. - Malaysiakini

* Itu bahasa sastera. Maksud Datuk A Samad Said kita pakat undi Pakatan Rakyat

Pemuda Umno bantah kekerasan SPRM - Malaysiakini

Kira-kira 30 anggota Pemuda dan Putera Umno menyerahkan memorandum membantah dakwaan insiden penderaan seorang pemimpin parti itu di tangan penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Memorandum itu diserahkan kepada Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, timbalannya Datuk Seri Najib Razak dan barisan ahli Majlis Tertinggi (MT) sebelum mesyuarat majlis itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam tadi.

Menurut Bernama, jurucakap kumpulan itu Zuraidi Abdul Rahim berkata penubuhan SPRM menyebabkan lebih ramai anggota parti ditahan atas tuduhan rasuah dan pegawai-pegawai SPRM "sering menggunakan kekerasan ketika menyoal siasat suspek."

"Penubuhan SPRM bukan untuk memukul, membelasah ketika disoal siasat.

"Kira-kira 39 orang telah dipanggil untuk disoal siasat, yang ditahan tidak pasti tetapi ada dua hingga tiga orang buat laporan polis.

"Kami ada bukti mengenai kejadian ini melalui salinan laporan polis salah seorang anggota parti yang turut kami lampirkan dalam memorandum itu," katanya kepada media di bangunan itu.

Dalam laporan polisnya kelmarin, seorang ahli jawatankuasa bahagian Maran, Pahang mendakwa dipukul sepanjang empat hari ditahan reman di pejabat SPRM Kuantan pada mulai 23 Januari dalam siasatan berhubung politik wang.

Penahanan Halimi Kamaruzzaman itu didakwa berkaitan siasatan terhadap anggota MT dan ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Norza Zakaria.

Pemimpin Umno itu bagaimanapun beliau menafikan mempunyai sebarang kaitan dengan Norza.

Menurut laporan polisnya, Halimi mendakwa tiga pegawai SPRM termasuk seorang ketua unit menumbuk "kepala, perut dan bahunya bertubi-tubi".

Halimi juga mendakwa beliau ditendang di bahagian rusuk, dipaksa bertelanjang dan berguling-guling di atas lantai dalam keadaan berbogel.

"Pegawai yang dikatakan ketua unit (siasatan) ini telah mencekik saya sehingga saya tidak dapat bernafas sambil menolak saya ke dinding," laporannya di balai polis Damansara, Petaling Jaya dipetik.

"Mereka telah mengugut saya bahawa isteri saya akan ditangkap dan dibogelkan jika saya tidak membuat pengakuan bahawa Datuk Norza Zakaria-lah yang menyuruh saya untuk memberi duit kepada ahli-ahli Umno yang terbabit," dakwanya lagi dalam aduan polis tersebut.

"Seorang pegawai telah mengugut untuk meletakkan puntung rokok yang dihisapnya pada kemaluan saya."

Menurut agensi berita itu lagi, Zuraidi menambah, anggota-anggota Umno dari seluruh negara berharap tiada campur tangan pihak luar terutamanya SPRM dalam urusan parti itu agar hak kebebasan bersuara dalam kalangan anggota parti dapat dikembalikan.

"Hal parti hanya parti yang menentukan, kita tidak mahu ada orang ketiga yang campur tangan dalam hal ini," katanya.

Sebelum itu, mereka berkumpul di lobi bangunan itu bagi menyatakan bantahan terhadap cadangan pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail agar sayap-sayap utama Umno termasuk Pemuda dan Putera dibubarkan bagi mengekang gejala politik wang. - Malaysiakini

Himpunan bantah PPSMI di Sogo esok - Malaysiakini

Kira-kira 500 pencinta bahasa dijangka memenuhi ruang depan kompleks membeli-belah Sogo membantah pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Ingeris (PPSMI) esok.

Beberapa tokoh utama bahasa seperti bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hassan Ahmad, penyair Dinsman, bekas profesor bahasa Dr Abdullah Hassan dan penulis Ainon Mohd akan turut serta.

Keempat-empat mereka menganggotai jawatankuasa Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP), penganjur tunjuk perasaan itu yang dinamakan majlis pelancancaran perhimpunan besar 100,000 rakyat.

Setiausaha GMP Hasni Abas memberitahu Malaysiakini, tokoh-tokoh itu akan berucap menolak PPSMI dan program ringkas ini yang bermula jam 3 petang diakhiri dengan acara pelancaran oleh Dr Hassan sebagai pengerusi jawatankuasa induk GMP.

GMP merancang menganjurkan perhimpunan besar-besaran awal Mac ini - ala demonstrasi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) pada 2007 - untuk menyerahkan memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Majlis pelancaran itu yang turut disertai beberapa ahli politik PKR dan PAS akan dimeriahkan dengan bacaan sajak bertemakan perjuangan bahasa.

Hasni, juga presiden Kesatuan Pekerja-pekerja DBP berkata, sebanyak 2,000 risalah menentang PPSMI akan turut diedarkan kepada orang ramai di sekitar kompleks tersebut.

Mengulas sebab Sogo dipilih sebagai tapak pelancaran perhimpunan GMP dua bulan lagi, beliau berkata:

"Tempat itu ramai orang. Perjuangan kita perjuangan rakyat. Kita kena pergi kepada rakyat."

Katanya, majlis pelancaran itu tetap dilangsungkan walaupun tanpa permit polis.

"Polis kena lebih faham. Kita pun warganegara juga yang ada hak (berhimpun)," katanya.

Ahad ini, PAS yang bergabung dalam GMP akan mengadakan ceramah berhubung isu PPSMI di Markaz Tarbiyyah, Gombak. - Malaysiakini

Tajol letak jawatan, Najib Pengerusi Umno Perak


KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi (MT) Umno yang bermesyuarat lebih tiga jam, menerima keputusan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali yang meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu berkuasa kuasa serta-merta.

Kekosongan itu diisi oleh Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.

Jawatan Timbalan Pengerusi Umno Perak pula akan disandang oleh Menteri di Jabatan Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Najib dan Zahid hanya akan memegang jawatan itu sehingga akhir Mac ini.

Umno dijadual mengadakan perhimpunan agung dan pemilihan pucuk pimpinan pusat Mac ini.

Ia merupakan antara keputusan yang diputuskan oleh mesyuarat MT yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bermula pukul 9 malam tadi.

"Pelantikan ini berkuat kuasa serta-merta, jadi mulai sekarang Datuk Seri Najib adalah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak," kata beliau pada sidang akhbar di sini awal pagi ini.

Abdullah yang juga Perdana Menteri berkata, alasan yang diberikan oleh Tajol ialah "adalah lebih baik orang lain memimpin Perak selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota menyertai pembangkang."

"Kita menghormati kehendak dan keputusan. Dia nak undur diri. Lebih baik rasanya bagi orang lain pimpin Umno Perak," katanya

Selain itu, Abdullah yang juga Pengerusi BN memberitahu, MT juga memberi penjelasan Tajol mengenai kedudukan Umno dan BN Perak khususnya mengenai keputusan ADUN Bota keluar parti.

Di Kampar pagi tadi, Tajol mengumumkan bahawa beliau akan meletakkan jawatan sebagai Ketua Umno Bahagian Gerik pada 29 Mac ini.

Kata Tajol, beliau juga tidak akan bertanding mempertahankan jawatan anggota Majlis Tertinggi pada perhimpunan agung Umno dari 24 hingga 28 Mac ini, yang sekali gus akan menyebabkan semua jawatan yang disandangnya melalui lantikan termasuk sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, tergugur.

Malah beliau menyelar sebuah akhbar hari ini yang melaporkan beliau telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak.

"Saya terperanjat dengan laporan itu. Akhbar itu memang tidak beretika. Selama ini hubungan saya dengan wartawan memang baik tapi hari ini saya memang marah dengan akhbar itu.

"Laporan itu tidak sepatutnya dibuat kerana ia merupakan satu mesyuarat tertutup dan tidak sepatutnya apa yang berlaku dalam mesyuarat itu dilaporkan," katanya.

Akhbar berkenaan dalam laporan muka depannya mendakwa Tajol pada majlis perjumpaan bersama Pemimpin Umno Bahagian Parit di Bangunan Umno Parit lewat petang Selasa lalu mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak kerana rasa bertanggungjawab terhadap tindakan ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim, keluar daripada Umno dan menyertai Parti Keadilan Rakyat. - Mstar

Zulkifli pula ajak MP Umno sertai PAS bentuk kerajaan pusat

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang sebelum ini disebut-sebut menyertai Umno atau PAS, menggesa ahli-ahli Parlimen dari Umno agar menyertai PAS untuk membentuk kerajaan persekutuan yang baru.

Zulkifli, yang menjadi perhatian ekoran kontroversi dalam isu membantah forum anjuran Majlis Peguam Ogos lalu berkata, cara terbaik menyelesaikan masalah penyakit kronik Umno ialah dengan membubarkan parti itu.

"Apa yang menyedihkan, kelemahan pimpinan dan parti Umno hari ini menyebabkan bukan sahaja hak istimewa bangsa mula dipertikaikan, malah agama Islam sendiri turut diserang dan diperlekehkan.

"Saya percaya cara terbaik untuk memartabatkan dan memperkukuhkan Islam dan bangsa Melayu ialah dengan membubarkan Umno, sekali gus saya menyeru supaya semua ahli dan pimpinan Umno supaya menyertai PAS," kata beliau dalam blognya.

Zulkifli memenangi kerusi itu atas tiket PKR, yang Jawatankuasa Disiplinnya pernah memangil beliau berhubung isu tersebut.

Kata beliau, jika cadangan itu diterima, PAS yang mempunyai 24 Ahli Parlimen, akan menambah kedudukannya sebanyak 89 anggota Dewan Rakyat.

"Ini akan menjadikan Ahli Parlimen PAS berjumlah 113 orang, sekali gus membolehkan PAS membentuk Kerajaan Persekutuan dengan majoriti mudah (sebanyak 112).

"Dengan sokongan Ahli Parlimen PKR seramai 31 orang (21 beragama Islam) maka PAS akan boleh membentuk kerajaan persekutuan dengan majoriti yang selesa.

"Insya-Allah dengan menjadikan peristiwa Gaza sebagai pengajaran, saya berharap dan berdoa agar pimpinan dan ahli Umno akan dapat berlapang dada dan memikirkan serta menimbang cadangan saya ini," katanya lagi.

Kelmarin, Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddin mencadangkan pembubaran kesemua sayap Wanita, Pemuda, Putera dan Puteri Umno sebagai salah satu cara membendung masalah politik wang, rasuah dan salah guna kuasa dalam Umno.

PKR merupakan salah satu komponen Pakatan Rakyat, yang Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meletakkan sasaran mahu membentuk kerajaan pusat yang baru dengan menarik wakil rakyat Barisan Nasional (BN) menyertai pihaknya menjelang 16 September lalu.

Tetapi ia tidak menjadi kenyataan.

Ahad lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota dari Umno, Datuk Nasarudin Hashim menyertai PKR. - Mstar

Saiful berharap kes diliwat didengar segera


PETALING JAYA: Bekas pembantu khas kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat oleh majikannya, berharap kesnya akan didengar tanpa penangguhan bagi membolehkan keadilan dipertahankan.

"Minggu depan menandakan enam bulan sejak kes ini didengar," kata Mohd. Saiful dalam tulisan terbaru blognya.

"Sehingga kini tiada tarikh ditetapkan untuk mendengar kes ini.

"Saya berharap dan berdoa agar kali ini tiada sebarang kelewatan untuk membolehkan keadilan dipertahankan," katanya lagi.

Mahkamah Tinggi akan mendengar selama dua hari bulan depan bagi permohonan semakan oleh pihak pendakwaan untuk memindahkan perbicaraan kes Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh atas tuduhan meliwat Mohd. Saiful.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah telah memutuskan pendengaran bagi permohonan pendakwaan itu pada 5 dan 6 Februari ini.

Anwar, 62, kini Ketua Pembangkang di Parlimen didakwa meliwat Mohd. Saiful , pada 26 Jun 2008 antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang di Unit 11-5-1, Desa Damansara Kondominium, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Beliau dituduh di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Sementara menunggu perbicaraan, Anwar dibenarkan bebas dengan bon jaminan peribadi RM20,000. - Mstar

29 January 2009

Demo bantah SPRM di Menara Dato Onn, MT mesyuarat


KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi (MT) Umno kini sedang bermesyuarat dengan sekumpulan ahli dipercayai, anggota Pemuda dan Putera, mengadakan 'demonstrasi' membantah tindakan Lembaga Disiplin dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam soal membanteras gejala politik wang.

Mereka menyerahkan memorandum bantahan terhadap tindakan SPRM, yang didakwa keterlaluan dan kasar semasa menyoal siasat 39 orang berhubung politik wang di Pahang baru-baru ini.

Jurucakap kumpulan berkenaan, Zuraidi Abdul Rahim iaitu perwakilan dari Baling berkata, tindakan SPRM itu telah mencemarkan imej mereka.

Beliau mendakwa mewakili kira-kira 2,500 anggota Pemuda.

"Dua atau tiga orang daripada mereka telah membuat laporan polis," kata beliau kepada wartawan di sini malam ini.

Kumpulan itu berhimpun di pekarangan Menara Dato Onn di sini dengan membawa sepanduk tertera mesej "Lembaga disiplin sudah nyanyuk", "Jangan ambil hak ahli Umno" dan "Kami menolak SPRM, boleh blah".

Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tiba di Menara Dato Onn kira-kira pukul 8.40 malam untuk mempengerusikan mesyuarat MT.

Sebelum mempengerusikan mesyuarat MT beliau melancarkan sistem pendaftaran keahlian Umno atas talian di lobi Menara Dato Onn.

Timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak turut hadir. Semalam, salah seorang daripada 39 orang terbabit, Hilmi Kamaruzzman memfailkan laporan polis di Balai Polis Damansara kerana mendakwa didera oleh pegawai penyiasat SPRM semasa disoal siasat.

Tambah Zuraidi, pucuk pimpinan parti perlu memandang serius mengenai perkara tersebut dan meneliti penubuhan SPRM.

Katanya, masalah parti harus diselesaikan di peringkat dalaman.

"Soal parti hanya parti yang tentukan, bukan pihak ketiga," katanya.

Memorandum tersebut diserahkan kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri serta anggota MT.

Kumpulan itu beredar dari kawasan Menara Dato Onn selepas Abdullah dan timbalannya memasuki lif untuk ke dewan mesyuarat.

* Kita mengharap SPRM lebih profesional bukan lebih samseng.

AJK Umno: Saya dipaksa bogel depan pegawai SPRM - Malaysiakini

Selepas mendiang A Kugan didakwa mati sewaktu dalam jagaan polis, kini pemimpin Umno Maran, Pahang pula mendakwa dibelasah oleh sekumpulan penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Halimi Kamaruzzaman, 46, mendakwa beliau dipukul sepanjang empat hari ditahan reman di pejabat SPRM Kuantan pada mulai 23 Januari dalam siasatan berhubung politik wang.

Penahanan itu didakwa berkaitan siasatan terhadap anggota Majlis Tertinggi (MT) dan ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Norza Zakaria.

Pemimpin Umno itu bagaimanapun menafikan mempunyai sebarang kaitan dengan Norza.

Beliau juga menyifatkan penderitaan yang didakwa dialaminya itu dengan kem penyeksaan Abu Ghraib di Iraq sewaktu pentadbiran Saddam Hussein.

Dalam laporan polisnya semalam, ahli jawatankuasa Umno Maran itu mendakwa tiga pegawai SPRM termasuk seorang ketua unit menumbuk "kepala, perut dan bahunya bertubi-tubi".

Halimi juga mendakwa beliau di tendang di bahagian rusuk, dipaksa bertelanjang dan berguling-guling di atas lantai dalam keadaan berbogel.

"Pegawai yang dikatakan ketua unit (siasatan) ini telah mencekik saya sehingga saya tidak dapat bernafas sambil menolak saya ke dinding," laporannya di balai polis Damansara, Petaling Jaya.

"Mereka telah mengugut saya bahawa isteri saya akan ditangkap dan dibogelkan jika saya tidak membuat pengakuan bahawa Datuk Norza Zakaria-lah yang menyuruh saya untuk memberi duit kepada ahli-ahli Umno yang terbabit," dakwanya lagi dalam aduan polis tersebut.

"Seorang pegawai telah mengugut untuk meletakkan puntung rokok yang dihisapnya pada kemaluan saya."

Norza sewaktu dihubungi Malaysiakini hari ini enggan mengulas dengan alasan beliau sedang disiasat.

Beliau juga berkata tidak mengetahui laporan polis tersebut.

Pengarah siasatan SPRM Datuk Mohd Shukri Abdull pula berkata suruhanjaya itu menyerahkan kepada polis untuk menjalan siasatan terhadap dakwaan Halimi dan enggan mengulas lanjut. - Malaysiakini

* Umno pun tidak selamat di bawah Umno

Ramlang saman Jakim jika rayuan ditolak - Malaysiakini

Bekas imam Masjid Wilayah Persekutuan - yang dipecat daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atas alasan berkempen untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim - akan mengambil tindakan saman.

"Saya akan merayu (kepada Jakim). Jika tidak terima, saya akan tuntut hak-hak saya melalui (proses) undang-undang," kata Ramlang Porigi.

Beliau merancang mengemukakan rayuan kepada jabatan tersebut pada Selasa atau Rabu depan.

Anak kelahiran Sabah itu kini sedang berehat di kampung halamannya di Sandakan dan dijadual kembali ke Kuala Lumpur awal minggu depan. - Malaysiakini

Rejim Zionis terus menerus menculik penduduk Palestin

Lima orang awam Palestin diculik oleh rejim Zionis semasa satu pencerobohan yang mensasarkan pusat bandar raya Tebing Barat , Ramallah dan kampung-kampung berdekatan pada hari Selasa. Di kampung Budrus , sepasukan rejim Zionis mencari dan menggeledah kediaman kemudian menculik tiga orang awam dan membawa mereka ke lokasi-lokasi yang tidak diketahui, saksi melaporkan.

Dalam kampung Kufer Malak, rejim Zionis telah menculik dua orang lelaki . Orang ramai berkata sepanjang pencarian, harta benda rakyat Palestin turut dimusnahkan oleh rejim Zionis. - Palestinkini

Tiada surat rasmi, pengganti Tajol diputus malam ini

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata Umno masih belum membuat sebarang keputusan mengenai pengganti Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali yang meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak.

Bagaimanapun Najib berkata perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat majlis Tertinggi Umno yang akan diadakan malam ini.

"Belum ada apa-apa keputusan lagi...beliau hanya gambarkan hasratnya (letak jawatan)," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteriitu juga berkata beliau masih belum menerima sebarang surat mengenai peletakkan jawatan bekas Menteri besar Perak itu.

"Saya belum terima apa-apa surat, lagipun surat itu kena serah kepada Presiden Parti," katanya.

* Ingatkan ada yang pujuk dan halang letak jawatan, rupanya orang Umno lagi suka dan tidak sabar-sabar letak penganti.

Keluar BN, kejutan kedua bakal berlaku di Perak dalam masa terdekat?

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Hrkh) - Perak akan dikejutkan lagi dengan tsunami politik kali kedua selepas Adun Bota, Dato' Nasharudin Hashim mengumumkan penyertaannya ke dalam Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) baru-baru ini.

Sumber Harakahdaily memaklumkan, dalam masa terdekat seorang lagi wakil rakyat Umno akan membuat pengumuman keluar parti dan menyertai salah satu parti dalam Pakatan Rakyat.

"Seorang lagi ADUN Perak bersiap sedia untuk satu sidang media dalam masa terdekat bagi mengumumkan keputusan meninggalkan Umno/BN," kata sumber itu.

Sumber memberitahu, wakil rakyat berkenaan akan mengumumkan salah satu daripada tiga pilihan iaitu sama ada meletak jawatan parti (umno), meletak jawatan sebagai Adun atau keluar parti untuk menyertai salah satu parti Pakatan Rakyat.

Namun sehingga berita ini ditulis, ramai pemimpin Umno menafikan akan berlakunya perpindahan Adun-adun mereka kepada Pakatan Rakyat.

Terdahulu, Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin turut menyatakan bahawa tiga wakil rakyat Umno akan menyertai Pakatan Rakyat.

Kenyataan itu dibuat Nizar sebaik sahaja Nasharudin mengumumkan kemasukan ke dalam KeADILan, namun kenyataan Nizar itu ditolak pemimpin Umno tempatan dan nasional. - Harakahdaily

* Umno bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga.

Umno Perak yakin dua ADUN tidak lompat parti


PETALING JAYA: Setiausaha Umno Perak, Datuk Ramly Zahary mengesahkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang meluahkan kekecewaan terhadap Umno tidak akan lompat parti bagi menyertai pembangkang.

Beliau yang sudah berbincang dengan kedua-dua pemimpin itu yakin bahawa mereka akan terus kekal bersama Umno dan Barisan Nasional (BN) seperti yang diikrarkan kepada Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam pertemuan pada Isnin lalu.

"Saya yakin mereka akan terus kekal bersama kita (Umno)...mereka tak akan lompat parti.

"Mereka juga hadir dalam pertemuan dengan Datuk Seri Najib dan mereka juga berikrar akan taat setia untuk kekal dalam BN," katanya kepada mStar Online.

Akhbar hari ini melaporkan ADUN Lintang, Datuk Ahamad Pakeh Adam dan ADUN Pengkalan Baharu, Datuk Hamdi Abu Bakar melahirkan kekecewaan terhadap Umno dan memikirkan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya jika parti itu masih tidak berubah.

Ahamad dan Hamdi yang masing-masing merupakan Ketua Umno Bahagian Sungai Siput dan Beruas bagaimanapun gagal mempertahankan kedudukan mereka dalam pemilihan parti peringkat bahagian Oktober lalu.

Isu lompat parti di Perak mula timbul apabila ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim mengumumkan keluar daripada BN bagi menyertai Parti Keadilan rakyat (PKR) pada Ahad lalu.

Bagaimanapun Ramly berkata tindakan kedua-dua ADUN berkenaan yang menyuarakan perasaan mereka itu tidak bermaksud untuk meninggalkan parti.

"Mereka hanya suarakan perasaan mereka...itu tak salah," katanya.

Malah jelas Ramly kedua-dua pemimpin berkenaan juga sebenarnya terkejut dengan tindakan Nasaruddin menyertai parti pembangkang.

"Kalau ditanya pada mereka berdua, mereka juga terkejut dengan tindakan Datuk Nasaruddin kerana mereka tidak menjangkakan sampai begitu sekali.

"Mereka sebenarnya tak sangka datuk Nasaruddin sampai tahap lompat parti," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perkembangan Badan Perhubungan Umno negeri untuk mengadakan rundingan dengan Nasaruddin bagi memujuk beliau kembali menyertai Umno dan BN, Ramly berkata pihaknya masih belum dapat membuat sebarang rumusan.

"Kita masih berusaha dan akan terus usaha...kita tak dapat nak rumus apa-apa lagi," katanya. - Mstar

Pengebumian Kugan: Suspek kes bunuh antara enam ditahan

PETALING JAYA: Seorang lelaki yang dikehendaki polis adalah antara enam orang yang ditahan di hadapan pintu masuk utama Pusat Perubatan Universiti Malaya semasa menyertai perarakan membawa mayat suspek curi kereta A. Kugan hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Talib berkata lelaki berusia 55 tahun itu disyaki terlibat dalam kes bunuh.

Penangkapan pertama dibuat kira-kira pukul 12.15 tengah hari apabila seorang lelaki cuba merempuh kearah pintu masuk Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid mengarahkan orang ramai yang berkumpul bersurai.

Dua lagi ditahan kerana cuba melalui sekatan polis di PPUM.

Manakala dua lagi ditahan polis kerana didapati cuba untuk menyebarkan provokasi dikalangan orang ramai yang berkumpul di kawasan PPUM.

Empat daripada mereka memakai kemeja-t Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) - pertubuhan yang diharamkan sejak Oktober tahun lalu.

Salah seorang dipercayai bekas penyelaras kumpulan itu, R.S. Thanendran.

Polis dijangka membebaskan lima yang lain itu dalam waktu terdekat setelah keterangan mereka direkodkan.

Lima lelaki itu berusia antara 39 tahun dan 52 tahun.

Kira-kira 1,000 orang berkumpul bagi menyertai perarakan dari PPUM ke krematorium di Batu 14 Puchong.

Bagaimanapun orang ramai yang berkumpul di perkarangan PPUM sejak pukul 8 pagi, mematuhi nasihat polis dan bersurai dari kawasan itu pada kira-kira pukul 1.45 petang.

Kereta jenazah yang membawa mayat Kugan, meninggalkan bilik mayat PPUM selepas pukul 2 petang untuk upacara pengebumian.

Kugan, 22, yang ditahan pada 15 Januari di lokap Balai Polis Taipan, Subang Jaya kerana disyaki terlibat dalam kes curi kereta mewah di Sungai Chua, Kajang, ditemui mati pada 20 Januari semasa dalam siasatan. - Mstar

Samy Vellu perlu hormati kedaulatan undang-undang

KUALA LUMPUR 28 Jan. – Pergerakan Pemuda UMNO membidas Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu dan dua Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk K. Devamany dan Senator T. Murugiah kerana cuba meletakkan kedudukan mereka melebihi undang-undang negara.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, mereka bertiga tidak sepatutnya melupakan prinsip asas undang-undang bahawa yang salah tetap bersalah.

Sehubungan itu, beliau meminta ketiga-tiga tokoh parti politik India dalam gabungan komponen Barisan Nasional (BN) itu menghormati kedaulatan undang-undang negara.

“Dia (Samy Vellu, Devamany dan Murugiah) siapa boleh meletakkan diri melebihi undang-undang negara, yang salah tetap bersalah.

“Mereka perlu akur kepada undang-undang negara secara terhormat,” katanya sewaktu dihubungi Utusan Malaysia di Mekah hari ini.

Hishammuddin mengulas kemelut tuding menuding jari antara menteri, timbalan menteri, polis dan ahli politik berikutan kematian suspek kes curi kereta mewah, A. Kugan, 22, sewaktu disoal siasat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar sebelum ini berkata, bedah siasat mendapati Kugan mati akibat paru-paru berair tetapi keluarganya mendesak diadakan bedah siasat kedua kerana mendakwa ia disebabkan kecederaan.

Minggu lalu, Devamany dan Murugiah bersama sekumpulan orang awam didakwa menyerbu dan menceroboh rumah mayat Hospital Serdang sehingga ada yang bertindak merakamkan gambar mayat Kugan.

Kedua-dua timbalan menteri itu mempertahankan tindakan mereka berada di sana dengan alasan mententeramkan keluarga Kugan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar baru-baru ini pula membuat kenyataan bahawa kedua-dua timbalan menteri itu mungkin menghadapi tindakan jika didapati melanggar undang-undang.

Sehubungan itu, Samy Velu dalam kenyataannya kelmarin menyatakan komitmen untuk melantik peguam mewakili dua timbalan menteri itu sekiranya mereka didakwa di mahkamah.

“Kami akan melantik seramai mana peguam yang boleh bagi mempertahankan mereka jika didakwa di mahkamah,” kata Samy Vellu yang menerajui MIC selama 30 tahun.

Upah ceramah Clinton RM21 juta

WASHINGTON 28 Jan. – Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Bill Clinton memperoleh hampir AS$6 juta (RM21 juta) sebagai bayaran ceramah tahun lepas, kebanyakannya dibayar oleh syarikat asing termasuk di Malaysia.

Pendapatan tersebut dinyatakan dalam dokumen kewangan yang difailkan oleh isteri beliau, Setiausaha Negara AS, Hillary Rodham Clinton.

Dokumen yang diperoleh AP semalam menunjukkan bayaran tertinggi yang diterima daripada sumber asing berjumlah AS$1.25 juta (RM4.38 juta) kerana hadir pada lima acara anjuran Power Within Inc., sebuah syarikat Toronto - AP

Israel bedil terowong Palestin

GAZA 28 Jan. – Sebuah pesawat perang Israel awal hari ini, membedil beberapa terowong yang digunakan oleh rakyat Palestin untuk menyeludup barang keperluan dan senjata di sempadan Genting Gaza dengan Mesir.

Serangan tersebut dilancarkan hanya beberapa jam sebelum duta khas Amerika Syarikat (AS) ke Asia Barat, George Mitchell dijadual tiba di negara Yahudi itu.

Penduduk Palestin di pekan Rafah, Genting Gaza dan pegawai keselamatan Hamas berkata, sebilangan penduduk mula meninggalkan rumah mereka dalam ketakutan apabila pesawat berkenaan melancarkan tiga serangan sebelum subuh.

Belum ada laporan mengenai kemalangan jiwa.

Seorang jurucakap tentera Israel mengesahkan, Israel melancarkan serangan udara ke atas terowong penyeludupan di Rafah.

Bedilan itu sebagai membalas serangan pejuang Palestin di Gaza ke atas sebuah kenderaan tentera Israel semalam, kata jurucakap itu.

Dalam serangan semalam, seorang askar Yahudi maut dan tiga yang lain cedera apabila kenderaan yang mereka naiki terkena serangan bom.

Ekoran itu, Israel segera melancarkan serangan udara yang membunuh seorang lelaki Palestin yang bermotosikal dan didakwa oleh tentera Israel sebagai perancang letupan bom tepi jalan itu tetapi menurut sumber Palestin, lelaki itu hanyalah seorang petani.

Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert malam tadi berkata, pembunuhan lelaki bermotosikal itu hanyalah reaksi awal dan Israel akan melancarkan tindakan balas sepenuhnya tidak lama lagi.

Insiden berbalas-balas serangan semalam, adalah yang pertama sejak Hamas dan Israel mengisytiharkan gencatan senjata berasingan pada awal bulan ini berikutan serangan rejim Zionis selama 23 hari ke atas Genting Gaza. – Reuters

28 January 2009

Dipecat selepas muncul di kempen Anwar - Malaysiakini

Bekas imam Masjid Wilayah Persekutuan - mendakwa diarah menjadi saksi sumpah laknat seorang pemuda yang menuduh diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim - dipecat daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ramlang Porigi, yang ditukar serta-merta ke jabatan tersebut September lalu tidak lama selepas berucap dalam satu kempen politik ketika pilihanraya kecil Permatang Pauh, mendapat surat pemecatan itu minggu lalu.

Dalam surat bertarikh 20 Januari, ketua pengarah Jakim Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz menyatakan bekas imam muda itu didapati "bersalah dan dikenakan hukuman buang kerja".

Tindakan itu dipercayai dengan sebab Ramlang dianggap telah "mencemarkan nama perkhidmatan awam" setelah naik pentas politik dalam kempen Anwar pada 24 Ogos lalu.

Lembaga Tatatertib Kumpulan Sokongan (No 1) Jakim mengambil keputusan itu dalam satu mesyuaratnya pada 16 Januari lalu.

Ramlang dihadapkan dengan empat pertuduhan - tiga daripadanya kerana berucap di tiga tempat berasingan di kawasan parlimen tersebut pada hari berkenaan.

Peguam bekas imam itu Ahmad Nizam Hamid memberitahu Malaysiakini hari ini, pertuduhan keempat - mengadakan sidang media pada tengah hari 25 Ogos - bagaimanapun tidak benar.

Ramlang mengadakan sidang media bersama Naib Presiden PKR Mohamad Azmin Ali (foto atas) dan beberapa pemimpin pembangkang sejurus selepas tengah malam hari yang sama di pusat khidmat parti itu di Penanti.

Peguam itu menambah, tanpa memberikan sebarang alasan jelas, surat Jakim itu menyatakan "keterangan-keterangan sedia ada telah mencukupi" untuk memecat Ramlang.

Pada 15 Ogos lalu, Ramlang termasuk antara empat pegawai Masjid Wilayah Persekutuan yang menghadiri majlis sumpah Mohd Saiful Bukhari Azlan di masjid tersebut yang mendakwa diliwat oleh penasihat PKR itu dua bulan sebelumnya.

Ramlang kemudian muncul di tiga majlis ceramah anjuran Pakatan Rakyat - kira-kira 48 jam sebelum hari pengundian di Permatang Pauh - menjelaskan beliau telah diarahkan hadir di majlis sumpah itu.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan lebih lanjut pihak yang mengarahkannya berbuat demikian.

Menurut Wan Mohamad lagi, yang bertindak sebagai pengerusi Lembaga Tatatertib Kumpulan Sokongan (No 1) Jakim, tindakan terhadap Ramlang dibuat mengikut Peraturan 38(g) Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Jakim juga menolak permohonan Ramlang untuk menghadapi satu siasatan dalaman berhubung tindakan disiplin terhadapnya dalam jawapannya kepada surat tunjuk sebab Jakim pada November lepas.

Ahmad Nizam menjelaskan, Ramlang yang kini sedang berehat akan mengemukakan rayuan bertulis selewat-lewatnya minggu depan seperti menurut Peraturan 14 dan 15(1) peraturan yang sama.

Pada 7 Ogos tahun lepas, Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful di sebuah kondominium di ibu negara pada 26 Jun lalu. - Malaysiakini

* Kenakan imam jujur. Ada yang tidak kena dengan JAKIM.

Proton MPV baru


Inilah rupa kenderaan pelbagai guna (MPV) keluaran terbaru Proton yang bakal dilancarkan pada April ini. Ia memaparkan reka bentuk menarik dan pasti mendapat sambutan baik daripada rakyat Malaysia kelak.

Model terbaru Proton ini yang gambarnya mula tersebar dalam Internet sejak seminggu lalu boleh memuatkan sekurang-kurangnya tujuh orang penumpang dan menggunakan enjin Campro 1.8 liter serta disasarkan pada harga sekitar RM80,000 sebuah. - Utusan

Umno Perak pujuk ADUN Bota ubah fikiran

PETALING JAYA: Badan Perhubungan Umno Perak kini dalam usaha mengadakan perbincangan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasarudin Hashim bagi memujuk agar beliau kembali ke pangkuan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Umno Perak, Datuk Ramly Zahary berkata, setakat hari ini pihaknya telah berjaya mengadakan rundingan dengan Nasarudin bagi mengetahui punca sebenar beliau memutuskan untuk meninggalkan BN dan menyertai Pakatan Rakyat.

"Rundingan sudah bermula... bagi kami ini merupakan petanda positif kerana sekurang-kurangnya masih wujud komunikasi antara beliau dan Umno negeri, kita tak putus hubungan lagi," katanya kepada mStar Online.

Ramly berkata pihaknya telah menghantar beberapa wakil yang rapat dengan Nasarudin untuk mengadakan rundingan dengan beliau.

"Kita sudah hantar wakil yang baik dengan beliau, biar mereka bincang dengan cara yang santai kerana itu lebih baik untuk kedua-dua pihak tanpa ada rasa segan silu," katanya.

Ditanya apakah perkembangan hasil pertemuan tersebut, beliau berkata sehingga kini pihaknya berpuas hati dengan perbincangan yang diadakan.

"Beliau (Nasarudin) sudi berbincang, maknanya laluan sudah terbuka.

"Namun kita akan terus beruasaha mengadakan perbincangan dengan beliau bagi mengetahui keadaan sebenar dan cuba selesaikan dengan baik," katanya.

Kelmarin, Nasarudin bertindak keluar daripada BN dan mengumumkan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), berkuat kuasa serta-merta.

IKRAR SETIA BN PERAK

Semalam wakil rakyat BN Perak yang menemui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak di ibu negara telah menyatakan ikrar akan kekal dalam BN.

Ikrar itu dibuat beberapa jam selepas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mendakwa tiga lagi ADUN BN dijangka menyertai Pakatan Rakyat ekoran langkah Datuk Nasarudin Hashim kelmarin.

Mengulas lanjut, Ramly berkata, mereka melahirkan sumpah taat setia untuk terus bersama BN.

"Semalam semua ahli yang hadir membuat ikrar taat setia kepada BN di hadapan Datuk Seri Najib," kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Malah, kata beliau, mereka juga mencapai kata sepakat iaitu masih menaruh harapan bahawa Nasarudin, ADUN Bota akan kembali menyertai Umno dan BN.

Tambah Ramly, mereka juga yakin Nasaruddin sedang menguji BN melalui tindakannya itu.

"Kita yakin beliau sedang uji BN... beliau nak tahu apakah reasksi kita selepas buat pengumuman untuk keluar.

"Kita sangat yakin dengan Datuk Nasarudin, beliau akan membuat perhitungan yang sewajarnya," katanya.

Pertemuan yang diadakan di ibu negara itu dihadiri oleh 26 daripada 27 ADUN dan 11 daripada 13 Ahli Parlimen BN dari Perak.

Selain itu Umno Perak juga menyeru supaya Nasarudin mengubah pendiriannya untuk meninggalkan BN.

"Kita seru supaya beliau patah balik (kembali) kepada Umno dan BN," katanya.

Mengulas lanjut mengenai pertemuan itu, Ramly berkata, semua pemimpin yang hadir berpeluang menyampaikan pandangan berhubung perkembangan terbaru itu.

Malah katanya, Najib turut menasihatkan agar pemimpin-pemimpin Umno dan BN supaya tidak mengeluarkan kenyataan bersifat negatif kerana ia akan menjejaskan proses rundingan dan perbincangan dengan Nasarudin.

Kata beliau lagi, Umno Perak mengklsifikasikan isu ini sebagai malapetaka kepada parti dan memandang serius mengenainya.

"Kita memandang serius mengenai perkebangan terbaru ini dan sedang berusaha mengambil tindakan yang wajar bagi membendungnya," katanya yang enggan menjelaskan dengan lebih lanjut.

Dalam pada itu, Najib ketika ditemui wartawan selepas pertemuan malam tadi berkata, antara ketetapan dibuat ialah semua memberi pengakuan dan disokong dengan setiap wakil rakyat menyatakan kesetiaan kepada BN melalui parti masing-masing.

"Waima apa jua keadaan sekalipun ini termasuk juga satu dua yang tidak hadir, tapi telah menelefon untuk menyatakan pendirian sama dan harap ia melenyapkan sebarang khabar angin yang diuar-uarkan oleh parti pembangkang yang menyatakan kononnya ada wakil rakyat BN dari Perak mahu melompat parti," katanya.

Najib yang juga Timbalan Pengerusi BN memberitahu, selain itu pertemuan malam tadi juga membincangkan beberapa perkara yang penting iaitu keutuhan berkhidmat kepada rakyat dan yakin kepada BN. - Mstar

Tajol sedia lepas jawatan

SITIAWAN 27 Jan. - Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali membayangkan beliau mungkin akan melepaskan jawatannya itu dalam masa terdekat.

Tindakan tersebut, katanya, selaras dengan perkembangan politik semasa di peringkat Pusat dan negeri-negeri lain.

"Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti Gerakan dan MCA sudah mempunyai kepimpinan baru.

"Tidak mustahil UMNO juga akan membuat perubahan secara positif bagi memastikan parti terus kukuh," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA Perak di sini, hari ini.

Sambil berharap bakal kepimpinan baru itu nanti akan membawa perubahan lebih positif dan menguntungkan parti, tegas Tajol Rosli, tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berusaha bersungguh-sungguh mempengaruhi wakil rakyat UMNO adalah demi kepentingan dan survival parti itu sahaja.

"Ketika ini kerajaan Pakatan Rakyat Perak sedang berusaha mengambil langkah awal, kalau-kalau yang negatif akan berlaku kepada dua Exconya membabitkan perbicaraan kes rasuah pada Februari ini.

"Oleh itu, pihak terbabit (PKR) bersungguh-sungguh mendapatkan sekurang-kurangnya dua wakil rakyat kita untuk menyertai mereka," katanya.

ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim Ahad lalu, mengumumkan keluar daripada UMNO untuk menyertai PKR. - Utusan

* Jangan hangat-hangat tahi ayam

27 January 2009

Berita TKO 28 Jan 2009

Dr. Juanda mufti baru Perlis

KANGAR: Ketua Penolong Pengarah Dakwah Jabatan Agama Islam Sarawak, Dr. Juanda Jaya bakal menjadi Mufti Perlis yang baru berkuat-kuasa Februari ini.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md Isa Sabu yang mengesahkan perkara itu di sini hari ini berkata, kerajaan negeri bagaimanapun masih menunggu surat pelepasan daripada kerajaan negeri Sarawak untuk meminjam Dr. Juanda selama dua tahun.

"Kerajaan negeri berterima kasih kepada kerajaan Sarawak kerana sudi meminjamkan pengawainya untuk berkhidmat di Perlis," katanya ketika ditemui pada majlis jamuan sambutan Tahun Baru Cina di Dewan Khoon Aik dekat sini hari ini.

Beliau berkata Dr. Juanda merupakan antara enam calon yang nama mereka dikemukakan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sebagai bakal Mufti Perlis bagi mengisi kekosongan kerusi yang tinggalkan Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin pada 30 November tahun lalu.

"Dr Juanda merupakan seorang yang mempunyai pegangan akademik yang baik, selain dari kalangan pengamal fahaman Sunnah Waljamaah selari dengan perlembagaan kerajaan negeri Perlis," katanya kepada pemberita.

Dr. Mohd. Asri, pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), menamatkan kontraknya setelah berkhidmat selama dua tahun di Perlis, lebih awal dari tempoh yang dipinjamkan oleh USM iaitu sehingga pertengahan tahun ini.

Beliau kini berada di United Kingdom melakukan kajian selama enam bulan mengenai Islam dan hadis sebelum kembali berkhidmat dengan USM sebagai pensyarah pengajian Islam.

Sementara itu, Dr. Juanda yang dihubungi Bernama hari ini mengesahkan telah menerima tawaran kerajaan negeri Perlis sejak akhir Disember lalu.

"InsyaAllah saya akan mula bertugas pada Februari ini," kata bekas Timbalan Mufti Sarawak berusia 38 tahun itu. BERNAMA

Rumah Tun Daim dimasuki pencuri

AMPANG JAYA - Kediaman mewah bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainudin (gambar) di Jalan Kolam Air, Taman Melawati di sini diceroboh pencuri semalam tetapi yang hilang cuma kasut yang diletak di luar rumah.

Polis yang masih menyiasat kejadian itu bagaimanapun tidak menolak kemungkinan perbuatan tersebut dilakukan oleh seorang daripada empat lelaki Nepal dari sebuah syarikat keselamatan yang dilantik oleh Tun Daim.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, pihaknya tidak mendapati sebarang tanda pecah masuk ketika kejadian yang berlaku antara pukul 12 malam dan 8 pagi itu.

"Kejadian itu hanya disedari oleh seorang pengawal keselamatan di situ pukul 9 pagi tadi (semalam) ketika dia datang ke situ untuk memulakan tugas.

"Dia kemudian membuat laporan di Balai Polis Melawati dua jam kemudian dan sepasukan polis dihantar ke sana untuk membuat siasatan," katanya semalam.

Abdul Jalil berkata, pihaknya menolak kemungkinan kejadian itu dilakukan oleh penjenayah pecah rumah yang menyasarkan golongan kenamaan (VIP).

Menurut beliau, polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. - Kosmo

* Hilang kasut pun nak kecoh satu Malaysia ka...

Siasat Kenapa Lompat Parti, Kata Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) — Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata siasatan lanjut perlu dilakukan bagi mencari punca tindakan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) melompat parti seperti yang dilakukan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim.

Ahmad Zahid berkata bantuan harus diberikan supaya tekanan peribadi tidak menyebabkan tekanan politik kepada wakil-wakil rakyat BN terutama di negeri-negeri yang diperintah pembangkang.

“Ini kerana mungkin daripada segi peruntukan, kita (Kerajaan Pusat) boleh membantu… Mungkin mereka mengalami masalah daripada segi membiayai aktiviti-aktiviti yang dilakukan sebagai wakil rakyat,” katanya.

Mengenai tindakan Nasaruddin itu, beliau berkata: “Memang saya tidak terkejut dengan keputusan itu… tetapi pada saya, beliau mungkin mempunyai sebab-sebab tersendiri (untuk melompat parti) dan harus kita ketahui (sebabnya),” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penutupan Festival Pembangunan Ekonomi Islam 2009 (I-Fest 09) di sini.

Semalam Nasaruddin mengumumkan keputusannya untuk keluar Umno dan menyertai Parti Keadilan Rakyat dan menyatakan tindakan itu diambil setelah lama mempertimbangkannya.

26 January 2009

BBC dicemuh, Al-Jazeera tarik penonton Amerika

Reaksi berbeza untuk stesen televisyen isu kemanusiaan Gaza

LONDON: Keengganan menyiarkan rayuan mengumpul dana untuk penduduk Palestin menyebabkan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) dikecam manakala Al-Jazeera mendapat perhatian penduduk Amerika Syarikat kerana menjadi stesen tunggal melaporkan serangan Israel di Gaza dari wilayah itu.

BBC mempertahankan pendiriannya sekalipun dikritik kerajaan Britain dan aktivis kemanusiaan atas alasan bimbang langkahnya akan dianggap berat sebelah selain meragui sama ada boleh menghantar bantuan secara berkesan ke Gaza.

Pendirian itu dikritik kerajaan Perdana Menteri, Gordon Brown dan kumpulan Islam, manakala beribu-ribu penunjuk perasaan berhimpun membantahnya, kelmarin.

Hanya BBC tidak menyiarkan rayuan Jawatankuasa Kecemasan Bencana (DEC). Tiga stesen saingannya sedia menyiarkan rayuan berkenaan.

Dalam satu blog di laman webnya, Ketua Pengarah BBC, Mark Thompson menulis: "Gaza masih menjadi satu cerita besar yang berterusan di mana isu kemanusiaan menjadi cerita utama dan terus dibahaskan.

"Kadang kala ia bukan tempat yang sesuai tetapi kami mempunyai satu tugas untuk memastikan bahawa tiada risiko yang terpaksa diambil. Ia bertujuan melindungi dan kami membuat keputusan sukar berkenaan," kata Thompson.

DEC, kumpulan kebajikan membabitkan Palang Merah Britain dan Oxfam menegaskan perkara itu tiada kaitan politik dan mereka hanya melakukan tugas kemanusiaan.

Sementara itu, bilangan penonton Amerika bagi rangkaian Al-Jazeera versi Inggeris meningkat secara mendadak ketika kempen serangan Israel ke atas Hamas berikutan hanya stesen itu mempunyai wartawan yang melaporkan perkembangan secara langsung dari Gaza.

Penonton menontonnya melalui internet dengan memanfaatkan kemunculan media online seperti halaman web Twitter yang menyediakan maklumat terkini mengikut masa sebenar.

Ketika konflik selama 22 hari itu berakhir hujung minggu lalu, stesen berkenaan dan rangkaian berbahasa Arab stesen itu menyiarkan lebih banyak gambar berbanding media Amerika mengenai bilangan kematian serta kecederaan wanita dan kanak-kanak Palestin.


PENUNJUK perasaan membawa sepanduk mengecam pendirian BBC tetapi memuji Al-Jazeera dalam isu membantu penduduk Palestin di Gaza ketika membantah di London, kelmarin.
Secara keseluruhan video halaman web stesen itu menyaksikan kenaikan sehingga 600 peratus dari segi jumlah penonton di seluruh dunia ketika serangan Gaza dan kira-kira 60 peratus datangnya dari Amerika sendiri, berdasarkan bilangan dalaman stesen berkenaan sendiri. – AFP/AP

Kes Adun Bota: Fitnah dan hasutan Umno menikam diri - Nik Aziz

KOTA BHARU, 25 Jan (Hrkh) - Penyertaan Adun Bota, Dato' Nasharuddin Hashim, ke dalam Parti KeAdilan Rakyat membuktikan fitnah dan hasutan Umno terhadap Pakatan Rakyat selama ini demi untuk meraih sokongan akhirnya 'menikam' diri.

Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, juga menyifatkan 'penghijrahan' Adun Bota itu sebagai hukuman terhadap pemimpin Umno yang mengecam Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohd Nizar selama ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penyertaan Nasharuddin yang menyertai KeADILan sambil mengucap tahniah di atas tindakan itu.

Sambil melahirkan rasa terharu serta rasa syukurnya, beliau berkata fenomena itu memberi tamparan hebat kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) di mana rakyat semakin menolak mereka.

"Sekiranya sebelum ini angin perubahan telah berlaku kepada rakyat sehingga BN kalah teruk dalam pilihan raya umum lalu, namun perkara yang sama turut berjangkit di kalangan Adun.

"Perkembangan ini amat membanggakan kita dan sewajarnya kita perlu bersyukur kepada Allah di atas kurniaan yang amat besar ini," ujarnya lagi.

Tuan Guru seterusnya berkata, dengan penyertaan itu juga, bererti warga wakil rakyat di kalangan Pakatan Rakyat turut bertambah dan ia akan menjadi benteng pertahanan yang semakin kuat khususnya di Perak.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua anggota dan penyokong Pakatan Rakyat sama-sama mengukuhkan perpaduan di samping menterjemahkan imej yang cukup baik pada masyarakat umum.

"Dengan imej yang baik, bersih selain perjuangan kita yang lebih pada kebajikan berbanding lawan, rakyat termasuk penyokong parti akan tertawan," ujarnya.

Tambahnya, tidak mustahil ada lagi dikalangan Adun BN akan menyertai Pakatan Rakyat sama ada menyertai PAS, KeAdilan atau DAP. - Harakahdaily

MIC Akan Pertahankan Dua Timbalan Menteri Jika Didakwa

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) - MIC akan mempertahankan dua timbalan menteri jika pihak berkuasa mendapati mereka melanggar undang-undang dalam kejadian sekumpulan orang menceroboh bilik mayat Hospital Serdang pada Selasa lepas.

"Kami akan melantik seramai peguam yang boleh bagi mempertahankan mereka jika mereka didakwa di mahkamah," kata Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar semalam bahawa Datuk K. Devamany dan Senator T. Murugiah, kedua-duanya timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, kemungkinan menghadapi tindakan jika mereka didapati melanggar undang-undang dalam kejadian pencerobohan di bilik mayat itu bagi memeriksa mayat suspek curi kereta A. Kugan yang mati semasa dalam tahanan polis.

Presiden MIC itu berkata adalah tidak penting kedua-dua timbalan menteri itu dari parti mana asalkan mereka berketurunan India "kerana MIC mewakili masyarakat India di Malaysia".

Sementara Devamany ialah anggota MIC, Murugiah pula dari Parti Progresif Penduduk (PPP).

Devamany merupakan antara sembilan orang yang disoal siasat oleh polis semalam berhubung kejadian itu. Juga dilaporkan 11 anggota polis yang sedang disiasat atas dakwaan mencederakan Kugan juga tidak akan terlepas daripada tindakan jika mereka didapati menyalahgunakan kuasa mereka.

Kugan, 22, yang ditahan pada 15 Jan di lokap balai polis Taipan di Subang Jaya kerana disyaki terlibat dalam kecurian kereta mewah di Sungai Chua, Kajang, mati semasa disoal siasat pada Selasa.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar sebelum ini berkata bedah siasat mendapati Kugan mati akibat paru-paru berair tetapi keluarga Kugan mendesak diadakan bedah siasat kedua kerana mendakwa kematian Kugan akibat kecederaan.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail kemudiannya mengklasifikasikan kematian Kugan sebagai kes bunuh.

Samy Vellu juga menggesa Syed Hamid memastikan siasatan polis terhadap kematian Kugan dijalankan dengan telus.

"MIC akan memantau kes ini tetapi kami yakin polis tidak akan menyembunyikan apa-apa dalam penyiasatan mereka," katanya.

-- BERNAMA

MIC Akan Pertahankan Dua Timbalan Menteri Jika Didakwa

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) - MIC akan mempertahankan dua timbalan menteri jika pihak berkuasa mendapati mereka melanggar undang-undang dalam kejadian sekumpulan orang menceroboh bilik mayat Hospital Serdang pada Selasa lepas.

"Kami akan melantik seramai peguam yang boleh bagi mempertahankan mereka jika mereka didakwa di mahkamah," kata Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar semalam bahawa Datuk K. Devamany dan Senator T. Murugiah, kedua-duanya timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, kemungkinan menghadapi tindakan jika mereka didapati melanggar undang-undang dalam kejadian pencerobohan di bilik mayat itu bagi memeriksa mayat suspek curi kereta A. Kugan yang mati semasa dalam tahanan polis.

Presiden MIC itu berkata adalah tidak penting kedua-dua timbalan menteri itu dari parti mana asalkan mereka berketurunan India "kerana MIC mewakili masyarakat India di Malaysia".

Sementara Devamany ialah anggota MIC, Murugiah pula dari Parti Progresif Penduduk (PPP).

Devamany merupakan antara sembilan orang yang disoal siasat oleh polis semalam berhubung kejadian itu. Juga dilaporkan 11 anggota polis yang sedang disiasat atas dakwaan mencederakan Kugan juga tidak akan terlepas daripada tindakan jika mereka didapati menyalahgunakan kuasa mereka.

Kugan, 22, yang ditahan pada 15 Jan di lokap balai polis Taipan di Subang Jaya kerana disyaki terlibat dalam kecurian kereta mewah di Sungai Chua, Kajang, mati semasa disoal siasat pada Selasa.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar sebelum ini berkata bedah siasat mendapati Kugan mati akibat paru-paru berair tetapi keluarga Kugan mendesak diadakan bedah siasat kedua kerana mendakwa kematian Kugan akibat kecederaan.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail kemudiannya mengklasifikasikan kematian Kugan sebagai kes bunuh.

Samy Vellu juga menggesa Syed Hamid memastikan siasatan polis terhadap kematian Kugan dijalankan dengan telus.

"MIC akan memantau kes ini tetapi kami yakin polis tidak akan menyembunyikan apa-apa dalam penyiasatan mereka," katanya.

-- BERNAMA

Najib nafi ada lagi wakil rakyat BN akan sertai pembangkang

KUALA LUMPUR 26 Jan. — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan bahawa ada lagi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang akan menyertai Pakatan Rakyat.

Beliau menyifatkan semua itu sebagai khabar angin sahaja.

“Semua itu khabar angin sahaja...saya tidak fikir (ada lagi yang akan berpaling tadah),” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkara itu berikutan tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Bota daripada BN Datuk Nasaruddin Hashim yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam.

Terdahulu Najib dengan diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor menyertai ribuan pengunjung menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA di Wisma MCA di sini hari ini.

Najib menyifatkan tindakan Nasaruddin sebagai satu perkara yang tidak diduga dan berharap Nasaruddin akan dapat berfikir semasak-masaknya berhubung tindakannya menyertai PKR.

Timbalan Presiden Umno itu berkata beliau difahamkan ada beberapa sebab mengapa Nasaruddin mengambil tindakan sedemikian, tetapi tidak menjelaskan sebab-sebab itu.

“(Tindakan Nasaruddin sertai PKR) satu perkara yang kita (BN) tak duga. Tapi saya berharap Adun Bota ini dapat berfikir semasak-masaknya langkah yang dia telah buat,” katanya.

Dalam kenyataan akhbar Nasaruddin yang diperoleh dari laman web Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nasaruddin berkata keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan kepentingan rakyat khususnya para penyokong dan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri kawasan Bota.

Pada pilihan raya umum 8 Mac lepas, Nasaruddin menewaskan calon PKR Kapt (B) Usaili Alias dengan majoriti 2,068 undi. Nasarudin memperoleh 6,556 undi.

Sementara itu, ketibaan Najib dan isteri di perkarangan Wisma MCA disambut oleh Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat dan pemimpin kanan parti, yang diserikan dengan persembahan tarian singa.

Majlis Rumah Terbuka yang diadakan di Dewan San Choon itu juga dimeriahkan dengan persembahan muzik dan pertunjukan akrobatik dari China.

Turut hadir pemimpin-pemimpin parti komponen BN, para diplomat asing serta pelancong asing.

- BERNAMA

ADUN Bota Sertai PKR - Video

TPM terkejut Nasaruddin sertai pembangkang

KUALA LUMPUR 26 Jan. - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau agak terkejut dengan keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam.

Beliau berkata, adalah tidak wajar Nasaruddin bertindak sedemikian kerana masalah peribadi dan tidak berpuas hati terhadap parti.

``Kita tidak patut tinggalkan Barisan Nasional (BN) ketika parti memerlukan sokongan kita sekarang,’’ katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Tahun Baru Cina Parti Gerakan di sini hari ini.

Beliau berharap Nasaruddin dapat berfikir dengan semasak-masak keputusan tersebut memandangkan BN dan UMNO telah banyak menabur jasa kepada negara dan rakyat.

* TPM perlu bersedia menerima banyak lagi kejutan. Lain kali bekerja untuk rakyat bukan kepentingan politik

MB Perak dakwa lagi ADUN BN mahu keluar parti

IPOH 26 Jan. - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini mendakwa tiga lagi Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional BN) dijangka menyertai Pakatan Rakyat.

Beliau berkata perbincangan dengan ketiga-tiga Adun terbabit sedang berlangsung dengan Pakatan Rakyat.

“Kita sedang berurusan. Perbincangan mengenainya sedang berjalan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran DAP Perak di sini hari ini. - Bernama

Keputusan Nasaruddin tidak jejas BN Perak

IPOH 26 Jan. - Keputusan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Bota, Datuk Nasaruddin Hashim meninggalkan Umno dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak menjejaskan kedudukan Barisan Nasional (BN), kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali.

Katanya keputusan Nasaruddin itu hanya membawa perubahan kepada jumlah kerusi di persidangan DUN.

Tajol Rosli, yang juga Pengerusi BN Perak, berkata BN di Perak masih kukuh dan berazam mahu merampas semula Perak daripada Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum akan datang. - Bernama

Kes Kugan: Keluarga 'lega' hasil awal bedah siasat kedua


PETALING JAYA: Keluarga suspek polis yang meninggal dunia ketika ditahan di lokap Balai Polis di Subang Jaya Selasa lalu, "gembira" dengan hasil awal bedah siasat kedua yang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) hari ini.

Keluarga dan pasukan peguam telah diberikan penjelasan oleh doktor yang membedah siasat mayat A. Kugan selama tujuh jam bermula pukul 2.30 petang tadi.

"Anggota keluarga, peguam dan saya gembira dengan hasil siasatan... kami okey, okey dengan penjelasan yang diberikan oleh pakar bedah siasat, Dr. Prasant," kata Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam ketika dihubungi lewat malam tadi.

"Setakat ini, saya hanya boleh mengatakan yang kami gembira dengan hasil bedah siasat awal ini," katanya lagi.

Tegasnya, beliau tidak boleh memberikan komen selanjutnya sehingga menunggu tindakan susulan yang akan diumumkan Rabu ini.

Anggota keluarga berkenaan diberikan penjelasan kira-kira 40 minit bermula pukul 10 malam tadi sebaik hasil bedah siasat berakhir.

Seramai lima anggota keluarga termasuk ibu bapa Kugan diberikan penjelasan oleh pakar bedah berkenaan. Turut hadir ialah tiga peguam keluarga itu, Gobind Singh, N. Surendran dan M. Manogaran.

Bagaimanapun Manikavasagam yang turut hadir dalam penjelasan itu memberitahu, pihaknya belum menerima laporan bertulis, yang dikeluarkan dalam waktu terdekat.

"Laporan bertulis akan diberikan dalam masa terdekat... ujian-ujian lanjut juga akan dijalankan ke atas sampel," katanya.

Katanya lagi, mayat Kugan akan diperoleh Rabu ini untuk upacara pengebumian.

"Untuk tindakan lanjut kami, saya berharap anda akan menunggu hingga Rabu ini," kata beliau lagi.

Terdahulu pada sidang media di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Gobind yang juga Ahli Parlimen Puchong berkata: "Pakar bedah telah menjelaskan beberapa penemuan kepada kami tetapi kami tidak akan membuat kenyataan lanjut mengenainya sehingga Rabu ini."

"Kami juga dimaklumkan bahawa beberapa sampel akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut," katanya.

Laporan Bernama awal pagi tadi menyebut, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator T Murugiah berkata permohonan keluarga mangsa supaya diadakan bedah siasat kedua, berjaya dilakukan setelah kes itu dimajukan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

"Semalam keluarga Kugan menghubungi saya dengan mengatakan mereka berhadapan dengan kesulitan dalam permohonan bedah siasat kedua. Lalu saya hubungi Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khalid Nordin untuk berbincang perkara ini.

"Kemudian saya hubungi TPM dan mendapat jaminan daripada beliau bahawa bedah siasat kali kedua akan dijalankan seperti kehendak keluarga Kugan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di PPUM.

Dalam pada itu, Murugiah ketika dihubungi berkata, beliau telah menunjukkan gambar yang diambil di bilik mayat kepada Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya petang tadi.

"Timbalan Perdana Menteri menjanjikan akan mengambil tindakan dalam isu ini," katanya. - Mstar