30 January 2009

SPRM tetap pantau rasuah dalam Umno - Malaysiakini

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini perhebatkan gerakan menghapuskan rasuah, termasuk memantau politik wang dalam Umno menjelang pemilihan parti, Mac ini.

Pengarah Bahagian Risikannya Datuk Mohd Jamidan Abdullah berkata semua aspek yang boleh dikaitkan dengan rasuah akan tetap menjadi perhatian suruhanjaya itu, lapor Bernama.

"Kami mempunyai banyak ejen yang sentiasa memberi maklumat," katanya selepas majlis penyerahan tugas Pengarah SPRM Perlis oleh Pemangku Penolong Kanan Pesuruhjaya II P Ganeson kepada Pemangku Penolong Pesuruhjaya Yusof Shamsudin hari ini.

Diminta mengulas kemungkinan wujud politik wang menjelang pemilihan Umno itu, Mohd Jamidan berkata SPRM akan memastikan pihak yang terbabit dengan kegiatan rasuah disiasat seterusnya didakwa.

Tambahnya, setiap risikan sering membawa kejayaan besar dalam menangani kes penyelewengan dan rasuah yang merugikan negara.

"Kami telah mencapai banyak kejayaan besar tetapi perkara itu tidak dilaporkan dengan meluas," katanya.

Beliau menyebut kejayaan badan itu menumpaskan sindiket penyeludupan mercun bernilai lebih RM1 juta dan isu penyelewengan minyak bernilai jutaan ringgit setiap bulan oleh sebuah agensi kerajaan.

Menurut agensi berita itu lagi, Mohd Jamidan berkata kerajaan telah mewujudkan 105 perjawatan baru untuk ditempatkan di bahagian risikan dan ia akan membantu memperkuatkan kegiatan perisikan suruhanjaya itu.

Sepanjang tahun lepas, 256 maklumat berkaitan rasuah dan penyelewengan telah diterima termasuk berkaitan politik wang dan 138 fail siasatan telah dibuka.

Enam orang dihadapkan ke mahkamah yang terdiri daripada tiga penjawat awam dan tiga orang awam.

Angka itu meningkat berbanding 2007 apabila hanya 181 maklumat yang diterima dan 89 fail siasatan dibuka dengan hanya seorang sahaja yang didakwa di mahkamah.

Sepanjang Januari ini, SPRM telah mendakwa dua penjawat awam di mahkamah, katanya. - Malaysiakini

No comments:

Post a Comment