31 July 2011

Penjaga gol Harimau Malaya Khairul putus tunang

KUALA LUMPUR, 31 Julai — Kegagalan skuad Harimau Malaya meneruskan kemaraan pada kempen bola sepak kelayakan Piala Dunia merupakan satu tamparan hebat kepada penjaga gol negara Khairul Fahmi Che Mat walaupun beraksi cemerlang ketika mengikat Singapura 1-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis lalu.

Namun di sebalik kecemerlangannya di gawang gol, Khairul Fahmi yang lebih dikenali sebagai “Apek” rupa-rupanya memendam rasa berikutan badai yang melanda pertunangannya dengan Aimie Harmelia Mohd Hashumi atau Elia, 22.

Selepas dikaitkan dengan orang ketiga dalam hubungan dengan Elia, Khairul Fahmi, 22, nekad menceritakan perkara sebenar bagi menjelaskan kemelut yang melanda dirinya.

Mengikut laporan Metro Ahad, anak kelahiran Kelantan ini menjelaskan, fitnah yang dilemparkan kononnya dia mempunyai hubungan dengan wanita lain di laman web dan blog adalah tidak benar sama sekali.

Kata Khairul Fahmi, disebabkan fitnah itu hubungannya dengan Elia semakin renggang.

“Sebenarnya saya tampil membuat kenyataan ini kerana tidak mahu perkara membabitkan saya dan Elia berpanjangan, selepas berfikir panjang dan berbincang bersama keluarga saya perlu memberitahu peminat mengenai perkara sebenar.

“Saya tahu cerita mengenai saya bersama wanita lain tersebar luas dalam pelbagai laman web dan blog. Begitupun saya ingin menjelaskan semua itu tidak benar. Saya bukan kaki perempuan atau ‘playboy’. Semua itu adalah tuduhan yang tidak berasas,” katanya.

Khairul Fahmi telah memutuskan pertunangannya dengan Elia pada Khamis lalu.

“Kerana isu berkenaan hubungan saya dengan Elia semakin renggang. Malah sejak ia menjadi lebih teruk, Elia memberitahu saya dia mendengar cerita kononnya saya berjumpa seorang wanita lain di luar dan berpimpin tangan.

“Selain itu beberapa gambar wanita lain turut tersebar di Internet dan ia dikaitkan dengan saya. Dalam banyak-banyak gambar, hanya beberapa gambar yang saya kenal. Antaranya ialah Dahlia,” kata Khairul Fahmi.

Jelasnya, hubungan dengan Dahlia tidak lebih dari seorang kawan selain mengakui turut mengenali keluarga gadis itu.

“Namun Dahlia bukan kekasih saya seperti didakwa ramai pihak. Dia sekadar kawan dan kami juga tinggal sekampung (di Kelantan) malah saya juga rapat dengan keluarganya.

“Hubungan saya dengan Dahlia tidak lebih sebagai seorang abang dengan adik, lebih-lebih lagi dia masih berusia belasan tahun.

“Selain itu ada yang mengatakan wanita yang berdua-duaan dengan saya dalam gambar adalah Dahlia. Sebenarnya, gambar itu diambil ketika sesi temubual saya bersama wartawan dan wanita yang bergambar dengan saya adalah rakan kepada seorang wartawan. Jadi tidak timbul isu saya bergambar mesra dengan Dahlia atau wanita lain,” jelas Khairul Fahmi.

Menceritakan lebih lanjut mengenai hubungannya dengan Elia, Khairul Fahmi yang pernah menerima Anugerah Penjaga Gol Terbaik Bola Sepak Kebangsaan 100Plus-FAM 2010 berkata dia sebenarnya masih menyayangi bekas tunangnya itu.

Katanya, keputusan untuk memputuskan pertunangan dengan Elia adalah pilihan yang tepat untuk menyelesaikan semua masalah yang dikaitkan dengan dirinya.

“Terus terang, saya masih menyayanginya. Malah perkenalan yang dibina selama dua tahun membawa kami melalui pelbagai perkara bersama. Cuma bila keadaan bertambah kerus dan berpanjangan, saya perlu membuat keputusan muktamad.

“Kini selepas berfikir panjang dan berbincang dengan keluarga, saya mengambil keputusan yang saya rasakan sesuai bagi menjaga hati semua pihak iaitu memutuskan tali pertunangan kami. Saya yakin ini keputusan tepat dan saya sudah berbincang dengan Elia. Namun dia tidak pasti mahu menerimanya atau tidak,” katanya.

Tegas Khairul Fahmi, keputusan yang dibuat itu tiada kaitan dengan orang ketiga tapi dibuat atas dasar mahu menjaga hati semua pihak terutamanya keluarga Elia.

“Saya ingin tegaskan, keputusan ini tiada kaitan dengan orang ketiga. Saya tahu pasti akan ada cerita yang tidak enak apabila kenyataan ini dibaca oleh masyarakat. Suka atau tidak, saya perlu berdepan semua kritikan demi membela semua orang yang saya sayang.

“Lagipun masalah antara kami sudah lama berpanjangan. Cuma ia tidak diperbesarkan, lebih-lebih lagi ia cuma membabitkan kami berdua. Namun bila ia merebak dan melampaui batas saya perlu segera menyelesaikannya,” katanya.

Tambah Khairul Fahmi, dia akan memberikan fokus sepenuhnya kepada bola sepak selain berharap tiada lagi kontroversi tentang dirinya.

“Untuk setahun dua ini, saya bertekad mahu fokus sepenuhnya kepada bola sepak. Saya tidak mahu sebarang kontroversi merencatkan perjalanan kerjaya saya dan ia antara sebab kenapa saya buat keputusan,” katanya.

Pada perlawanan timbal balik menentang Singapura, skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal gagal bangkit menebuskan kekalahan pada perlawanan pertama yang menyaksikan Malaysia tewas dengan agreget 4-6. - TheMalaysianInsider

Pegawai Jakim: Wahabi dan Syiah sumber ancaman utama, perlu dibendung

KUALA LUMPUR, 31 Julai — Seorang pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata Wahabi dan Syiah merupakan ancaman utama kepada keselamatan negara dan pihak berkuasa perlu memberi perhatian secara menyeluruh untuk membendung kedua-dua fahaman itu agar tidak membawa kepada pemikiran radikal.

“Ancaman pemikiran terbesar di negara kita sekarang ialah Wahabi dan Syiah... pemikiran yang ekstrem... (kerajaan) perlu bendung bagi mengharmonikan amalan fahaman Sunah Waljamaah di Malaysia,” kata Zamihan Mat Zin, yang kini merupakan Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras di Institut Latihan Islam Malaysia, agensi di bawah penyeliaan Jakim.

Zamihan, yang menjadi perhatian di sebalik polemik fahaman Wahabi sejak tahun lalu berkata, “jika tidak dibanteras, ia berpotensi untuk mengganggu-gugat sistem etika pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia.”

Zamihan berkata mengikut kajiannya fahaman Wahabi dan Syiah masing-masing mempunyai pengikut sekitar sejuta orang.

Dalam satu pertemuan di pejabatnya di Bandar Baru Bangi baru-baru ini, Zamihan memberitahu The Malaysian Insider, jika dibiarkan ia akan “menyuburkan gejala ekstremisme agama sebagaimana berlaku di Pakistan, Afghanistan, Iraq, Indonesia dan Chechnya.”

Sambil menarik perhatian kepada tindakan sesetengah pihak melakukan perkara itu dengan sokongan pihak luaran, beliau menambah, ada pendakwah yang menerima bantuan kewangan dalam bentuk elaun daripada menerusi kedutaan asing di sini untuk mengadakan aktiviti yang boleh menyuntik fahaman.

“Ada pendakwah menerima elaun bulanan, dalam jumlah besar... memang ada bukti. Memang pihak berkenaan akan menafikan, kalau saudara tanya mereka mesti menafikan, tetapi kami ada bukti,” kata beliau lagi.

Dalam ulasan sebelum ini, Zamihan mempertahankan tindakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sambil menegaskan, isu amalan Wahabi menjadi semakin serius.

Zamihan juga mendakwa sebelum ini bahawa amalan fahaman Wahabi berleluasa dengan mendapat perlindungan dan campur tangan ahli-ahli politik, malah menular ke agensi-agensi agama di peringkat nasional dan negeri.

MKN telah mengadakan mesyuarat khas Isnin lalu bagi membincangkan perkara tersebut. Difahamkan mesyuarat merumuskan pihak-pihak dipercayai ada kaitan dengan amalan Wahabi akan berakhir dengan pembabitan dalam terorisme.

Mesyuarat itu susulan kepada pertemuan tahun lalu yang membincangkan isu berkenaan amaln Wahabi di peringkat pusat pengajian tinggi dan di Bukit Aman.

Ia telah menyenaraikan beberapa nama pemimpin yang popular negara ini termasuk tokoh-tokoh ulama muda yang menyertai Umno tahun lalu.

Mereka ialah bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya dan sekumpulan 40 ulama muda yang menyertai Umno termasuk Fathul Bari Mat Jahya.

Zamihan menjadi perhatian ekoran pendedahan media tahun lalu susulan satu sesi taklimat yang mengaitkan beberapa tokoh agama dan politik iaitu Asri, Juanda, bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempunyai kaitang dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Bagaimanapun dalam penjelasan kepada The Malaysian Insider ketika itu, Zamihan menafikan dakwaan bahawa beliau pernah mengaitkan Presiden PAS, bekas menteri besar Perlis dan mufti Perlis dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Berdasarkan laporan The Malaysian Insider semalam, Juanda Jaya melahirkan rasa lega kerana Putrajaya tampil dengan penjelasan mengenai isu Wahabi termasuk penegasan bahawa Arab Saudi tidak mempelopori keganasan dan ajaran sesat di negara .ini menerusi fahaman itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kerajaan tidak pernah menganggap negara di rantau Asia Barat termasuk Arab Saudi sebagai negara yang mempelopori keganasan dan ajaran sesat.

Sebaliknya kata Jamil Khir, kerajaan sentiasa menjaga hubungan baik dengan negara di rantau itu kerana tiada bukti yang boleh mengaitkan mana-mana negara dengan aktiviti keganasan.

“Bagi pihak kerajaan, kita sentiasa menjaga hubungan yang terjalin antara negara luar termasuk Arab Saudi, Jordan, Iraq dan sebagainya.

“Selain itu, kita ambil pendekatan berhati-hati agar unsur-unsur keganasan tidak cuba dibawa masuk ke negara ini kerana ia akan membawa perpecahan,” kata beliau.

Jamil Khir berkata secara umumnnya keganasan pada waktu ini bukan atas nama kumpulan atau negara tetapi ia kadang-kadang datang daripada individu-individu tertentu.

Pertemuan dengan Zamihan berlangsung sehari sebelum kenyataan rasmi Jamil Khir itu.

Ditanya mengenai dakwaan berkaitan amalan Wahabi dengan hubungan diplomatik, Zamihan berkata, ini bukan soal hubungan dua hala akan terjejas ataupun sebaliknya.

Tetapi kata beliau, ia berkaitan dengan soal membantu menjaga keselamatan dan kepentingan bersama.

“Kalau anda datang ke sini, anda kena jaga sensitiviti kami. Begitu juga apabila kami pergi ke negara anda, kami kena menjaga sensitiviti dengan tidak membawa fahaman kami.

“Saya pasti mana-mana negara pun akan mengambil tindakan atau menghalau keluar jika rakyat negara lain membawa fahaman yang boleh mengancam keselamatan negara dikunjungi,” kata beliau.

“Misalnya jika rakyat Iraq datang ke Malaysia dan membawa dadah, dan jika kita tangkap... adakah ia akan menjejaskan hubungan dua hala, hubungan diplomatik. Saya rasa tidak, jadi begitu juga dalam soal fahaman agama ini. Jangan bawa fahaman yang boleh mengancam keselamatan negara,” katanya lagi sambil menambah, “ini bukan tuduhan, tetapi hakikat yang berlaku.”

“Mana-mana negara pun kena penyakit ini,” kata Zamihan yang turut berkata beliau telah membangkitkan isu ini sejak tahun 2006. - TMI

* Baru bertemu buku dengan ruas...

Pelukis logo 'ADIL' Syed Ahmad meninggal dunia

Seniman Negara 1995, Datuk Syed Ahmad Syed Jamal meninggal dunia di kediamannya di Gombak di Kuala Lumpur, kira-kira 10 malam semalam.

Allahyarham berusia 82 tahun dan meninggalkan balu Datin Hamidah Mohd Noor dan dua anak lelaki.

Menurut Bernama, jenazah akan dikebumikan sebelum Zohor hari ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pusu, Gombak.

Syed Ahmad yang berasal dari Muar, Johor mendapat pendidikannya di Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Baharu sebelum melanjutkan pengajian di Birmingham School of Architecture pada 1950 hingga 1951 dan Chelsea School of Art, London pada 1951 hingga 1955.

Beliau dianugerahkan Hadiah Seni Negara pada 1995, dan pelbagai hadiah lain sepanjang penglibatannya dalam seni visual.

Allayarham sangat dikenali dengan keberaniannya merakamkan peristiwa-peristiwa kemanusiaan termasuk politik negara dan dunia.

Beliau menerima pelbagai tanggapan berikutan lukisannya yang menyentuh kemerdekaan, pembangunan negara dan politik di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, perjuangan Palestin, peristiwa politik 1998 dan tsunami pada 2004.

Beliau enggan menyertai mana-mana parti politik tetapi tidak mengelak daripada menyuarakan pandangan dan mengambil pendirian terhadap isu-isu kritikal.

Syed Ahmad ialah pelukis logo gerakan bukan kerajaan ADIL, atau Pergerakan Keadilan Sosial yang ditubuhkan sebagai respons tindakan-tindakan yang dikenakan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas timbalan perdana menteri dan pemimpin Umno.

Tindakan itu menyaksikan penyokong tegar Umno yang tidak berpuas hati dan menuntut gelaran Seniman Negara yang dianugerahkan kepadanya ditarik balik.

Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Pusat Kebudayaan, Universiti Malaya dari tahun 1979 hingga 1982 serta pensyarah di Malayan Teachers Training College, Kirkby, England dari 1958-1959.

Beliau antara tokoh yang memainkan peranan penting dalam perkembangan Balai Seni Lukis Negara dan memegang jawatan Pengarah Balai Seni Lukis Negara dari 1983 hingga 1991.

Syed Ahmad merupakan seorang pelukis yang berbakat besar dan telah menghasilkan karya seni yang penuh penghayatan untuk tatapan para pencinta seni. - Malaysiakini

30 July 2011

Wahabi: Mufti Perlis lega penjelasan tapi mahu Putrajaya terus siasat

KUALA LUMPUR, 30 Julai — Mufti Perlis Dr Juanda Jaya hari ini melahirkan rasa lega kerana Putrajaya tampil dengan penjelasan mengenai isu Wahabi termasuk penegasan bahawa Arab Saudi tidak mempelopori keganasan dan ajaran sesat di negara .ini menerusi fahaman itu.

Juanda (gambar), salah seorang personaliti yang dilaporkan disenaraikan sebagai pihak yang perlu dipantau berkata, beliau berharap isu yang muncul semula sejak seminggu lalu dapat diselesaikan.

“Saya gembira dengan penjelasan Datuk Seri Jamil Khir, yang saya berharap dapat memperjelaskan kedudukan sebenar mengenai ajaran sesat dan keganasan yang dikaitkan dengan kerajaan Arab Saudi,” kata beliau kepada The Malaysian Insider hari ini.

Sehubungan itu kata Juanda, beliau berharap kerajaan akan menyiasat pihak-pihak yang cuba untuk mencetuskan perbalahan antara Malaysia dengan beberapa negara terutama Arab Saudi sehingga menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam negara ini.

“Kita bimbang dengan keadaan, kita berharap kerajaan akan menyiasat mengenai pihak yang hendak mencetuskan perbalahan,” kata beliau lagi.

Selain Juanda, turut disenaraikan ialah bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan sekumpulan ulama muda yang menyertai Umno tahun lalu.

The Malaysian Insider membawa laporan tengah hari tadi, memetika bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim berkata Putrajaya telah memaklumkan satu mesyuarat penting bahawa sememangnya tidak wujud ancaman keselamatan didakwa dibawa oleh Wahabi.

Nama Shahidan pernah dikaitkan dengan amalan Wahabi di negara ini tahun lalu.

Shahidan berkata, berdasarkan pada maklumat yang beliau peroleh, Jamil Khir ada memaklumkan bahawa “tiada perkara sedemikian” di negara ini.

Bagaimanapun Shahidan enggan menyebut bila dan lokasi menteri itu menyatakan pendirian tersebut.

“Mengikut keterangan Datuk Seri Jamil Khir, beliau cuma tidak mahu menyatakan perkara ini secara terbuka setakat ini, tetapi menjelaskan bahawa tiada perkara sedemikian.

“Menurut beliau, pendapat mengatakan Wahabi menjadi ancaman dan menjurus ke arah aktiviti pengganas... ini adalah pendapat individu sahaja, ia telah dibuat di tempat yang tidak sepatutnya dibuat iaitu MKN (Majlis Keselamatan Negara),” kata Shahidan.

Satu lagi sumber memberitahu The Malaysian Insider bahawa pasukan keselamatan memutuskan amalan Wahabi memang wujud di negara ini, tetapi dakwaan bahawa ia menjadi ancaman ke atas keselamatan negara bukan sesuatu yang membimbangkan buat masa sekarang.

“Memang ada amalan Wahabi, tetapi ia bukan di peringkat yang amat membimbangkan,” kata sumber itu yang tidak mahu identitinya didedahkan.

Malah katanya, maklumat yang digunakan dalam pembincangan Isnin lalu adalah berdasarkan pada perkembangan setakat Februari lalu.

Isu mengenai amalan Wahabi pernah muncul di media massa April lalu dengan memfokus kepada kerajaan negeri Perlis.

Bagaimanapun sumber itu mengakui tindakan mengaitkan isu itu dengan Arab Saudi ada membawa kesan ke atas hubungan kedua-dua negara. - TMI

Ibu: ‘Aleesha’ tak sempat pakai baju kurung Pahang baru

KUALA TERENGGANU, 30 Julai — Ibu Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz atau lebih mesra dipanggil “Aleesha”, yang meninggal dunia awal pagi ini terkilan anaknya itu tidak sempat mencuba baju kurung baru yang ditempah untuk dipakai pada sambutan Aidilfitri nanti.

“Arwah tempah baju kurung itu dengan sepupunya dan minta sepupunya menjahit baju kurung Pahang dalam masa satu hari, dan baju itu sempat disiapkan dalam masa ditetapkan.

“Namun, dia tidak sempat untuk melakukan perincian labuci di baju tersebut dan memakai baju kurung warna merah hati itu,” katanya yang hanya ingin dikenali sebagai Yah, 51, ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Mohd Ashraf Hafiz, 26, meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, 5 pagi tadi.

Allahyarham yang mengalami kemurungan dikejarkan anggota keluarga ke hospital pada 3 pagi kelmarin setelah mengalami muntah teruk. Dia disahkan mengalami masalah serangan jantung yang tidak stabil atau “unstable angina with cardiogenic shock” dan tekanan darah rendah.

Mohd Ashraf Hafiz yang berasal dari Seberang Takir, di sini, menimbulkan kontroversi apabila mengemukakan permohonan untuk menukar nama di dalam MyKad kepada Aleesha Farhana Abdul Aziz setelah beliau melakukan pembedahan menukar jantina di Thailand dua tahun lalu.

Permohonan itu dibuat bagi memudahkannya diterima masuk ke universiti tempatan untuk menyambung pelajaran dan kesukarannya menjalani kehidupan sebagai seorang wanita.

Bagaimanapun, pada 18 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menolak permohonan itu setelah mengambil kira tiga faktor iaitu kromosom, kewujudan alat kelamin semasa pemohon dilahirkan dan kewujudan organ dalaman.

Menurut ibunya lagi, sebelum meninggal arwah anaknya selalu menyebut perkataan “tidak sempat”.

“Arwah selalu menyebut perkataan tidak sempat nak berjumpa ahli keluarga, tak sempat nak raya, tidak sempat nak perbaharui lesen memandu dan tidak sempat memakai baju kurung yang baru ditempahnya,” katanya dipetik Bernama Online hari ini.

Sementara itu ayah Mohd Ashraf Hafiz, Abdul Aziz Ahmad, 60, berkata dia reda dengan pemergian anak ketiganya itu dan menganggap mungkin itu yang terbaik untuk Allahyarham.

“Dia seorang anak yang baik, manja dan rapat dengan semua ahli keluarga. Semasa menghembuskan nafas terakhir, saya, ibunya dan dua adiknya ada di sisi,” katanya.

Katanya bedah siasat di hospital itu mengambil masa kira-kira sejam setengah.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seberang Takir 4.30 petang tadi dengan dihadiri sanak saudara dan rakan-rakannya.

Sebelum itu, solat jenazah diadakan di surau hospital HSNZ dan sekali lagi di Surau Haji Wan Muda, Seberang Takir. - TMI

Jais tahan ‘Tok Belagak’, 11 pengikut

SHAH ALAM, 30 Julai — Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hari ini menyerbu sebuah premis di Kota Kemuning di sini, yang dipercayai menganjurkan kursus berkaitan agama Islam tanpa tauliah.

Dalam serbuan 12.15 tengah hari itu Jais menahan seorang lelaki dikenali “Tok Belagak”, 46, isterinya dan 11 pengikut.

Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jais Zaaba Zakaria berkata kesemuan mereka dibawa ke pejabat Jais untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan lisan.

Laporan Bernama Online menyebut, ketika serbuan, kira-kira 50 orang ada di premis dan Tok Belagak sedang menganjurkan kursus asas rawatan Islam Darul Saka yang disertai 36 peserta.

Beliau berkata semua peserta kursus itu telah diarah hadir ke pejabat Jais untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) iaitu mengajar agama Islam atau perkara tentang agama Islam tanpa tauliah.

Katanya serbuan itu dibuat hasil aduan orang ramai mengenai kegiatan ceramah di kawasan tersebut.

Tok Belagak dipercayai mengajar kaedah perubatan Islam untuk merawat pesakit saka, sihir dan juga penyakit dalaman menggunakan ayat al-Quran, katanya.

Zaaba berkata kegiatan itu dipercayai telah dijalankan sejak dua tahun lepas yang mana setiap peserta dikenakan bayaran RM250 sehari.

Katanya Jais juga akan menyiasat sama ada kegiatan itu ada kaitan dengan ajaran sesat. - TMI

Bersih 2.0: Dua naib presiden PAS saman polis, KDN minggu depan

KUALA LUMPUR, 30 Julai — Dua naib presiden PAS Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar masing-masing telah mengambil keputusan untuk menyaman polis, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan pusat berhubung tindakan menahan mereka 9 Julai lalu dan ia akan difailkan minggu depan.

Tindakan saman tersebut akan diuruskan menerusi syarikat peguam Faiz Fadzil & Co dan akan dikendalikan bersama peguam Zulhazmi Sharif, lapor HarakahDaily hari ini.

Zulhazmi menjelaskan, tindakan saman akan difailkan minggu depan.

Selain Salahuddin (gambar) dan Mahfuz, jelasnya, tindakan saman ke atas ketiga-tiga pihak berkenaan berhubung penahanan pada 9 Julai juga akan dilakukan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

Salahuddin berkata, tindakan tersebut diambil memandangkan penahanan mereka ketika perhimpunan Bersih 2.0 adalah tidak sah.

Katanya, penahanan yang dilakukan oleh pihak polis terhadap beliau dan Mahfuz itu adalah di luar kawasan yang diwartakan sebagai kawasan larangan untuk dimasuki oleh mereka.

“Saya dan Datuk Mahfuz ditangkap oleh pihak polis pada pukul 11.50 pagi 9 Julai di sekitar KL Sentral. Kemudian saya ditahan di lokap polis di Balai Polis Jinjang dan dibebaskan pada pukul 9.30 malam 9 Julai.

“Sepanjang berada dalam tahanan, pihak polis pun tak ambil apa-apa keterangan daripada kami. Kami juga tak diberitahu sebab-sebab penahanan kami itu,” kata wakil rakyat ini.

“Tindakan pihak polis terhadap kami itu adalah tindakan yang tidak wajar dan ia ternyata satu penahanan yang tidak sah sebab itulah saya mahu mengambil tindakan sivil terhadap pihak polis, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan BN,” katanya.

Ekoran tindakan di luar undang-undang yang dilakukan oleh pihak polis ke atas beliau dan Mahfuz itu, beliau telah membuat laporan polis pada 11 Julai lalu.

Sepanjang ditahan, beliau tidak dibenarkan menghubungi dan bertemu peguam dan keluarganya dan ini adalah bertentangan dengan Seksyen 28A (2) Kanun Prosedur Jenayah. - TMI

Ketua pemberontak kena tembak, dibakar

Gaddafi disyaki dalang pembunuhan Abdel Fattah Younes

BENGHAZI/NALUT: Ketua pemberontak tentera Libya ditembak mati dalam kejadian yang disyaki berpunca daripada pertelagahan dalam pergerakan menyingkirkan Muammar Gaddafi atau dibunuh oleh penyokong Gaddafi. Pembunuhan Abdel Fattah Younes yang dianggap misteri menjejaskan pergerakan anti Gaddafi ketika mereka semakin kukuh selepas diiktiraf negara Barat sebagai pemerintah baru Libya.

Fattah juga bertahun-tahun dekat dengan pentadbiran Gaddafi sebelum berpaling tadah bagi menjadi ketua tentera Majlis Pentadbiran Kebangsaan (TNC).

Penyokong yang berkabung kematiannya membawa mayat Fattah penuh dengan kesan tembakan dan dibakar ke medan utama di Benghazi, kubu kuat pemberontak di timur Libya.

“Kami bawa mayatnya ke sini semalam. Dia ditembak kemudian dibakar. Dia menelefon kami pada 10 pagi (Khamis) dan memberitahu dia dalam perjalanan ke sini,” kata anak saudara Fattah, Abdul Hakim.

Fakta pembunuhan Fattah juga masih kabur selepas dia diminta ke Benghazi ketika berada di medan tempur di bandar Brega.
“Pembunuhan ini nampaknya satu operasi anjuran penyokong Gaddafi. Anggota keselamatan Gaddafi memenuhi misi mereka untuk membunuh Fattah,” dakwa wartawan Libya dan aktivis berpejabat di London, Shamis Ashour.

“Mereka harap dapat cetuskan perbalahan di kalangan pemberontak. Nampaknya ada tali barut (Gaddafi) di kalangan pemberontak.

“Fattah berada di medan perang dan dipujuk kembali ke Benghazi dan dibunuh sebelum tiba di sana. Ini satu tamparan hebat kepada pemberontak,” katanya lagi.

Pembunuhan itu berlaku ketika pemberontak mula menyerang kawasan sebelah barat dan menerima lebih banyak daripada masyarakat antarabangsa yang diharapkan membolehkan mereka menerima aset berbilion dolar Libya yang dibekukan di negara asing.

Selepas khabar angin bertiup kencang, pemimpin politik pemberontak, Mustafa Abdel Jalil memberitahu Fattah dan dua pengawal peribadinya dibunuh sebelum menghadiri sesi soal siasat dengan jawatankuasa kehakiman pemberontak mengenai isu ketenteraan.

Tidak jelas di mana pembunuhan itu berlaku. Fattah tidak dipercayai ramai pemimpin kanan pemberontak kerana rekodnya sebelum ini menindas penentang Gaddafi.

Tetapi, kematiannya dianggap memberi tamparan hebat kepada mereka kerana 30 negara sudah memberi pengiktirafan kepada mereka ketika kemajuan di medan perang agak perlahan.

“Ramai ahli TNC adalah penyokong Gaddafi sejak lama dulu. Mereka adalah penasihat dan menyertai TNC selepas pemberontakan meletus beberapa lama,” kata Geoff Porter, perunding agensi North Africa Risk Consulting. – Reuters

Kenapa Najib takut sangat guna dakwat celup

KUALA LUMPUR, 29 Julai: “Sebenarnya, kenapa kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak takut hendak menggunakan celup dakwat?” tanya AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Katanya, hanya orang salah sahaja yang takut menggunakan celup dakwat yang terbukti ekonomik dan telus untuk mengatasi penipuan.

“Perlu diingatkan kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib dan SPR, zaman hendak menipu rakyat sudah berlalu,” katanya.

Baginya, Najib cuba hendak mengalih isu konon pembangkang akan tolak apa sahaja yang kerajaan buat.

Tambahnya, ini dengan andaian jika kerajaan perkenal celup jari maka pembangkang akan tuntut biometrik.

Ini, ujarnya satu tuduhan yang liar dan cuba mengalih isu yang sebenar kerana penipuan perjalanan pilihan raya semakin terserlah.

Beliau beberapa keraguan penggunaan biometrik, antaranya penggunaan biometrik bukan boleh menyelesaikan masalah pengundian dua kali, ia hanya hendak mengesahkan kad itu palsu atau tidak.

Ini, tegasnya bukan isu dan tuntutan Bersih.

“Apakah data di Jabatan Pendaftaran Negara dan SPR telah dibersihkan? Berapa ribu orang yang sudah mati masih ada di dalam daftar pemilih?” soalnya.

Apabila ditanya kepada SPR, katanya mereka menjawab kerana waris tidak memberi surat mati menyebabkan nama di dalam daftar masih ada.

Jika zaman kecanggihan IT, SPR gagal untuk online dengan Jabatan Pendaftaran Negara, tanya beliau apa yang hendak diharapkan senarai pemilih yang bersih.

Beliau juga mempersoalkan apa jaminan sistem biometrik yang boleh dionline serentak dengan Jabatan Pendaftaran Negara pada hari pilihan raya.

“Adakah kemampuan, pengkalan data dapat berfungsi dengan baik?” tanya beliau lagi.

Katanya, cuba bayangkan sekarang guru-guru Kementerian Pelajaran Malaysia yang sibuk untuk isi markah secara online mengalami masalah kerana kelembapan server kementerian sedangkan bilangan guru lebih 500 ribu sahaja.

Justeru, ujarnya cuba bayangkan bagaimana fungsi biometrik untuk hendak menampung keperluan pada hari pilihan raya yang hampir 10 juta pengundi.

Beliau menambah, ada setengah jari tidak boleh dikesan melalui alat tersebut.

Soalnya, apakah itu bukan satu penganiayaan kepada rakyat yang berhak untuk mengundi.

Menurutnya, mereka akan dinafikan hak kerana alat tersebut tidak boleh diakses di jari mereka.

“Apakah mampu biometrik digunakan di kawasan pedalaman terutama Sabah dan Sarawak yang masih tidak ada kelengkapan elektrik?” tanya beliau lagi. - Harakahdaily

Mohd. Ashraf murung teruk, muntah-muntah

KUALA TERENGGANU - Lelaki yang tidak berjaya untuk bergelar seorang wanita dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini baru-baru ini kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dipercayai akibat mengalami kemurungan ekoran kegagalannya itu.

Mohd. Ashraf Hafiz Abdul Aziz , 25, dikatakan mengalami masalah tersebut ekoran tertekan sejak Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa menolak permohonan menukar nama kepada Aleesha Farhana Abd. Aziz pada 18 Julai lalu.

Kemuncaknya kira-kira pukul 3 pagi semalam, dia terpaksa dikejarkan ke HSNZ selepas mengalami muntah-muntah yang teruk.

Difahamkan, sehingga lewat petang semalam, dia masih menerima rawatan di ICU ke-rana tekanan darahnya terlalu rendah iaitu 80/40 namun Mohd. Ashraf masih sedar dan mampu bercakap dengan ahli keluarganya.

Bapa lelaki itu, Abdul Aziz Ahmad, 60, ketika ditemui di Unit Rawatan Rapi HSNZ bagaimanapun meminta wartawan supaya tidak menemui anaknya itu kerana keadaannya masih dipantau rapi oleh doktor. - Kosmo

BERSIH 2.0: Saya tak sembunyi, kata Shuhardi

Shuhardi Md Isa, lelaki yang didakwa berlakon sebagai Allahyarham Baharudin Ahmad yang meninggal dunia dalam perhimpunan BERSIH 2.0 di ibu negara pada 9 Julai lalu, hari ini menafikan dirinya bersembunyi, melarikan diri dan enggan bekerjasama dengan polis.

Shuhardi yang ditemui pada satu sidang akhbar di Kuala Lumpur, sebaliknya berkata beliau tidak pernah menerima sebarang surat rasmi memintanya menghadirkan diri bagi membantu siasatan dari mana-mana balai polis.

"Bukankah polis lebih profesional dan tahu segala prosuder jika mahu seseorang itu memberi keterangan berhubung apa-apa kes? Saya tidak bersembunyi, datanglah ke rumah saya dengan tertib. Saya akan bekerjasama dengan mereka (polis)," katanya.

Shuhardi yang juga Setiausaha Agung Persatuan Usahawan Konsultan dan Pengarah Islam Malaysia (Uruskop) menjelaskan, beliau terpaksa tampil memberi penjelasan berhubung kekeliruan kematian Allahyarham Baharudin kerana ia jelas
menjatuhkan maruah dirinya.

"Saya masih hidup... yang meninggal Allahyarham Baharudin. Saya ingat perkara ini dah selesai dan saya tidak perlu tampil beri keterangan kerana ada blogger-blogger yang mengeluarkan gambar saya dengan mengatakan saya adalah Allahyarham Baharudin, telah meminta maaf kepada saya.

Kekeliruan

"Tapi semalam bila saya lihat komen Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar yang berkata saya dipercayai menyembunyikan diri, saya terpaksa mendedahkan perkara ini," katanya.

Beliau berkata polis sepatutnya menyiasat mereka yang mengeluarkan kenyataan mengelirukan mengenai dirinya daripada menumpukan siasatan ke atas dirnya sendiri.

"Saya yakin pihak polis mampu membuat siasatan berdasarkan maklumat dalam internet tanpa perlu melibatkan saya. Malah saya rasa polis sepatutnya siasat mereka yang keluarkan kenyataan keliru mengenai mereka. Saya rasa sepatutnya saya yang menyaman mereka (blogger) yang salah dengan mengaitkan nama saya itu," katanya.

"Tetapi kerana kenyataan maaf dan pembetulan fakta yang dibuat seawal 10 Julai, maka saya menganggap perkara ini tidak perlu diperpanjangkan, malangnya kira-kira seminggu selepas peristiwa Bersih itu, pihak polis dan media masih mengaitkan nama saya," katanya.

Beliau berkata kekeliruan tersebut terlebih dahulu telah dijelaskan oleh anaknya menerusi "facebook" dengan menjelaskan bahawa gambar yang disiarkan bukanlah gambar Shuhardi yang pengsan dalam perhimpunan tersebut.

Bapa kepada dua isteri dan 10 anak ini mendakwa tidak berkomplot dengan mana-mana pihak tertentu untuk berlakon dalam apa jua "aksi" kematian serta tidak mengenali Allahyarham Baharudin (kanan) sendiri.

"Saya juga tidak kenal dengan mana-mana wartawan atau jurugambar yang datang buat liputan.Saya bukanlah "desperate" untuk dapatkan sogokan yang tidak bermaruah kerana Alhamdulillah saya hidup mewah," katanya.

Suhardi berkata beliau bersedia memberikan kerjasama dengan pihak polis. - Bernama

Jeyakumar bimbang diperangkap polis

Beberapa jam selepas dibebaskan daripada tahanan mengikut Ordinan Darurat semalam, ahli parlimen Sungai Siput Dr D Jeyakumar berkata beliau khuatir polis akan memerangkapnya dan rakan-rakan lain supaya dapat menahan mereka secara berterusan.

"Apabila kita beri kenyataan kepada polis, mereka tanya kami mengenai lawatan luar negara kami. Saya pernah ke Senegal (untuk) Forum Sosial Dunia, ke Australia (untuk) Perikatan Sosialis Dunia dan M Saraswathy pula pernah ke Vietnam.

"I bimbang mereka akan kaitkan - Parti Komunis Vietnam, Parti Komunis Senegal, saya fikir mereka berusaha ke arah itu untuk memerangkap kami.

"Saya amat takut mereka akan menggunakan alasan itu bagi menggerunkan rakyat Malaysia, (bagi berkata) oh ada plot komunis dalam Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan nasib baik kita sudah berjaya tangkap orang-orang ini,” katanya.

Jeyakumar yang diiringi bapanya, Dr T Devaraj bercakap kepada Malaysiakini malam semalam selepas menghadiri majlis menyambut pembebasannya dan lima yang lain di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH).

Menurut Jeyakumar, meskipun secara fizikal, beliau dilayan dengan baik, namun kurungan berseorangan menimbulkan ketakutan di dalam dirinya tetapi beliau bertekad untuk bertahan.

"Saya amat takut mereka akan mencipta cerita (seperti cuba lancarkan peperangan ke atas Yang di-Pertuan Agong) dan gunakan alasan itu untuk menangkap orang lain atau membatalkan pendaftaran parti. Saya juga bimbang mereka akan tahan saya untuk dua tahun, saya cukup tertekan kerana tidak ada hubungan dengan dunia luar...

"Pada sebelah petang, saya buat senaman ringan (di dalam sel) dan apabila berjumpa IO (pegawai penyiasat), saya akan memikirkan soalan (di minda saya), (cuba memikirkan) ke arah mana yang mereka cuba menghala,” katanya.

Menceritakan kehidupan seharian mereka selama 28 hari dalam kurungan, Jeyakumar berkata selain perjumpaan dengan polis untuk disoal-siasat dan pembantu perubatan untuk rawatan kesihatannya, tidak banyak yang boleh dilakukan.

"Kami bersarapan pada jam 7.30 pagi, (mereka beri kami) roti dan teh-O dan kira-kira 30 minit kemudian, kami dibawa berjumpa dengan pembantu perubatan untuk diperiksa tekanan darah dan diberi keperluan perubatan kami.

"Setiap kali kami dibawa keluar, mata saya ditutup dan digari - setiap hari. Malah ketika dibawa ke klinik, kita tidak akan tahu ke mana kita sedang tuju, hanya selepas sampai di klinik, penutup mata akan dibuka.

“Selepas itu, antara jam 9.30 dan 11.30 pagi, IO akan datang, ada kala pagi, petang dan kadang-kadang dia langsung tidak datang dan ada hari pula dia datang dua kali sehari.

"Selepas IO selesai, kami dibawa semula ke sel (untuk makan tengahari). Makanannya bagus, kami diberi nasi putih dengan ayam atau ikan. Pada jam 2 hingga 2.30 petang, kami dibawa semula berjumpa IO dan kembali semula ke sel pada jam 5.30 petang,” katanya.

Di sebalik pengalaman ngeri itu, Jeyakumar berkata beliau tidak gentar dengan penahanan itu dan label komunis yang cuba dikaitkan dengan dirinya. Katanya, beliau masih teguh pendirian dan kerja-kerjanya dengan PSM.

"Ini momokan (kerajaan). Bila kami bentuk parti ini (PSM) kerana berpendapat perlu ada kumpulan yang memperjuangkan masalah rakyat Malaysia yang ada kalanya dipinggirkan kerana tekanan pembangunan.

“Ketika itu, kami bekerja di sektor estet, banyak pembangunan (berlaku) dan ramai orang yang diberhentikan kerja dengan pampasan kecil (dan) tiada rumah yang sewajarnya, jadi mereka dirikan kawasan setinggan. Beberapa tahun kemudian, apabila kawasan itu dibangunkan, mereka dihalau keluar.

"Kami menjadi parti sosialis bukan kerana teori bahawa kami akan belajar mengenai komunisme dan berkata ia idea yang baik. Kami melihat apa yang berlaku pada peringkat akar umbi, dan perlu membela golongan terpinggir ini.

"Dan apabila kami memperjuangkan isu itu dan mengketengahkannya, kami kemudiannya sedari ia terletak di bawah sosialisme,” katanya. - Malaysiakini

Kit Siang: Lima hari saya dalam kegelapan

Bangkit daripada tidur dan mendapati dirinya menjadi buta adalah perkara yang langsung tidak dibayangkan oleh pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

Paling malang, ia berlaku ketika DAP mencatatkan kejayaan terbesarnya pada pilihan raya negeri Sarawak pada 16 April lalu dengan membolot 12 kerusi di DUN yang mempunyai 71 kerusi itu.

Malam sebelumnya, Lim selaku penasihat DAP baru sahaja meraikan kejayaan parti itu bersama rakan-rakannya di Kuching. Beliau kemudiannya pulang ke bilik hotelnya dan membaca berita di internet sehingga jam 2 pagi.

"Saya bangun pada jam 6 pagi dan mendapati mata kiri saya tidak lagi boleh melihat,” katanya dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini.

"... sudah tentu ini pengalaman yang cukup menakutkan. Secara tiba-tiba anda hilang keupayaan melihat sebelah mata, lebih-lebih lagi mata itu adalah mata yang baik, mata kanan saya adalah mata yang malas.”

Lim yang sering-kali terkenal mampu berdirikari dan tidak mengharapkan bantuan rakan-rakannya, mengakui ini adalah antara kejadian di mana beliau meminta pertolongan anaknya, Guan Eng, yang juga setiausaha agung DAP dan ketua menteri Pulau Pinang.

"Saya telefonnya. Dia sedang tidur tetapi beliau tahu ada sesuatu yang tidak kena apabila saya menelefonnya. Dalam keadaan separuh sedar, beliau dengan segera berlari (ke bilik saya) dengan pakaian tidurnya,” kata Lim mengimbas kembali kejadian itu.

Jadi buta

Beliau dengan segera dikejarkan ke sebuah klinik pakar mata di Kuching dan diberitahu doktor bahawa Lim diserang “jangkitan yang aggresif” yang telah merebak ke mata kirinya akibat pembedahan membuang katarat pada mata kanannya, sebelum ini.

Menurut Lim, doktor juga memaklumkan kepadanya bahawa jangkitan itu perlu dirawat segera dan beliau diberi dua suntikan ke bola matanya bagi mengurangkan kesan bengkak dan dinasihatkan supaya membatalkan semua programnya.

"Doktor kata jika tidak ada perkembangan, saya perlu menjalani pembedahan dan mereka tidak dapat melakukannya di sana. Jadi saya mengambil penerbangan ke Pulau Pinang pada hari yang sama,” kata Lim.

Kerana terlalu bimbang keadaan matanya tidak akan pulih, Lim akhirnya bersetuju menjalankan pembedahan 'vitrectomy', di mana sebahagian atau semua gel kekaca di bola matanya dikeluarkan.

Selepas dibius dan menjalani pembedahan dua jam, Lim berkata beliau bangkit dan mendapati beliau tidak dapat melihat melalui mata kirinya.

"Lima hari, kegelapan di mata saya yang baik ini. (Apabila berlaku pertama kali di Kuching) saya hanya terperanjat. Saya tidak terfikirkan perkara lain kecuali apa yang yang berlaku kepada saya (jika menjadi buta),” katanya.

Keadaan mata Lim kini beransur pulih sejak beberapa bulan lalu dengan daya pandangan jarak jauh mata kirinya kini lebih baik berbanding mata kanannya.

Beliau bagaimanapun terus mengunakan kacamata hitam - yang dikirimkan dari Amerika Syarikat oleh seorang “penyokong prihatin” - untuk beberapa bulan bagi mengelakkan silau cahaya memberikan tekanan kepada mata kirinya itu.

Lim juga masih tidak boleh membaca akhbar atau bahan bercetak, mahupun membuat SMS di telefon bimbitnya buat masa ini. - Malaysiakini

Sultanah Johor: BERSIH 2.0 telah 'dirampas'

Selepas tiga minggu perhimpunan BERSIH 2.0 dilancarkan, perdebatan mengenainya terus berlarutan dengan seorang ahli kerabat diraja bertitah pertubuhan menuntut pembaharuan pilihan raya itu telah diramapas oleh kumpulan dan individu tertentu.

Sultanah Johor Raja Zarith Sofia Sultan Idris Shah, bertitah meskipun niat asal perhimpinan BERSIH adalah tulen atau ikhlas, namun ia telah diambil alih oleh pihak lain.

"Mereka telah dirampas oleh kumpulan dan individu lain, idea asal mengenai pilihan raya umum dan ketelusannya telah hilang,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menjawab soalan daripada seorang pelajar selepas merasmikan Persidangan Tahunan Pemimpin Pelajar Malaysia kali ke-5 di Hotel Kuala Lumpur Hilton pagi ini.

Raja Zarith Sofia, yang juga adalah Canselor Universiti Teknologi Malaysia, menasihatkan pelajar agar tidak mempercayai semua yang dilaporkan oleh media mengenai perhimpunan BERSIH itu.

Sebaliknya, titah baginda, mereka perlu menentukan sendiri mana yang benar dan cuba menilai sendiri sebanyak yang mungkin mengenai perkembangan di negara hari ini. - Malaysiakini

* Bukankah raja perlu jauhi politik?

Shahrizat sedih kerajaan tak sempat bantu Ashraf

Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, melahirkan rasa sedih tidak sempat memberi bimbingan kepada Mohd Ashraf Abdul Aziz yang ingin menukar namanya kepada Aleesha Farhana apabila pemuda itu meninggal dunia, awal pagi tadi.

Mohd Ashraf meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu, jam 5 pagi tadi setelah mengalami masalah jantung dan tekanan darah rendah. Shahrizat berkata, kementerian sejak awal menawarkan bimbingan kepada Ashraf kerana berasa prihatin dengan kedudukan pemuda berusia 25 tahun itu, bagaimanapun takdir Allah mendahului segala-galanya.

"Kita dari mula lagi rasa prihatin kerana kedudukan beliau. Pendekatan kami di kementerian buat ialah pendekatan kebajikan dan tidak menghukumkan orang," katanya sebaik tiba di pejabat Wanita Umno di Menara Datuk Onn di Kuala Lumpur, sebelum mempengerusikan mesyuarat pergerakan itu.

"Kita sebaliknya cuba memahami dan membimbing sesiapa juga yang memerlukan bimbingan, terutamanya kepada mereka yang terjebak dalam keadaan terdesak seperti kes Ashraf ini tetapi apakan daya ajalnya sudah tiba," tambahnya.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berharap mereka dapat bersabar dan menerima takdir itu dengan hati yang terbuka.

"Kita harap keluarganya menerima takdir ini dengan hati terbuka dan jika keluarganya memerlukan bantuan, diharapkan dapat menghubungi saya (Shahrizat) atau pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat secepat mungkin," katanya.

Menurut beliau, ajal yang telah ditentukan Allah tidak memungkinkan pihaknya yang menawarkan bantuan bimbingan kepada Mohd Ashraf dapat ditunaikan kerana pemergian mengejutkan itu.

Allahyarham yang sebelum ini membibitkan kontroversi selepas memohon kepada Jabatan Pendaftaran Negara untuk menukar namanya, menghembuskan nafas terakhir selepas menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu akibat masalah jantung dan tekanan darah rendah.

Pada 18 Julai lalu, permohonan Mohd Ashraf untuk menukarkan nama dalam Mykadnya kepada nama wanita iaitu Aleesha ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu selepas mengambil kira tiga faktor iaitu kromosom, kewujudan alat kelamin semasa pemohon dilahirkan dan kewujudan organ dalaman.

Lelaki itu membuat permohonan berkenaan 25 Mei lalu dan menjalani pembedahan menukar jantina di Thailand pada 2009 setelah disahkan layak dari segi psikologi oleh Pusat Perubatan Pantai.

Permohonan dibuat bagi memudahkannya diterima masuk ke universiti tempatan untuk menyambung pelajaran dan kesukarannya menjalani kehidupan sebagai seorang wanita.

- Bernama

Harga getah diramal susut minggu depan

Pasaran getah Malaysia dijangka bergerak dalam jajaran kecil minggu depan di celah minat risiko yang lemah dan kemungkinan berlakunya kelembapan dalam pertumbuhan global berikutan masalah hutang Amerika Syarikat dan zon Euro, kata para peniaga.

"Kebimbangan hutang di AS dan krisis yang semakin teruk dalam zon euro akan mengekang minat risiko yang sekali gus akan membataskan pengambilan pegangan," kata seorang peniaga.

Dari segi perkembangan yang positif pula, kerugian di pasaran getah boleh dihadkan di celah permintaan daripada belian dana ekoran spekulasi menyatakan penghantaran akan meningkat untuk sektor pembuatan tayar dan sarung tangan.

"Selain daripada itu, terdapatnya ura-ura yang China akan memulakan pembelian komoditi untuk mengukuhkan semula inventorinya di pusat dagangan getah Qingdao. Stok telah merosot kepada 70,000 tonne daripada 160,000 tonne sebelumnya.

Berdasarkan perbandingan mingguan, harga tengah hari fizikal rasmi Lembaga Getah Malaysia untuk gred tayar SMR 20 naik 10 sen kepada 1,382.5 sen sekilogram, daripada 1,372.5 Jumaat lalu tetapi susu getah pukal susut 10.5 sen kepada 886 sen daripada 896.5 sen sekg sebelumnya.

Harga penutup tidak rasmi untuk gred tayar SMR 20 melonjak 12.5 sen kepada 1,381 sen sekg daripada 1,368.5 sen sekg minggu lepas sementara susu getah pukal turun lapan sen kepada 884.5 sen sekg daripada 892.5 sen sekg sebelumnya. - Bernama

Lelaki mohon tukar nama Aleesha Farhana meninggal dunia

Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, yang gagal dalam permohonan menukar namanya kepada Aleesha Farhana, meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, di Kuala Terengganu, 5 pagi tadi.

Beliau dimasukkan ke hospital itu 3 pagi semalam setelah mengalami masalah jantung dan tekanan darah rendah.

Bapanya, Abdul Aziz Ahmad, 60, ketika dihubungi berkata jenazah anaknya itu dijangka dikebumikan selepas waktu Zohor.

Katanya beliau menunggu kepulangan anggota keluarga yang lain untuk membincangkan di mana jenazah allahyarham akan dikebumikan.

Semalam, doktor mengesahkan anaknya itu mengalami serangan jantung yang tidak stabil atau 'unstable angina with cardiogenic shock'.
Katanya Mohd Ashraf Hafiz, 25, sebelum ini mengalami kemurungan selepas permohonan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu untuk menukar kepada nama wanita, ditolak pada 18 Julai lalu.

Mohd Ashraf Hafiz yang berasal dari Seberang Takir, memohon untuk menukar nama di dalam MyKadnya kepada Aleesha Farhana Abdul Aziz setelah beliau melakukan pembedahan menukar jantina di Thailand dua tahun lalu. - Bernama

Terima kasih Bersih, kini masa rakyat bantu SPR atasi dilema

Tiada apa yang paling menyakitkan melainkan segala apa yang diperkatakan ditolak mentah-mentah oleh rakyat Malaysia.

Mungkin itu yang dirasai Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar apabila pada dua pertemuan berturut-turut dengan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Datuk Ambiga Sreenevesan menyaksikan rakyat tidak mempercayai ketelusan agensi itu.

Dalam dua pertemuan iaitu Wacana Apa Selepas 9 Julai anjuran Kumpulan Media Karangkraf Selasa lalu dan forum Undang-Undang Pilihan Raya, SPR dan Pembaharuan Pilihan Raya anjuran Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) semalam, secara jelas rakyat banyak mempertikaikan sistem pilihan raya yang dijalankan SPR sambil mendakwa agensi itu tidak telus.

Berbanding dengan pertemuan pertama, Wan Ahmad lebih banyak dicemuh dan diejek oleh orang ramai yang menyertai wacana itu, namun dalam forum semalam, pemimpin nombor dua SPR itu kelihatan semakin yakin dan bersedia dengan soalan-soalan yang dikemukakan.

Walaupun masih bersikap mempertahankan diri dengan mengatakan SPR tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan lapan tuntutan Bersih 2.0, namun Wan Ahmad cuba mengambil hati dengan mengatakan perkara itu boleh dibincangkan agar ia dibawa ke peringkat atasan.

“SPR ditubuhkan di bawah peruntukan 114 Perlembagaan Perseketuan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, saya tidak boleh buat keputusan sendiri kerana kita ada tujuh ahli panel yang lain.

“Tolong faham, SPR bukan badan penguatkuasaan...kami hanya badan menguruskan pilihan raya dan kami tiada kuasa untuk laksanakan perkara yang di bawah kuasa kami, apa yang kami boleh lakukan adalah buat cadangan kepada Jabatan Peguam Negara dan kemudian terserah kepada kerajaan untuk putuskan yang mana ia akan dibahaskan di Parlimen,” katanya pada forum semalam.

Malah dalam ucapannya, Wan Ahmad beberapa kali menegaskan, SPR tidak boleh melaksanakan lapan tuntutan Bersih 2.0 seperti mana yang dikatakan pada pertemuan pertama di Shah Alam.

Walaupun terus diasak dengan pelbagai persoalan mengenai sistem pilihan raya, lapan tuntutan Bersih 2.0 dan pendaftaran automatik Wan Ahmad tetap mengatakan “ia boleh dibawa berbincang.”

“Tetapi dalam sistem sekarang, kerajaan perlu setuju dengan (cadang) pindaan itu dahulu, barulah rang undang-undang itu boleh digubal oleh Jabatan Peguam Negara.

“Dalam soal daftar undi automatik, kita tidak boleh paksa mereka mendaftar kalau mereka tidak mahu, mungkin kita fikir umur 21 tahun perlu mendaftar, tapi ada orang yang berfikiran berlainan.

“Kerajaan ada polisi, kita boleh usulkan atau beri apa sahaja cadangan, tapi kalau kerajaan setuju baru ia boleh dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu Ambiga, yang mendapat sokongan padu rata-rata peserta pada kedua-dua program itu tetap menegaskan, SPR mempunyai kuasa untuk melaksanakan lapan tuntutan yang dikemukakan.

Bahkan bekas presiden Majlis Peguam itu tetap mahu SPR menggunakan dakwat kekal pada pilihan raya umum ke-13, sekiranya sistem biometrik masih tidak boleh dilaksakan.

Mengaku tidak akan menolak mana-mana sistem termasuk sistem biometrik jika terbukti baik, Ambiga yang mewakili 62 badan bukan kerajaan (NGO) mahu ia dikaji dan diteliti secara terperinci sebelum dilaksanakan.

“Dakwat kekal lebih murah dan berkesan daripada sistem biometrik, kalau mahu laksanakan sistem biometrik banyak perkara yang perlu dilakukan termasuk penjelasan kepada rakyat.

“Kita tidak mahu ia dibuat dengan terburu-buru kerana ia boleh mendatangkan masalah, jadi lebih baik gunakan dakwat kekal jika ia masih belum boleh digunakan,” kata Ambiga yang sentiasa mendapat sorakan dan tepukan gemuruh.

Menurut Wan Ahmad, walaupun sistem biometrik masih di peringkat kajian, namun beliau yakin ia adalah kaedah terbaik untuk menangani isu pengundi hantu yang sentiasa menghantui sistem pilihan raya.

Setiap kali pilihan raya diadakan isu pengundi hantu akan sentiasa menjadi topik utama parti pembangkang dan SPR tetap menafikan kesahihan dakwaan itu.

“Satu-satunya jalan terbaik untuk mengenal pasti kewujudan nama pengundi bertindih adalah melalui sistem biometrik,” katanya.

Walaupun SPR dilihat menghadapi krisis kepercayaan daripada rakyat ekoran sikap berat sebelah agensi itu, namun sesi dialog secara terbuka boleh memberikan penjelasan terhadap isu-isu yang berbangkit.

Malah dalam pertemuan kedua semalam banyak pandangan dan jawapan yang diberikan Wan Ahmad boleh diterima walaupun masih ramai yang tidak berpuas hati.

Menjelang pilihan raya umum ke-13, yang mungkin diadakan penghujung tahun ini, adalah amat wajar sekiranya sesi dialog oleh SPR diperbanyakkan agar rakyat terutamanya pengundi luar bandar yang tiada akses kepada Internet dapat mengetahui maklumat terkini tentang usaha-usaha yang dilakukan agensi itu.

Kita kena mengucapkan terima kasih kepada Bersih 2.0 kerana mengetengahkan isu-isu yang tidak diketahui ramai.

Wacana dan forum terbaru ini menunjukkan ada kekurangan dan kelemahan dalam sistem SPR sendiri.

Sebagaimana diharapkan kerajaan perlu memanggil satu panel khas merangkumi semua pihak bagi memperbaiki sistem yang sedia ada.

Rakyat perlu membantu SPR jika SPR tiada kuasa. Rakyat kena memberi SPR kuasa jika kuasa itu yang diperlukan. - TMI

Kerajaan Kedah dakwa pusat hiburan beroperasi secara haram

ALOR SETAR 29 Julai - Kerajaan Pas Kedah hari ini mengakui kewujudan pusat-pusat hiburan dan rumah urut yang semakin bertambah sejak mengambil alih pentadbiran di negeri ini.

Exco kerajaan negeri, Dr. Ismail Salleh bagaimanapun berkata, pusat hiburan itu beroperasi secara haram kerana tiada lesen baru dikeluarkan sejak pembangkang mentadbir Kedah pada 2008.

Katanya, kewujudan pusat hiburan haram berkenaan seperti pusat karaoke sukar dibendung kerana penguatkuasaan yang lemah atas faktor-faktor tertentu.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kedah bagaimanapun tidak menjelaskan faktor-faktor tersebut.

"Ada pusat hiburan yang dibuka seperti pusat-pusat karaoke terutama di kampung-kampung, tetapi semuanya tiada lesen. Ia tumbuh secara sendiri.

"Kita memang hendak mengambil tindakan ke atas pusat-pusat hiburan haram ini tetapi ada sebab tertentu tak boleh bergerak," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Beliau ditanya mengenai kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir kelmarin yang hairan dengan kewujudan pusat-pusat hiburan yang semakin bertambah di Alor Setar dan Sungai Petani memandangkan kerajaan negeri Kedah ditadbir oleh Pas yang mendakwa memperjuangkan Islam.

Ismail berkata, kerajaan negeri akan mengambil kesempatan daripada kelulusan Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1997 yang akan memperincikan peraturan membabitkan operasi pusat hiburan sepanjang Ramadan ini untuk turut bertindak ke atas pusat hiburan haram.

"Kita ambil kesempatan itu untuk menjalankan penguatkuasaan dengan menutup semua pusat hiburan yang beroperasi tanpa lesen," katanya. - Utusan

* Kalau Umno yang buat, sebab mereka langsung kita tak peduli...

Rumah urut bertambah

SUNGAI PETANI 29 Julai – Para penduduk di bandar ini kesal dengan pertambahan mendadak rumah urut dan pusat hiburan sejak tiga tahun kebelakangan ini sehingga menyebabkan masalah sosial semakin melarat.

Menurut mereka, antara kawasan yang menjadi tumpuan adalah di Taman Sejati Indah, Bandar Puteri Jaya, Taman Nilam, Taman Ria, Taman Aman Jaya dan Taman Arked.


Seorang penduduk, Samsudin Abdul Kadir, 61, dari Taman Desa Meranti, berkata, sebelum memerintah negeri ini, Pas begitu lantang menyuarakan isu-isu berkaitan pusat hiburan dan rumah urut.

“Namun lain pula jadinya. Apabila memerintah, mereka tidak memainkan peranan sepatutnya malah seolah-olah merestui kewujudan aktiviti judi, rumah urut dan jualan arak yang semakin berleluasa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Jalali Karim, 57, dari Taman Semarak berkata, penduduk juga melahirkan rasa kesal kerana kegiatan tersebut makin berleluasa dan tidak dibendung secara bersungguh-sungguh oleh Kerajaan Pas Kedah.

“Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan sepatutnya mengambil kira sensitiviti masyarakat setempat sebelum meluluskan permohonan lesen pusat hiburan atau rumah urut,” katanya.

Bagi Jalali, penambahan pusat hiburan dan rumah urut menyebabkan masalah sosial semakin melarat di negeri ini, khususnya di Sungai Petani.

“Memang kita berasa malu apabila orang mengatakan Sungai Petani kini menjadi ‘sarang’ perbuatan negatif. Lebih sakit hati bila pihak penguat kuasa tidak mengambil tindakan tegas menangani masalah ini,” katanya.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Persatuan Penduduk Padang Temusu, Abdul Aziz Abdullah, 46, mendakwa, pusat hiburan termasuk mesin kuda juga dikesan bertambah dalam taman perumahan tertentu di daerah Kuala Muda.


“Pengunjung nampaknya tidak perlu bimbang untuk berkunjung ke pusat hiburan seperti itu kerana ia dibenarkan beroperasi secara sah oleh kerajaan negeri,” katanya.

Kelmarin, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir melahirkan kebimbangan terhadap pertambahan jumlah pusat hiburan di Alor Setar dan Sungai Petani sejak kebelakangan ini.

Beliau juga melahirkan rasa hairan bagaimana keadaan tersebut berlaku sedangkan kerajaan negeri Kedah ditadbir oleh Pas yang mendakwa memperjuangkan Islam. - Utusan

29 July 2011

Penduduk Malaysia kini 28.3 juta

PUTRAJAYA: Malaysia kini mempunyai 28.3 juta penduduk dengan bilangan lelaki melebihi wanita, demikian menurut laporan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010.

Penduduk lelaki kini adalah 14.56 juta orang dan wanita 13.77 juta orang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop ketika mengumumkan laporan itu, yang turut dihadiri Ketua Perangkawan Datuk Wan Ramlah Wan Abdul Raof. Nor Mohamed berkata purata kadar pertumbuhan penduduk tahunan pula ialah sebanyak 2 peratus untuk tempoh 2000 hingga 2010, menurun berbanding 2.6 peratus bagi tempoh 1991 hingga 2000.

"Tidak seperti laporan terdahulu di mana ia telah memuatkan data awalan banci, laporan kali ini memuatkan data muktamad yang telah mengambil kira ralat liputan dan ralat kandungan yang diperoleh daripada Penyiasatan Penilian Liputan Banci," katanya.

Banci 2010 adalah yang kelima dijalankan untuk menghasilkan data yang berguna untuk perancangan dan pelaksanaan dasar pembangunan negara. Banci sebelum ini telah dijalankan pada 1970, 1980, 1991 dan 2000.

Nor Mohamed berkata Selangor mempunyai taburan penduduk tertinggi di Malaysia dengan 5.46 juta diikuti Johor (3.35 juta) dan Sabah (3.21 juta) manakala negeri yang mempunyai penduduk paling sedikit ialah Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu 72,413 orang dan Wilayah Persekutuan Labuan (86,908).

Beliau berkata negeri yang mempunyai kepadatan penduduk paling tinggi pula ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu 6,891 orang diikuti Pulau Pinang (1,490) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (1,478).
Katanya seiring dengan perkembangan pembangunan negara, perkadaran penduduk bandar meningkat kepada 71 peratus pada 2010 berbanding 62 peratus pada 2000.

Beliau berkata selain daripada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan paras urbanisasi 100 peratus, negeri lain yang mencatatkan paras urbanisasi yang tinggi ialah Selangor dan Pulau Pinang, masing-masing 91.4 dan 90.8 peratus.

Negeri yang mencatatkan paras urbanisasi yang rendah pula ialah Kelantan sebanyak 42.4 peratus, Pahang (50.5 peratus) dan Perlis (51.4), katanya.
Nor Mohamed berkata daripada 28.3 juta penduduk Malaysia yang terdiri daripada 91.8 peratus warganegara dan 8.2 peratus bukan warganegara, kumpulan etnik yang terbesar ialah bumiputera iaitu 67.4 peratus, Cina (24.6), India (7.3) dan lain-lain (0.7).

Di kalangan warganegara Malaysia, katanya, Melayu adalah etnik utama di Semenanjung Malaysia iaitu 63.1 peratus manakala Iban mencatatkan 30.3 peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat di Sarawak sementara Kadazan/Dusun merekodkan 24.5 peratus di Sabah. - BERNAMA

Penjara 6 bulan jika tidak puasa

GEORGE TOWN - Hukuman penjara enam bulan dan denda RM1,000 bakal dikenakan kepada umat Islam yang didapati makan di khalayak ramai termasuk pengusaha premis yang menghidangkan makanan kepada mereka sepanjang Ramadan ini.

Tindakan tegas itu diambil Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menerusi 'Ops Jejak' termasuk memantau restoran dan gerai makan tepi jalan.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaannya, Jaafar Ismail berkata, operasi tersebut dilakukan setiap hari mulai pukul 7 pagi di semua daerah di negeri ini. - Kosmo

Lelaki Cetuskan Kontroversi Mohon Tukar Jantina Di Mahkamah Dimasukkan Ke Wad ICU

KUALA TERENGGANU: Lelaki yang mencetuskan kontroversi apabila membawa kesnya ke mahkamah beberapa minggu lalu untuk mendapatkan kebenaran menukar jantina kini telah dimasukkan ke hospital setelah didapati muntah beberapa kali.

Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, 26, yang dikatakan sedang menghadapi tekanan perasaan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah pada jam 3 pagi Jumaat.

Dia dimasukkan ke ICU selepas tekanan darahnya didapati rendah.

Bapanya, Abdul Aziz Ahmad, 60, telah meminta kerjasama pihak media agar membenarkan anaknya berehat dan tidak diganggu ketika di dalam wad.

“Saya berharap pihak media memahami situasi yang sedang dialami oleh anak saya dan memberinya masa untuk pulih. Sebelum ini dia tidak pernah mengalami sebarang komplikasi kesihatan yang serius,” ujar Abdul Aziz.

Pada 18 Julai lalu, Mahkamah Tinggi di sini telah menolak permohonan Mohd Ashraf untuk menukar status jantinanya daripada lelaki kepada perempuan antara lainnya kerana dia tidak dapat mengemukakan bukti klinikal bahawa kromosom di dalam badannya telah berubah setelah melakukan pembedahan jantina di Thailand.

Mohd Ashraf dalam permohonannya juga telah meminta agar namanya pada surat beranak, MyKad, lesen memandu, bank akaun dan juga diploma yang diperolehinya ditukarkan kepada Aleesha Farhana Abd Aziz.

Bagaimanapun Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa, di dalam penghakimannya berhujah tidak wujud statut yang sah untuk membenarkan permohonan Mohd Ashraf hanya bersandarkan semata-mata kepada pembedahan pertukaran jantina.

Katanya, jantina seseorang itu ditentukan ketika dia dilahirkan dan tidak boleh ditukar hanya kerana berlakunya pembedahan.

Mohd Ashraf Hafiz, yang berasal dari Seberang Takir dekat sini telah menjalani pembedahan pertukaran seks di Thailand pada Mei 2009. - Mstar

Pembebasan PSM 6: Kerajaan sambut baik, kata PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan menyambut baik keputusan polis bagi membebaskan semua enam tahanan anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan sejak 28 hari lalu mengikut Seksyen 3(1) Ordinan Darurat.

Bercakap kepada wartawan selepas mempengerusi mesyuarat majlis tertinggi Umno di Kuala Lumpur, petang tadi, Najib berkata keputusan pihak polis itu dibuat berdasarkan pengamatan mereka sendiri.

“Kita menerima baik keputusan yang dibuat oleh pihak polis... terpulang kepada Peguam Negara untuk menentukan apa-apa tindakan (selanjutnya). Sebagai sebuah negara (berdaulat), kita berpegang kepada 'rule of law',” katanya.

Pengumuman pembebasan keenam-enam mereka dibuat oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dalam satu kenyataan media ringkas petang ini.

Semua mereka yang ditangkap pada 2 Julai lalu, di Seberang Prai Utara, Pulau Pinang itu dibebaskan pada jam 5.30 petang di balai polis Jinjang.

Mereka yang dibebaskan itu termasuk ahli parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar dan lima yang lain itu ialah setiausaha bahagian PSM Sungai Siput, AP Letchumanan, 49, anggota jawatankuasa pusat, Choo Chon Kai, 33, M Sukumaran 50, timbalan pengerusi PSM, M Sarasvathy, 58, dan pemimpin pemuda, R Sarat Babu, 25.

Mereka yang dikenali sebagai PSM6 itu - pada mulanya ditahan bersama 24 orang lain atas dakwaan mahu 'melancarkan perang terhadap Agong', tetapi pada jawapan balas permohonan afidavit habeas corpus berhubung pembebasan mereka, polis mendakwa mereka sebagai penggerak utama BERSIH 2.0.

Permohonan habeaus corpus itu bagaimanapun ditangguhkan kepada 5 Ogos, lima hari selepas tahanan 30 hari mereka berakhir. - Malaysiakini

* Sendiri tangkap, sendiri lepas, sendiri puji...

Polis rampas komputer dan modem blogger

Polis mengeledah rumah penulis blog Chan Lilian di Pulau Pinang dan merampas komputer dan modem miliknya, dalam siasatan mereka berhubung tweet yang dihantarnya bulan lalu.

Chan (kiri), seorang juruvideo, sedang disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan kerana mesej tweetnya itu, serta Seksyen 27 (5) Akta Polis kerana didakwa mengambil bahagian dalam perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu di Kuala Lumpur.

Jika sabit kesalahan, Chan menghadapi hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda tidak lebih daripada RM5,000, atau kedua-duanya sekali.

Semalam, empat pegawai polis dari unit jenayah siber Brickfields, Kuala Lumpur, menyoalsiasat Chan selama kira-kira satu jam di ibupejabat polis (daerah timur laut) Jalan Petani, Pulau Pinang.

Mereka kemudiannya pergi ke rumah Chan di Tanjung Bungah dan menghabiskan masa selama dua jam mencari "bukti".

Mereka juga menyemak lapan fail dalam komputer Chan, mengambil gambar akaun Twitter beliau dan melukis gambar rajah kawasan di situ.

Pasukan polis, yang diketuai pegawai penyiasat ASP Ridzuan Ibrahim, beredar kira-kira jam 8.30 malam, dengan membawa komputer dan modem Chan.

Ditanya pemberita mengenai rampasan komputer Chan, Ridzuan enggan mengulas dan beredar dari situ.

Chan yang ditemani peguam Tham Shien Shyong berkata: "Ini adalah harga yang terpaksa saya bayar kerana menyuarakan fikiran saya."

Bercakap kepada pemberita kemudiannya di luar rumahnya, Chan bertegas beliau tidak mempunyai sebarang niat untuk menghasut sesiapa, "tweet saya terhad kepada (900 ahli) tetapi privasinya telah disalahgunakan."

Chan, yang merupakan kakitangan sementara di sebuah unit kerajaan Pulau Pinang, bertekad tidak akan berhenti menggunakan tweet kerana dia mempunyai hak kepada kebebasan bersuara. - Malaysiakini

Semua enam tahanan EO dibebaskan

Semua enam tahanan anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan sejak 28 hari lalu mengikut Seksyen 3(1) Ordinan Darurat dibebaskan sebentar tadi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dalam satu kenyataan media ringkas berkata berikutan pembebasan mereka ini, tindakan selanjutnya akan ditentukan oleh Jabatan Peguam Negara.

"Polis Diraja Malaysia mengumumkan bahawa keputusan telah dibuat untuk membebaskan semua enam orang yang telah ditangkap pada 2 Julai lalu, di Seberang Prai Utara, Pulau Pinang, di bawah Ordinan Darurat," katanya.

Semua mereka dibebaskan pada jam 5.30 petang di balai polis Jinjang.

Mereka yang dibebaskan itu termasuk ahli parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar dan lima yang lain itu ialah setiausaha bahagian PSM Sungai Siput, AP Letchumanan, 49, anggota jawatankuasa pusat, Choo Chon Kai, 33, M Sukumaran 50, timbalan pengerusi PSM, M Sarasvathy, 58, dan pemimpin pemuda, R Sarat Babu, 25.

Mereka yang dikenali sebagai PSM6 itu - pada mulanya ditahan bersama 24 orang lain atas dakwaan mahu 'melancarkan perang terhadap Agong', tetapi pada jawapan balas permohonan afidavit habeas corpus berhubung pembebasan mereka, polis mendakwa mereka sebagai penggerak utama BERSIH 2.0.

Permohonan habeaus corpus itu bagaimanapun ditangguhkan kepada 5 Ogos, lima hari selepas tahanan 30 hari mereka berakhir.

Sebelum ini, pelbagai pihak membidas pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana meneruskan tahanan berkenaan.

Selain pemimpin Pakatan Rakyat, Presiden MIC Datuk G Palanivel juga semalam menuntut pembebasan mereka kerana mendakwa tindakan itu menarik “perhatian dunia” dan mungkin memberi kesan kepada BN pada pilihan raya umum akan datang.

Turut menuntut perdana menteri dan menteri dalam negeri supaya membebaskan Jeyakumar adalah Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang dianggotai 13,000 pengamal profesyen perubatan. - Malaysiakini

* Berkesan juga mogok lapar...

MPK sedia bantu GRO Islam berniaga

Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) akan bertemu dengan beberapa agensi kerajaan untuk membincangkan cadangan terbaik bagi membantu pelayan pelanggan (GRO) beragama Islam apabila larangan mereka bekerja di semua pusat hiburan di bandar itu, dikuatkuasakan tahun depan.

Pegawai Perhubungan Awam MPK Haslinda Hassan berkata perkara tersebut ada dibangkitkan dalam mesyuarat majlis berkenaan kelmarin, yang dipengerusikan oleh Yang Dipertua MPK Datuk Zulkifli Yaacob.

Sehubungan itu, katanya MPK akan mengadakan mesyuarat dengan beberapa agensi kerajaan bagi membincangkan hal itu selepas pihak berkuasa tempatan itu melarang wanita Islam menjadi GRO berkuatkuasa tahun hadapan.

"Kita cuba membantu dengan memberi peluang kepada mereka untuk berniaga. Kita akan memanggil Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

"Majlis Perbandaran Kuantan boleh membantu dari segi memberi ruang berniaga dan lesen untuk berniaga," katanya sambil mendakwa dianggarkan 300 hingga 400 orang GRO terlibat dengan larangan baru itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang semalam, Haslinda berkata mesyuarat tersebut dijangka diadakan selepas sambutan hari raya Aidilfitri.

RM2,000 sebulan

Kelmarin Zulkifli dilapor berkata keputusan larangan tersebut diluluskan dalam mesyuarat MPK dan tarikh penguatkuasaannya akan ditetapkan nanti.

Katanya, semua ahli majlis MPK bersetuju dengan cadangan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sebelum ini dan hasil kajian mendapati 85 peratus pekerja pusat hiburan terdiri daripada orang Melayu yang beragama Islam dan terdedah untuk meminum minuman yang memabukkan itu.

Mengulas lanjut, Haslinda berkata salah satu cadangannya akan diadakan taklimat atau dialog dengan para GRO sebagai usaha menyelesaikan masalah yang bakal dihadapi mereka.

Sebanyak 124 premis pusat hiburan yang beroperasi di bandar Kuantan yang beroperasi sehingga jam 12 tengah malam pada hari biasa dan 1 pagi pada hujung minggu, tambahnya.

Dilaporkan GRO yang bekerja di pusat hiburan secara sepenuh masa memperolehi pendapatan antara RM2,000 hingga RM3,500 sebulan.

Sementara itu, menjawab soalan berhubung operasi pusat hiburan pada bulan Ramadan, Haslinda berkata operasi pusat hiburan berjalan seperti biasa kerana mengambilkira hak bukan Islam dan pelancong.

Haslinda bagaimanapun menegaskan pihaknya mengenakan kompaun terhadap pengusaha pusat hiburan yang beroperasi tanpa lesen atau melebihi waktu yang ditetapkan. - Malaysiakini

28 July 2011

Piala Dunia 2014: Seri 1-1, impian Malaysia berakhir

KUALA LUMPUR, 28 Julai — Malaysia dan Singapura terikat 1-1 pada perlawanan kedua pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014, yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Keputusan itu mengakhiri peluang Malaysia untuk melangkah ke pusingan ketiga.

Menerusi jaringan malam ini, Singapura menang dengan agregat 6-4.

Pasukan negara tewas 3-5 dalam perlawanan pertama di Stadium Jalan Besar Sabtu lalu.

Kedua-dua pasukan mejaringkan gol pada separuh masa kedua. - TMI

* Apa pun, penjaga gol Malaysia memang hebat...

Tahanan Ordinan Darurat dijaga baik - KPN

IPOH 28 Julai - Polis memberi jaminan kesemua enam aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr. Michael Jeyakumar Devaraj yang ditahan di bawah Ordinan Darurat (EO) bulan lepas dijaga dengan baik mengikut prosedur undang-undang yang sedia ada.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, sebarang tindakan yang diambil oleh pihaknya adalah berdasarkan undang-undang yang ada demi kepentingan dan keselamatan negara.

"Kita memberi jaminan semua tahanan adalah berdasarkan langkah prosedur yang ada dalam undang-undang, peguam mereka tahu, pihak-pihak tertentu telah dibenarkan berjumpa dengan (Dr D. Michael) Jeyakumar,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Pangkalan Latihan Unit Udara Polis di sini hari ini. - Bernama

Wahabi: Uthman sedia temui Mufti Perlis tapi tertutup, disertai pakar

KUALA LUMPUR, 28 Julai — Pendakwa bebas Dr. Muhammad Uthman El Muhammady sedia menerima pelawaan berdialog Mufti Perlis Dr Juanda Jaya mengenai isu Wahabi dengan syarat ia diadakan secara tertutup membabitkan pakar-pakar berhubung perkara yang menjadi polemik sekarang.

“Saya sanggup hadir jika (dialog yang disyorkan) jika diadakan dengan penuh disiplin, beretika dengan disertai oleh pakar-pakar dan secara tertutup... jika tidak, saya mahu menjauhkan diri (daripada dialog),” kata Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Antarabangsa ini kepada The Malaysian Insider hari ini.

Sambil menegaskan beliau tidak mahu isu berkenaan disensasikan supaya kepentingan negara tidak terjejas, Uthman memberitahu, hanya selepas adanya hasil perbincangan, baru keputusan yang dipersetujui perlu disebarkan kepada umum.

“Objektif pertemuan ialah ia mesti membawa kepada bahan perbincangan yang membawa hasil, benar-benar berdisiplin atas semangat persaudaraan,” kata beliau sambil menjelaskan, pertemuan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) Isnin lalu bersifat tertutup dan maklumatnya tidak wajar diumumkan kepada publik.

“Saya sudah berumur, sudah (lebih) 60 tahun... saya tidak mahu bertengkar dengan sesiapa. Perbincangan seharusnya diadakan dengan penyertaan pakar dan secara tertutup, saya harap begitu,” kata beliau yang berusia 68 tahun ini.

Uthman diminta mengulas laporan The Malaysian Insider pagi tadi memetik Juanda yang mempelawa Tokoh Maal Hijrah itu agar berdialog mengenai polemik Wahabi dengan mempelawanya bertandang ke Perlis semasa Ramadan bagi menjernihkan isu “kesesatan Saudi.”

Juanda berkata Jabatan Mufti Perlis akan menghantar surat hari ini mempelawa Uthman, yang dijemput memberi taklimat pada satu mesyuarat MKN Isnin lalu, agar memberikan penjelasan mengenai isu tersebut khususnya kepada warga Perlis.

“Sebenarnya kami hendak menjemput beliau datang secepat mungkin, tetapi oleh kerana kita sudah menghampiri bulan Ramadan, jadi lebih elok dialog diadakan ketika bulan puasa.

“Lagipun bulan Ramadan adalah bulan yang mulia, kita boleh membincangkan isu ini dalam suasana jernih dan terbuka mengenai apa yang beliau (Uthman) mendakwa sebagai wujudnya kesesatan Saudi (dalam isu Wahabi),” kata beliau.

Juanda menegaskan, apa yang didakwa diperkatakan oleh Uthman kononnya wujud “kesesatan” berkenaan isu fahaman Wahabi adalah tidak betul.

“Apabila kenyataan beliau mengaitkan dengan Arab Saudi, ia menimbulkan kekeliruan, sebab ramai rakyat negara ini pergi ke Saudi dan bersolat di masjid-masjid di negara itu,” katanya.

“Malah kita juga menjemput imam-imam dari Arab Saudi datang ke negara, jadi apabila isu ini dibangkitkan, ia menjadi satu isu... jadi saya berharap beliau dapat datang ke Perlis dan menjelaskan kepada kami tentang isu sebenarnya,” kata Juanda lagi.

Uthman telah dijemput untuk memberikan taklimat mengenai isu Wahabi pada sesi anjuran MKN di Putrajaya, Isnin lalu. - TheMalaysianInsider

Anugerah Ibrahim Ali: 'Saya mangsa cemburu'

Dengan menegas rekod 'bersih' dalam kegiatan aktivismenya sejak 30 tahun lalu, Presiden Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali mendakwa semua bantahan terhadap cadangannya mewujudkan satu anugerah tajaannya, lahir daripada sikap cemburu terhadap pencapaiannya.

"Sebab saya terlalu aktif menganjurkan banyak program,
kadang-kadang dalam skop yang besar, terdapat sesetengah orang yang cemburu terhadap saya.

"Itu sahaja, mereka cemburu dengan saya," katanya dalam wawancara eksklusif dengan stesen TV internet - eTV - minggu lalu.

Mempertahankan cadangannya untuk memperkenalkan Anugerah Kepimpinan Ibrahim Ali di Universiti Teknologi Mara (UiTM), beliau menganggap kritikan itu sebagai "memalukan" dan "tak ada kelas".

"Apa yang mereka membebel ni? Anugerah ini adalah dari saya. Saya derma duit saya untuk diberikan kepada mana-mana pelajar yang berwibawa, jadi apa masalahnya?

"Sekiranya mereka tidak suka, mereka buat anugerah sendirilah. Kerana semua ini adalah disebabkan cemburu. Awak boleh lihat, semua (kritikan) ini adalah dari PAS dan pembangkang dan (mereka ini) memalukan, tak ada kelas," katanya dengan berang.

Ahli parlimen bebas Pasir Mas itu berkata beliau terlibat dengan kegiatan aktivisme dan politik sejak 1970 semasa menuntut di ITM (sekarang UiTM) dan rekod pencapaiannya itu menjadikannya musuh kepada pihak lain.

"Bila saya berada dalam Umno, bila saya bekerjasama dengan PAS, ke mana saya pergi, bukan sahaja parti pembangkang, rakan-rakan Umno pun cemburu terhadap saya.

"Saya tidak mahu jadi popular tetapi itulah yang terjadi, maka saya jadi mangsa cemburu," katanya sambil menambah bahawa beliau selama ini tidak pernah didakwa atas tuduhan rasuah, skandal seks dan moral.

Anugerah itu - yang dicadang diperkenalkan untuk menghargai mahasiswa yang terbukti "bersih dan konsisten" dengan prinsip memperkasa Melayu - telah mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk BN dan Pakatan Rakyat.

Sekalipun Naib Canselor UiTM Prof Sahol Hamid Abu Bakar telah
mengeluarkan surat meminta pencalonan untuk anugerah itu pada awal bulan lalu, beliau kemudiannya menjelaskan ia adalah satu "kaji-selidik" untuk mendapat maklumbalas dari pensyarah, kerana ia belum diluluskan lagi oleh pihak Univesiti.

Senat univeristi itu akan membuat keputusan muktamad berhubung cadangan anugerah tersebut dalam mesyuaratnya esok. - Malaysiakini

* Sakit ke apa orang tua ni...

MIC gesa KDN bebas enam ditahan bawah Ordinan Darurat

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Timbalan Presiden MIC Datuk Dr S Subramaniam mahu Ketua Polis Negara dan Kementerian Dalam Negeri mengkaji semula penahanan enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) termasuk ahli Parlimen Sungai Siput di bawah Ordinan Darurat sejak awal bulan ini.

Dr Subramaniam yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, sehingga kini polis belum lagi menunjukkan bukti yang meyakinkan berhubung alasan menahan keenam-enam mereka kononnya mahu menggulingkan kerajaaan.

“Malah ada petanda-petanda mengelirukan bahawa mereka ditahan kerana pembabitan dalam Bersih.

“Bagaimanapun mereka ditahan lebih awal, dan kebanyakan mereka yang terlibat dalam (perhimpunan) Bersih tidak pula ditahan dan mereka yang ditahan juga sudah pun dibebaskan,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Sehubungan itu kata beliau, polis sewajarnya mengkaji balik penahanan mereka dan jika perlu hadapkan mereka di mahkmah.

Kata beliau tindakan pihak berkuasa itu telah mencetuskan rasa tidak senang di kalangan rakyat Malaysia dan justeru, perkara tersebut perlu ditangani dengan baik.

Gesaan agar mereka dibebaskan telah diketengahkan oleh banyak pihak.

Pagi tadi, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menuntut pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dengan segera melepaskan Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj dan lima pemimpin PSM itu.

Anwar menegaskan kesemua individu yang ditahan itu perlu dilepaskan segera tanpa sebarang syarat.

Selain Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar, 56, mereka yang ditahan di bawah Ordinan Darurat ialah setiausaha bahagian PSM Sungai Siput, A.P Letchumanan, 49, ahli jawatankuasa pusat, Choo Chon Kai, 33, M. Sukumaran, 50, timbalan pengerusi PSM, M. Sarasvathy, 58, dan pemimpin pemuda, R. Sarat Babu, 25.

Keenam-enam pemimpin PSM itu ditahan dua minggu sebelum Himpunan Bersih 2.0 anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) di ibu negara pada 9 Julai lalu.

Mereka turut didakwa ditahan reman kerana cuba melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong dan kemudian ditahan di bawah Ordinan Darurat sehingga kini.

Ordinan Darurat digubal pada 1969 sebagai pendekatan sementara untuk respons kepada rusuhan 13 Mei, yang membolehkan penahanan tanpa bicara.

Mengikut Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat, polis boleh menahan suspek sehingga 60 hari tanpa perbicaraan. - The MalaysianInsider

Ulama muda Umno: Ini kerja 'ustaz simpanan'

Walaupun dikaitkan dengan fahaman Wahabi dan terorisme, Ulama muda Umno berkata mereka tidak menyalahkan pihak kerajaan atau Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang menganjurkan majlis itu.

Sebaliknya, tindakan itu disyaki diusahakan oleh beberapa 'ustaz-ustaz simpanan' yang didakwa berlegar di sekeliling MKN - badan bawah kelolaan Jabatan Perdana Menteri itu.

"Mereka ini cuma mengambil kesempatan atas beberapa perbezaan pendapat dalam perkara furuk untuk memecah belahkan umat Islam," dakwa pengerusi jawatankuasa kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (iLMU) Fathul Bari Mat Jahya (kanan).

Beliau bagaimanapun enggan menyebut secara khusus pihak yang didakwanya sebagai 'ustaz-ustaz simpanan' itu.

Malaysiakini difahamkan, dalam taklimat tertutup MKN di Putrajaya Isnin lalu, 40 ulama muda Umno antara pihak yang disebut bersama bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Bagaimanapun, semalam, bekas mufti Perlis Dr Juanda Jaya semalam mendedahkan beliau dan institusi kerajaan negeri Perlis turut menjadi mangsa kepada "tuduhan liar".

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Fathul mengambil pendekatan sama dengan pihak lain yang dituduh dan mahu menyelesaikan kekusutan itu melalui pendekatan dialog.

"Kita sedia berdialog dengan siapa pun mereka supaya tidak timbul lagi kekeliruan," katanya yang lebih selesa majlis itu diadakan secara tertutup.

Graduan Universiti Madinah yang menyertai Umno setahun lalu itu juga berkata partinya tidak harus dipersalahkan kerana
Umno tiada kena mengeja dengan penganjuran taklimat itu.

Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan semalam berkata beliau bersimpati dengan 40 ulama muda Umno yang terus dikaitkan dengan fahaman Wahabi dan keganasan walaupun didakwa sudah berhempas pulas mempertahankan kerajaan.

Dakwanya, usaha itu tidak langsung dihargai dan kedudukan mereka kini seperti habis madu sepah dibuang merata-rata. - Malaysiakini

27 July 2011

Ambiga-Wan Ahmad bersemuka lagi Jumaat ini

Pengerusi BERSIH 2.0, Datuk S Ambiga dan timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar akan bersemuka sekali lagi Jumaat ini untuk berhujah sama ada sistem pilihan raya Malaysia perlukan pembaharuan.

Kedua-dua mereka telah mengesahkan kehadiran masing-masing di forum "undang-undang pilihan raya, SPR & reformasi pilihan raya" anjuran Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) di Dream Centre di Seksyen 13, Petaling Jaya.

Ahli jawatankuasa Proham, Datuk Dennison Jayasooria memberitahu Malaysiakini bahawa kedua-duanya telah memaklumkan kepada beliau mengenai kehadiran mereka di forum tersebut.

"Bagaimanapun, kita akan memfokuskan kepada topik yang berlainan daripada ceramah semalam,' katanya.

Ambiga dan Wan Ahmad bertembung dalam ceramah di Shah
Alam semalam anjuran Kumpulan Karangkraf, kumpulan media yang menerbitkan akhbar harian bahasa Melayu, Sinar Harian dan kumpulan majalah popular.

Bagaimanapun, Jayasooria berkata, hadirin di ceramah Jumaat ini adalah "berbeza sama sekali" dan ahli panelnya termasuk peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah dari Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Asean. Moderatornya ialah Tan Sri Ramon Navaratnam dari Proham. - Malaysiakini

Buruh simbah asid dihukum penjara 8 tahun, 4 sebatan

TEMERLOH 26 Julai - Seorang buruh ladang dihukum penjara lapan tahun dan sebatan empat kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah mengaku bersalah menyebabkan kecederaan parah terhadap dua beradik dengan menyimbah cuka getah terhadap kanak-kanak tersebut di Felda Jengka 9, Maran, tujuh hari lalu.

Mohammad Hafiz Ismail, 31, yang berbadan kurus dan memakai baju lokap kelihatan tenang ketika hukuman dijatuhkan oleh Hakim Dazuki Ali terhadapnya yang menghadapi dua pertuduhan.

Lelaki itu mengaku menyebabkan kecederaan parah ke atas Syafiq Haikal Mat Safa Zaidi, 13, dan adiknya, Syaffiy Aiman, 10, dengan menyimbah cecair disyaki cuka getah di bahagian muka dan badan kedua-dua mangsa tersebut.

Kejadian didakwa berlaku berhampiran rumah beralamat No. 149, Felda Jengka 9 kira-kira pukul 7.30 malam dan 8.30 malam, 19 Julai lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan tersebut, Mohammad Hafiz didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

Dazuki menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan sebatan dua kali bagi setiap pertuduhan serta diperintahkan berjalan serentak, berkuat kuasa mulai tarikh tertuduh ditangkap pada hari kejadian.

Sebelum hukuman dijatuhkan, Mohammad Hafiz yang tidak diwakili peguam bela merayu supaya dikenakan hukuman ringan kerana perlu menjaga ibunya di Felda Jengka 9 yang menghidap penyakit jantung.

"Saya perlu menanggung ibu yang sakit jantung dengan pendapatan hanya RM300 sebulan sebagai buruh ladang. Ayah saya pula sudah tiga tahun meninggal dunia," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Rashidi Abd. Rahim pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan yang sama.

Beliau juga meminta mahkamah mengambil kira kesan tindakan tertuduh yang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan kekal sepanjang hidup mereka.

Mengikut fakta kes, pada masa kejadian, kedua-dua mangsa dalam perjalanan menaiki motosikal menuju ke rumah rakan mereka untuk mengulangkaji pelajaran.

Ketika melalui jalan di hadapan rumah tertuduh, tiba-tiba lelaki itu telah menyimbah sejenis cecair dipercayai cuka getah dan terkena badan serta muka kedua-dua mangsa.

Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Temerloh untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan lanjut. - Utusan

Anwar: Dolak dalik k'jaan alasan bebaskan PSM6

Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sikap tidak konsisten dan dolak dalik kerajaan berhubung tahanan enam anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengikut Ordinan Darurat adalah alasan utama bagi membebaskan mereka.

Dalam satu kenyataan di blognya, alasan keenam-enam mereka yang ditahan kerana didakwa terbabit dengan aktiviti subversif sebelum bertukar pula kepada terbabit merancang perhimpunan BERSIH 2.0 adalah tidak berasas sama sekali.

“Ternyata itu merupakan helah pemerintah untuk memburuk burukkan BERSIH 2.0. semata-mata,” kata Anwar.

Keenam-enam mereka adalah ahli parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar, M Sarasvathy, Choo Chon Kai, M Sugumaran, A Letchumanan dan R Saras Babu yang ditahan mengikut EO sejak 2 Julai lalu.

Mereka yang kini dikenali sebagai PSM6 - pada mulanya ditahan bersama 24 orang lain atas dakwaan mahu 'melancarkan perang terhadap Agong', tetapi pada jawapan balas permohonan afidavit habeas corpus berhubung pembebasan mereka, polis mendakwa mereka sebagai penggerak utama BERSIH 2.0.

Permohonan habeaus corpus itu bagaimanapun ditangguhkan kepada 5 Ogos, lima hari selepas tahanan 30 hari mereka berakhir tetapi polis berhak melanjutkannya selama 30 hari lagi.

Sambil menuntut pembebasan segera keenam-enam individu yang dipercayainya mangsa “manipulasi politik”, Anwar berkata perkara itu penting kerana ada kemungkinannya mereka yang ditahan itu dikasari pihak polis semasa disoal siasat.

Manipulasi politik

“Kita prihatin dengan perkembangan mutakhir ini, apabila ada antara mereka yang kini mendapatkan rawatan di hospital namun tidak dibenarkan bertemu hatta dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

“Adalah tidak munasabah buat polis tidak membenarkan pihak keluarga bertemu dengan enam pemimpin itu semenjak dari 15hb Julai lagi.

“Tidak ada sebab untuk menghalang mereka dari bertemu kecualilah kebimbangan kita bahawa tahanan tersebut dianiaya punya asasnya,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar berkata sewajarnya Menteri Dalam Negeri prihatin dengan gesaan rakyat yang kini menuntut kerajaan supaya tidak bertindak sewenang wenangnya dan menyalahguna kuasa.

“Ketika perhimpunan BERSIH 2.0 itu rakyat menyaksikan ada sesegelintir dari pihak polis bertindak keterlaluan dan melampaui batas.

“Kita tidak mahu tugas pasukan polis, iaitu untuk melindungi keselamatan orang awam terjejas akibat manipulasi politik pemerintah,” katanya.

Justeru, kata Anwar yang juga ketua umum PKR, Pakatan Rakyat beriltizam meningkatkan kempen di seluruh negara, demi menerangkan kepada rakyat, kezaliman kerajaan yang bukan sahaja terhadap enam individu itu tetapi juga terhadap seluruh mangsa tahanan tanpa bicara seumpama yang terkandung dalam Ordinan Darurat.

“Undang-undang usang yang menindas itu, tidak lagi untuk melindungi keselamatan negara, bahkan sebaliknya dimanipulasi demi membungkam suara-suara yang tidak sependapat dengan pemerintah,” katanya. - Malasiakini

Sambutan kuning untuk PM di KL Sentral: 10 ditangkap

Sepuluh orang termasuk pembantu ahli parlimen Ampang dan pemimpin pemuda PKR ditangkap di KL Sentral petang ini kerana berpakaian kuning dan cuba menyerahkan memorandum tuntutan BERSIH 2.0 kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mohd Fareez Kamal Intidzam, pembantu kepada Zuraida Kamaruddin, ditahan oleh sekumpulan anggota polis sejurus sebelum ketibaan Najib dan rombongannya.

"Ironinya, seorang daripada kami memakai jersi bolasepak pasukan Malaysia dan saya sendiri memakai warna merah 'Patriot' ketika kami ditangkap,” kata Fareez kepada Malaysiakini.

Semua mereka yang ditahan kemudiannya dibawa ke balai polis Travers.

Selain Fareez, timbalan ketua penerangan pemuda PKR Rozan Azem Mat Rasip adalah antara mereka yang ditangkap.

Najib dan beberapa anggota jemaah menteri menaiki kereta api laju Express Rail Link, dari Putrajaya menuju ke stesen KL Sentral bagi mengedarkan bendera Jalur Gemilang menjelang sambutan hari kebangsaan pada 31 Ogos ini.

Beliau dan rombongan yang sebelum itu dibawa dengan bas dari Pejabat Perdana Menteri ke Stesen Putrajaya Sentral pada 2.10 petang disambut 1,000 orang yang menunggu sejak 11 pagi.

Najib bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Menteri lain meluangkan masa beramah mesra dan bersalaman dengan orang ramai di stesen itu.

Sementara itu, dalam satu kenyataan di Facebook, Polis Kuala Lumpur, ASP Suffian Sulaiman berkata tangkapan itu dibuat ke atas sekumpulan orang awam yang memakai baju kuning dan membuat kacau.

“Berhubung majlis pelancaran kibar Jalur Gemilang di KL Sentral, polis KL telah tangkap seramai sepuluh orang terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga perempuan di KL Sentral di Kuala Lumpur.

“Semasa tangkapan suspek memakai baju kuning tanpa apa-apa perkataan dan melaungkan reformasi. Tangkapan adalah bersabit laporan polis yang dibuat oleh ketua polis daerah Brickfields tentang maklumat mengatakan ada kumpulan pemuda berpakaian kuning akan membuat kacau,” tulisnya.

Menurut Suffian semua tahanan itu kemudiannya dibebaskan selepas percakapan mereka dirakamkan polis untuk siasatan lanjut. - Malaysiakini

26 July 2011

SPR: Kami tiada kuasa, hanya Putrajaya boleh tunai tuntutan Bersih 2.0

SHAH ALAM, 26 Julai — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengemukakan lapan tuntutan berkaitan pembaharuan sistem pilihan raya kepada Putrajaya, bukannya kepada agensi itu.

Menurut Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar, lapan tuntutan itu boleh dilaksanakan di bawah kuasa kerajaan pemerintah.

Jelas beliau, SPR tidak mempunyai sebarang kuasa untuk melaksanakan lapan tuntutan itu kerana ia terikat dengan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

Lapan tuntutan Bersih 2.0 adalah agar SPR membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

“SPR ditubuhkan di bawah Perlembagaan Persekutuan sebagai badan mengurus pilihan raya, kita bukan badan penguatkuasaan ... kita tiada kuasa.

“Kita disokong beberapa akta lain seperti Akta Polis, Akta Hasutan, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, Akta Rahsia Rasmi dan beberapa akta lain yang mana apabila kita mengadakan pilihan raya kita bukan hanya dikawal oleh peraturan sendiri tapi turut dikawal undang-undang lain ... jadi janganlah salahkan kita,” kata Wan Ahmad pada program bertajuk “Apa Selepas 9 Julai” anjuran Kumpulan Media Karangkraf.

Justeru tegas beliau, SPR tidak mempunyai kuasa menguatkuasakan dan menolak tanggungjawab meminda undang-undang pilihan raya kepada Jabatan Peguam Negara.

“SPR bukan badan yang buat undang-undang, apa yang kita boleh lakukan adalah cadangkan undang-undang ini kepada Peguam Negara ... Peguam Negara yang akan buat draf undang-undang sebelum bawa ia ke Parlimen untuk dibahaskan.

“Proses buat undang-undang daripada SPR kepada Peguam Negara, Peguam Negara kepada Parlimen ... kalau nak tukar sistem pilihan raya, ia melibatkan dasar kerajaan dan hanya pemerintah sedia ada yang boleh lakukan.

“Kalau anda (Pakatan Rakyat) memerintah juga sama, jangan aggap SPR sebagai musuh,” katanya di hadapan kira-kira 300 orang.

Turut menjadi panel wacana kali ini ialah Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevesan dan penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.

Bagaimanapun jawapan yang diberikan Wan Ahmad dijawab secara tegas oleh Ambiga sambil berkata SPR mempunyai kuasa untuk melaksanakan tuntutan yang dikemukakan.

“Saya tidak bersetuju SPR kata tiada kuasa, undang-undang pilihan raya di bawah SPR, apa maksud kata tiada kuasa? Tiada kuasa ... tanggungjawab SPR untuk melaksanakan penguatkuasaan.

“Siapa yang boleh pastikan pilihan raya bebas dan adil? Siapa yang perlu bertanggungjawab?” katanya yang mendapat tepukan gemuruh orang ramai.

Sepanjang program itu diadakan, Wan Ahmad dicemuh hadirin kerana kecewa dengan jawapan yang diberikan.

Bagaimanapun cemuhan yang dilemparkan terhadap Wan Ahmad ditenangkan moderator Wan Saiful Wan Jan.

Sepanjang program berjalan Wan Ahmad lebih bersikap defensif selain memberikan alasan-alasan remeh yang mendapat respons negatif daripada orang ramai.

Beliau juga menegaskan SPR hanya bertindak di bawah peruntukan yang disediakan dan pilihan raya diadakan secara adil.

“SPR tidak lari daripada peraturan kerana keputusan pilihan raya boleh dicabar jika pilihan raya yang diadakan tidak mengikut undang-undang.

“Apabila kita laksanakan pilihan raya, kita ikut peraturan dan undang-undang, sebab kalau ada pihak yang tidak berpuas hati (dengan keputusan pilihan raya) ia boleh dicabar di mahkamah dan orang yang failkan petisyen boleh beri apa sahaja alasan,” katanya.

Tegas Wan Ahmad, SPR ditubuhkan untuk bertanggungjawab kepada seluruh rakyat bukan sekumpulan yang tertentu.

“SPR bukan sebuah parti politik, SPR hanya badan menguruskan pilihan raya,” katanya.

Beliau juga menegaskan, sistem pilihan raya sedia ada tidak membenarkan warga asing untuk didaftarkan sebagai pengundi yang sah.

“Sesiapa yang mahu mendaftar sebagai pengundi perlu ada MyKad, kalau bukan warganegara sistem akan tolak ... ia termasuk pemegang kad pengenalan warna merah,” katanya.

Wan Ahmad juga dilihat cuba memerli Pakatan Rakyat apabila mengatakan parti perikatan itu bertindak terlalu agresif berbanding parti komponen Barisan Nasional (BN).

“SPR mempertahankan diri sebab SPR ditembak dari pelbagai sudut, BN tidak hentam SPR berbeza dengan PAS, PKR dan DAP.

“Beza pendekatan yang mereka (BN) gunakan adalah mereka mengkritik kita secara depan-depan tapi pembangkang mencanangkan kepada media dan secara terbuka menghentam SPR,” katanya.

Beliau juga menambah pihaknya sentiasa terbuka untuk mendengar apa-apa cadangan yang dibuat sama ada dari Bersih 2.0 atau Pakatan Rakyat untuk penambahbaikan sistem pilihan raya.

Pada 9 Julai lalu Bersih 2.0 telah mengadakan Himpunan Bersih 2.0 sebagai langkah menuntut SPR melaksanakan lapan tuntutan yang dikemukakan.

Bersih 2.0 yang terdiri daripada 62 badan bukan kerajaan (NGO) turut disokong Pakatan Rakyat.

Ribuan rakyat telah menyertai Himpunan Bersih 2.0 yang menyaksikan lebih 1,600 orang telah ditahan. - TMI