31 January 2009

Suspek kes bunuh dihantar ke Johor

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Polis telah menyerahkan suspek kes bunuh yang ditahan semasa menyertai perarakan pengkebumian A. Kugan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) semalam, kepada polis Johor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II Ku Chin Wah berkata, suspek dikehendaki untuk membantu siasatan satu kes bunuh di negeri berkenaan.

Ditanya sekiranya suspek mempunyai hubungan dengan Kugan yang merupakan suspek kes curi kereta mewah, beliau berkata, polis masih menyiasat.

"Buat masa ini polis tidak dapat mengesahkan sekiranya suspek mempunyai kaitan (Kugan). Siasatan akan dilakukan oleh polis Johor," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengesahkan penahanan enam lelaki termasuk seorang suspek yang dikehendaki kerana terlibat dalam kes bunuh semasa perarakan pengkebumian Kugan di PPUM.

Difahamkan, suspek terlibat dalam satu kes bunuh di Johor selain beberapa kes samun kereta.

Kugan yang merupakan suspek kumpulan samun dan curi kereta mewah direman pada 15 Januari lalu bagi membantu siasatan.

Dia bagaimanapun disahkan mati empat hari kemudian. - Utusan

No comments:

Post a Comment