KUALA LUMPUR 29 Jan. - Ahli Parlimen Kapar hari ini membuat laporan polis terhadap Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berhubung kenyataannya bahawa dua timbalan menteri dan ahli keluarga A. Kugan menceroboh bilik mayat di Hospital Serdang pada 20 Januari lalu.
S. Manikavasagam yang hadir di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Brickfields di sini dengan ditemani peguam keluarga Kugan, N. Surendran membuat laporan tersebut pada pukul 2.20 petang ini.
Manikavasagam ketika ditemui berkata, kenyataan Khalid itu adalah tidak benar kerana kedua-dua Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk K. Devamany dan Senator T. Murugiah serta ahli keluarga Kugan memasuki bilik mayat tersebut dengan kebenaran.
Katanya, bersama laporan itu, pihaknya turut mengemukakan satu salinan rakaman cakera video digital (DVD) ketika kumpulan tersebut memasuki bilik mayat pada hari kejadian.
"Murugiah dan Devamany pula sampai di tempat kejadian beberapa jam selepas itu. Semua kebenaran ada dalam rakaman ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kugan yang merupakan suspek kumpulan samun dan curi kereta mewah direman pada 15 Januari lalu bagi membantu siasatan.
Dia bagaimanapun disahkan mati empat hari kemudian.
Pada 20 Januari lalu, keluarga Kugan yang tidak berpuas hati telah menyerbu bilik mayat Hospital Serdang termasuk Murugiah dan Devamany.
Sehubungan itu, polis telah mengambil keterangan daripada sekumpulan orang awam terbabit termasuk dua timbalan menteri kerana bertindak menceroboh bilik mayat hospital berkenaan. - Utusan
No comments:
Post a Comment