29 January 2009

Umno Perak yakin dua ADUN tidak lompat parti


PETALING JAYA: Setiausaha Umno Perak, Datuk Ramly Zahary mengesahkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang meluahkan kekecewaan terhadap Umno tidak akan lompat parti bagi menyertai pembangkang.

Beliau yang sudah berbincang dengan kedua-dua pemimpin itu yakin bahawa mereka akan terus kekal bersama Umno dan Barisan Nasional (BN) seperti yang diikrarkan kepada Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam pertemuan pada Isnin lalu.

"Saya yakin mereka akan terus kekal bersama kita (Umno)...mereka tak akan lompat parti.

"Mereka juga hadir dalam pertemuan dengan Datuk Seri Najib dan mereka juga berikrar akan taat setia untuk kekal dalam BN," katanya kepada mStar Online.

Akhbar hari ini melaporkan ADUN Lintang, Datuk Ahamad Pakeh Adam dan ADUN Pengkalan Baharu, Datuk Hamdi Abu Bakar melahirkan kekecewaan terhadap Umno dan memikirkan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya jika parti itu masih tidak berubah.

Ahamad dan Hamdi yang masing-masing merupakan Ketua Umno Bahagian Sungai Siput dan Beruas bagaimanapun gagal mempertahankan kedudukan mereka dalam pemilihan parti peringkat bahagian Oktober lalu.

Isu lompat parti di Perak mula timbul apabila ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim mengumumkan keluar daripada BN bagi menyertai Parti Keadilan rakyat (PKR) pada Ahad lalu.

Bagaimanapun Ramly berkata tindakan kedua-dua ADUN berkenaan yang menyuarakan perasaan mereka itu tidak bermaksud untuk meninggalkan parti.

"Mereka hanya suarakan perasaan mereka...itu tak salah," katanya.

Malah jelas Ramly kedua-dua pemimpin berkenaan juga sebenarnya terkejut dengan tindakan Nasaruddin menyertai parti pembangkang.

"Kalau ditanya pada mereka berdua, mereka juga terkejut dengan tindakan Datuk Nasaruddin kerana mereka tidak menjangkakan sampai begitu sekali.

"Mereka sebenarnya tak sangka datuk Nasaruddin sampai tahap lompat parti," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perkembangan Badan Perhubungan Umno negeri untuk mengadakan rundingan dengan Nasaruddin bagi memujuk beliau kembali menyertai Umno dan BN, Ramly berkata pihaknya masih belum dapat membuat sebarang rumusan.

"Kita masih berusaha dan akan terus usaha...kita tak dapat nak rumus apa-apa lagi," katanya. - Mstar

No comments:

Post a Comment