Bekas imam Masjid Wilayah Persekutuan - mendakwa diarah menjadi saksi sumpah laknat seorang pemuda yang menuduh diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim - dipecat daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Ramlang Porigi, yang ditukar serta-merta ke jabatan tersebut September lalu tidak lama selepas berucap dalam satu kempen politik ketika pilihanraya kecil Permatang Pauh, mendapat surat pemecatan itu minggu lalu.
Dalam surat bertarikh 20 Januari, ketua pengarah Jakim Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz menyatakan bekas imam muda itu didapati "bersalah dan dikenakan hukuman buang kerja".
Tindakan itu dipercayai dengan sebab Ramlang dianggap telah "mencemarkan nama perkhidmatan awam" setelah naik pentas politik dalam kempen Anwar pada 24 Ogos lalu.
Lembaga Tatatertib Kumpulan Sokongan (No 1) Jakim mengambil keputusan itu dalam satu mesyuaratnya pada 16 Januari lalu.
Ramlang dihadapkan dengan empat pertuduhan - tiga daripadanya kerana berucap di tiga tempat berasingan di kawasan parlimen tersebut pada hari berkenaan.
Peguam bekas imam itu Ahmad Nizam Hamid memberitahu Malaysiakini hari ini, pertuduhan keempat - mengadakan sidang media pada tengah hari 25 Ogos - bagaimanapun tidak benar.
Ramlang mengadakan sidang media bersama Naib Presiden PKR Mohamad Azmin Ali (foto atas) dan beberapa pemimpin pembangkang sejurus selepas tengah malam hari yang sama di pusat khidmat parti itu di Penanti.
Peguam itu menambah, tanpa memberikan sebarang alasan jelas, surat Jakim itu menyatakan "keterangan-keterangan sedia ada telah mencukupi" untuk memecat Ramlang.
Pada 15 Ogos lalu, Ramlang termasuk antara empat pegawai Masjid Wilayah Persekutuan yang menghadiri majlis sumpah Mohd Saiful Bukhari Azlan di masjid tersebut yang mendakwa diliwat oleh penasihat PKR itu dua bulan sebelumnya.
Ramlang kemudian muncul di tiga majlis ceramah anjuran Pakatan Rakyat - kira-kira 48 jam sebelum hari pengundian di Permatang Pauh - menjelaskan beliau telah diarahkan hadir di majlis sumpah itu.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan lebih lanjut pihak yang mengarahkannya berbuat demikian.
Menurut Wan Mohamad lagi, yang bertindak sebagai pengerusi Lembaga Tatatertib Kumpulan Sokongan (No 1) Jakim, tindakan terhadap Ramlang dibuat mengikut Peraturan 38(g) Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Jakim juga menolak permohonan Ramlang untuk menghadapi satu siasatan dalaman berhubung tindakan disiplin terhadapnya dalam jawapannya kepada surat tunjuk sebab Jakim pada November lepas.
Ahmad Nizam menjelaskan, Ramlang yang kini sedang berehat akan mengemukakan rayuan bertulis selewat-lewatnya minggu depan seperti menurut Peraturan 14 dan 15(1) peraturan yang sama.
Pada 7 Ogos tahun lepas, Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful di sebuah kondominium di ibu negara pada 26 Jun lalu. - Malaysiakini
* Kenakan imam jujur. Ada yang tidak kena dengan JAKIM.
Jakim ini Jabatan kemajuan islam apa...? Siapa yang menyuruh Ramlang Porigi menjadi saksi sumpah laknat seorang pemuda yang menuduh diliwat Datuk Seri Anuar Ibrahim...?
ReplyDeleteRakyat sudah beranggapan bahawa imam masjid yang dihormati telah bersubahat melakukan fitnah terhadap seseorang. Oleh kerana itu Ramlang tampil berucap dikhalayak ramai kerana nak membersihkan namanya.
Jika Jakim dipihak yang benar mengapa tak disuruh lelaki bodoh itu bersumpah di mahkamah...?
Apakah Jakim mengamalkan islam hadhari songsang..? Atau Jakim sememangnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang bacul...?
Nak tanya sikit. Jakim ni di bawah kerajaan atau agung/raja2? Saya cadangkan semua jabatan islam diletak dibawah Agung dan Raja2. Dengan demikian semua mufti2, imam2dan lain2 mesti dilantik atau dipersetujui oleh raja2 atau majlis raja2.
ReplyDelete