27 July 2011

Buruh simbah asid dihukum penjara 8 tahun, 4 sebatan

TEMERLOH 26 Julai - Seorang buruh ladang dihukum penjara lapan tahun dan sebatan empat kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah mengaku bersalah menyebabkan kecederaan parah terhadap dua beradik dengan menyimbah cuka getah terhadap kanak-kanak tersebut di Felda Jengka 9, Maran, tujuh hari lalu.

Mohammad Hafiz Ismail, 31, yang berbadan kurus dan memakai baju lokap kelihatan tenang ketika hukuman dijatuhkan oleh Hakim Dazuki Ali terhadapnya yang menghadapi dua pertuduhan.

Lelaki itu mengaku menyebabkan kecederaan parah ke atas Syafiq Haikal Mat Safa Zaidi, 13, dan adiknya, Syaffiy Aiman, 10, dengan menyimbah cecair disyaki cuka getah di bahagian muka dan badan kedua-dua mangsa tersebut.

Kejadian didakwa berlaku berhampiran rumah beralamat No. 149, Felda Jengka 9 kira-kira pukul 7.30 malam dan 8.30 malam, 19 Julai lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan tersebut, Mohammad Hafiz didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

Dazuki menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan sebatan dua kali bagi setiap pertuduhan serta diperintahkan berjalan serentak, berkuat kuasa mulai tarikh tertuduh ditangkap pada hari kejadian.

Sebelum hukuman dijatuhkan, Mohammad Hafiz yang tidak diwakili peguam bela merayu supaya dikenakan hukuman ringan kerana perlu menjaga ibunya di Felda Jengka 9 yang menghidap penyakit jantung.

"Saya perlu menanggung ibu yang sakit jantung dengan pendapatan hanya RM300 sebulan sebagai buruh ladang. Ayah saya pula sudah tiga tahun meninggal dunia," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Rashidi Abd. Rahim pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan yang sama.

Beliau juga meminta mahkamah mengambil kira kesan tindakan tertuduh yang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan kekal sepanjang hidup mereka.

Mengikut fakta kes, pada masa kejadian, kedua-dua mangsa dalam perjalanan menaiki motosikal menuju ke rumah rakan mereka untuk mengulangkaji pelajaran.

Ketika melalui jalan di hadapan rumah tertuduh, tiba-tiba lelaki itu telah menyimbah sejenis cecair dipercayai cuka getah dan terkena badan serta muka kedua-dua mangsa.

Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Temerloh untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan lanjut. - Utusan

No comments:

Post a Comment