30 July 2011

Harga getah diramal susut minggu depan

Pasaran getah Malaysia dijangka bergerak dalam jajaran kecil minggu depan di celah minat risiko yang lemah dan kemungkinan berlakunya kelembapan dalam pertumbuhan global berikutan masalah hutang Amerika Syarikat dan zon Euro, kata para peniaga.

"Kebimbangan hutang di AS dan krisis yang semakin teruk dalam zon euro akan mengekang minat risiko yang sekali gus akan membataskan pengambilan pegangan," kata seorang peniaga.

Dari segi perkembangan yang positif pula, kerugian di pasaran getah boleh dihadkan di celah permintaan daripada belian dana ekoran spekulasi menyatakan penghantaran akan meningkat untuk sektor pembuatan tayar dan sarung tangan.

"Selain daripada itu, terdapatnya ura-ura yang China akan memulakan pembelian komoditi untuk mengukuhkan semula inventorinya di pusat dagangan getah Qingdao. Stok telah merosot kepada 70,000 tonne daripada 160,000 tonne sebelumnya.

Berdasarkan perbandingan mingguan, harga tengah hari fizikal rasmi Lembaga Getah Malaysia untuk gred tayar SMR 20 naik 10 sen kepada 1,382.5 sen sekilogram, daripada 1,372.5 Jumaat lalu tetapi susu getah pukal susut 10.5 sen kepada 886 sen daripada 896.5 sen sekg sebelumnya.

Harga penutup tidak rasmi untuk gred tayar SMR 20 melonjak 12.5 sen kepada 1,381 sen sekg daripada 1,368.5 sen sekg minggu lepas sementara susu getah pukal turun lapan sen kepada 884.5 sen sekg daripada 892.5 sen sekg sebelumnya. - Bernama

No comments:

Post a Comment