30 July 2011

Kerajaan Kedah dakwa pusat hiburan beroperasi secara haram

ALOR SETAR 29 Julai - Kerajaan Pas Kedah hari ini mengakui kewujudan pusat-pusat hiburan dan rumah urut yang semakin bertambah sejak mengambil alih pentadbiran di negeri ini.

Exco kerajaan negeri, Dr. Ismail Salleh bagaimanapun berkata, pusat hiburan itu beroperasi secara haram kerana tiada lesen baru dikeluarkan sejak pembangkang mentadbir Kedah pada 2008.

Katanya, kewujudan pusat hiburan haram berkenaan seperti pusat karaoke sukar dibendung kerana penguatkuasaan yang lemah atas faktor-faktor tertentu.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kedah bagaimanapun tidak menjelaskan faktor-faktor tersebut.

"Ada pusat hiburan yang dibuka seperti pusat-pusat karaoke terutama di kampung-kampung, tetapi semuanya tiada lesen. Ia tumbuh secara sendiri.

"Kita memang hendak mengambil tindakan ke atas pusat-pusat hiburan haram ini tetapi ada sebab tertentu tak boleh bergerak," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Beliau ditanya mengenai kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir kelmarin yang hairan dengan kewujudan pusat-pusat hiburan yang semakin bertambah di Alor Setar dan Sungai Petani memandangkan kerajaan negeri Kedah ditadbir oleh Pas yang mendakwa memperjuangkan Islam.

Ismail berkata, kerajaan negeri akan mengambil kesempatan daripada kelulusan Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1997 yang akan memperincikan peraturan membabitkan operasi pusat hiburan sepanjang Ramadan ini untuk turut bertindak ke atas pusat hiburan haram.

"Kita ambil kesempatan itu untuk menjalankan penguatkuasaan dengan menutup semua pusat hiburan yang beroperasi tanpa lesen," katanya. - Utusan

* Kalau Umno yang buat, sebab mereka langsung kita tak peduli...

No comments:

Post a Comment