KUALA LUMPUR, 31 Julai — Kegagalan skuad Harimau Malaya meneruskan kemaraan pada kempen bola sepak kelayakan Piala Dunia merupakan satu tamparan hebat kepada penjaga gol negara Khairul Fahmi Che Mat walaupun beraksi cemerlang ketika mengikat Singapura 1-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis lalu.
Namun di sebalik kecemerlangannya di gawang gol, Khairul Fahmi yang lebih dikenali sebagai “Apek” rupa-rupanya memendam rasa berikutan badai yang melanda pertunangannya dengan Aimie Harmelia Mohd Hashumi atau Elia, 22.
Selepas dikaitkan dengan orang ketiga dalam hubungan dengan Elia, Khairul Fahmi, 22, nekad menceritakan perkara sebenar bagi menjelaskan kemelut yang melanda dirinya.
Mengikut laporan Metro Ahad, anak kelahiran Kelantan ini menjelaskan, fitnah yang dilemparkan kononnya dia mempunyai hubungan dengan wanita lain di laman web dan blog adalah tidak benar sama sekali.
Kata Khairul Fahmi, disebabkan fitnah itu hubungannya dengan Elia semakin renggang.
“Sebenarnya saya tampil membuat kenyataan ini kerana tidak mahu perkara membabitkan saya dan Elia berpanjangan, selepas berfikir panjang dan berbincang bersama keluarga saya perlu memberitahu peminat mengenai perkara sebenar.
“Saya tahu cerita mengenai saya bersama wanita lain tersebar luas dalam pelbagai laman web dan blog. Begitupun saya ingin menjelaskan semua itu tidak benar. Saya bukan kaki perempuan atau ‘playboy’. Semua itu adalah tuduhan yang tidak berasas,” katanya.
Khairul Fahmi telah memutuskan pertunangannya dengan Elia pada Khamis lalu.
“Kerana isu berkenaan hubungan saya dengan Elia semakin renggang. Malah sejak ia menjadi lebih teruk, Elia memberitahu saya dia mendengar cerita kononnya saya berjumpa seorang wanita lain di luar dan berpimpin tangan.
“Selain itu beberapa gambar wanita lain turut tersebar di Internet dan ia dikaitkan dengan saya. Dalam banyak-banyak gambar, hanya beberapa gambar yang saya kenal. Antaranya ialah Dahlia,” kata Khairul Fahmi.
Jelasnya, hubungan dengan Dahlia tidak lebih dari seorang kawan selain mengakui turut mengenali keluarga gadis itu.
“Namun Dahlia bukan kekasih saya seperti didakwa ramai pihak. Dia sekadar kawan dan kami juga tinggal sekampung (di Kelantan) malah saya juga rapat dengan keluarganya.
“Hubungan saya dengan Dahlia tidak lebih sebagai seorang abang dengan adik, lebih-lebih lagi dia masih berusia belasan tahun.
“Selain itu ada yang mengatakan wanita yang berdua-duaan dengan saya dalam gambar adalah Dahlia. Sebenarnya, gambar itu diambil ketika sesi temubual saya bersama wartawan dan wanita yang bergambar dengan saya adalah rakan kepada seorang wartawan. Jadi tidak timbul isu saya bergambar mesra dengan Dahlia atau wanita lain,” jelas Khairul Fahmi.
Menceritakan lebih lanjut mengenai hubungannya dengan Elia, Khairul Fahmi yang pernah menerima Anugerah Penjaga Gol Terbaik Bola Sepak Kebangsaan 100Plus-FAM 2010 berkata dia sebenarnya masih menyayangi bekas tunangnya itu.
Katanya, keputusan untuk memputuskan pertunangan dengan Elia adalah pilihan yang tepat untuk menyelesaikan semua masalah yang dikaitkan dengan dirinya.
“Terus terang, saya masih menyayanginya. Malah perkenalan yang dibina selama dua tahun membawa kami melalui pelbagai perkara bersama. Cuma bila keadaan bertambah kerus dan berpanjangan, saya perlu membuat keputusan muktamad.
“Kini selepas berfikir panjang dan berbincang dengan keluarga, saya mengambil keputusan yang saya rasakan sesuai bagi menjaga hati semua pihak iaitu memutuskan tali pertunangan kami. Saya yakin ini keputusan tepat dan saya sudah berbincang dengan Elia. Namun dia tidak pasti mahu menerimanya atau tidak,” katanya.
Tegas Khairul Fahmi, keputusan yang dibuat itu tiada kaitan dengan orang ketiga tapi dibuat atas dasar mahu menjaga hati semua pihak terutamanya keluarga Elia.
“Saya ingin tegaskan, keputusan ini tiada kaitan dengan orang ketiga. Saya tahu pasti akan ada cerita yang tidak enak apabila kenyataan ini dibaca oleh masyarakat. Suka atau tidak, saya perlu berdepan semua kritikan demi membela semua orang yang saya sayang.
“Lagipun masalah antara kami sudah lama berpanjangan. Cuma ia tidak diperbesarkan, lebih-lebih lagi ia cuma membabitkan kami berdua. Namun bila ia merebak dan melampaui batas saya perlu segera menyelesaikannya,” katanya.
Tambah Khairul Fahmi, dia akan memberikan fokus sepenuhnya kepada bola sepak selain berharap tiada lagi kontroversi tentang dirinya.
“Untuk setahun dua ini, saya bertekad mahu fokus sepenuhnya kepada bola sepak. Saya tidak mahu sebarang kontroversi merencatkan perjalanan kerjaya saya dan ia antara sebab kenapa saya buat keputusan,” katanya.
Pada perlawanan timbal balik menentang Singapura, skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal gagal bangkit menebuskan kekalahan pada perlawanan pertama yang menyaksikan Malaysia tewas dengan agreget 4-6. - TheMalaysianInsider
No comments:
Post a Comment