31 January 2009

Zahid: PKR hanya berangan tarik 2 lagi ADUN BN

TAIPING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya memasang angan-angan jika mengharapkan ada lagi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Perak yang akan menyertai parti itu mengikut jejak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penghijrahan sekumpulan anggota Umno di kawasan Bota untuk menyertai parti pembangkang itu juga hanya sesuatu yang bersifat sementara.

"Mereka (PKR) bercakap kedudukan semakin kukuh dan ada yang akan lompat lagi.. itu semua kenyataan politik tetapi tidak melihat kepada hakikat dan realiti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Mesra Rakyat anjuran Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Perak di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak berkata demikian semasa diminta mengulas pembubaran lapan cawangan Umno di Bahagian Parit ekoran penyertaan mereka ke dalam PKR.

Penyerahan borang keanggotaan menyertai PKR dilakukan oleh anggota-anggota dari lapan cawangan itu di Bota semalam pada program ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Nasarudin.

Ahmad Zahid berkata, kumpulan yang meninggalkan Umno itu adalah penyokong Nasarudin yang hanya mengikut tindakan beliau menyertai PKR.

"Ini semua bersifat sementara... penduduk di Bota dan Parit (kawasan Parlimen) sudah rasa dipimpin oleh pembangkang sebelum ini (pilihan raya umum 1999) dan tentunya mereka tidak mahu membayar harga yang mahal sekali lagi," katanya.

Sementara itu, bercakap pada satu majlis lain di Bagan Datoh sebelum itu, Ahmad Zahid berkata pelantikan beliau sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno negeri adalah amanah yang amat berat bagi membantu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi Perhubungan Umno negeri memantapkan kedudukan Umno dalam menghadapi cabaran semasa.

"Ini merupakan satu tanggungjawab yang memerlukan sokongan semua pihak. Umno Perak akan menyusun strategi bagi merampas semula kerajaan negeri pada pilihan raya akan datang," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, tindakan melompat parti bukan satu perkara baru dan ia dialami semua parti politik.

"Kita jaga parti masingmasing yang ada kelemahan dan kekurangan. PAS pun bukannya 100 peratus baik, ada juga masalah dalaman jadi tak perlu hendak memperlekeh kedudukan parti lain," katanya mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendakwa Umno sekarang sebagai pokok yang hampir mati.

"Ramai juga ahli dari parti pembangkang terutama Pas menyertai Umno yang mengamalkan dasar pintu terbuka yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik," katanya.BERNAMA

No comments:

Post a Comment